Halaman

Selasa, 26 Februari 2013

Aktiviti sukan tidak bebankan guru, murid


Pelbagai program sukan yang dianjurkan di sekolah adalah sejajar dengan keperluan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang mahu melahirkan generasi murid di negara ini yang holistik, cemerlang serta seimbang dalam pencapaian akademik dan sukan.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan) Kementerian Pelajaran, Datuk Sufa'at Tumin berkata, aktiviti atau pencapaian sukan di sekolah tidak boleh diabaikan kerana ia sama penting dengan akademik malah merupakan bentuk pembelajaran yang wajib diamalkan setiap pelajar.

Menurutnya, aktiviti sukan sekolah seperti pertandingan rumah sukan, merentas desa atau sukan daerah-daerah sudah lama dipraktikkan malah sudah sinonim di peringkat pendidikan rendah dan menengah bagi memastikan perkembangan murid seiring dengan akademik.

"Oleh itu, tidak timbul isu bahawa aktiviti sukan ini membebankan guru ataupun murid kerana ia bergantung kepada pihak sekolah menyusun atur program sukan tanpa menganggu pembelajaran murid,'' katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya di Putrajaya, baru-baru ini.

Katanya, kepentingan murid melibatkan diri dalam kegiatan sukan dan kokurikulum sekolah telah mula dipraktikkan sejak tahun 1985 dan kementerian seterusnya memperkasakan program itu menerusi pelaksanaan dasar Satu Murid Satu Sukan (1M1S).

"Jadi, 1M1S bukan lagi benda baharu kerana penyertaan murid dalam sukan sudah lama dipraktikkan cuma 1M1S ini lebih mempromosikan program sukan sekolah yang sedia ada.

"Sebelum ini, kita tidak mewajibkan murid terlibat dalam aktiviti sukan tetapi di bawah 1M1S setiap murid wajib terlibat dalam sukan selaras dengan keperluan Falsafah Pendidikan Kebangsaan,'' kata beliau.

Usaha yang digerakkan itu, katanya, adalah satu tindakan berterusan ke arah memperkembang potensi murid secara menyeluruh dan bersepadu.

Ujar beliau, ia bertujuan untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan.

''Hal ini sekali gus melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara,'' ujarnya.

Menurut Sufa'at, kegiatan sukan di sekolah boleh dijalankan dengan lebih terancang dan menepati matlamat sekiranya dilaksanakan berlandaskan tanggungjawab sebagai pendidik dan tidak menganggapnya satu kerja yang membebankan.

Pada masa yang sama, kata beliau, berdasarkan impak awal daripada pelaksanaan 1M1S, murid mempunyai peluang lebih terbuka untuk terlibat dalam aktiviti sukan yang sebelum ini didominasi murid cemerlang atau mereka yang aktif bersukan.

Misalnya, kata beliau, baru-baru ini kementerian menganjurkan Kejohanan Piala Menteri 1Murid 1Sukan khusus untuk murid yang tidak berpeluang mewakili sekolah dalam mana-mana pertandingan dan seramai 68,256 murid berpeluang menyertai pertandingan tersebut.
''Lebih ramai murid hadir mengikuti pemilihan mewakili sekolah ke pertandingan itu dan pihak sekolah tidak mempunyai masalah menyediakan wakil dan bagi kes ini, dua sekolah boleh dijadikan rujukan iaitu SMK Tasik Permai Ampang dan SRK Seri Indera di Kangar, Perlis,'' katanya.

Beliau memberitahu, dasar 1M1S juga tidak mengganggu masa pembelajaran murid kerana dilaksanakan mengikut penjadualan dan kemampuan pihak sekolah.

Selain itu, beliau memberitahu, murid yang berlatih atau menyertai kejohanan akan disediakan modul pembelajaran oleh pihak sekolah manakala atlet yang berlatih atau bertanding di luar negara pula pada tempoh masa agak lama, seorang guru akan mengiringi dan mengajar modul pembelajaran pada waktu malam.

