Halaman
Selasa, 31 Julai 2012
Sabtu, 28 Julai 2012
Telefon bimbit di sekolah beri kesan negatif kepada pelajar
KUALA LUMPUR: Persatuan Pemilik-pemilik Telefon Bimbit (PERBIT) Malaysia berpendapat kebenaran bagi pelajar menggunakan telefon bimbit di sekolah lebih banyak memberi kesan negatif daripada positif.
Presiden Perbit, Ali Ibrahim, berkata selain mengganggu pelajaran, telefon bimbit yang menyediakan pelbagai akses internet akan memberi peluang kepada pelajar mengakses laman pornografi di sekolah, yang mana akan menggalakkan aktiviti sumbang dan membawa implikasi negatif kepada masyarakat.
"Pelbagai perkara yang tidak baik boleh berlaku termasuk mencuri, merompak, rogol, berzina, terbabit kegiatan samseng dan ponteng sekolah. Yang paling parah perkara ini banyak berlaku kepada remaja Islam," katanya di sini, hari ini.
Ali berkata, pelajar berpendapat mereka bebas melayarai internet dan juga menghubungi sesiapa saja kerana tiada siapa tahu apa yang mereka buat selain tiada siapa yang memantau aktiviti mereka.
"Ini memberi satu impak negatif kepada pelajar, terutama pelajar Islam kerana kebanyakan mereka, walaupun di peringkat tingkatan lima, masih lagi belum matang," katanya
Ali berkata, penggunaan telefon bimbit di kalangan pelajar akan hanya mendatangkan pembaziran wang kerana terpaksa menjelaskan bil yang sepatutnya boleh digunakan untuk perkara lain yang lebih perlu.
"Pelajar juga akan terleka dengan hiburan yang tersedia dalam telefon bimbit hingga mengabaikan pelajaran," katanya.
Walaupun kebenaran untuk penggunaan telefon bimbit bagi pelajar adalah atas faktor keselamatan, beliau tetap bimbang penyalahgunaannya oleh pelajar.
Beliau berkata, seharusnya setiap sekolah perlu menyediakan satu bilik telefon khas untuk pelajar membuat panggilan kecemasan kepada ibu bapa mereka bagi menggelakkan perlunya pengunaan telefon bimbit di sekolah.
Katanya, PERBIT akan menjalankan kempen kesedaran penggunaan telefon bimbit kepada pelajar di seluruh Malaysia pada bulan depan.
- BERNAMA: 27 Julai 2012
Jumaat, 27 Julai 2012
Patut atau tidak pelajar sekolah dirotan?
PENULIS ialah Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad.
"BAGI saya boleh … 'anytime' cikgu boleh merotan atas kesalahan yang difikirkan perlu, syarat merotan di bawah paras lutut dan kemudian harus dirotan di hadapan murid lain." Demikian pandangan seorang pembaca dalam ruangan 'facebook.com/utusan_online' yang disiarkan dalam akhbarUtusan Malaysia baru-baru ini.
Kini cadangan guru dibenarkan merotan pelajar yang melanggar disiplin sekolah telah banyak dibincangkan dalam akhbar dan media sosial. Walaupun ada pendapat yang menentang namun ada juga yang menyokong kerana merasakan guru mempunyai peranan besar membantu menangani salah laku pelajar.
Menurut mereka jika masalah disiplin tidak ditangani dengan betul ketika pelajar berada di bangku sekolah dikhuatiri boleh menimbulkan masalah lebih besar apabila mereka meninggalkan sekolah nanti.
Sesungguhnya amat merisaukan apabila melihat angka statistik dan pemaparan melalui media massa gejala sosial di kalangan remaja. Misalnya isu 'mat rempit,' apa yang mereka lakukan bukan sahaja membahayakan diri sendiri tetapi turut menjejaskan keselamatan orang lain. Lebih membimbangkan mereka sudah berani mencabar pihak berkuasa dan merempit di tempat yang terbuka. Ada ketikanya orang awam turut dikasari hanya kerana cuba menasihati perbuatan yang tidak berfaedah itu.
Ini belum lagi dikira jumlah penagih dadah yang kian bertambah. Kesan daripada penagihan dadah boleh menimbulkan gejala sosial lain seperti berlaku kes jenayah, penyakit HIV dan kemerosotan nilai diri sebagai seorang insan.
