Halaman

Ahad, 29 Januari 2012

‘Tiada lagi sentuhan kasih sayang’

Oleh Mohd Rifaat Abd Hamid
rencana@hmetro.com.my

GURU dulu tegas dan komited sewaktu menjalankan tugas, namun di sebalik ketegasan itu ada hati yang bersih dan ikhlas mendidik pelajar menjadi anak bangsa berjaya. Disebabkan sikap bertanggungjawab itu, mereka bukan saja dihormati malah mulia kedudukannya dalam kalangan masyarakat.

Kini, ketegasan, integriti, profesionalisme, hak bersuara serta taraf guru semakin suram dan merudum di mata masyarakat malah menyedihkan kerana golongan itu mudah diperkotak-katikkan pelajar sendiri. Ini menjadikan hubungan antara guru-pelajar semakin jauh, dingin dan bergolak. Kesannya, semangat guru kian pudar melaksanakan tanggungjawab lebih dedikasi.

Disebabkan tidak mendapat sokongan selain bebanan tugasan semakin bertambah, motivasi sebahagian guru mulai luntur dan culas melaksanakan tanggungjawab. Mereka tidak lagi memegang falsafah ingin bertanggungjawab memberi pendidikan, tetapi lebih kepada mengajar semata-mata.

MASALAH…kegagalan guru untuk mendidik boleh mengakibatkan pelajar menjadi lebih bermasalah kerana kurang perhatian dan kasih sayang.

Mengajar lebih menjurus kepada kaedah 2M iaitu membabitkan proses penyampaian ilmu pengetahuan dari guru kepada pelajar dan lebih menumpukan kepada pembangunan intelektual atau akademik.

Manakala mendidik membentuk sahsiah atau akhlak dan memerlukan tempoh masa panjang untuk membentuk akhlak pelajar yang baik.

Persoalannya apakah beza mendidik dan mengajar?

Pensyarah Kanan Program Pendidikan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Isya Awang, berkata ada perbezaan antara konsep mendidik dan mengajar dalam ilmu pendidikan.

Beliau berkata, mengajar lebih ketara berbentuk fizikal manakala mendidik sebagai ‘sentuhan’ emosi dan kasih sayang guru kepada pelajar.

“Boleh dikatakan sebahagian guru hari ini hanya menumpukan pada konsep mengajar berbanding mendidik. Mereka datang ke sekolah hanya untuk mengajar, menghabiskan silibus dan menerima gaji hujung bulan.

“Tiada lagi ‘sentuhan’ atau perasaan kasih sayang telus seperti ditunjukkan golongan guru dulu. Guru dan pelajar kurang berinteraksi, sentiasa mencipta konflik.

“Bagaimanapun, menuding jari pada guru semata-mata adalah tidak adil kerana kita terpaksa menerima keadaan itu kerana senario hari ini tidak semuanya memihak kepada mereka,” katanya.

Katanya, kadangkala guru dibebani kerenah pelajar yang pelbagai menyebabkan ada yang sukar menumpukan perhatian. Akibatnya, akan ada pelajar yang terabai terutama mereka yang bermasalah.

PENDEKATAN SEBENAR…guru perlu bijak menggunakan pendekatan betul bagi memastikan proses pembelajaran berjalan lancar dan cemerlang.

“Tambah memburukkan keadaan, ibu bapa pula datang menyerang dan mempersoalkan kredibiliti guru. Apabila semua pihak menghentam, tidak mustahil ada yang mengambil langkah drastik bersikap sambil lewa dan enggan mengambil tahu,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan ibu bapa hanya tahu mengambil pendekatan ‘lepas tangan’ atau bertindak secara melulu tanpa usul periksa. Secara tidak langsung memberi tekanan kepada guru untuk mencorakkan gaya pembelajaran mereka.

“Jalan mudah, mereka hanya mengajar dan tidak mahu mendidik. Ironinya, guru berpendapat, tidak perlu menjalin atau mengambil berat mengenai pelajar kerana ibu bapa sendiri kurang memberi sokongan.