"Keadaan ini kita sudah lama laksanakan misalnya, semasa Pandelela Rinong berlatih di China bagi persiapan Sukan Olimpik lalu, seorang guru mengiringinya bagi membantu dia dalam pembelajaran,'' katanya.

© Utusan Melayu (M) Bhd 

Isnin, 25 Februari 2013

Membina ayat menggunakan kata kerja ada


DALAM binaan ayat yang menggunakan kata kerja tak transitif, sering dapat ditemukan kesalahan yang kadang-kadang kelihatan tidak ketara, kerana jikalau tidak diteliti konstituennya, memang ayat yang dibina itu gramatis.

Tetapi apabila dihalusi berdasarkan acuan atau rumus tatabahasa, maka jelaslah kesalahannya. Sebagai contoh, penggunaan kata kerja tak transitif ada dalam pembentukan ayat.

Perkataan ada bererti hadir, telah sedia dan wujud.

Perkataan ini digolongkan dalam golongan kata kerja tak transitif, dan oleh itu dapat bertugas sebagai predikat ayat. Contoh penggunaannya dalam ayat ialah:
(1) Tuhan ada.
(2) Ayahnya telah meninggal, tetapi ibunya masih ada.
(3) Di dalam sakunya itu ada wang kertas.

Selain maksudnya seperti yang tersebut di atas, perkataan ada dapat juga bererti mempunyai atau memiliki. Misalnya:
(4) Ahmad ada wang.
(5) Orang itu ada harta.

Kata nama wang dan harta dalam kedua-dua ayat (4) dan (5) itu bukan berfungsi sebagai objek ayat, kerana ada sebagai kata kerja tak transitif tidak memerlukan objek.

Kata wang dan harta bertugas sebagai pelengkap dan merupakan kata nama sahaja, bukan frasa nama.

Hal ini dapat ditentukan apabila dalam sesuatu ayat itu kata nama yang hadir mempunyai potensi untuk disertai oleh kata ganti nama tunjuk ini atau itu sebagai penentu di belakang kata-kata nama itu, atau disertai kata bilangan dengan atau tanpa penjodohnya sebagai penentu di hadapannya, maka kata itu menjadi frasa nama.

Dalam ayat (4) dan (5) misalnya, perkataan wang dan harta tidak dapat disertai oleh ini atau itu lalu membentuk ayat (4a) *Ahmad ada wang ini, dan ayat (5a) *Orang itu ada harta itu; tambahan pula kedua-dua ayat ini tidak dapat dipasifkan menjadi (5c) *Wang ini diadakan oleh Ahmad, dan (6c) *Harta itu didakan oleh orang itu.

Oleh itu, kata wang dan harta tetap bertugas sebagai pelengkap, bukan objek.
Perhatikan pula ayat berikut ini:
(7) Omar memiliki kereta.

Perkataan kereta berkemungkinan untuk disertai kata bilangan atau kata penentu belakang lalu membentuk ayat
(7a) Omar memiliki tiga buah kereta, atau
(7b) Omar memiliki kereta ini, atau
(7c) Omar memiliki kedua-dua buah kereta ini.

Oleh sebab itu, perkataan kereta dalam ayat 7 ialah frasa nama yang berfungsi sebagai objek kepada kata kerja transitif memiliki.

Ayat aktif yang mempunyai kerja transitif dan mempunyai objek dapat dijadikan ayat pasif, misalnya:
(7d) Kedua-dua buah kereta itu dimiliki oleh Omar.

Jikalau kata kerja tak transitif tidak dapat disertai oleh frasa nama sebagai objek, maka bentuk ayat tersebut tidak gramatis, seperti ayat (8) yang berikut ini:
(8) Dia ada tiga buah kereta.

Ketidakgramatisan ayat (8) tersebut kerana tiga buah kereta merupakan frasa nama yang bertugas sebagai objek, padahal kata ada sebagai kata kerja tak transitif tidak memerlukan objek.

