Halaman

Selasa, 25 Ogos 2009

Tip UPSR: Strategi jawab soalan Bahasa Melayu Pemahaman

Oleh Anuar Ahmad

SIKAP tidak berhati-hati, gopoh dan malas berfikir panjang sewaktu menjawab soalan adalah antara faktor menyebabkan calon kehilangan markah atau tidak memperoleh jumlah maksimum untuk kertas Bahasa Melayu Pemahaman.

Bagi membantu calon mendapat markah maksimum, beberapa petua diberikan bagi menjawab soalan kertas ini dengan baik.


BAHAGIAN TATABAHASA

Pastikan calon sudah menguasai kesemua aspek penggunaan bahasa dalam bahagian tatabahasa.


Langkah ini penting kerana kesemua pilihan jawapan yang diberikan perlu difahami makna atau maksudnya terlebih dulu sebelum memilihnya sebagai jawapan.

Berikut beberapa langkah yang perlu dilakukan calon sewaktu menjawab soalan bahagian tatabahasa.


A. Faham

Seperti dikatakan, calon perlu memahami maksud kesemua pilihan jawapan yang diberikan. Kesalahan memilih jawapan berlaku kerana calon tidak memahami pilihan jawapan tersebut.

Untuk menjawabnya, ada dalam kalangan calon hanya mengagak maksud jawapan tersebut. Tindakan ini salah kerana calon perlu berusaha memahami maksud pilihan jawapan itu, bukan sekadar mengagak.

Biasanya akan wujud satu atau dua pengganggu jawapan yang paling dekat dengan jawapan yang tepat. Oleh itu, calon perlu benar-benar memahami pilihan jawapan yang disediakan.

Sebaiknya, buatlah catatan ringkas mengenai maksud bagi setiap pilihan jawapan tersebut.

Contoh soalan;

Peserta itu menyampaikan ceritanya dengan _____ dan gaya yang menarik.

A lincir - licin

B cekap - mampu melakukan

C pintar - pandai

D lancar - fasih


B. Baca

Baca ayat soalan. Fahami betul-betul ayat tersebut dan kesesuaiannya dengan pilihan jawapan. Pilihan jawapan sebeginilah yang biasanya menjadi perangkap terutama kepada calon yang kurang berfikir.

Peserta itu menyampaikan ceritanya dengan _____ dan gaya yang menarik.


C. Kesan

Calon perlu mengesan klu yang terdapat dalam ayat atau gambar. Ini penting kerana klu inilah yang akan membantu dan memudahkan calon memilih jawapan yang tepat.

Dalam soalan ini, klunya adalah ‘menyampaikan’ (Bulatkan perkataan menyampaikan).

Peserta itu menyampaikan ceritanya dengan _____ dan gaya yang menarik.


D. Pilih

Peringkat ini paling penting. Pilihlah jawapan yang paling tepat dan mengikut kehendak soalan. Oleh itu, fahamkan betul-betul kesesuaian ayat dengan pilihan jawapan.

Peserta itu menyampaikan ceritanya dengan _____ dan gaya yang menarik.

Pengganggu jawapan yang hampir tepat

A lincir - licin

B cekap - mampu melakukan

C pintar - pandai

D lancar - fasih

Pilihan jawapan yang paling tepat

Selain itu, pastikan calon mengikuti langkah berikut:

* Jawab soalan yang mudah terlebih dulu.

* Jangan membuang masa dengan menjawab soalan yang susah.

* Peruntukkan masa antara 15 hingga 20 minit untuk bahagian tatabahasa.

* Segera jawab soalan bahagian petikan.

* Baki masa perlu digunakan untuk menyemak semula jawapan.


BAHAGIAN PEMAHAMAN

Calon hanya perlu menjawab 10 soalan dalam bahagian pemahaman. Namun begitu, setiap soalan berkait rapat dengan petikan yang disediakan.

Antara langkah yang perlu dilakukan sewaktu menjawab soalan petikan ialah:


A. Baca dan faham

Calon perlu membaca petikan dan memahaminya terlebih dulu. Selepas itu barulah membaca soalan dan memahami pilihan jawapan yang disediakan. Jangan menjawab soalan tanpa membaca petikan terlebih dulu.

Contoh soalan:

Sebelum menghilang, lelaki itu berpesan seandainya mereka berjaya menangkap ikan di kawasan tersebut hendaklah dilepaskan semula beberapa ekor sebagai tanda menghormati.

Apakah pesanan terakhir lelaki tersebut?

A Jangan menangkap ikan di kawasan tersebut.

B Beberapa ekor ikan perlu dilepaskan selepas memancing.

C Memancing akan menyebabkan dia diserang penyakit misteri.

D Di dalam kawasan tersebut ada beberapa ekor ikan yang boleh ghaib.


B. Cari pembayang jawapan

Biasanya klu atau pembayang jawapan ada dalam petikan. Calon perlu menggariskan klu tersebut.

Sebelum menghilang, lelaki itu berpesan seandainya mereka berjaya menangkap ikan di kawasan tersebut hendaklah dilepaskan semula beberapa ekor sebagai tanda menghormati.


C. Penyesuaian

Sesuaikan pembayang yang ditanda atau digariskan dengan pilihan jawapan diberikan.