Penagihan bukan sahaja menjadikan diri mereka tidak terurus tetapi sanggup pula mencederakan orang lain malah ibu bapa sendiri sekiranya apa yang dikehendaki tidak ditunaikan terutama keinginan mendapatkan wang.
Jenayah lain seperti pecah rumah, curi motosikal, meragut, bergaduh dan gengsterisme kerap dilaporkan dalam akhbar. Perbuatan ini bukan sahaja berlaku di bandar besar tetapi turut berlaku di kampung dan kawasan pedalaman. Tidak dinafikan gejala itu mungkin mula bertunas ketika mereka berada di bangku sekolah.
Sering kita mendengar isu ponteng, membuli, mencuri, vandalisme dan bergaduh berlaku di kalangan pelajar. Sekiranya tidak dicegah daripada awal ia boleh memudaratkan apabila mereka terus melakukannya selepas meninggalkan bangku sekolah nanti.
Bagi mencegah dan mendidik pelajar yang melanggar disiplin ada yang mencadangkan dikembalikan semula hukuman rotan ataucorporal punishment. Tambah mereka semua guru seharusnya dibenarkan merotan pelajar. Bagi mereka hukuman itu tidak akan menimbulkan tentangan jika dilakukan dengan betul. Buat masa ini hanya pengetua atau guru yang diberikan kuasa boleh merotan pelajar dengan syarat dilakukan di tempat tertutup, direkodkan dan ibu bapa dimaklumkan akan hukuman itu.
Namun demikian ada yang mempertikaikan pendapat tersebut mempersoalkan mengapa peraturan lapuk itu ingin dihidupkan semula. Menurut mereka keadaan dan zaman telah banyak berubah. Hukuman rotan boleh menimbulkan banyak mudarat dibandingkan dengan kebaikan.
Dari sudut psikologi emosi pelajar yang dirotan boleh terganggu, malu kepada rakan dan merasa rendah diri terutama apabila bersua dengan guru yang merotan mereka. Lebih bahaya boleh menimbulkan perasaan dendam terhadap guru dan sekolah.
Kerap kita mendengar kereta guru dirosakkan, perbuatan vandalisme dan perasaan benci kepada sekolah. Walaupun tujuannya murni iaitu untuk mendisiplinkan pelajar tetapi boleh memberi kesan sebaliknya. Lebih parah mungkin boleh berlaku kejadian mencederakan guru dan merosakkan harta benda sekolah.
Sesungguhnya untuk menangani salah laku pelajar Kementerian Pelajaran telah mengeluarkan garis panduan melalui Peraturan- Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959, iaitu Perkara 8.3.1. (b) di mana guru boleh merotan pelajar lelaki sahaja dihadkan di tapak tangan atau di punggung dengan arahan Guru Besar tanpa mendatangkan kecederaan.
Hukuman rotan semata-mata bertujuan mendidik dan dilakukan di tempat tertutup. Dijelaskan juga kebenaran merotan ini bermakna hukuman deraan lain seperti menampar, mencubit, menumbuk, mengetuk atau tindakan lain yang seumpamanya adalah dilarang sama sekali.
Berbeza di negara maju di mana terdapat peraturan yang dinamakan student rights atau 'hak asasi pelajar' di mana mereka diberi perlindungan ketika berada di sekolah termasuk tidak boleh dikenakan sebarang deraan fizikal.
Ini bermakna pelajar tidak boleh dirotan dan menjadi suatu kesalahan sekiranya dilakukan oleh guru atau pentadbir sekolah. Mereka ada kaedah tertentu bagi menangani pelajar yang bermasalah seperti melalui sesi kaunseling atau merujuk terus kepada ibu bapa pelajar tersebut.
Sesungguhnya dalam sistem pendidikan kita kaedah merujuk pelajar kepada kaunselor telah lama dipraktikkan. Setiap sekolah mempunyai kaunselor yang terlatih. Melalui Surat Pekeliling Iktisas Bil. 1/1985 Penubuhan Jawatan Kuasa Bimbingan Pelajar Sekolah bertujuan memberi peluang kepada pelajar yang bermasalah termasuk melanggar disiplin mendapat perkhidmatan kaunseling. Melalui perbincangan dan bimbingan secara profesional dijangkakan pelajar itu akan sedar kesalahan yang dilakukan dan tidak mengulangi lagi perbuatan tersebut.