Oleh itu, sebagai gantinya, jika frasa tiga buah kereta hendak dipertahankan, maka bolehlah dipilih ayat yang gramatis seperti
(9) Keretanya tiga buah.

yang sama maknanya dengan (7a) Omar memiliki tiga buah kereta, walaupun kedua-dua ayat (9) dan (7a) mempunyai pola yang berlainan.

Demikianlah huraian ringkas berhubung dengan kata kerja tak transitif ada dalam bahasa Melayu. Oleh itu berhati-hatilah apabila membina ayat dengan menggunakan kata kerja ada ini.


© Utusan Melayu (M) Bhd 

Sabtu, 23 Februari 2013

Pangkalan data tunggal permudah guru


KEMENTERIAN Pelajaran telah membangunkan Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) yang bukan sahaja dapat mengurangkan beban tugas guru malah memudahkan capaian kepada maklumat murid dari peringkat prasekolah hingga kolej matrikulasi.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan) Kementerian Pelajaran, Datuk Sufa'at Tumin berkata, APDM mengelakkan guru melakukan kemasukan data berulang kali dalam pelbagai sistem yang dibangunkan oleh pelbagai pihak di kementerian termasuklah Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS), Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) dan sistem lain yang berkaitan.

''APDM dijadikan pangkalan data utama dan tunggal untuk menyediakan data bersepadu murid yang boleh diguna sama oleh pelbagai sistem yang dibangunkan oleh pelbagai pihak di kementerian pada masa akan datang.

''Pengurusan data murid dalam APDM akan bermula seawal murid memasuki prasekolah sehingga tamat tingkatan enam atau kolej matrikulasi," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Murid dan guru boleh mengakses sistem APDM yang dibangunkan Bahagian Pengurusan Maklumat ini di http://sekolahmalaysia.com.

Menurut Sufa'at, APDM juga dapat menangani kesukaran guru memasuki laman sesawang SPPBS."Sistem APDM memudahkan 412,000 guru sekolah rendah dan menengah seluruh negara yang menggunakan sistem PBS," ujarnya.

Sebanyak 5,272,478 pelajar terdiri daripada 2,804,405 murid sekolah rendah dan 2,281,775 pelajar sekolah menengah terlibat dalam perlaksanaan sistem PBS membabitkan 7,723 sekolah rendah dan 2,296 sekolah menengah.

Selain itu kata Sufa'at, menerusi data kelahiran dan data murid yang mendaftar ke tahun satu, kementerian dapat mengenal pasti murid yang cicir daripada memasuki persekolahan sekali gus membantu merealisasikan dasar pendidikan wajib dan pendidikan untuk semua.

Ujarnya, data murid ini diteruskan penggunaannya ke peringkat sekolah menengah menerusi eDaftar Menengah dan proses penetapan sekolah feeder, manakala data murid dari sekolah rendah pula terus dipindahkan ke sekolah menengah yang menempatkan murid tersebut.

''Tindakan ini secara tidak langsung dapat mengurangkan beban tugas guru dan e-Kehadiran yang diperkenalkan akan menggunakan data murid yang terdapat dalam APDM dan pembantu tadbir yang dilantik akan mengunci masuk kehadiran murid setiap hari.

''Data kehadiran berkenaan digunakan oleh Portal Dasboard PPD yang akan digunakan sepenuhnya bermula tahun ini, jadi, semua data murid tersebut diguna sama oleh semua sistem lain yang terdapat di kementerian,'' jelas beliau.

Malah, ujarnya, data dan maklumat murid turut digunakan bagi tujuan rasmi seperti pendaftaran peperiksaan awam, latihan khidmat negara, bantuan dan perkara berkaitan dengannya.

Bagi memastikan kelancaran penggunaan sistem itu, beliau meminta semua pihak termasuk guru besar, pengetua dan pejabat pelajaran di setiap daerah melaksanakan tugas masing-masing demi menjayakan perlaksanaannya.

''Guru kelas hendaklah bertanggungjawab sepenuhnya kepada data dan maklumat murid, ibu bapa atau penjaga serta perlu mengemas kini semua data dan maklumat murid yang berada di dalam kelasnya dari semasa ke semasa,'' katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa kata laluan sistem tersebut tidak boleh didedahkan kepada pihak lain bagi mengelakkan berlakunya pencerobohan terhadap APDM sehingga boleh mengganggu data yang terdapat di dalamnya.

