Halaman

Rabu, 28 November 2012

Bakal Guru Akan Diberi Penekanan Sistem PBS


KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Penekanan kepada sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dalam usaha melengkapkan graduan pendidikan adalah antara 10 resolusi yang dicapai pada konvensyen antarabangsa pembelajaran dan pembangunan guru di sini.

Pengarah Penyelidikan Pembangunan dan Inovasi Institut Pendidikan Guru (IPG) Dr Mohamad Nor Mohamad Taib berkata penjelasan menyeluruh dan tepat perlu diberi kepada bakal guru agar mereka lebih bersedia melaksanakan PBS.

"Apa yang akan kita tekankan dalam masa terdekat ini adalah untuk kita berikan penjelasan sebaik-baiknya, sejelas-jelasnya dari segi teknikaliti tentang apa itu PBS kepada bakal guru," katanya kepada pemberita selepas majlis penutup konvensyen itu hari ini.

Selain itu, beliau berkata penekanan dan latihan PBS akan turut diberi kepada guru sedia ada kerana sebilangan besar mereka belum jelas berhubung konsep serta kaedah pelaksanaan PBS.

Resolusi lain yang diterima pada konvensyen disertai lebih 400 peserta dan penyelidik dalam dan luar negara itu ialah penekanan kepada pendidikan berkualiti untuk murid pendidikan khas, pemantapan amalan terbaik dalam pengajaran dan penstrukturan semula IPG.

Mengulas lanjut, Mohamad Nor berkata resolusi itu akan dicadang kepada Kementerian Pelajaran untuk dimasuk ke dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

BERNAMA: 21 November 2012

Tiada pengambilan guru sandaran


KEMENTERIAN Pelajaran memaklumkan tidak ada pengambilan baharu bagi jawatan guru sandaran sepanjang tahun ini manakala pelantikan guru tetap pula hanya dibuat berdasarkan keperluan pengisian serta kekosongan jawatan.

Pengarah Bahagian Pendidikan Guru Kementerian Pelajaran, Datuk Mohd. Ghazali Ab. Rahman berkata, pihaknya perlu meneliti secara terperinci di peringkat proses temu duga calon guru sebelum diserapkan ke dalam profesion perguruan.

Menurutnya, selain mempunyai pencapaian akademik cemerlang, calon guru yang ditemu duga pada masa depan wajib memenuhi kriteria bersikap patriotik dan berperwatakan sesuai.

“Misalnya, kita hanya memilih 30 graduan terbaik daripada 10,000 permohonan guru, itu pun setakat kita tawarkan temu duga dan bukannya tawaran kemasukan jawatan guru,’’ katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya dekat Putrajaya baru-baru ini.

Tegas Ghazali, langkah berhati-hati yang diambil itu bertujuan membetulkan persepsi masyarakat yang beranggapan profesion perguruan sebagai pilihan kerjaya terakhir setelah pelajar tamat pengajian.

“Sepanjang proses temu duga ini berlangsung, kita akan mengambil langkah penambahbaikan pengambilan guru bagi memastikan keperluannya menepati matlamat guru cemerlang seperti dihasratkan oleh kerajaan.

“Kita mahu menjadi seperti negara-negara maju lain yang mana pelajar mereka menjadikan profesion perguruan sebagai kerjaya utama mereka selain bidang kejuruteraan dan perubatan," ujarnya.

Beliau menambah, pengalaman pengambilan guru sebelum ini menjadi contoh terbaik kepada kementerian untuk melakukan proses penambahbaikan.

Hal ini demikian kerana, ujarnya, sebelum ini, sebahagian calon guru yang mempunyai kelayakan akademik yang cemerlang namun gagal memberikan jawapan terbaik apabila disoal mengenai keperluan profesional perguruan.

Sehubungan itu menurut Mohd. Ghazali, pihaknya perlu berhati-hati dan melakukan proses temu duga yang teliti semata-mata memastikan calon guru memenuhi piawaian dan keperluan pembelajaran dari semasa ke semasa.

Pada masa yang sama, katanya, kementerian akan memastikan pengambilan guru pada masa depan adalah mereka yang memiliki imej guru cemerlang dan mempunyai semangat patriotik tinggi, seterusnya menjadi ikon kepada pelajar.

