Halaman
Jumaat, 31 Disember 2010
Selamat Datang Tn. Guru Besar
Rabu, 22 Disember 2010
Muhyiddin minta sekolah tidak kenakan bayaran tambahan tinggi
KUALA LUMPUR 16 Dis. - Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan pihak sekolah supaya tidak mengenakan bayaran tambahan yang tinggi kepada pelajar yang akan memulakan sesi persekolahan baru pada 2 dan 3 Januari ini.
Timbalan Perdana Menteri berkata, selaras dengan pekeliling yang telah dikeluarkan Kementerian Pelajaran, bayaran itu hanya boleh dikenakan setelah mendapat persetujuan daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta diluluskan oleh Jabatan Pelajaran negeri.
"Kita jangan bebankan ibu bapa dengan pembayaran yang tinggi kerana ia boleh menyebabkan masalah kepada keluarga.
"Kalau pihak sekolah perlu mendapatkan sedikit sumbangan daripada ibu bapa untuk menambah baik lagi proses pembelajaran, maka ia hanya boleh dibuat menerusi mesyuarat PIBG dan mendapat kelulusan Jabatan Pelajaran kita di peringkat negeri," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penggal Persekolahan 2011 di pejabatnya di bangunan Parlimen di sini hari ini.
Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pihaknya telah membuat persiapan secukupnya bagi menghadapi sesi persekolahan 2011 yang akan bermula pada 2 Januari bagi Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala negeri lain pada keesokan harinya.
Beliau berkata, takwim persekolahan 2011 juga memperuntukkan jumlah hari persekolahan sebanyak 210 hari dan cuti penggal selama 78 hari.
"Dijangka seramai 457,760 murid tahun satu dan 474,803 pelajar tingkatan satu akan memulakan sesi persekolahan mereka pada 2011," katanya.
Muhyiddin berkata, pihaknya sudah membekalkan 185,125 set kerusi meja di seluruh negara, termasuk sebanyak 6,012 set di Sabah yang sebelum ini dilaporkan mengalami masalah kekurangan bekalan.
"Begitu juga bekalan buku teks. Sebanyak 15.6 juta naskhah buku bagi semua jenis sekolah turut dihantar," ujarnya.
Katanya, dianggarkan seramai 229,705 guru akan mengajar di sekolah rendah manakala sekolah menengah seramai 164,824 guru.
"Kekosongan 4,653 jawatan guru sekolah rendah dan 3,720 jawatan guru sekolah menengah akan diisi oleh guru sandaran dengan kadar segera," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin berkata, dua dasar baru akan dilaksanakan berkuat kuasa Januari ini iaitu Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) bagi murid tahap satu dan 'satu murid satu sukan.'
Utusan Malaysia Online: 17 Disember 2010
Semakan Tawaran Ke Tingkatan 1 Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Tahun 2011
Sila click link di bawah dan anda akan terus ke aplikasi online semakan tawaran ke SBP. Hanya angka giliran UPSR sahaja diperlukan bagi menyemak tawaran tersebut.
Pendaftaran : Pelajar yang berjaya mendapat tawaran ke SBP Tingkatan 1 sesi 2011 perlu mendaftar ke SBP yang berkenaan pada 5 Januari 2011.
Isnin, 13 Disember 2010
Dua guru 1 kelas
Sabtu, 11 Disember 2010
10 terpilih Sekolah Amanah
Khamis, 9 Disember 2010
Pastikan guru terlatih ajar Pendidikan Kesihatan - PIBGN
KUALA LUMPUR 7 Dis. - Kementerian Pelajaran perlu memastikan guru yang mengajar subjek Pendidikan Kesihatan di setiap sekolah mempunyai kelayakan yang sepatutnya sebelum ia dilaksanakan tahun hadapan.
Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan berkata, langkah tersebut perlu diberi tumpuan agar pelaksanaan Pendidikan Kesihatan kelak tidak terpesong daripada objektif sebenar pelaksanaannya.
Katanya, setiap perancangan daripada kementerian perlu ada tindakan susulan bagi memastikan setiap apa yang dirancang tercapai.
"Para guru perlu dilatih semula kerana mereka seolah-olah tidak yakin dan kurang pengetahuan tentang kaedah yang sesuai dengan peringkat umur pelajar.
"Jika modul dan panduan sahaja yang hebat tetapi guru tidak bersedia, memang sukar untuk melaksanakan pengajaran subjek tersebut," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi mengenai Pendidikan Kesihatan yang akan diajar secara berasingan dan tidak bergabung dengan mana-mana mata pelajaran lain mulai tahun hadapan.
Mohd. Puad berkata, bermula tahun depan, Pendidikan Seks terkandung dalam mata pelajaran Pendidikan Kesihatan dan akan menggunakan istilah Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (Peers).
Menurut Mohamad Ali, Pendidikan Kesihatan bukan suatu kaedah pengajaran yang mudah sebaliknya memerlukan seorang pendidik yang betul-betul terlatih serta mempunyai pengetahuan luas dalam bidang itu.
Bagaimanapun katanya, PIBGN tetap menyokong hasrat kementerian untuk melaksanakan subjek tersebut kerana ia mampu membimbing pelajar ke arah kebaikan.