Kata beliau, selain guru dan pengetua, peranan pejabat pelajaran daerah juga perlu digerakkan bagi memastikan perlaksanaannya berjalan lancar dan paling utama menepati inspirasi pendidikan berkualiti secara menyeluruh oleh kerajaan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20130218/pe_01/Pangkalan-data-tunggal-permudah-guru#ixzz2LjnIA2lp
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Jumaat, 22 Februari 2013

Tatacara penggunaan kata adjektif berkaitan perasaan


PERKATAAN sayang tergolong ke dalam sejumlah kata adjektif yang membawa konsep perasaan. Contoh lain, antaranya malu, marah, benci, berani, kasih, ragu, takut dan lain-lain lagi.

Dalam bahasa Melayu, jika kata adjektif hendak diluaskan struktur unsurnya (konstituen) dengan menambahkan kata nama selepasnya, maka lazimnya, kata adjektif itu diikuti oleh kata sendi nama seperti 'akan', 'pada', 'kepada' dan seumpamanya.

Perhatikan ayat-ayat contoh berikut ini:
1. (a) Penduduk di kampung itu sangat benci dengan perangai buruk pemuda itu.
    (b) Penduduk di kampung itu sangat benci akan perangai buruk pemuda itu.

2. (a) Anak muda kini suka akan hiburan bercorak muzik.
    (b) Anak muda kini suka pada hiburan bercorak muzik.

3. (a) Adik bongsu Kuswadi takut akan hantu.
    (b) Adik bongsu Kuswadi takut pada hantu.

4. (a) Megawati amat sayang terhadap anak dan menantunya.
    (b) Megawati amat sayang akan anak dan menantunya.
    (c) Megawati amat sayang kepada anak dan menantunya.

Kata-kata adjektif dalam ayat (1) hingga (4) diikuti oleh kata sendi 'dengan', 'akan', 'pada' 'kepada' dan 'terhadap'.

Ayat-ayat tersebut salah jikalau ayat-ayat itu tidak mengandungi kata sendi nama selepas kata adjektif kerana kata-kata adjektif itu merupakan kata adjektif yang memerlukan kata sendi nama selepasnya.

Oleh yang demikian, salahlah jikalau ayat-ayat di atas ditulis begini:
1. (c) *Penduduk di kampung itu sangat bencikan perangai buruk pemuda itu..
2. (c) *Anak muda kini sukakan hiburan bercorak muzik.
3. (c) *Adik bongsu Kuswadi takutkan hantu.
4. (c) * Megawati amat sayangkan anak dan menantunya.

Lain pula halnya jikalau kata-kata adjektif itu dijadikan kata kerja dengan menambahkan imbuhan yang sesuai.

Misalnya, sayang dijadikan menyayangi, benci menjadi membenci, suka menjadi menyukai dan menyukakan, kata adjektif takut menjadi menakuti dan menakutkan, dan kata adjektif rindu menjadi merindu, dan merindukan.

Bagi kata adjektif rindu, kadang-kadang orang tersilap dalam penggunaan bentuk rindu akan, merindu dan merindukan.

Frasa rindu akan ialah frasa adjektif (kata adjektif + kata sendi), manakala merindu dan merindukan ialah kata kerja transitif. Daripada ketiga-tiga bentuk kata tersebut dapat dibinakan ayat-ayat seperti yang berikut:

5. Latifah rindu akan kekasihnya.

6. Sejak pemergian kekasihnya di perbatasan, sejak itulah dia merindu.

7. Rosnita merindukan kampung halamannya.

Frasa sendi rindu akan tidak boleh menjadi *rindukan seperti dalam ayat:
(9) *Pungguk rindukan bulan.
Ayat ini salah kerana kata adjektif rindu tidak dapat menerima akhiran -kan (semua kata adjektif tidak boleh menerima akhiran -kan dalam bahasa Melayu melainkan jika hendak mengubah kelas katanya). Sebaliknya kata adjektif rindu itu perlu menerima kata sendi 'akan'.