Hakikatnya guru perlu berhati-hati ketika merotan pelajar kerana jika mendatangkan kecederaan serius mereka boleh didakwa di mahkamah sekiranya ibu bapa membuat aduan polis.
Mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Walaupun niat merotan itu murni iaitu untuk mendidik pelajar tetapi boleh mendatangkan mudarat dan menjadi mimpi ngeri kepada guru jika dilakukan secara berlebihan.
Justeru semua guru adalah guru disiplin. Ini bermakna semua guru bertanggungjawab dan berperanan membimbing, menasihati dan menunjuk ajar pelajar. Ibu bapa dan komuniti pula perlu terlibat dalam menangani permasalahan tersebut.
Keprihatinan semua pihak terhadap salah laku pelajar hari ini akan berupaya mengurangkan jumlah gejala sosial di kalangan remaja di masa akan datang.
Utusan Malaysia Online: 25 Julai 2012
Khamis, 26 Julai 2012
Bonus Setengah Bulan Gaji Untuk Penjawat Awam
KUALA LUMPUR 25 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju memberi Bayaran Khas Kewangan sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan.
Bayaran itu akan dibuat pada 9 Ogos ini, katanya dalam kenyataan di sini.
Pemberian bonus dan bayaran khas itu akan memanfaatkan seramai 1.27 juta penjawat awam persekutuan dan 657,000 pesara kerajaan.
Najib berkata pemberian bonus dan bayaran khas kewangan itu dibuat berdasarkan kedudukan dan kemampuan kewangan kerajaan.
Beliau berkata bayaran itu akan melibatkan anggaran perbelanjaan sebanyak RM2.2 bilion. - BERNAMA
Selasa, 24 Julai 2012
Sabtu, 21 Julai 2012
Telefon: Minta Kaji Semula
RAKYAT PRIHATIN
Taiping
Taiping
TIDAK dinafikan telefon bimbit atau seumpamanya sangat penting dalam dunia masa kini. Telefon bimbit sering dikaitkan dengan kemudahan untuk berhubung antara satu sama lain. Kini, telefon bimbit bukan hanya dimiliki oleh orang dewasa, malah pelajar-pelajar sekolah, termasuk pelajar sekolah rendah mahupun prasekolah. Begitulah pentingnya penggunaan telefon bimbit pada masa kini.
Namun, hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk membenarkan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah mulai tahun 2013 adalah tidak sesuai, meskipun kita menyedari pentingnya penggunaan telefon bimbit. Ini kerana ia menimbulkan 1001 persoalan.
Jika alasan ibu bapa digunakan untuk memantau pergerakan anak-anak bagi memastikan anak-anak berada di sekolah ia bukanlah satu alasan yang baik. Hal ini kerana, saya yakin dan percaya sekolah sentiasa memaparkan nombor telefon yang boleh dihubungi oleh ibu bapa. Malah terdapat juga sekolah yang memberikan nombor telefon guru kelas kepada ibu bapa bagi memberi ruang dan peluang untuk ibu bapa bertanyakan tentang perkembangan anak-anak mereka di sekolah. Malah, pelajar turut diberi kebenaran menggunakan telefon pejabat jika diperlukan.
Begitu juga jika alasan keselamatan diberikan sebagai cara untuk membenarkan telefon bimbit dibawa ke sekolah ia juga turut tidak relevan. Sebabnya, selama ini, kerajaan melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan beberapa organisasi kerajaan, termasuklah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan kerjasama pihak media sentiasa mengingatkan para pelajar tentang tindakan yang patut dilakukan sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini seperti didekati oleh individu tidak dikenali dan sebagainya.
Apa yang saya ingin saya utarakan di sini adalah kebenaran membawa telefon bimbit tersebut walaupun mempunyai draf undang-undang penggunaannya sewaktu di sekolah, namun saya yakin dan percaya ia sukar dikawal.
Saya sangat bimbang kebenaran itu akan memberi kesan negatif kepada pihak sekolah sama ada daripada segi penguatkuasaan disiplin, malah lebih memburukkan ia mengganggu proses Pengajaran & Pembelajaran (P&P) dalam bilik darjah.
