Halaman

Ahad, 27 Januari 2013

Amalan Yang Terbalik dan Salah


Marilah kita bermuhasabah atau menilai dan menghitung kembali tentang amalan harian kita. Kadang-kadang kita akan dapati amalan kita adalah terbalik atau bertentangan dari apa yang patut dilakukan dan dituntut oleh Islam.

Mungkin kita tidak sedar atau telah dilalaikan atau terikut-ikut dengan budaya hidup orang lain. Perhatikan apa yang dipaparkan dibawah sebagai contoh amalan yang terbalik:-

1. Amalan kenduri arwah beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga simati selepas sesuatu kematian (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan seterusnya) adalah terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah di mana Rasulullah telah menganjurkan jiran tetangga memasak makanan untuk keluarga simati untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka.

Keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyedia makanan dan belanja untuk mereka yang datang membaca tahlil. Tidakkah mereka yang hadir makan kenduri tersebut khuatir kalau-kalau mereka termakan harta anak yatim yang ditinggalkan oleh simati atau harta peninggalan simati yang belum dibahagikan kepada yang berhak menurut Islam?

2. Kalau hadir ke kenduri walimatul urus (kenduri kahwin) orang kerap salam berisi (hadiah wang yang diberi semasa bersalam). Kalau tak ada duit nak dikepit dalam tangan, maka segan ia nak pergi makan kenduri. Tetapi kalau ia menziarah orang mati, tidak segan pula salam tak berisi. Sepatutnya kalau menziarah keluarga si matilah kita patut memberi sedekah. Kalau ke kenduri kahwin, tak bagi pun tak apa kerana tuan rumah panggil untuk diberi makan bukan untuk ia menambah pendapatan.

3. Ketika menghadiri majlis pemimpin negara kita berpakaian cantik kemas dan segak tetapi bila mengadap Allah baik di rumah maupun di masjid, pakaian lebih kurang saja bahkan ada yang tak berbaju. Tidakkah ini suatu perbuatan yang terbalik.

4. Kalau menjadi tetamu di rumah orang dan di beri jamuan, kita rasa segan nak makan sampai habis apa yang dihidangkan kerana rasa segan dan malu, sedangkan yang dituntut dibanyakkan makan dan dihabiskan apa yang dihidang supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir.

5. Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi kalau di rumah, sangat malas. Sedangkan sebaik-baiknya solat sunat banyak dilakukan di rumah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah untuk mengelakkan rasa riak.

6. Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang berlebihan tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta perbelanjaan setiap rumah orang Islam akan kita dapati perbelanjaan di bulan puasa adalah yang tertinggi dalam setahun. Sedangkan sepatutnya perbelanjaan di bulan puasa yang terendah. Bukankah terbalik amalan kita?

7. Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakan orang akan membuat kenduri sebelum bertolak ke Mekah dan apabila balik dari Mekah tak buat kenduri pun. Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah kerana selamat dari bermusafir, maka dibuat kenduri, bukan kerana nak bermusafir, maka dibuat kenduri. Bukankah amalan ini terbalik? Atau kita mempunyai tujuan lain.

8. Semua ibubapa amat bimbang kalau-kalau anak mereka gagal dalam periksa. Maka dihantarlah ke kelas tuisyen walau pun banyak belanjanya. Tapi kalau anak tak boleh baca Quran atau solat, tak bimbang pula bahkan tak mahu hantar tuisyen baca Quran atau kelas khas mempelajari Islam…

Kalau guru tuisyen sanggup dibayar sebulan RM20.00 satu pelajaran 8 kali hadir tapi kepada Tok Guru Quran nak bayar RM15.00 sebulan 20 kali hadir belajar pun menggeletar tangan. Bukankah terbalik amalan kita? Kita sepatutnya lebih berbimbang jika anak tidak dapat baca Al Quran atau bersolat dari tidak lulus periksa.

9. Kalau bekerja mengejar rezeki Allah tak kira siang malam, pagi petang, mesti pergi kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Tapi ke rumah Allah (masjid) tak hujan, tak panas, tak ribut pun tetap tak datang ke masjid. Sungguh tak malu manusia begini, rezeki Allah diminta tapi nak ke rumahNya segan dan malas.