Jikalau akhiran -kan hendak digunakan, maka perlulah kata adjektif rindu diubah menjadi kata kerja merindukan. Jadi ayat (9) itu betul jika kata rindukan menjadi merindukan seperti dalam ayat

(10) Pungguk merindukan bulan.
Harus diingat juga, apabila kata adjektif disertai akhiran -kan, maka kata yang tadinya daripada golongan kata adjektif itu berubah kelasnya menjadi kata kerja pasif, dan hal ini akan melibatkan berlakunya hukum tentang bentuk ayat pasif pula.

Misalnya, kata adjektif takut ditiadakan maka terbentuklah perkataan takutkan. Perkataan takutkan bukan kata kerja transitif, tetapi kata kerja pasif.

Dengan kata kerja transitif menakutkan kita dapat membentuk ayat aktif transitif seperti:
(11) Saya menakutkan kanak-kanak itu.
dengan maksud 'menyebabkan' atau 'menjadikan' kanak-kanak itu takut.

Daripada ayat-ayat aktif ini sebagai ayat dasar, kita dapat membentuk ayat pasif songsang seperti yang berikut:
(11a) Saya takutkan kanak-kanak itu.
Ayat (11a) ini berbeza dari segi semantik dengan ayat (12) di bawah

(12) Saya takut akan kanak-kanak itu.
Makna ayat (11a) ialah bahawa 'kanak-kanak itu takut', sementara makna ayat (12) ialah bahawa 'saya dan bukan kanak-kanak itu yang takut'.

Perhatikan perbezaan ketiga-tiga ayat berikut ini:
(13) Saya gemarkan buah-buahan tempatan.
(13a) Saya gemar akan buah-buahan tempatan.
(13b) Saya menggemari buah-buahan tempatan.

Ayat (13) *Saya gemarkan buah-buahan tempatan, berbeza maknanya dengan ayat (13a) Saya gemar akan buah-buahan tempatan, atau (13c) Saya menggemari buah-buahan tempatan. Ayat (13) bermakna buah-buahan menjadi gemar oleh perbuatan saya, tetapi bukanlah saya gemar akan (menggemari) buah-buahan tempatan.

Demikianlah beberapa tatacara penggunaan kata adjektif bahasa Melayu yang betul. Penggunaan tatacara yang betul ini dapat membantu pengguna bahasa Melayu berbahasa persis.

© Utusan Melayu (M) Bhd 

Khamis, 21 Februari 2013

Pertandingan Sepak Takraw 12TKB MSSR Zon B, Kuching 2013










Pertandingan Sepak Takraw 12TKB Sekolah-sekolah Rendah Zon B Kuching telah diadakan pada 20-21 Februari 2013 bertempat di Dewan Sri Buntal, Kpg. Buntal, Kuching. SK Pulo telah menghantar dua regu.

 Regu A dibarisi oleh;
1.       Mohammad Azrin Syahmi bin Jefri (4A) – Tekong
2.       Hafizuddin bin Jamaluddin (5D) – Apit Kiri
3.       Awangku Muhammad Saif Iman bin Awangku Ibrahim (5A) – Apit Kanan
4.       Muhd Fahimi Azim bin Effendi (6D) – Pemain gantian
5.       Nor Mazlan bin Jaidi (6A) – Pemain gantian

Regu B Pulo pula dibarisi oleh;
1.       Abdur Faiq bin Khalik (5D) – Tekong
2.       Mohamad Hafiz b. Muhamad Redzuan (5B) – Apit Kiri
3.       Raden Muhamad Hanzalah bin Ismail (5A) – Apit Kanan
4.       Hamizah bin Hamzah (6B) - Pemain gantian
5.       Mohd Akbar bin Jemat (6B) - Pemain gentian