Ia juga akan menggagalkan pihak sekolah mengesan masalah disiplin dalam kalangan pelajar kerana pelajar-pelajar lain akan menghubungi rakan-rakan yang lain bagi mengelak daripada dikenakan tindakan oleh pihak sekolah.
Lebih membimbangkan gambar-gambar guru akan dirakam malah kawasan larangan sekolah seperti bilik kebal, pejabat dan sebagainya yang menjadi kawasan larangan pelajar akan tersebar di Internet.
Saya sekali lagi menyeru pihak KPM menarik balik kebenaran penggunaan telefon bimbit di sekolah bagi mengelakkan perilaku negatif dalam kalangan pelajar menjadi lebih buruk.
Utusan Malaysdia Online: 20 Julai 2012
Telefon ke Sekolah - Sudahkan kajian baik buruk diambil kira?
MOHD. KHAIRI MD. JAAFAR
Kulim, Kedah
JIKA keadaan ekonomi mengizinkan, saya percaya ramai ibu bapa akan menyediakan gajet terkini, terutama telefon bimbit yang menjadi keperluan dewasa ini. Tetapi persoalannya, adakah wajar anak-anak di sekolah dibenarkan membawa telefon bimbit ke sekolah?
Pada hari ini kes jenayah yang memangsakan pelajar sekolah sedang berleluasa. Ini tidak termasuk isu sosial lain yang melanda pelajar sekolah yang tidak perlu saya nyatakan di sini.
Sebagai ibu bapa kita semua bimbang kiranya pulang dari sekolah anak-anak berhadapan dengan bahaya dan sebagainya, bagaimanakah anak-anak ini dapat menghubungi keluarga ketika kecemasan? Pelbagai persoalan dan kebimbangan telah meletakkan idea membenarkan pelajar membawa telefon bimbit kelihatan sangat wajar.
Tetapi sudahkah perkiraan dan kajian baik buruknya diambil kira? Hanya pihak berwajib mampu menjawab persoalan ini. Sebagai rakyat biasa yang tidak mempunyai statistik baik buruknya membenarkan pelajar membawa telefon ke sekolah mungkin boleh untuk saya kongsikan bersama isu yang pada hemat saya mungkin timbul apabila pelajar bersama telefon di sekolah:
l Tumpuan pelajar terganggu
Bolehkah seorang guru mengawal pelajarnya agar tidak melayan SMS yang masuk keluar pada setiap detik dan ketika? Mungkin juga pelajar sibuk melihat kecanggihan gajet yang dimiliki oleh rakan dan membandingkan dengan gajet miliknya. Bukankah ini semua akan mengganggu pengajaran dan pembelajaran dalam kelas.
l Jurang stratifikasi sosial di sekolah
Sekolah diprogramkan dengan keseragaman dan kesamarataan. Baju tidak berbeza pada warna mahupun gayanya. Tetapi jika gajet yang dibawa iPhone, Samsung, BlackBerry sudah tentu tidak sama dengan gajet tidak berjenama. Apakah kita inginkan jurang stratifikasi sosial berlaku di dalam persekitaran sekolah. Sombong, memperlekehkan yang lain mungkin akan menjadi budaya sekolah. Adakah matlamat ke sekolah akan tercapai kiranya begini keadaan persekitarannya?
l Jenayah kecil-kecilan
Gajet yang dibawa ke sekolah seperti telefon bimbit mungkin terdedah kepada kecurian. Disebabkan godaan yang tinggi gajet yang dicuri boleh membawa kepada masalah lain seperti bergaduh sesama pelajar dan tidak kurang menyusahkan para guru yang terpaksa membuat siasatan bagi kecurian tersebut.
l Isu sosial
Anak remaja sedang dalam proses mengenali diri dan membentuk peribadi. Banyak kes pada hari ini telefon bimbit berkamera digunakan sebagai bahan untuk bereksperimen dalam melihat tubuh badan sendiri, mengendap, merekodkan aksi buli dan aksi terlarang lain atas dasar ingin tahu yang kuat dalam diri remaja. Bukan itu sahaja, gajet canggih yang dilengkapi akses kepada internet juga memungkinkan pelajar leka bermain permainan dalam talian dan lain-lain lagi. Sanggupkah para guru warga pendidik dan ibu bapa melayani serta berhadapan dengan semua isu ini yang mana kadar penyalahgunaannya begitu tinggi?