"Ibu bapa juga perlu memainkan peranan dalam menjayakan hasrat kerajaan ini, jangan pula selepas ini ada bantahan kerana ia diperkenalkan di peringkat sekolah rendah," katanya.
Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan bersetuju Pendidikan Kesihatan diajar secara berasingan dan tidak bergabung dengan mana-mana mata pelajaran lain.
Katanya, Pendidikan Kesihatan tidak perlu digabung dengan mana-mana subjek kerana ia memerlukan tumpuan yang mendalam terhadap isi kandungan yang akan diajar.
"Sebelum ini Pendidikan Seks hanya diajar dengan diselitkan dalam subjek tertentu dan ia terbukti gagal untuk membendung pelajar daripada terlibat dalam masalah sosial," katanya.
Isnin, 6 Disember 2010
PTK tak lagi syarat kenaikan pangkat
Khamis, 2 Disember 2010
Saya Sayang Ibu
“Nurse, boleh saya tengok bayi saya?” ibu muda yang baru bersalin itu bersuara antara dengar dan tidak kepada seorang jururawat.
Sambil tersenyum jururawat membawakan bayi yang masih merah itu. Si ibu menyambut dengan senyum meleret. Dibuka selimut yang menutup wajah comel itu, diciumnya berkali-kali sebaik bayi tersebut berada dipangkuan.
Jururawat kemudian mengalihkan pandangannya ke luar tingkap. Tidak sanggup dia bertentang mata dengan si ibu yang terperanjat melihat bayinya dilahirkan tanpa kedua-dua cuping telinga.
Namun gamamnya cuma seketika. Dakapan dan ciuman silih berganti sehingga bayi yang sedang lena itu merengek. Doktor bagaimanapun mengesahkan pendengaran bayi itu normal, sesuatu yang cukup mengembirakan si ibu.
Masa terus berlalu…
Pulang dari sekolah suatu tengahari, anak yang tiada cuping telinga itu yang kini telah memasuki alam persekolahan menangis memberitahu bagaimana dia diejek rakan-rakan. “Mereka kata saya cacat,” katanya kepada si ibu.
Si ibu menahan sebak. Dipujuknya si anak dengan pelbagai kata semangat. Si anak menerimanya dan dia muncul pelajar cemerlang dengan menyandang pelbagai jawatan di sekolah. Bagaimanapun tanpa cuping telinga, si anak tetap merasa rendah diri walaupun si ibu terus memujuk dan memujuk. Ayah
kanak-kanak itu bertemu doktor. “Saya yakin dapat melakukannya jika ada penderma,” kata pakar bedah. Bermulalah suatu pencarian bagi mencari penderma yang sanggup berkorban.
Setahun berlalu…
“Anakku, kita akan menemui doktor hujung minggu ini. Ibu dan ayah telah mendapatkan seorang penderma, tapi dia mahu dirinya dirahsiakan, ” kata si ayah. Pembedahan berjalan lancar dan akhirnya si anak muncul sebagai manusia baru, kacak serta bijak. Pelajarannya tambah cemerlang dan rasa
rendah diri yang kerap dialaminya hilang.
Rakan-rakan memuji kecantikan parasnya. Si anak cukup seronok, bagaimanapun dia tidak mengabaikan pelajaran. Pada usianya lewat 20-an, si anak menjawat jawatan tinggi dalam bidang diplomatik.
“Sebelum saya berangkat keluar negara, saya ingin tahu siapakah penderma telinga ini, saya ingin membalas jasanya,” kata si anak berkali-kali. “Tak mungkin,” balas si ayah. “Perjanjian antara ayah dengan penderma itu
masih berjalan. Tunggulah, masanya akan tiba.” “Bila?” tanya si anak.
“Akan tiba masanya anakku,” balas si ayah sambil ibunya
mengangguk-angguk. Keadaan terus kekal menjadi rahsia bertahun-tahun lamanya.
Hari yang ditunggu tiba akhirnya. Ketika si anak berdiri di sisi keranda ibunya, perlahan-lahan si ayah menyelak rambut ibunya yang kaku.
Gelap seketika pandangan si anak apabila melihat kedua-dua cuping telinga ibunya tiada.
“Ibumu tidak pernah memotong pendek rambutnya,” si ayah berbisik ke telinga anaknya. “Tetapi tiada siapa pernah mengatakan ibumu cacat, dia tetap cantik, pada ayah dia satu-satunya wanita paling cantik yang pernah ayah temui. Tak percaya… tanyalah pada sesiapa pun kenalannya.”
P/s : Kecantikan seseorang bukan terletak pada fizikal tetapi di hati. Cinta sejati bukan pada apa yang dilakukan dan dihebah-hebahkan tetapi pengorbanan tanpa diketahui.
Selagi ibu kita ada didunia ini, ciumlah dia, cium tangannya, sentiasa minta ampun darinya, berikan senyuman kepadanya, bukannya dengan bermasam muka, kasih ibu tiada tandingannya, ingatlah “SYURGA DI BAWAH TELAPAK KAKI IBU”, penyesalan di kemudian hari tidak berguna, selagi hayatnya
ada,curahkanlah sepenuh kasih sayang kepadanya..
“Saya Sayang Ibu”
Kredit kpd : http://www.rileks.info