Sementara itu, menurut kenyataan akhbar Unit Maklumat kementerian, tiada pengambilan pelantikan terbaharu Guru Sandaran Terlatih (GST) dan Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT).

Jelas kenyataan tersebut, prosedur pelantikan guru melalui kaedah pelantikan secara tetap selepas calon lulus urusan temu duga jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Gred DG41 ditentukan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP).


© Utusan Melayu (M) Bhd 

Jumaat, 23 November 2012

Kalendar 2013

Untuk mendapatkan kalendar 2013 untuk perancangan percutian, sila klik di sini.

Khamis, 22 November 2012

Selamat Bertugas di Tempat Baru Pn. Azfariah


Selamat bertugas di tempat baru Pn. Azfariah bt Ahmad. Pn. Azfariah mula berkhidmat di SK Pulo awal 2012 dan akan berpindah mengikut suami. Selamat maju jaya diucapkan. Terima kasih atas komitmen anda sepanjang berada di SK Pulo.

Rabu, 21 November 2012

Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang 2012











Cemerlang j-QAF 2012

Terbaik Ko-Kurikulum 2012

Anugerah Khas Ko-Kurikulum

Terbaik Akademik 2012

Selasa, 20 November 2012

45,054 calon dapat semua A


PUTRAJAYA – Sebanyak 45,054 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini mencatatkan markah A dalam semua mata pelajaran namun peratusnya menurun 0.54 peratus berbanding 46,012 calon pada tahun lalu.
Pengarah Peperiksaan Lembaga Peperiksaan Kementerian Pelajaran, Dr. Na’imah Ishak berkata, pencapaian keseluruhan bagaimanapun menurun sebanyak 0.01 mata Gred Purata Nasional (GPN) iaitu daripada 2.30 tahun lalu kepada 2.31 tahun ini.
“Sebab penurunan ini masih belum diketahui dan jabatan pelajaran negeri dan sekolah-sekolah akan membuat kajian mengenainya selepas ini,” katanya ketika mengumumkan analisis keputusan UPSR di sini semalam.
Sebanyak 517,139 calon menduduki UPSR tahun ini iaitu meningkat 3.9 peratus berbanding 497,691 tahun lalu.
Daripada jumlah itu, 98.2 peratus atau 507,783 adalah calon sekolah Kementerian Pelajaran manakala bakinya calon sekolah swasta.
Menurut Na’imah, sebanyak 286,930 calon tahun ini memperoleh keputusan baik iaitu minimum C tidak termasuk semua A telah meningkat 1.49 peratus berbanding 269,021 calon tahun lalu.
Sebanyak 17,251 calon lagi berada di bawah tahap penguasaan minimum iaitu mendapat semua D atau E atau kombinasi kedua-duanya dan ia meningkat 0.54 peratus berbanding 13,958 peratus tahun lalu.

Kosmo Online

Isnin, 19 November 2012

UPSR 2012

Tahniah kepada calon UPSR 2012 yang berjaya. Yang kurang berjaya, anda masih lagi berpeluang membuktikan yang anda juga boleh berjaya. UPSR hanya permulaan. Perjalanan anda masih panjang.



5A UPSR 2012
Mohd Adib bin Zaidi (6B)

Nur Qurratul Ain bt Dullah (6D)

Amnizuhairah Azyan bt Amiluddin (6D)

Nur Erna Elyana bt Othman (6A)

Ahad, 4 November 2012

Kerajaan tambah baik PBS


Muhyiddin Yassin menerima Resolusi Khas Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) daripada Presiden NUTP, Hashim Adnan (tiga dari kiri) pada Perhimpunan Khas Guru anjuran NUTP di Pusat Konvensyen CIDB, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 3 Nov. - Kerajaan akan menambah baik sistem penaksiran berasaskan sekolah (PBS) selepas Kementerian Pelajaran menerima banyak rungutan daripada guru-guru.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, memandangkan sistem tersebut masih baharu, sudah tentu ia akan mengambil masa untuk diadaptasi tetapi beliau mengakui ada ruang yang perlu ditambah baik.

"Keluhan mengenai sistem PBS ini yang disuarakan melalui Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) memang sudah dijangka. Sebelum ini pun kita dapat maklum balas daripada guru-guru mengenai beberapa masalah seperti kelewatan dan data komputer.