l Akademik tidak bebas lagi
Guru-guru mungkin mengalami kesukaran untuk berkongsi contoh dan bercakap mengenai perkara yang sensitif kerana khuatir gajet canggih yang dimiliki pelajar merekodkan perkara itu serta mentafsirnya secara salah. Guru juga mungkin tidak akan menggayakan atau berdemonstrasi dalam membentuk kefahaman pelajar bagi mengelakkan ia direkodkan, disunting dan dimuatkan di internet yang akan menjadikan guru terbabit bahan lawak jenaka. Lebih malang ia mungkin jatuh ke tangan pihak tidak bertanggungjawab dan secara tidak langsung mengekang kebebasan akademik di sekolah.
Mungkin bagi membendung kebimbangan ibu bapa akan ancaman bahaya yang ada pada hari ini, pihak berwajib perlu memperkenalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang membolehkan pihak sekolah dan ibu bapa mengambil tindakan perlu apabila berlaku kecemasan. Butiran untuk dihubungi ketika kecemasan sama ada oleh pelajar, ibu bapa dan pihak sekolah perlulah jelas.
Pemantauan dari semua pihak memungkinkan persekitaran yang lebih baik kepada semua.
Pelajar perlu dididik agar lebih bertanggungjawab dengan tidak melencong ke tempat lain selepas meninggalkan sekolah. Sentiasa memaklumkan ibu bapa dan guru kiranya mempunyai aktiviti.
Tetapi keadaan dan suasana semasa mungkin mendesak agar pelajar dibenarkan membawa telefon bimbit ke sekolah. Biarlah keputusan yang dibuat kelak merupakan risiko yang paling minimum untuk ditanggung oleh ibu bapa, pelajar, sekolah dan juga masyarakat.
Utusan Malaysia Online: 20 Julai 2012
Selamat Berpuasa
Admin mewakili warga SK Pulo mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat berpuasa kepada semua muslimin dan muslimat. Semoga Ramadhan tahun ini lebih baik dari tahun lepas dan segala amalan kita diterima oleh Allah swt.
Khamis, 19 Julai 2012
Pandangan pelbagai pihak dikaji sebelum benar pelajar bawa telefon bimbit
MUAR: Kementerian Pelajaran akan mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk masyarakat, guru-guru dan ibu bapa sebelum membenarkan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kebenaran itu hanya keputusan pada peringkat Jawatankuasa Disiplin Murid peringkat Kementerian Pelajaran dan belum dimuktamadkan. "Itu hanya keputusan di peringkat jawatankuasa, mereka belum bawa kepada pihak saya sama ada setuju atau tidak.
"Kita akan ambil kira pandangan semua pihak termasuk kesatuan guru yang tidak berapa setuju dengan keputusan itu dan dalam masa yang sama pandangan badan lain juga yang menyokong cadangan itu," katanya yang juga Menteri Pelajaran.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sebagai mengulas bantahan pelbagai pihak terhadap cadangan Jawatankuasa Disiplin untuk membenarkan pelajar membawa peralatan komunikasi termasuk telefon bimbit dan iPAd ke sekolah menerusi Draf Peraturan Pendidikan Disiplin Murid 2012.
Jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong pada Selasa.
Beliau yang sebelum itu menghadiri majlis Himpunan Mesra Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama pesara-pesara kerajaan Parlimen Pagoh di sini, hari ini berkata, cadangan itu sebelum ini diusulkan setelah mengambil kira perkembangan semasa.
"Apabila sampai aspek keselamatan ada pihak yang berpandangan dengan adanya kemudahan seperti telefon bimbit ini pelajar-pelajar boleh hubungi pihak sekolah atau ibu bapa sedangkan peraturan sebelum ini tidak membenarkan.
"Tetapi kita juga ambil kira pandangan kalau itu boleh timbulkan banyak masalah seperti gangguan dalam proses pembelajaran, murid terpengaruh guna telefon bimbit dan internet sewaktu belajar dengan sibuk melayari facebook dan twitter," katanya.