10. Seorang isteri kalau nak keluar rumah samada dengan suami atau tidak, bukan main lagi berhias. Tetapi kalau duduk di rumah, masyaAllah. Sedangkan yang dituntut seorang isteri itu berhias untuk suaminya, bukan berhias untuk orang lain. Perbuatan amalan yang terbalik ini membuatkan rumahtangga kurang bahagia.

11. Kita cukup teruja untuk meng’forward’ kan sms atau emel dalam bentuk gossip2 artis kepada kawan2. Malah kebanyakkan sms emel tersebut tidak benar dan boleh menjatuhkan maruah org lain. Tapi kenapa susah sangat nak forward emel2 peringatan sebegini kepada kawan2 kita??

Cukup dengan contoh-contoh di atas. Marilah kita berlapang dada menerima hakikat sebenarnya. Marilah kita beralih kepada kebenaran agar hidup kita menurut landasan dan ajaran Islam yang sebenar bukan yang digubah mengikut selera kita.

Allah yang mencipta kita maka biarlah Allah yang menentukan peraturan hidup kita. Sabda Rasullullah SAW: ‘Sampaikanlah dariku walaupun satu ayat.’ (Riwayat Bukhari)

Kredit : http://www.rileks.info/coollist/10-amalan-yang-terbalik-dan-salah/

Sabtu, 26 Januari 2013

Kalau Tak Suka, Pulangkan...

Sebuah kisah untuk renungan kita bersama. Kereta dihentikan betul-betul di hadapan rumah. Pintu pagar automatiknya terbuka. Perlahan kereta di halakan ke dalam garaj. “Horey! Papa balik!”

Kelihatan anak-anaknya berlari mengiringi keretanya. “Tepi! Bahaya tau tak?” Jeritnya. Anak-anak termanggu. Cahaya kegembiraan di wajah mereka pudar. “Aimin bawa adik ke belakang.” Arahnya pada anak yang sulung. Pulangnya petang itu disambut dingin oleh anak-anak. Isterinya turut terdiam bila mendengar anak-anak mengadu tentang papa mereka.

“Papa penat. Aimin bawa adik mandi dulu. Mama siapkan minum petang. Lepas minum papa mesti nak main bola dengan kita,” pujuk Laila. Dia yang mendengar di ruang tamu hanya mendengus. Seketika kemudian terdengar hilai tawa anak-anaknya di bilik mandi. Dia bangun.

“Hah! Main air. Bil bulan ini papa kena bayar dekat seratus. Cepat! Tutup paip tu! Buka shower!” Sergahnya. Suara yang bergema mematikan tawa anak- anaknya. “Asal saya balik rumah mesti bersepak. Kain baju berselerak. Apa awak makan tidur aje ke duduk rumah?” sambungnya kembali bila isterinya terpacul di belakang pintu.

“Anak-anak pa. Diorang yang main tu. Takpe nanti mama kemas. Papa minum ye. Mama dah siapkan kat taman.” Balas isterinya lembut. “Fail saya kat depan tu mana?” “Mama letak dalam bilik. Takut budak-budak alihkan.” “Boleh tak awak jangan usik barang-barang saya? Susah tau tak? Fail tu patutnya saya bawa meeting tengahari tadi.” Rungutnya sekalipun di hati kecil mengakui kebenaran kata-kata isterinya itu. Suasana sepi kembali. Dia menarik nafas berat. Terasa begitu jauh berbeza. Dia tercari-cari riuh suara anak-anak dan wajah isterinya.

“Laila-” Keluhnya Akhirnya dia terlena di sofa. “Saya nak ke out station minggu depan.” “Lama?” Soal Laila. “Dalam seminggu.” “Cuti sekolah pun lama. Mama ikut boleh?” “Budak-budak?” “Ikut jugalah.” “Dah! Takde! Takde! Susah nanti. Macam-macam diorang buat kat sana. Tengok masa kat Legacy dulu tu.”

“Masa tu Amirul kecik lagi.” Balas Laila. Wajahnya sayu. Dia masih berusaha memujuk biarpun dia tahu suaminya tak mungkin berganjak dari keputusan yang dibuat. Tak mungkin peristiwa Amirul terpecahkan pinggan di hotel dulu berulang. Anak itu masih kecil benar sewaktu ia berlaku. Lagipun apa sangatlah harganya pinggan itu malahan pihak hotel pun tak minta ganti rugi. “Bolehlah Pa! Lama sangat kita tak ke mana-mana.” “Nak jalan sangat.