Apakah pesanan terakhir lelaki tersebut? (soalan)

... lelaki itu berpesan seandainya mereka berjaya menangkap ikan di kawasan tersebut hendaklah dilepaskan semula (pembayang)


D. Memilih

Jika calon sudah jumpa pilihan jawapan yang sesuai dengan pembayang ditanda atau digariskan, pilihlah jawapan tersebut mengikut kehendak soalan. Jangan sesekali memilih jawapan yang tidak ada pembayangnya dalam petikan.

Apakah pesanan terakhir lelaki tersebut?

A Jangan menangkap ikan di kawasan tersebut.

B Beberapa ekor ikan perlu dilepaskan selepas memancing. (JAWAPAN)

C Memancing akan menyebabkan dia diserang penyakit misteri.

D Di dalam kawasan tersebut ada beberapa ekor ikan yang boleh ghaib.

Langkah di atas perlu dilakukan dengan penuh teliti. Namun begitu beberapa kelemahan perlulah diatasi agar calon tidak melakukan kesilapan merugikan. Antara kelemahan tersebut ialah:

i. Tidak membaca arahan untuk setiap soalan.

ii. Menjawab soalan dengan tergesa-gesa.

iii. Kurang memberi tumpuan kepada kata kunci pada setiap soalan.

iv. Membuang masa dengan soalan yang susah.

v. Tersalah menanda jawapan yang sepatutnya pada kertas jawapan.

vi. Menghabiskan masa terlalu lama membaca petikan.

vii. Tidak memadam jawapan yang salah dengan bersih pada kertas OMR.


Ingat!:
Sebaik saja selesai menjawab semua soalan, kira jumlah tanda hitam di atas kertas OMR. Pastikan tanda hitam itu cukup 40. Jika kurang, bermakna ada soalan yang belum berjawab, tetapi jika lebih, mungkin ada soalan yang ditanda dua jawapan. Oleh itu, calon perlu semak semula.

Sumber : Berita Harian (25 Ogos 2009)

34 ulasan:

  1. MEMANG BAGUSLAH TIPS UPSR NI.

    BalasPadam
  2. Alhamdulillah. Benda yang boleh memberi manfaat kepada orang lain, kita sama-sama kongsikan.

    BalasPadam
  3. terima kasih atas tips ye sye dah semakin berjaya

    BalasPadam
  4. memei baguis aa tips nie ...huhu

    BalasPadam
  5. Harap-harap tips ini membantu saya dalam UPSR

    BalasPadam
  6. terima kasih banyak banyak kerana dapaat bantu saya dalam upsr.

    BalasPadam
  7. tak baguspunlah tips tips yang busuk ini.........

    BalasPadam
    Balasan
    1. Maaf kerana sekarang baru layan, tetapi perkataan yang anda gunakan tidak sopan. Bersusah-payah cikgu tulis tips ini tau... Jadi, HORMATLAH sikit!!!

      Padam
  8. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.

    BalasPadam
  9. harap dapat menjawab UPSR dengan tenang

    BalasPadam
  10. harap ia dapat tolong syer menjawaab upsr....

    BalasPadam
  11. terima kasih atas perkongsian maklumat

    BalasPadam
  12. Ape jawapan tatabahasa tu ?

    BalasPadam
  13. Jawapan..lancar.menarik sungguh tips yg diberi..terima kasih.

    BalasPadam
  14. insyallah saye akn melakukn tips2 tersebut

    BalasPadam
  15. aku tanye jawapan bagi tips , mcm sakai je !

    BalasPadam
  16. Terima kasih kerana berkongsi tips. Saya amat menghargainya. :)

    BalasPadam
  17. terima kasih cikgu kerana memberi tips ....................

    BalasPadam
  18. terima kasih atas tips yang diberi .semoga sya menjawab esok dengan tenang dan tidak gopoh

    BalasPadam
  19. terima kasih utk tips yg bole sy guna utk UPSR nnti..:)

    BalasPadam
  20. okla ada lgyy x..???

    BalasPadam
  21. kamsahamida. saye hargainye.

    BalasPadam
  22. Terima kasih kerana memberi tips penting ini. Saya sangat menghargainya. Semoga UPSR bahasa melayu saya akan mendapat A.

    BalasPadam
  23. Terima kasih kerana memberi tips tips ini.saya harap boleh mendapat 5 A dalam upsr .Ada 6 hari lagi!!!!!!!

    BalasPadam
  24. Besok merupekan tarikh bersejarah bg murid2 thun 6 n mungkin ini boleh dijadikan panduan,selamat berjaya

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih kerana memberi tips ini harap saya dapat menduduki upsr dengan tenang dan selesa harap saya dapat keputusan yang cemerlang . Terima kasih sekali lagi.

      Padam
    2. Terima kasih kerana memberi tips ini harap saya dapat menduduki upsr dengan tenang dan selesa harap saya dapat keputusan yang cemerlang . Terima kasih sekali lagi.

      Padam
    3. Terima kasih ,harap harap dapat jawab soalan upsr esok ...doakan saya

      Padam
  25. Harap ini dapat menolong saya untuk menghadapi upsr tak lama lagi😄😄

    BalasPadam