Halaman

Jumaat, 28 September 2012

Pemberian bonus satu setengah bulan terbaik setakat ini: CUEPACS


KUALA LUMPUR: Pemberian bonus satu setengah bulan kepada 1.3 juta penjawat awam adalah pemberian bonus terbaik yang pernah diberikan oleh kerajaan setakat ini, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPCAS), Datuk Omar Osman. 

Beliau berkata, pemberian bonus itu juga membuktikan bahawa kemampuan kerajaan dari segi kewangan. "Kerajaan pastinya mengkaji semua perkara sebelum membuat keputusan memberi bonus itu. Ia menunjukkan kerajaan perihatin dengan kehendak penjawat awam dan sentiasa berusaha memenuhi permintaan mereka setiap tahun. 

"CUEPACS juga melihatnya sebagai bukti bahawa negara mempunyai pertumbuhan ekonomi yang baik," katanya. 

Beliau mengulas pengumuman pemberian bonus oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semasa membentangkan Belanjawan 2012 bertemakan 'Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati' di Dewan Rakyat hari ini. 

Omar berkata, kesediaan kerajaan membelanjakan peruntukan yang besar untuk pemberian bonus juga dilihat dapat membawa kesejahteraan kepada penjawat awam yang berpendapatan rendah dan sederhana. 

"CUEPACS amat berterima kasih dengan pemberian bonus ini dan berharap penjawat awam dapat meningkatkan produktiviti dan prestasi kerja mereka. Jadikanlah bonus ini sebagai pembakar semangat untuk gigih bekerja," katanya. 

Beliau berkata, pihaknya juga menyambut baik mengenai pembinaan 123,000 unit rumah mampu milik di kawasan-kawasan strategik termasuk di Kuala Lumpur, Shah Alam (Selangor), Johor Baharu (Johor), Seremban (Negeri Sembilan) dan Kuantan (Pahang) tahun depan kerana ia adalah antara yang dimahukan penjawat awam. 

Bagaimanapun, beliau masih berharap kerajaan dapat menurunkan kadar faedah pinjaman perumahan dari 4 peratus kepada 1 peratus untuk mengurangkan beban pinjaman perumahan kakitangan awam. - BERNAM

Khamis, 27 September 2012

Rumah Kuning Juara Lagi

Rumah Kuning meneruskan keunggulan untuk menjadi juara dalam Kejohanan Sukan Dwitahunan SK Pulo 2012. Rumah Kuning, juara edisi 2008 melepaskan piala kemenangan kepada Rumah Hijau pada edisi 2010 menunjukkan konsisten sejak dari awal. Paling membanggakan Rumah Kuning memenangi lebih separuh dalam acara lari berganti-ganti.

Majlis yang diadakan seawal jam 7.30 pagi berlangsung di Stadium Negeri, Petra Jaya Kuching Sarawak. Hampir 400 orang murid terlibat dalam kejohanan kali ini yang menyaksikan hampir 40 acara dipertandingkan. Antara acara yang dipertandingkan ialah 50 meter (Tahap Satu), 100 meter, 200 meter, 4 x 100 meter, 4 x 200 meter, dan sukaneka bagi murid Prasekolah.

Dengan 3 kemenangan, adik Mohd Rohaizad bin Roslan dari rumah Hijau telah dipilih sebagai Olahragawan SK Pulo 2012. Beliau memenangi kesemua acara yang disertai iaitu 100 meter, 4 x 200 meter dan lompat tinggi. Sementara itu, adik Norieza Izzma bt Joehizam dari Rumah Kuning telah dinobatkan sebagai Olahragawati SK Pulo 2012. Seperti adik Rohaizad, adik Norieza juga telah memenangi dalam semua acara yang disertai iaitu 100 meter, 200 meter dan 4 x 200 meter. Mereka berdua juga terus unggul untuk memenangi dalam acara jemputan.

Untuk acara perbarisan, Rumah Kuning ternyata unggul dan meninggalkan pesaing lain. Ini diikuti rumah Merah di tempat kedua dan Rumah Biri di tempat ketiga.