Sabtu ni saya hantar awak balik kampung,” Muktamad! Demikianlah seperti kata-katanya. Anak-anak dan isterinya dihantar ke kampung. Laila tak merungut apa-apa meskipun dia tahu isterinya berkecil hati. Anak-anak terlompat riang sebaik kereta berhenti di pengkarangan rumah nenek mereka. Tak sampai setengah jam dia telah bergegas semula untuk pulang. Bapa mertuanya membekalkan sebuah kitab lama.

“Cuba-cubalah baca. Kitab tu pun abah ambil dari masjid. Dari mereka bakar abah ambik bagi kamu!” “Manalah saya ada masa..” “Takpe..pegang dulu. Kalau tak suka pulangkan balik!” Dia tersentak dari khayalannya. “Kalau tak suka pulangkan balik!”

Kata-kata itu bergema di fikirannya. Dia rasa tersindir. Tahukah bapa mertuanya masalah yang melanda rumahtangganya itu? Bukan..bukan tak suka malah dia tetap sayang sekalipun Laila bukan pilihannya. Dunia akhirat Laila adalah isterinya. Cuma.. “Mizi, makan!” Panggil ibunya yang datang menemaninya sejak seminggu lalu. “Jangan ikutkan hati. Yang sudah tu sudahlah.” “Papa! Makan!” Jerit Aiman ,anak keduanya sambil tersengih- sengih mendapatkan dirinya. “Tak boleh panggil papa elok-elok. Ingat papa ni pekak ke?”

Aiman menggaru kepalanya yang tak gatal. Pelik! Kenapa papanya tiba-tiba saja marah. Dia berpatah semula ke dapur. “Awak masak apa?” “Mama masak sup tulang dengan sambal udang!” jawab Amirul memotong sebelum sempat mamanya membuka mulut. “Takde benda lain ke awak boleh masak? Dah saya tak nak makan. Hilang selera!”

“Papa nak ke mana?” Soal isterinya perlahan. “Keluar!” “Mama dah masak Pa!” “Awak saja makan!” “Takpe Aiman boleh habiskan. Cepatlah ma!” Laila tahu Aiman hanya memujuk. Anak keduanya itu sudah pandai mengambil hatinya. Aimin tersandar di kerusi makan. Sekadar memerhati langkah papanya keluar dari ruang makan. “Kenapa sekarang ni papa selalu marah-marah ma?”

Soal Aimin sambil menarik pinggannya yang telah berisi nasi. “Papa banyak kerja agaknya. Dah! Makan.” “Abang tak suka tengok papa marah-marah. .” “Adik pun sama. Bila papa marah muka dia macam gorilla kan?” Kata-kata Aiman disambut tawa oleh abang-abangnya yang lain.. Laila menjeling. Di hati kecilnya turut terguris Besar sangatkah dosanya hingga menjamah nasi pun tidak. Kalau ada pun salahnya, apa?

Syamizi menjengah ke ruang dapur. Kosong. “Laila..” serunya “Sudahlah tu Mizi! Jangan diingat-ingat. Kerja Tuhan ni tak dapat kita tolak-tolak. Bawak-bawaklah beristighfar. Kalau terus macam ni sakit kau nanti.” Kata ibunya yang muncul tiba-tiba.

“Sunyi pulak rumah ni mak,” “Lama-lama kau biasalah.” Airmatanya menitis laju. “Kalau tak suka pulangkan!” Dia rasa terhukum. Hampir segenap saat kata-kata itu bergema di sekitarnya. Dia rasa terluka. Kehilangan yang amat sangat.

“Papa beli apa untuk Aiman?” Soal Aiman sebaik dia pulang dari outstationnya. “Beli apa pulak? Barang permainan kan bersepah dalam bilik belakang tu.” “Tak ada lah?” “Ingat papa ni cop duit?”

Aiman termanggu. Dia berlalu mencari mamanya di dapur. Seketika kemudian rumah kembali riuh dengan telatah anak-anak lelakinya yang bertiga itu mengiringi mama mereka yang sedang menatang dulang berisi hidangan minum petang.

Wajah Laila direnungnya. Ada kelainan pada raut itu. Riaknya tenang tapi ada sesuatu yang sukar ditafsirkannya. “Awak tak sihat ke?” Laila tersenyum. Tangannya pantas menuang air ke cawan. “Papa, tak lama lagi abang dapat adik lagi.” Aimin mencelah di antara perbualan kedua ibu bapanya.