“ Mengapa mesti menanggung beban sedangkan ibu bapa hanya relaks. Ia seperti barah hingga akhirnya menghakis sikap profesionalisme guru yang sepatutnya bertanggungjawab penuh terhadap tugas dan tanggungjawabnya,” katanya.

Ditanya mengapakah guru zaman dulu mempunyai nilai ‘sentuhan’ ajaib hingga menerbitkan hubungan rapat dengan pelajar, beliau berkata tugas guru dulu jarang ‘diganggu’ atau digugat pelbagai tugas sampingan lain.

Menurutnya, guru dulu boleh menumpukan perhatian pada tanggungjawab hakiki kerana semua pihak faham makna pendidikan dan menuntut ilmu.

“Masalahnya hari ini guru atau pihak berkenaan kurang memahami makna itu tapi lebih mementingkan keputusan akademik . Malangnya itu bukan jaminan cemerlang sahsiah diri.

“ Secara tidak langsung, menggambarkan bagaimana proses mendidik gagal dilaksanakan sedangkan untuk berjaya, gabungan keduanya perlu seimbang supaya dapat menampung kekurangan yang ada,” katanya.

Guru pula sebaliknya ada yang tidak mampu mempunyai komitmen tinggi terhadap tugas kerana segelintirnya menjadi guru semata – mata mahu mempunyai gaji dan pendapatan samping yang lebih berbentuk material.

“ Dibandingkan guru dulu, mereka ikhlas dan tidak berkira mengenai bayaran, guru sekarang sebaliknya malah ada yang terus melanjutkan tugas di luar dengan harapan memperoleh pendapatan sampingan, misalnya tuisyen.

“ Itu tidak salah namun sejauh manakah guru mampu membina hubungan baik dan mesra dengan pelajar. Adakah mereka mengambil berat dengan bertanya khabar atau masuk kelas, mengajar, beri kerja rumah kemudian keluar?

“ Suasana seperti ini tidak sihat kerana perhubungan guru – pelajar hanya termaktub dalam kelas semata – mata. Guru tidak mengenali pelajar, begitu sebaliknya, justeru bagaimanakah sentuhan kasih sayang itu boleh menerbitkan hubungan yang erat,” soalnya.

Guru, katanya, perlu berusaha mengembalikan semula martabat sebagai golongan dihormati manakala masyarakat termasuk ibu bapa perlu memberi peluang golongan itu mencorakkan proses pendidikan mengikut acuan tersendiri asalkan tidak menyalahi peraturan.

“ Guru jadilah golongan bertanggungjawab, kembalikan semula maruah yang sudah lama tercalar. Proses melahirkan masyarakat dan bangsa berguna tidak boleh dizahirkan melalui satu mekanisme semata-mata.

“Boleh mengajar tapi tekankan juga kepentingan mendidik. Barulah lengkap pakej untuk melahirkan pelajar cemerlang akademik, budi dan peribadi seperti termaktub dalam falsafah Pendidikan Kebangsaan,” katanya.

Tokoh Guru Kedah 2009, Sayed Mahadzir Sayed Omar pula berpendapat teknik mendidik dan mengajar guru berbeza dibandingkan guru zaman dulu.

Menurutnya, guru dulu mengajar berasaskan kasih sayang dan semangat patriotisme juga menerima kepercayaan tinggi daripada ibu bapa yang rela ‘menyerahkan’ anak untuk dididik.

“ Mereka tidak kisah anak ‘dipukul’ kerana tahu itu tanggungjawab guru menjadikan mereka berjaya. Malangnya hari ini tidak boleh kerana banyak akta atau peraturan perlu dipatuhi.

“ Bayangkan, kalau pelajar bermasalah, tapi tangan guru ‘terikat’, apakah boleh pelajar itu diasuh menjadi manusia yang baik? Justeru tidak hairanlah, ramai guru hari ini lebih senang mengajar daripada mendidik kerana tidak mahu masalah berbangkit,” katanya.