"Memandangkan ia sistem baharu, PBS perlu ditambah baik. Kementerian sedar dan kita akan duduk berbincang kerana sudah ada beberapa cadangan penambahbaikan dikemukakan," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis Perhimpunan Khas NUTP, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden NUTP, Hashim Adnan dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman.

Sistem PBS diperkenalkan bagi menambah baik sistem penilaian ke atas pelajar dengan menggunakan standard prestasi kerana sebelum ini penilaian terhadap pencapaian pelajar terlalu berorientasi peperiksaan.

Mula dilaksanakan pada tahun ini, usaha itu sejajar dengan langkah kerajaan menambah baik Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan memansuhkan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) menjelang 2014.

Mengulas lanjut Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pihaknya sentiasa terbuka kepada pandangan serta cadangan guru-guru dalam usaha menambah baik PBS termasuk aspek yang dikatakan menjadi bebanan kepada tenaga pengajar.

Mengenai lapan lagi tuntutan NUTP bagi meningkatkan profesion perguruan, beliau berkata, satu mesyuarat akan diadakan dalam masa terdekat bagi mengkaji saranan itu dan mana yang relevan akan dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Selain itu, beliau juga tidak menolak kemungkinan untuk memasukkan cadangan yang relevan ke dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

"Kita akan berbincang, mana yang melibatkan kementerian dan relevan untuk dilaksanakan kita akan lakukan.

"Kementerian akan lihat, mana yang sesuai kita akan tambah tetapi sebahagian besar daripada Pelan Awal Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 adalah hasil perbincangan dengan NUTP," katanya.

Sementara itu, ketika berucap merasmikan sambutan Hari UNESCO Malaysia dalam satu majlis berasingan di sini, Muhyiddin berkata, transformasi pendidikan yang akan dilakukan bukan sahaja bergerak seiring dengan aspirasi negara malah usaha itu juga mengambil kira cabaran dan persaingan global pada abad ke-21 ini.

Katanya, langkah kerajaan mengkaji semula sistem pendidikan negara akan meletakkan Malaysia di landasan terbaik bagi bersaing dengan negara-negara yang maju.

"Malaysia telah mengambil langkah mengkaji semula sistem pendidikan negara mulai Oktober 2011 lalu dan telah menyediakan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Negara 2013-2025.

"Pelan ini yang menyediakan kerangka transformasi pendidikan secara menyeluruh, dijangka mampu memacu pendidikan negara ke arah pendidikan yang berkualiti dan bertaraf antarabangsa," katanya.



Sabtu, 3 November 2012

Tuntut ilmu pelaburan terbaik


PENGORBANAN adalah amalan yang mulia. Sebagai ibu bapa pastilah kita sanggup berkorban apa saja bagi memastikan anak-anak berjaya di dunia dan akhirat. Ibu bapa yang banyak menyemai pasti akan banyak menuai. Oleh itu, sebagai ibu bapa, kita tidak boleh lari daripada falsafah menyemai dan memberi ini. Apabila anak-anak sedar pengorbanan ibu bapanya, pasti anak-anak akan menjaga kebajikan orang tua mereka ketika meniti usia tua.

Kita sering mendengar pelbagai kisah kehidupan anak-anak mengabaikan orang tua mereka. Ada dibiarkan tinggal keseorangan, diletak di rumah orang tua atau ditinggalkan di tepi jalan.

Memanglah sedih melihat perkara ini berlaku dalam masyarakat kita. Namun, sebelum menuding jari menyalahkan anak-anak, selidik juga bagaimana ibu bapa menjaga, mendidik, membesar dan memberikan kasih sayang ketika anak-anak itu kecil hingga dewasa.

Mungkin hukum karma berlaku kerana mereka sendiri dulu pernah mengabaikan ibu bapa lalu anak-anaknya pula melakukan perkara yang sama kepada mereka. 

Sebagai ibu bapa, kita perlu ingat bahawa anak-anak itu amanah Allah. Sebagai pemegang amanah, lakukan yang terbaik membesarkan mereka dengan memberikan nafkah, kasih sayang, pelajaran, didikan agama, akhlak dan sahsiah. 