Shamizi tersenyum. Jemari isterinya digenggam erat. Tiba-tiba cawan berisi kopi yang masih panas terjatuh dan pecah di lantai. Aiman tercegat. “Tengok! Ada saja yang kamu buat. Cuba duduk baik-baik. Kalau air tu tak tumpah tak sah!” Tempiknya membuatkan anak itu tertunduk ketakutan. Baju mamanya dipegang kejap.

Lengan Aiman dipegangnya kuat hingga anak kecil itu mula menangis. Pantas saja akhbar di tangannya hinggap ke kepala anaknya itu. Laila cuba menghalang tapi dia pantas dulu menolak isterinya ke tepi.. Aiman di pukul lagi. Amirul menangis. Aimin mendapatkan mamanya. “Perangai macam beruk! Tak pernah buat orang senang!”

Laila bangun dari jatuhnya dan menarik lembut Aiman ke dalam pelukkannya. Airmata mereka bersatu. Pilu sungguh hatinya melihat kekasaran suaminya terhadap anak-anak. “Cukuplah pa. Papa dah hukum pun dia tapi janganlah sebut yang bukan-bukan.” Ujar Laila perlahan.

“Macamana awak didik budak-budak sampai macam ni teruk perangainya? Tengok anak orang lain ada macam ni? Anak kak Long tu tak pulak macam ni. Panjat sana, kecah barang. Gila apa?” Omelnya kembali.

Shamizi meraut wajah. Bukan kepalang salahnya pada Aiman. Padanya anak itu tak pernah dapat memuaskan hatinya. Ada saja salah Aiman di matanya. Ada saja yang kurang di hatinya terhadap anak-anak dan isteri.. Tak cukup dengan perbuatan malah dia begitu mudah melemparkan kata-kata yang bukan-bukan terhadap mereka.

“Tak boleh ke kamu semua senyap? Dalam sehari ni boleh tak diam? Rimas betul duduk dalam rumah ni.” Laila menyuruh anak-anaknya bermain di halaman belakang rumah. Memberi sedikit ruang buat suaminya menonton dengan tenang. Malangnya tak lama kemudian kedengaran bunyi tingkap kaca pecah. “Celaka betul!” Sumpahnya sambil menghempaskan akhbar ke meja. “Abang!” “Baik awak tengok anak-anak awak tu sebelum saya hambat dengan rotan! Perangai satu-satu macam tak siuman!” Getusnya kasar.

Akhirnya tingkap yang pecah kembali diganti. Cerita sumpah seranahnya petang itu hilang begitu saja. Laila berubah. Sikapnya yang pendiam menjadi semakin pendiam. Anak-anak juga sedikit menjauh. Tak ada lagi cerita Amirul di tadika. Tak ada lagi kisah Aimin yang cemerlang di dalam sukan sekolahnya. Aiman juga tak lagi mahu memanggilnya makan. Shamizi terasa puas hati. Barangkali itu saja caranya untuk memberi sedikit pengajaran pada anak-anak.

“Pak Ngah, Eddie nak balik!” Shamizi terpana. Dia mengangguk. “Kak Long balik dulu Mizi. Sudahlah! Kamu muda lagi. Cari pengganti..” Alangkah mudahnya. Kalaulah dia boleh bertemu lagi yang serupa seperti Laila. Laila tak ada yang kurang Cuma dia yang tak pernah puas hati. Laila tak pernah merungut. Laila tak pernah membantah. Sepanjang usia perkahwinan mereka, Laila tak pernah meminta lebih dari apa yang dia beri. Laila cuma dapat gred B walaupun dia teramat layak untuk mendapat gred yang lebih baik dari A. “Laila-” “Papa nak ke mana hensem-hensem gini?” Dia tersenyum sambil menjeling ke cermin meninjau bayang isterinya yang kian sarat. “Wangi-wangi lagi. Dating ye?”

“Saya ada makan malam di rumah bos besar. Dia buat makan-makan untuk staff.” Ujarnya masih leka membetulkan kolar kemeja batiknya. “Ikut boleh?” “Dia tak ajak family. Staff only!” Terangnya sedangkan difikirannya terfikir lain. Kali ni dia akan pergi ke jamuan tu dengan Helmi. Helmi akanturut menumpangkan Maria dan Harlina. Staff yang masih muda dan bujang. “Dalam setahun papa selalu ke jamuan office tapi tak pernah pun bawak kami.”