Keputusan penuh Sukan Dwitahunan SK Pulo 2012 adalah seperti berikut;
Juara : Rumah Kuning
Naib Juara : Rumah Merah
Ketiga : Rumah Biru
Keempat : Rumah Hijau




























Lagi gambar-gambar menarik, sila ke Facebook SK Pulo.

Isnin, 24 September 2012

Sukan Dwitahunan SK Pulo 2012

SK Pulo akan mengadakan sukan dwitahunan sebagaimana berikut;
Tarikh : 27 September 2012
Masa : 7.30 pagi
Tempat : Stadium Negeri, Kuching Sarawak

Selamat bertempur dengan penuh semangat kesukanan.

Jumaat, 21 September 2012

7,723 sekolah rendah terima guru khas


Gurun: Kementerian Pelajaran memberi jaminan semua 7,723 sekolah rendah seluruh negara bakal menerima guru khas yang akan mengajar subjek Jawi, al-Quran, Arab dan Fardu Ain (J-Qaf) tahun depan.

Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata ia susulan pengambilan 3,834 guru bagi subjek itu untuk mengatasi masalah kekurangan tenaga pengajar pengajian berkenaan di lebih 2,000 sekolah rendah kini. 

Beliau berkata, semua 3,834 guru itu akan ditempatkan di 2,054 sekolah rendah yang dikenal pasti berdepan masalah tiada tenaga pengajar sebaik bermula sesi persekolahan musim depan termasuk di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) mengikut keperluan jika bilangan pelajar Islamnya ramai. 

Sesi pengambilan


“Kekosongan itu akan diiklankan dua kali bermula 23 September ini dengan sesi pengambilan dijangka Oktober. Semua bakal guru akan dimasukkan ke Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) selama dua minggu sebelum terus mengajar melalui konsep Latihan Perguruan Berasaskan Sekolah (LPBS) selama setahun setengah,” katanya.

Puad berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Keibubapaan Bagi Menangani Isu Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender (LGBT) peringkat Kedah anjuran Majlis Permuafakatan Ibu-bapa dan Guru (MPIBG) Sekolah-sekolah Putrajaya dan Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB). 

Hadir sama, Setiausaha Politik Perdana Menteri merangkap Pengerusi MPIBG Putrajaya, Datuk Shahlan Ismail. 

Sementara itu, beliau berkata, ancaman dan kecaman bukan kaedah terbaik menangani isu LGBT, sebaliknya tindakan mendidik lebih rasional yang memerlukan masyarakat memperbetulkan tanggapan terhadap golongan terbabit terutama dalam usaha membentuk semula peribadi mereka supaya tidak jauh tersasar.

“Tujuan seminar ini lebih kepada membendung gejala LGBT supaya anak kecil tidak terpengaruh. Seminar dikendalikan kaunselor profesional bagi mendidik ibu bapa supaya lebih terbuka dan sedar gejala LGBT digerakkan secara tersembunyi,” katanya.

Katanya, kementerian komited untuk memastikan gejala LGBT tidak berleluasa di sekolah, sekali gus merosakkan moral pelajar, namun tidak bercadang mengeluarkan garis panduan bagi mengenal pasti simptom awal pembabitan pelajar dalam gejala itu.

Berita Harian Online 21 September 2012

Isnin, 17 September 2012

Permohonan Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 bagi sesi persekolahan 2013 ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) serta Sekolah Kawalan, SMKA, KAA dan KRK di bawah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN)

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) akan mula membuka permohonan Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 bagi sesi persekolahan 2013 ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) serta Sekolah Kawalan, SMKA, KAA dan KRK di bawah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) bermula 15 September 2012. Permohonan akan dibuka kepada guru kelas dan ibubapa/ penjaga murid Tahun 6 dan Tingkatan 3 dan akan menggunakan data Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) sepenuhnya

Maklumat lanjut sila layari http://www.moe.gov.my/

Ahad, 16 September 2012

Permohonan Ke Sekolah Kawalan dan Berasrama Penuh 2013


Sukacita dimaklumkan bahawa Permohonan Ke Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kawalan boleh dibuat di Laman Web Rasmi Kementerian Pelajaran Malaysia bermula 15 September 2012.
 
Segala kerjasama daripada pihak tuan amat dihargai.
 
Terima kasih.
 