Salah didikan maka salahlah hasilnya nanti. Sebab itulah apabila anak-anak malas solat, gagal dalam pelajaran dan terbabit dengan kes juvana, ibu bapa perlu berpegang kepada prinsip akauntabiliti dan mengakui merekal bertanggung jawab. 

Malangnya, ramai ibu bapa mencari salah orang lain termasuk guru-guru dan rakan-rakan. Memang betul, orang lain juga punya pengaruh atas watak dan tingkah laku anak-anak namun jika jati diri mereka kuat, tiada siapa pun yang boleh menyuruh anak-anak kita berkelakuan negatif. 

Untuk melakukan yang terbaik ibu bapa perlu banyak berkorban sama ada wang, masa, tenaga, fikiran dan perasaan. Ada ketikanya kita perlu keluarkan sedikit wang dan melabur bagi masa depan anak-anak. 

Pelaburan yang terbaik adalah pelaburan dalam mencari ilmu, meningkatkan kemahiran insani dan menambah ilmu serta kefahaman dalam beragama. Ada ibu bapa yang sayang duit bagi memasukkan anak-anak mereka ke program motivasi, seminar dan kem ibadah atas alasan mereka yang menganjurkan program-program sebegini bertujuan meraih keuntungan semata-mata. 

Cara berfikir begini membantut perkembangan ilmu anak anda. Ketika anak-anak orang lain mendapat pengalaman dan pendedahan, anak-anak mereka menghabiskan masa melakukan aktiviti yang kurang berfaedah. Ini memberi kesan pada anak apabila mereka dewasa nanti. 

Anak-anak adalah salah satu nikmat dan anugerah yang Allah. Ada pasangan yang lama berkahwin namun belum dikurniakan cahaya mata. Oleh itu, jika ada anak ini, bersyukur dengan anugerah Allah. 

Dalam mensyukuri anugerah Allah, ibu bapa tidak boleh mengungkit apa yang diberikan, anggaplah sebagai memenuhi tuntutan kepada anak-anak. Jika kita lakukan yang terbaik untuk anak-anak, insyaallah kita akan mendapat yang hasil terbaik kelak. 

Allah s.w.t berfirman dalam Surah At-Taghabun, ayat 15, yang bermaksud: “Sesungguhnya hartamu dan anak-anakmu hanyalah ujian bagimu, di sisi Allahlah pahala yang besar.” 

Ibu bapa perlu akur anak-anak adalah ujian Allah dan kita perlu hadapi dengan penuh kesabaran, hikmah dan bijaksana. 

Ada ketikanya ibu bapa perlukan bantuan pihak luar bagi mencorak pemikiran anak-anak secara positif. Ada waktunya kata-kata nasihat dari pihak ketiga lebih berkesan kerana pihak ini tidak mempunyai apa-apa agenda selain daripada menyampaikan apa yang perlu disampaikan secara profesional. 

Justeru, kehadiran pelbagai program dan seminar motivasi adalah rahmat buat anak-anak yang dahagakan ilmu. 

Lain anak lain ragam dan lain juga potensi serta kehebatan. Sebab itulah anak-anak perlu tahu bagaimanakah cara bagi menggunakan potensi yang ada dalam diri mereka ini. 

Ada anak yang lebih menonjol dalam bidang-bidang yang lain seperti perniagaan, sukan, muzik, lakonan, pertukangan dan gubahan. 

Sayangnya, ramai ibu bapa tidak sedar bahawa kebolehan yang unik itu boleh dipupuk dan diasah menjadi sumber pendapatan apabila anak-anak membesar nanti. 

Malah, ramai yang bergelar jutawan sedangkan pelajaran mereka dulu tidaklah setinggi mana. Oleh itu ibu bapa mesti jujur dan bersifat terbuka dalam mendewasakan anak-anak. 

Bagi membantu ibu bapa mendidik, mengenal dan mengasah potensi anak-anak, sepanjang cuti sekolah ini MAP Training & Consultancy Sdn Bhd menganjurkan beberapa program Motivasi Alihan Pelajar di Kuala Lumpur, Ipoh, Melaka, Johor Bahru dan Singapura. 

Program motivasi ini boleh disertai oleh anak-anak yang berusia daripada 10 hingga 19 tahun. 

Layari laman web, www.laman-map.com atau hubungi talian 03-22734622, 03-22730622 atau 016-5580719 untuk maklumat lanjut.