Sumber: http://www.rileks.info/coollist/tiada-lagi-sentuhan-kasih-sayang/

Sabtu, 28 Januari 2012

Hi-tea: Majlis Menjulang Kasih 2012

Satu majlis telah diadakan pada petang tadi bertempat di Harbour View Hotel Kuching. Majlis tersebut diadakan untuk mengalu-alukan kedatangan tiga orang pegawai baru. Selamat menjadi warga SK Pulo.


Di samping itu, majlis juga diadakan sebagai tanda perpisahan buat 4 orang pegawai yang akan berpindah. Selamat bertugas di tempat baru. Terima kasih kerana telah menjadi sebahagian daripada kami. Jasamu dikenang.



Untuk gambar semasa majlis sila ke Facebook SK Pulo.

Sabtu, 14 Januari 2012

Selamat Datang GPK HEM


Pada 29 Disember 2011, SK Pulo telah menerima seorang Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid yang baru setelah En. Jamaluddin bin Lamat berpindah ke SK Buntal. Mdm. Miut ak Rabong anak kelahiran Lubok Antu mula memasuki bidang perguruan pada 3 Januari 1979. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perguruan TESL. Antara sekolah yang pernah beliau berkhidmat sebelum ke SK Pulo Kuching ialah:
1. SK Lio Moto, Ulu Baram Marudi.
2. SK Good Shepherd, Marudi.
3. SK Sg. Bain, Tinjar Marudi.
4. SK RH Gudang Marudi.
5. SK Dit, Betong.

Semoga dengan kehadiran beliau dapat sama-sama menjulang SK Pulo ke satu tahap yang lebih tinggi.

Khamis, 12 Januari 2012

Apa makna sebenar sekolah


Guru juga berperanan memastikan sekolah menjadi lokasi paling disukai oleh murid.

Setiap tahun, di samping cuti panjang, yang akan menjadi tumpuan adalah sesi persekolahan dan sesi tahun 2012 sudah bermula. Dalam kerancakan membeli pakaian, kasut dan beg sekolah, ada juga dalam kalangan ibu bapa dan penjaga berlumba-lumba mencari bahan bacaan, dan tidak kurang yang cuba mendapatkan guru tuisyen terbaik untuk anak mereka.

Yang berada di Tahun 6, pelajar yang akan menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM); sudah pasti merasa bahangnya bukan saja diri sendiri tetapi ibu bapa yang mahu memastikan mereka mendapat keputusan terbaik dengan gred A sahaja.

Apakah makna sekolah sebenarnya? Adakah sekolah merupakan hanya tempat untuk mendapat gred terbaik atau ia sebenarnya merupakan penginstitusian tersohor melahirkan modal insan yang bukan hanya mencari ilmu tetapi turut menampilkan kreativiti dan kebolehan di samping menerokai nilai karakter keperibadian mulia. Apakah guru hanya menjadi cikgu yang mengajar ataupun sebagai 'pendidik'?

Iqra atau 'bacalah' merupakan tuntutan yang barangkali mahu melentur pembentukan insaniah yang berwajahkan akidah dan akhlak serta memenuhi acuan individu yang bersifat menyeluruh yang antaranya melibatkan peranan 'Cikgu' yang merupakan ungkapan yang amat mulia. Dalam wadah pendidikan, jasa dan sumbangan warga pendidik terhadap negara dan masyarakat amat besar. Guru menjadi ejen yang membina, melahir dan melentur generasi yang ada untuk kesinambungan negara-bangsa.

Guru juga berperanan memastikan sekolah menjadi lokasi paling disukai pelajar dan murid. Dahulu, ramai suka dan mahu terus berada di sekolah walaupun berhadapan dengan guru yang garang tetapi ia diimbangi dengan sikap ambil tahu dan menganggap murid seperti anak sendiri walau dari pelbagai latar belakang manakala bagi ibu bapa, guru adalah 'dewa ilmu' anugerah Tuhan yang tahu baik buruk untuk anak mereka. Maka guru diberi 'lesen' melakukan apa sahaja ke atas anak mereka kerana percaya guru komited ke atas ilmu; guru mahu memastikan sekurang-kurangnya murid mempunyai asas membaca, mengira dan menulis.