Jumaat, 14 September 2012

Tindakan segera diambil atasi kesilapan pada kertas peperiksaan ujian Aptitud


KUALA LUMPUR - Lembaga Peperiksaan telah mengambil tindakan segera dalam mengatasi kesilapan pada kertas peperiksaan ujian Aptitud Tahun Enam yang diduduki pelajar pada petang ini.
   
Menurut kenyataan Kementerian Pelajaran, semua sektor penilaian dan peperiksaan Jabatan Pelajaran negeri diarah untuk memaklumkan kepada Ketua Pengawas peperiksaan sekiranya terdapat jawapan E bagi soalan 41 hingga 61, calon peperiksaan diarah untuk menulis huruf E di kertas jawapan objektif.
   
Masalah ini timbul apabila ruang jawapan objektif bagi soalan 41 hingga 61 yang disediakan untuk calon hanya mempunyai abjad A,B,C dan D sahaja, sedangkan pilihan jawapan pada kertas soalan itu adalah A,B,C,D dan E.
   
Kenyataan itu turut menyebut Lembaga Peperiksaan akan memeriksa jawapan calon secara 'hand score' dan keputusan ujian ini tidak akan menjejaskan keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan tidak dicetak pada slip keputusan calon.
   
Ujian Aptitud ini bertujuan melihat potensi diri, minat dan kecenderungan murid dan potensi yang dilaporkan berdasarkan dua kemahiran iaitu kemahiran berfikir dan kemahiran menyelesaikan masalah serta membuat keputusan.
   
Minat dan kecenderungan murid dilihat dalam bidang akademik, teknik, vokasional, seni budaya dan sosial atau sukan, menurut kenyataan itu. - Bernama

Selasa, 11 September 2012

517,139 calon duduki UPSR mulai hari ini


KUALA LUMPUR: Seramai 517,139 calon yang berdaftar menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di 8,284 pusat peperiksaan di seluruh negara mulai hari ini hingga Khamis. 

Pelajar yang terlibat terdiri daripada 507,783 calon sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan, 9,345 calon sekolah swasta penghantar Bahasa Melayu dan 11 calon dari sekolah swasta penghantar Bahasa Cina. Sementara itu, seramai  52,172 petugas terlibat dalam memastikan peperiksaan berjalan dengan lancar kali ini. 


Di KUALA LUMPUR, ibu bapa juga kelihatan turut berada di kawasan sekolah bagi memberi semangat kepada anak-anak mereka yang menduduki peperiksaan berkenaan. 

Bagi Marlina Mazlan, 36, ibu kepada Amir Daniel Ross Affendy dari Sekolah Kebangsaan Taman Melawati 2 (SKTM2) telah mengambil cuti untuk menemani anak sulungnya menduduki UPSR. 

Malah, beliau turut merasa gementar dan cemas berbanding anaknya memandangkan ini adalah kali pertama anaknya berhadapan peperiksaan besar seperti ini. 

Bagi pelajar Nik Aqil Baig, walaupun merasa gementar dan risau berhadapan dengan hari pertama UPSR, beliau telah berusaha merehatkan minda sebelum menghadapi peperiksaan sejak awal pagi ini. 

Malah kata anak yatim ini, selain mengadakan perancangan jadual pembelajaran yang sistematik dan melakukan ulang kaji pada saat akhir, dia turut mengerjakan solat hajat. 

Guru Besar SKTM2, Mohamad Alwan Ginen berkata pihak sekolah melakukan pelbagai usaha untuk memastikan pelajar bersedia menghadapi peperiksaan itu termasuk mengadakan latihan tubi serta membantu pelajar yang lemah secara berkelompok. 

Di MELAKA, seramai 15,352 murid menduduki UPSR, iaitu peningkatan sebanyak 3.4 peratus berbanding tahun sebelumnya. 

Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan Jabatan Pelajaran Melaka, Megat Nasir Megat Hashim berkata daripada jumlah itu 102 calon berkeperluan khas menduduki UPSR, termasuk calon yang mengalami masalah pembelajaran, buta, pekak dan rabun. 

"Tujuh pelajar hari ini terpaksa menduduki peperiksaan di hospital di negeri ini akibat kemalangan jalan raya dan sakit," katanya kepada Bernama ketika dihubungi. 