“Leceh kalau ada budak-budak. Bukan tau duduk diam Lari sana sini, panjat itu ini. ” “Papa pesanlah..” “Nantilah besar sikit.” Dalihnya. “Kalau tunggu besar takut takde peluang. Nanti diorang tu dah tak nak ikutpergi mana pun.”

“Lagi senang. Saya kalau lasak-lasak ni buat hati panas je,” Laila terdiam. “Namanya budak-budak. Anak-anak papa tu lelaki.” “Saya pergi kejap je. Lepas tu terus balik.” “Mama tanya sikit boleh?” Dia mengangguk “Bos tak pelawa atau papa malu nak bawa mama dan anak-anak?” Mereka dia tinggalkan di rumah. Di jamuan tu ramai staff yang membawa keluarga mereka bersama. Pada Shamizi dia mahukan keselesaan sedangkan hakikatnya anak-anak staff yang lain lebih lasak dan nakal. Semeja hidangan untuk anak-anak staff berderai bila ada yang bermain tarik-tarik alas kainnya.

“Never mind. Budak-budak memang macam tu. Kalau tak lasak tak cerdik,” ujar Mr. Kwai, tuan rumah. Shamizi sedikit mengakui kebenaran kata-kata itu. Anak-anaknya pun nakal tapi amat membanggakan dalam pelajaran.

Namun dia rasa serba tak kena bila bersama mereka. Bimbang ada yang menyata yang bukan-bukan tentang anak- anaknya yang lasak apatah lagi tentang isterinya Laila. Bimbang dimalukan dengan perangai anak-anaknya. Bimbang jika dikatakan Laila tidak sepadan dengan dirinya. Dia lulusan luar negara sedang Laila cuma perempuan kampung. Tak pandai bergaya seperti staff wanita yang lain. Betullah jangkaan Laila, dia malu untuk memperkenalkan isteri dan anak-anaknya pada rakan-rakan.

“Kalau tak suka pulangkan!” Kata-kata itu semakin keras di fikirannya. Pagi itu anak-anak sekali lagi dimaki sebelum ke sekolah. Semata-mata bila Aimin dan Aiman bergelut berebutkan tempat duduk di meja makan menyebabkan air cuci tangan tumpah ke meja. Berangnya tiba-tiba menguasai diri.

Kepala kedua-duanya di lagakan sedangkan perebutan itu tidak pula disusuli dengan perkelahian. “Kamu semua ni..kalau macam ni daripada ada elok tak ada. Menyusahkan!” Laila merenungnya dalam.. Matanya berkaca dan anak-anak ke sekolah tanpa menyalaminya seperti selalu. Laila juga tidak berkata apa-apa sebelum me! nghidupkan enjin untuk menghantar anak-anak ke sekolah. Shamizi dapat melihat Laila mengesat airmatanya. Dia terus menghadapi sarapannya.

Sejenak dia terpandang hidangan untuk anak-anak yang tak bersentuh. Susu masih penuh di cawan. Roti telur yang menjadi kesukaan anak-anak juga tidak dijamah. Bekal di dalam bekas tidak diambil. Pelik! Selama ini Laila tak pernah lupa.. “Kalau tak suka pulangkan,”Kali ini dia benar-benar menangis. Laila dan anak-anak terus tak pulang selepas pagi itu. Hari-harinya tak lagi diganggu dengan gelagat anak-anak.

Rumah terus sunyi dan sepi. Tetap dia tak dapat tidur dengan lena. Di halaman belakang hanya ada kenangan. Kelibat anak-anaknya bergumpal dan berlari mengejar bola tak lagi kelihatan. Riuh anak-anak bila mandi di bilik air juga tidak lagi kedengaran. Dia mula dihambat rindu. Hanya ada kesunyian di mana-mana. Hanya tinggal bola yang terselit di rumpun bunga. Selaut rindu mula menghambat pantai hatinya. Laila- Benarlah, kita hanya tahu harganya bila kita kehilangannya.