Inilah realiti alam sekolah kerana sukar mengharapkan kesemua pelajar akan mempunyai kecekapan dan kebolehan yang sama tetapi guru yang cekal serta gembira mengajar dan sentiasa mahu berada di sekolah kerana komitmen menjadi pendidik yang bukan sekadar sebagai satu 'pekerjaan' tetapi 'ibadah'.

Pelajar harus memahami makna sekolah tanpa merasa terpaksa ke institusi ini atau mahu diucap 'terima kasih' kerana hadir ke sekolah. Murid dapat memudahkan tanggungjawab guru jika memahami tanggungjawab dan peranan sebagai pelajar dan memberi maksud ke atasnya. Sekolah merupakan tempat pembinaan budaya ilmu dan pembudayaan negara bangsa dan aspirasi ini akan dapat dijiwai dengan mudah jika proses pengajaran dan pembelajaran tidak dianggap sebagai 'pilihan' atau 'paksaan'.

Jika ada yang menjadi guru kerana tidak ada 'pilihan', wajar imbas semula peranan guru mereka sendiri satu ketika dahulu dan bagaimana kesungguhan guru ketika itu yang memberi keutamaan kepada proses pemurnian sekolah itu sendiri. Barulah, cabaran dalaman dan luaran dapat diatasi dengan mudah kerana motivasi, keazaman dan kesungguhan memahami perkembangan alam sekolah; menguasai subjek dan pedagogi; menguasai teknologi terkini sebagai nilai tambah kepada kreativiti dan inovasi serta memiliki keyakinan yang membolehkan kepercayaan dilahirkan ke atas guru dan murid.

Alam sekolah yang kondusif turut memerlukan fungsi pentadbir yang tidak mengejar kedudukan peratusan kelulusan semata-mata tetapi percayalah mereka akan turut dihormati sekiranya mendahulukan pelajar yang terpinggir dan murid yang terkandas atau tercicir dalam pelajaran.

Mereka juga mahu didalami dan difahami bukan dimarahi tetapi memberi petunjuk dan menjadi idola sepanjang hayat mereka kemudiannya. Ramai yang berjaya hari ini bukan sekadar bergantung kepada ilmu tetapi tunjuk ajar guru yang menjadikan mereka 'manusia' dengan didikan berterusan tanpa mengira penat-lelah.

Guru sebegini harus diberikan pengiktirafan oleh pentadbir sekolah supaya mereka tahu dihargai. Pada zaman 1960-an dan 1970-an, profesion guru dianggap yang paling mulia kerana tanggungjawab sebagai pendidik. Mereka dihormati kerana sanggup mendaki gunung tinggi, menyusuri lurah bukit serta berpayung dalam hujan dan berkayuh basikal berbatu jauhnya semata-mata menjalankan tanggungjawab sebagai guru yang komited dengan matlamat untuk melahirkan pelajar yang berilmu.

Sebagaimana kata arwah Usman Awang, jika hari ini ada Perdana Menteri berkuasa; Raja menaiki takhta; Ulama yang mulia, Presiden sebuah negara; Peguam menang bicara; Penulis terkemuka; sejarahnya adalah bukan sahaja dari keluarga tetapi alam sekolah yang menjadikan mereka dewasa dan diajar penerapan akhlak mulia.

Bermakna, pelajar yang bermasalah juga memerlukan perhatian supaya tidak berkecenderungan membantut dan menamatkan hayat pembelajaran murid yang merupakan penjana wawasan dan misi negara. Jika murid itu gagal, kesemua pihak terbabit iaitu ibu bapa, guru, sekolah, media, rakan sebaya, persekitaran atau individu itu sendiri memilih untuk melakukan kesalahan bertanggungjawab. Alam sekolah hanya bermakna jika masing-masing memainkan peranan dan tanggungjawab dengan jujur dan ikhlas untuk membangunkan seseorang murid.