Katanya, sebelum sebarang keputusan dibuat, pihaknya akan merujuk perkara itu kepada Peguam Negara kerana ia berkaitan undang-undang.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak atas pandangan yang disuarakan menerusi media termasuk daripada kalangan tokoh akademik. - BERNAMA
Sambutan Ambang Ramadhan 1433H SK Pulo
07:00 Bacaan Yasin
07:30 Bacaan al-Quran oleh adik Mohd Khairul Amirin Faiz bin Kamri (5B)
07:40 Ceramah Ambang Ramadhan
Taklimat Pengisian sepanjang Ramadhan
Hal-hal sampingan utama.
Ahad, 15 Julai 2012
Fadhilat ayat al-Kursi
- Orang yang membaca ayat al-Kursi selepas menyempurnakan solat fardhu akan dipelihara oleh Allah sehingga solat berikutnya
- Allah swt akan menghantar dua malaikat untuk memelihara orang yang membaca ayat al-Kursi ketika berada di tempat pembaringan sehingga waktu subuh
- Orang yang membaca ayat al-Kursi selepas solat fardhu akan memelihara keluarga, juga rumah-rumahnya yang berhampiran dengannya. Boleh juga dimaksudkan terpelihara daripada binatang yang mudharat, bencana alam, kebakaran, dan jahat angkara manusia. Maka Rasulullah s.a.w menyuruh setiap arang agar melakukan sesuatu perbuatan dengan menyebut nama Allah oleh kerana iblis dan syaitan tidak berupaya mengangkat atau membuka sesuatu yang di tutup dengan meyebut nama Allah
- Allah tidak menegah mereka yang membaca ayat al-Kursi selepas solat fardhu masuk dalam syurga
- Barang siapa yang keluar dari rumahnya dengan membaca ayat al-Kursi, maka Allah utuskan tujuh puluh ribu malaikat kepadanya, mereka memohon keampunan dan mendoakan baginya
- Barang siapa membacanya nescaya Allah mengutuskan malaikat untuk menulis kebaikannya dan menghapuskan keburukannya dari detik itu sampai esok hari
- Barang siapa membacanya, Allah akan mengendalikan pengambilan rohnya dan ia adalah seperti orang yang berperang bersama nabi Allah sehingga mati syahid
- Barang siapa yang membacanya ketika dalam kesempitan atau kesusahan, Allah akan menolongnya
Sabtu, 14 Julai 2012
Jadual Pra UPSR 2 2012
Anjuran Majlis Guru Besar Daerah Kuching
17 Julai 2012 (Selasa)
0800 - 0915 Bahasa Malaysia Penulisan
1020 - 1135 Bahasa Inggeris Kertas 2
18 Julai 2012 (Rabu)
0800 - 0840 Matematik Kertas 2
1030 - 1145 Sains
19 Julai 2012 (Khamis)
0800 - 0850 Bahasa Malaysia Pemahaman
1010 - 1110 Matematik Kertas 1
1140 - 1230 Bahasa Inggeris Kertas 1
17 Julai 2012 (Selasa)
0800 - 0915 Bahasa Malaysia Penulisan
1020 - 1135 Bahasa Inggeris Kertas 2
18 Julai 2012 (Rabu)
0800 - 0840 Matematik Kertas 2
1030 - 1145 Sains
19 Julai 2012 (Khamis)
0800 - 0850 Bahasa Malaysia Pemahaman
1010 - 1110 Matematik Kertas 1
1140 - 1230 Bahasa Inggeris Kertas 1
Jumaat, 13 Julai 2012
Ahad, 8 Julai 2012
Kaedah Pembelajaran Yang Lebih Berkesan
Teknik-teknik pembelajaran yang baik merupakan satu kaedah dalam usaha kita menghadapi pelajaran yang terbaik sebagai langkah untuk memperolehi kejayaan yang cemerlang di dalam bidang pembelajaran.
Pelajar perlu memahami bahawa tidak ada satu ‘formula’ yang mesti dan tepat bagi merumuskan satu kaedah yang paling baik untuk menghadapi pelajaran melainkan ia banyak bergantung kepada diri pelajar itu sendiri. Apa yang penting untuk dijelaskan ialah beberapa garis panduan yang besar sahaja dikenalpasti untuk dijadikan landasan bagi seseorang pelajar bergerak menghadapi peperiksaan.
FAKTOR-FAKTOR DORONGAN DALAM PEMBELAJARAN
- Mengenal pasti wujudnya ‘motivasi dalaman’ atau faktor-faktor pendorong di dalam diri maing-masing, misalnya kemiskinan.