Laila terus tak pulang sekalipun dia berjanji untuk berubah. Laila pergi membawa anak-anaknya pagi itu bila kereta mereka dirempuh sebuah kereta lain yang dipandu laju. Laila pergi tanpa meninggalkan satu pun untuknya. Laila pergi membawa Aimin, Aiman, Amirul dan zuriat yang bakal dilahirkan dua bulan lagi.

Dia menangis semahu-mahunya bila menatap wajah lesi anak-anak dan isterinya. Dia meraung memeluk tubuh Laila yang berlumuran darah. Hakikatnya Laila adalah kitab lama itu, lapuk bagaimana pun dipandangan harganya tak terbanding, dan kerana keengganannya Laila dipulangkan.

Kredit : http://www.rileks.info

Rama – Rama Yang Tak Mampu Terbang


Suatu hari, ada seorang budak lelaki sedang memerhatikan satu kepompong. Di dalamnya ada rama-rama yang sedang berjuang untuk melepaskan diri dari dalam kepompong dan kelihatannya begitu sukar. Budak lelaki tersebut merasa kesian kepada rama–rama tersebut.

Dia ingin membantu rama-rama agar dapat keluar dengan mudah. Akhirnya kanak-kanak itu mengambil gunting dan membantu memotong kepompong agar rama-rama dapat keluar dengan segera dan senang. Alangkah senang dan leganya kanak-kanak tersebut.

Tetapi apa yang terjadi? Rama-rama itu memang dapat keluar dari sana, tetapi rama-rama itu tidak dapat terbang, dia hanya dapat merayap. Apa sebabnya? Rama-rama yang sedang berjuang dari kepompongnya tersebut, sebenarnya pada saat rama-rama mengerahkan seluruh tenaganya, ada satu cecair didalam tubuhnya mengalir dengan kuat ke seluruh tubuhnya, yang akan membuatkan sayapnya dapat mengembang sehingga ia dapat terbang.

Tetapi kerana tiada lagi perjuangan tersebut, maka sayapnya tidak dapat mengembang sehingga ia menjadi seekor rama-rama yang hanya dapat merayap. Kadangkala niat baik kita belum tentu menghasilkan sesuatu yang baik. Sama seperti pada sewaktu kita mengajar anak kita. Kadangkala kita sering membantu mereka kerana kasihan atau rasa sayang, tetapi sebenarnya membuatkan mereka tidak berdikari.

Membuat potensi dalam dirinya tidak berkembang. Memandulkan kreativiti. Kerana kita tidak sanggup melihat mereka mengalami kesulitan, Yang sebenarnya jika mereka berjaya mengatasinya, mereka akan menjadi KUAT. Demikian juga pada sewaktu kita sedang berjuang menghadapi sesuatu, jangan mengharapkan bantuan orang lain, berjuanglah dahulu dengan mengerahkan segala kemampuan kita.

Hidup penuh dengan PERJUANGAN. Sering kali juga kita sering menyalahkan situasi yang kita hadapi, Tetapi ternyata situasi itulah yang akan mendewasakan kita.

Kredit : http://www.rileks.info/coollist/rama-rama-yang-tak-mampu-terbang/

Jumaat, 25 Januari 2013

Senarai Pendek Pemain Sepak Takraw SK Pulo 2013

Berikut adalah senarai murid yang terpilih untuk sesi pemilihan sepak takraw mewakili SK Pulo 2013. 

BIL NAMA KELAS
1 MUHD FAHIMI AZIM BIN EFFENDI 6D
2 AIMAN NAZIRUL ARIB B KHALID 6D
3 ZAIRULIZAM BIN ZAIDI 6D
4 HARTIMI DZULHAKIM BIN HUSAINI 6C
5 MOHD AKBAR BIN JEMAT 6C
6 HAMIZAL BIN HAMZAH 6B
7 NOR MAZLAN BIN JAIDI 6A
8 ZIKRI AMANI BIN TERADICKA 6A
9 ABDUR FAIQ BIN KHALIK 5D
10 HAFIZUDDIN BIN JAMALUDDIN 5D
11 MOHAMAD HAFIZ BIN MOHAMAD REDZUAN 5B
12 AWANGKU MUHAMMAD SAIF IMAN BIN AWANGKU IBRAHIM 5A
13 RADEN MUHAMMAD HANZALAH BIN ISMAIL 5A
14 MOHAMMAD AZRIN SYAHMI BIN JEFRI 4A


Pemilihan dan latihan akan diadakan seperti berikut;