Malahan, alam sekolah tidak sewajarnya membebankan. Subsidi berterusan diberikan oleh pihak berwajib dan baucar tuisyen dan kemudahan lain boleh diperhebatkan melalui pelbagai mekanisme agar pelajar tidak menjadikan ia sebagai alasan tidak mahu merasai alam sekolah.

Bagaimana pelajar yang tidak berkemampuan dapat menyesuaikan diri dengan persaingan yang diwujudkan oleh guru dan harapan serta tuntutan ibu bapa jika sekiranya tidak bermakna kepadanya sehingga berkecenderungan untuk melahirkan pelajar yang inferior ke atas prestasinya akibat ketiadaan dayatahan pertembungan dengan pelajar yang berkemampuan.

Kita tidak boleh membiarkan pelajar yang berkemampuan terjerumus dalam kancah pertarungan yang memberi kepentingan bertunjangkan kepada materialisme pemilikan wang ringgit. Budaya pencapaian pelajar yang sebenarnya berkemampuan dari segi akal-fikirannya tetapi menjadi mangsa kerana berada dalam kepompong keluarga berpendapatan rendah tidak boleh dikompromi.

Alam sekolah dicorakkan oleh guru, murid, pentadbir, ibu bapa dan kita sebagai anggota masyarakat. Jika murid gagal, kita juga bertanggungjawab ke atas kegagalan tersebut sebagaimana kita merasa mahu berkongsi kejayaan mereka. Memperkasakan alam sekolah adalah tanggungjawab bersama dan memartabatkan ilmu, kemahiran dan kebolehan juga adalah tanggungjawab bersama.

Saya berterima kasih kepada alam persekolahan yang berbeza-beza baik di Tanjung Malim mahupun Kuala Lumpur kerana tanpanya dan keberkatan ilmu, pedoman dan ajaran mereka, tidak mungkin kegagalan boleh membawa pancaran sinar baru dalam kehidupan.

Kepada yang melangkah masuk dan sudah berada di persimpangan, gunakanlah peluang ini sebaik mungkin dengan diberkati mereka yang ada di sekeliling anda, berikanlah sekolah makna dalam hidup anda.

Utusan Malaysia Online: 10 Januari 2012

Rabu, 4 Januari 2012

Selamat Bertugas Di Tempat Baru


Selamat bertugas di tempat baru diucapkan kepada bekas Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SK Pulo, En. Jamaluddin bin Lamat. Beliau telah berpindah ke SK Buntal. Semoga terus cemerlang memartabatkan pendidikan negara.

Selasa, 3 Januari 2012

Selamat Kembali Ke Sekolah


Sedar tak sedar hari ini merupakan hari terakhir cuti persekolahan 2011. Esok sesi persekolahan 2012 akan dibuka seperti biasa. Rutin harian pun akan berubah. Selamat menempuhi alam persekolahan buat semua murid SK Pulo yang akan memasuki Tahun 1. Tentunya adik-adik tidak sabar untuk bertemu rakan baru, cikgu baru, suasana baru dan semuanya serba baru. Semoga adik-adik semua selesa dengan keadaan yang bakal ditempuhi.

Buat murid Tahun 6 2011, selamat menempuhi alam sekolah menengah. Di luar sana banyak cabaran yang perlu dihadapi. Jadikan pengalaman semasa di sekolah rendah sebagai panduan. Namun, suasana pastinya berbeza. Semoga kalian semua bersedia untuk menghadapi segala cabaran dan rintangan. Hadapi dengan tenang dan berfikirlah dengan matang sesuai dengan penambahan usia anda.

Buat semua murid tahun 6, tahun ni merupakan tahun terakhir anda di SK Pulo dan tentunya tahun yang mencabar kerana anda akan menduduki UPSR. Bersiap sedialah dari sekarang. Jangan tunggu saat-saat akhir untuk membuat persediaan. Semoga kejayaan menjadi milik kita bersama.