- Menginsafi akan kepentingan ilmu, tujuan ilmu dipelajari, untuk apa dan hendak ke mana ilmu yang dikumpulkan itu.
- Dorongan dari rasa tanggungjawab sebagai seorang pelajar.
- Menginsafi peranannya terhadap masyarakat pada masa hadapan.
LANGKAH-LANGKAH PERSEDIAAN
- Kesempurnaan kesediaan seseorang dari segi mental, fizikal dan rohani yang mampu mengahadapi peringkat pembelajaran yang baik.
- Persediaan mental yang baik ialah persediaan tumpuan fikiran yang sepenuhnya terhadap pelajaran. Pemikiran yang masih bercampur-aduk dengan perkara-perkara lain akan mengakibatkan kebuntuan untuk memberi perhatian yang serius kepada pelajaran. Seseorang pelajar hendaklah menghilangkan ingatannya kepada perkara yang lain, sebaliknya ingatan hendaklah ditumpukan kepada pelajaran sahaja.
- Berkhayal kepada perkara lain ialah penyakit yang paling besar bagi seseorang pelajar yang sedang menghadapi pelajarannya. Oleh itu, pelajar hendaklah mengelakkan diri daripada berkhayal semasa belajar.
TEKNIK-TEKNIK PEMBELAJARAN
- Suasana / Tempat Belajar – Elakkan suasana yang bising, banyak gangguan, tidak selesa dan sebagainya
- Memilih Masa Yang Sesuai – Tidak semua waktu di dalam sehari boleh digunakan untuk menumpukan fikiran pada pelajaran.
- Setiap hari persekolahan, peruntukan sekurang-kurangnya 2 jam untuk menelaah/mengulangkaji pelajaran di samping menyelesaikan kerja-kerja yang diberikan oleh guru. Pada waktu cuti, 4 hingga 5 jam adalah memadai untuk menelaah pada waktu yang sesuai, iaitu pada waktu pagi dan malam.(ingat ! waktu belajar yang sesuai tidak sama antara semua individu)
- Menyediakan satu jadual kerja harian walaupun begitu, mungkin jadual tersebut tidak mampu diikuti sepenuhnya oleh pelajar.
- Pembaziran masa dengan perkara-perkara yang tidak ada hubungan dengan memperkukuhkan mutu pembelajaran baik secara formal atau informal haruslah dielakkan.
- Pembelajaran Di Sekolah – Pembelajaran di sekolah merupakan sumber yang penting serta yang paling baik untuk seseorang pelajar menghadapi pelajarannya, dan segala penumpuan yang maksimun haruslah diberikan serta tidak patut berlaku kecuaian, leka, nakal ketika berada di sekolah.
- Membaca, Memahami dan Menghafal – Teknik pembacaan yang baik ialah pembacaan yang menyeluruh bagi pusingan yang pertama. Isi dan istilah-istilah yang penting digariskan. Kalau perlu isi yang digariskan itu dicatat sebagai nota pendek atau ringkas.
- Ambil perhatian kepada isi-isi yang penting dan hendaklah dibaca selalu. Kalau perlu setiap isi-isi itu hendaklah dihafal sedaya mungkin terutama apabila hampirnya waktu peperiksaan. (ingat ! hafalan tanpa pemahaman yang kukuh adalah sia-sia).
- Menyusun nota dengan teratur dan berkesan dan mempunyai ciri-ciri seperti :-
- Mengandungi semua maklumat penting
- Bersih dan mudah dibaca
- Terkumpul & Tersusun (di dalam fail/Buku Khas)
- Ringkas dan padat
Kesungguhan Belajar
- Elakkan diri dari faktor-faktor yang boleh membosankan ketika membaca. Jangan sesekali membebankan diri dengan kerja-kerja sekolah yang terlampau banyak pada masa tertentu dan berehat panjang selepasnya.
- Kesungguhan belajar mestilah berterusan dari segi semangat belajar dan usaha dari awal hinggalah ke masa peperiksaan.
- Sentiasa meningkatkan semangat belajar dari masa ke semasa. Semakin hampir dengan tarikh peperiksaan semakin bersungguh-sungguh untuk belajar dan semakin berkeyakinan dalam menghadapi peperiksaan.