Isnin
3:00 petang
Jurulatih : En. Muhamad Fadli bin Abdullah

Rabu
4:00 ptg

Jurulatih : En. Mohamad bin Jol

Sabtu
7:30 pagi
Us. Roslan bin Ahahary
Us. Ahmad Najiy bin Mat Yusof

Sambutan Maulidur Rasul Peringkat SK Pulo 1434H

Satu sambutan sempena memperingati hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW telah diadakan pada pagi tadi. Majlis yang bermula seawal jam 7.15 pagi itu telah diadakan di Dewan Terbuka SK Pulo. Tujuan majlis ini diadakan ialah untuk terus memupuk dan menyemai rasa kasih dan sayang terhadap Nabi Muhammad SAW. 

Majlis dimulakan dengan selawat beramai-ramai. Disusuli pula dengan ceramah Maulidur Rasul yang disampaikan oleh dua orang guru pelatih j-QAF, ustaz Anaz Fahmi bin Md Isa dan ustaz Mohd Najiy bin Mat Yusof. Penceramah menekankan sejarah kelahiran nabi, perjalanan hidup nabi sehingga kewafatan Baginda serta amalan-amalan yang menjadi amalan Baginda. Slot kuiz juga diadakan untuk menguju pemahaman murid-murid dengan intipati ceramah yang disampaikan.

Slot terakhir acara sambutan ialah dengan bacaan Yasin yang diketuai oleh ustaz Roslan bin Ahahary. Semoga acara ini dapat menjadi pemangkin untuk generasi muda terus mencintai nabi dan mengamalkan sunnah Baginda.










Khamis, 24 Januari 2013

Belajar Awal Untuk Cemerlang


SESI persekolahan tahun 2013 sudah pun bermula. Ada yang baru memasuki alam persekolahan, ada yang mula melangkah ke sekolah menengah iaitu Tingkatan 1, ada pula yang memulakan pengalaman baru berada di sekolah berasrama dan terpisah dengan kedua ibu bapa. Anak-anak ini akan mula menyesuaikan diri setelah bersekolah beberapa minggu. Ada pula pelajar yang bakal menduduki peperiksaan besar sama ada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Bagi mencapai kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan ini pelajar perlu bersedia awal. Kegagalan belajar awal akan mengundang tekanan yang tidak perlu apabila peperiksaan semakin hampir pada suku ketiga 2013 ini.

Berikut adalah beberapa tip bagi para pelajar yang mahu belajar awal:
Ada pelajar yang memberi alasan tidak suka belajar awal kerana apa yang dibaca dan diulang kaji itu akan lupa dan akhirnya terpaksa dibaca semula ketika menjelangnya peperiksaan. Ini adalah salah faham tentang konsep belajar awal. Belajar awal bukan semestinya mengingati semua apa yang dipelajari. Sebaliknya, belajar awal bertujuan menguasai mata pelajaran dan memahaminya. Kalau lupa sekali pun tidak mengapa sebab pelajar masih punya masa yang panjang untuk mengingatinya. Setelah berulang kali membaca, secara tidak langsung maklumat dan fakta-fakta itu akan tersimpan dalam memori jangka panjang. Yang penting mesti faham dahulu apa yang dipelajari.

Apabila belajar awal, setiap perkara yang tidak faham atau keliru perlu disenaraikan dan diselesaikan segera. Kesilapan utama para pelajar apabila guru mengajar dan mereka tidak faham, maka mereka tidak membuat catatan berkaitan perkara yang tidak difahami itu. Biasanya pelajar hanya mencatat apa yang mereka faham dan menyalin apa yang guru tulis atau paparkan di hadapan. Perkara yang mereka tidak faham dibiarkan sahaja.

Memang ada pelajar yang bertanya tetapi tidak semua perkara sempat ditanya. Malah ramai pula pelajar yang malu bertanya. Akhirnya, perkara yang tidak faham semakin hari semakin banyak hingga akhirnya membuatkan mereka rasa sesuatu subjek itu susah. Kesannya, markah ujian bulanan tidak memuaskan dan ini memperkukuhkan lagi kepercayaan bahawa dia tidak mampu menguasai subjek tersebut atau subjek itu susah. Sedangkan jika dari hari pertama dia senaraikan apa yang dia tidak faham dan selesaikan segera maka masalah sebegini tidak akan berlaku.