Beliau berkata 228 pusat peperiksaan dibuka di negeri itu pada tahun ini berbanding 230 tahun lalu. 

Katanya bilangan petugas peperiksaan juga meningkat 29 orang tahun ini kepada 1,405 berbanding 1,376 orang tahun lalu. 

Di KEDAH, seramai 40,109 pelajar mengambil UPSR di negeri ini, termasuk Zulshafakin Md Shafar, 12, dari Sekolah Kebangsaan Telaga Mas yang merupakan seorang pelajar orang kurang upaya (OKU). 

Beliau yang kudung kaki kiri dari paras lutut sejak lahir berkata walaupun tidak sempurna seperti orang lain, beliau yakin mampu bersaing dengan pelajar lain untuk mendapatkan keputusan yang terbaik dalam UPSR. 

Anak petani dari Kampung Telaga Mas yang bercita-cita menjadi pendidik berkata walaupun gementar tetapi yakin mampu untuk memperoleh keputusan UPSR terbaik kerana telah bersedia menghadapinya. 

Sementara pasangan kembar Nasrul Shafiq dan Nasrul Shakir Rosmi yang juga anak petani berkata mereka sering mengulang kaji pelajaran di rumah, dan sentiasa menyelesaikan segala kerja rumah bersama serta memberi tumpuan kepada guru semasa sesi pembelajaran dalam kelas. - BERNAMA

Berita Harian Online 11 September 2012

Guru akan dijadikan profesion berprestij


KUALA LUMPUR: Guru akan dijadikan profesion berprestij dan bertaraf elit, yang hanya mengambil 30 peratus siswazah paling cemerlang di negara ini, demikian menurut cadangan Rangka Tindakan Pendidikan Malaysia 2013-2025. 

Dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini, laporan awal tentang rangka tindakan itu menyatakan bahawa Kementerian Pelajaran akan melaksanakan dengan ketat standard kemasukan bagi memastikan setiap pengambilan guru pelatih memenuhi kelayakan akademik minimum yang ditetapkan. 

Ini sejajar dengan satu daripada 11 anjakan yang digariskan di dalam dokumen ke arah mentransformasikan sistem pendidikan negara - mentransformasikan jawatan guru agar menjadi profesion pilihan utama. 

Rangka tindakan awal itu menyatakan Kementerian Pelajaran akan berganding bahu dengan Institut Pendidikan Guru dan Kementerian Pengajian Tinggi untuk memastikan kualiti kurikulum dan pensyarah dinaik taraf bagi melahirkan guru seperti yang dihasratkan. 

Ia juga menyatakan bahawa mulai 2013, beban guru dalam bidang pentadbiran akan diringankan bagi membolehkan mereka memberi fokus terhadap tugas mengajar. 

"Ini akan dicapai dengan memperkemas dan mempermudahkan proses pengumpulan data dan pengurusan sedia ada. Sesetengah fungsi pentadbiran juga akan dipindah kepada pusat perkhidmatan terpusat atau kepada guru khusus pentadbiran di peringkat sekolah," kata laporan itu. 

Kementerian Pelajaran juga bercadang melaksanakan kemajuan kerja berasaskan kecekapan dan prestasi menjelang 2016, apabila guru diberi penilaian setiap tahun oleh pengetua masing-masing, dengan inputnya mungkin diberi rakan setugas mereka. 

"Malah, guru paling baik mungkin dinaikkan pangkat daripada DG41 kepada DG54 dalam tempoh lebih cepat berbanding tempoh kenaikan pangkat purata sedia ada iaitu 25 tahun," kata laporan itu. 

Laporan itu seterusnya berkata guru yang menghadapi masalah untuk mencapai kualiti minimum pula akan diberi bimbingan sokongan tambahan untuk membantu mereka kembali berada di landasan sewajarnya. 

"Guru yang sering mencatat prestasi rendah, walaupun sudah menerima sokongan tambahan, akan diberi tugas lain yang mempunyai kaitan dengan fungsi sekolah seperti pentadbiran, pegawai tatatertib atau pengurusan kokurikulum," kata laporan itu. - BERNAMA

Restu Ilmu Calon UPSR 2012