- Kesungguhan belajar mungkin boleh dibina melalui kerja-kerja secara berkumpulan. Yang pentingnya carilah teman/rakan belajar yang boleh anda manfaatkan pengetahuan dan kefahaman anda kepadanya dan sebaliknya.
- Yakinlah dengan kebolehan yang ada pada diri anda dan kesungguhan anda untuk belajar dan yakinlah dengan pertolongan Allah S.W.T.
LUPAAN DAN INGATAN
Apakah sebabnya kita sering lupa ?
- Kerana Gangguan – Membaca perkara-perkara lain selepas buku pelajaran menyebabkan soal peperiksaan luput dari ingatan.
- Tumpuan Perhatian – Tanpa perhatain yang sepenuhnya ketika membaca menyebabkan perkara tersebut tidak dapat kekal lama.
- Faktor Masa – Masa yang terlalu lama mungkin menyebabkan anda lupa akan apa yang telah dipelajari.
INGATAN
Manusia lebih senang mengingati sesuatu jika :-
- Minat – Tinggikan minat terhadap perkara yang dipelajari.
- Pilihan – Memilih isi-isi penting untuk diingati bagi peperiksaan.
- Ulangan – Sentiasa mengulangkaji, boleh dibuat melalui perbincangan secara berkumpulan, penulisan semula atau pembacaan yang kerap.
- Assasiasi – Membuat perkaitan dengan sesuatu perkara lain untuk ingatan.
- Tubi Belajar
Di dalam proses pembelajaran terdapat peringkat seperti :-
1. Mendengar untuk pertama kali2. Memahami3. Menggunakannya4. Mencipta yang baru
Jika anda membaca berulang kali, tentunya perkara tersebut akan dapat diingati di dalam satu jangkamasa yang lama.
Sabtu, 7 Julai 2012
35 tahun masih DG41
15,000 guru ada sijil, diploma patut naik gred: NUTP
Kuala Lumpur: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mencadangkan kira-kira 15,000 guru lepasan sijil dan diploma perguruan yang berkhidmat lebih 35 tahun dipertimbangkan untuk kenaikan ke gred DG41. Ia dianggap wajar berdasarkan pengalaman dan jumlah tahun mereka berkhidmat sebagai menghargai jasa guru berkenaan.
Presiden NUTP, Hashim Adnan, berpendapat adalah wajar pengalaman perkhidmatan guru terbabit dijadikan sebagai asas untuk kenaikan gred dan bukannya mengutamakan kelayakan akademik.
“Walaupun sudah berkhidmat lebih 35 tahun, NUTP mendapati ada sebilangan guru yang masih kekal di gred DG34 dan DG38 kerana kenaikan (gred) adalah berdasarkan kelayakan akademik.
“Jika mahu dilihat dari segi kelayakan akademik, kita berasakan tidak wajar kerana segelintir mereka sudah berusia lebih 50 tahun dan ada juga yang hampir bersara,” katanya kepada BH, semalam.
Mac tahun lalu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meluluskan permohonan Kementerian Pelajaran meningkatkan had usia pemohon Program Pensiswazahan Guru (PPG) daripada 45 tahun kepada 47 tahun untuk mencapai sasaran 60,000 guru sekolah rendah dan menengah memiliki ijazah menjelang 2015.
Syarat mohon ke PPG
Sebelum itu, syarat bagi permohonan ke PPG tidak melebihi 45 tahun, selain memiliki Diploma Pendidikan/Perguruan atau Sijil Perguruan dan tidak berdaftar dengan mana-mana universiti sebagai pelajar sepenuh masa atau sambilan tajaan kementerian.
Hashim berharap Kementerian Pelajaran akan mempertimbangkan cadangan itu yang sudah dipanjangkan kepada JPA, baru-baru ini.
“Tempoh perkhidmatan lebih 35 tahun adalah satu pengalaman cukup luas selain warga pendidik itu juga sudah menghadiri pelbagai kursus berkaitan perguruan. Kita melihat pengalaman itu cukup wajar untuk mereka menikmati kenaikan gred,” katanya.
Beliau berkata, NUTP juga akan mengemukakan syor itu kepada Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam yang ditubuhkan kerajaan bagi mengkaji secara komprehensif perkhidmatan awam negara.
Berita Harian Online 7 Julai 2012
Langgan:
Catatan (Atom)