Belajar awal bertujuan menyediakan nota ringkas, peta minda, peta konsep, kad imbasan dan seumpamanya sebagai persediaan mengulang kaji apabila tibanya musim peperiksaan. Kesilapan ramai pelajar ialah menyediakan nota-nota ketika menjelang peperiksaan sedangkan nota-nota ini sepatutnya daripada awal lagi sudah disediakan. Apabila peperiksaan semakin hampir masa begitu berharga dan bermakna. Ketika itu fokus utama belajar ialah memastikan semua fakta penting telah dihafal, teknik dan format menjawab soalan diketahui, serta apa yang telah dibaca dapat dikeluarkan semula dengan pantas dan menepati kehendak soalan. Ini bukan masa menyediakan nota. Oleh itu, manfaatkan masa di awal tahun sebegini bagi menyediakan nota-nota peperiksaan.

Belajar awal untuk belajar secara berkumpulan dan melakukan perbincangan. Sepanjang belajar berkumpulan itu tumpukan kepada penyelesaian masalah bukannya sekadar mengulangi apa yang telah diajarkan oleh guru dalam kelas. Caranya ialah setiap pelajar yang terlibat dalam kumpulan dimaklumkan awal topik atau bab yang mahu dibincangkan dan diminta membacanya dahulu dan menyenaraikan setiap perkara yang mereka tidak tahu atau tidak faham.

Pada hari perbincangan, secara bergilir-gilir setiap pelajar melontarkan permasalahan dalam topik atau bab tersebut dan rakan-rakan yang lain membantu memberikannya kefahaman dan menyelesaikannya. Dengan cara itu masalah selesai dan semua berpuas hati. Jika semua orang tidak tahu penyelesaiannya maka buatlah temu janji untuk sama-sama berjumpa guru dan minta bantuan atau penjelasan. Sebaliknya apabila semakin hampir dengan peperiksaan, pelajar lebih perlukan masa belajar secara sendirian bagi menghabiskan jadual ulang kaji.

Belajar awal memberikan pelajar ruang dan masa yang banyak bagi melibatkan diri dalam aktiviti persatuan dan kokurikulum. Disebabkan pelajar belajar secara konsisten maka fikiran mereka tidak terganggu dan mereka juga tidak dihantui dengan rasa bersalah apabila aktif dengan pelbagai aktiviti di sekolah. Ini membuatkan pelajar cemerlang dalam semua bidang dan berpeluang menjadi tokoh pelajar di penghujung tahun nanti.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20130106/pe_01/Belajar-awal-untuk-cemerlang#ixzz2IsYRohI5 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bantuan Awal Persekolahan 2013

Pihak sekolah dengan bantuan guru kelas telah berjaya mengagihkan bantuan awal persekolahan 2013 pada hari Rabu 22 Januari 2013 yang lepas. Di harap bantuan tersebut dapat digunakan sebaiknya untuk kebaikan bersama.



Sambutan Maulidur Rasul JAKASEH 1434H

Satu sambutan Maulidur Rasul anjuran JAKASEH telah diadakan pada pagi tadi bertempat di SK Pulo Kuching. Majlis yang bertemakan Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah telah dihadiri oleh YB Abdul Rahman Junaidi dan YB Junaidi Jaafar. Sambutan tersebut telah berjaya menyatukan penduduk sekitar dengan pertandingan hadrah dan sepanduk. Sebanyak dua kategori dipertandingkan untuk sepanduk iaitu untuk peringkat kampung dan sekolah. Berikut adalah pemenang bagi kategori sekolah:

Johan : Tadika Kemas Zon 1
Naib Johan : SK Pulo
Ketiga : SK Gersik

















Lagi gambar sila klik di sini.

Ahad, 20 Januari 2013

SPPBS - MURID TERCICIR 2012


Dimaklumkan bahawa SPPBS akan dibuka untuk kemasukan prestasi MURID TERCICIR 2012 dan Cetakan Pelaporan mulai 21 Januari 2013 sehingga 10 Februari 2013.

SPPBS akan dibuka untuk kemasukan prestasi murid tahun 2013 setelah semua urusan kemaskini APDM selesai (dijangka awal Mac 2013 tertakluk kepada perubahan).

Terima kasih.

-Lembaga Peperiksaan dan Bahagian Pengurusan Maklumat-