Berikut keputusan penuh perlawanan yang melibatkan SK Pulo.
Regu A
1.       SK Pulo kalahkan SK (A) DHAKH B 8-15, 15-7, 15-5
2.       SK Pulo kalahkan SK Pajar Sejingkat A 15-9, 15-12
3.       SK Pulo kalahkan SK Rakyat Tupong 17-15, 17-15
4.       SK Pulo kalahkan SK Tabuan B 15-7, 15-8 (pusingan kedua)
5.       SK Pulo kalah kepada SK Salak A 13-15, 13-15 (suku akhir)

Regu B
1.       SK Pulo kalahkan SK Rampangi B 15-8, 15-10
2.       SK Pulo kalahkan SK Siol Kanan 15-13, 15-12
3.       SK Pulo kalahkan SK RPR Jalan Astana B 15-7, 15-13
4.       SK Pulo kalah kepada SK Buntal 1-2 (pusingan kedua)

Tahniah diucapkan kepada barisan pemain yang telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menjulang SK Pulo.

Ahad, 17 Februari 2013

Membentuk pekerti murid bukan tugas guru sahaja


CADANGAN supaya diwujudkan sekolah budi bahasa memang baik. Namun pelaksanaannya perlu diteliti agar semua pelajar dari sekolah ini nanti benar-benar berbudi bahasa.

Budi bahasa bermaksud pertuturan dan tingkah laku. Jika seseorang itu berbudi bahasa dia bukan sahaja bercakap dengan sopan dan bertatasusila tetapi perangainya juga terpuji. Jika seorang pemandu selalu memaki hamun dan mengeluarkan kata-kata kesat, ini menggambarkan kelakuannya yang buruk dan panas baran. Oleh itu, pengucapan dan perlakuan saling mempengaruhi dalam menentukan tahap budi bahasa seseorang.

Sebenarnya usaha melahirkan insan yang seimbang dari segi rohani, emosi serta berakhlak mulia yang merupakan antara prinsip asas Falsafah Pendidikan Kebangsaan sentiasa diberikan penekanan di sekolah. Murid dididik supaya berdisiplin, menghormati guru, mentaati ibu bapa, berkelakuan baik dan berkomunikasi secara beradab dengan mengucap terima kasih dan memberi salam.

Pendekatan budi bahasa merentasi kurikulum memang diamalkan di sekolah. Oleh itu, boleh dikatakan semua sekolah adalah sekolah budi bahasa.

Persoalannya, sejauh manakah nilai-nilai budi bahasa berjaya diterap dan dihayati pelajar? Adakah peranan sekolah kurang berkesan memandangkan ada remaja yang kurang berbudi bahasa?

Sebenarnya sekolah tidak mampu berseorangan dalam membentuk budi pekerti murid. Kerjasama ibu bapa, keluarga, masyarakat dan pemimpin di luar sekolah amat diperlukan.

Di sekolah, murid dibentuk supaya mengamalkan nilai-nilai murni tetapi di luar sekolah mereka terdedah dengan pelbagai gejala negatif. Di sekolah, murid diasuh berpakaian sopan, berambut kemas, tidak merokok, menjaga kebersihan dan terkawal daripada mengakses maklumat tidak bermoral di internet. Bagaimana pula keadaannya di luar sekolah?

Ada pihak mengatakan nilai moral yang dipupuk di sekolah sepatutnya menjadi benteng untuk menghindar mereka terpengaruh dengan gejala kurang sihat di luar sekolah. Perlu difahami bahawa pelajar adalah manusia biasa yang boleh terpengaruh walaupun telah diberikan pendidikan.

Kita juga boleh berkata sepatutnya masyarakat di luar sekolah mengamalkan nilai terpuji supaya menjadi ikutan kepada remaja. Semakin kurang gejala sosial dalam masyarakat di luar sekolah, semakin meningkatlah kejayaan sekolah melahirkan murid yang berbudi bahasa.

Berkaitan sekolah budi bahasa, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dan Akademi Seni Budaya dan Warisan dilaporkan menyediakan bimbingan nilai murni dan pembentukan sahsiah. Jika sesuai eloklah program ini dikongsi ke sekolah untuk melahirkan pelajar berbudi bahasa dengan lebih berkesan.


© Utusan Melayu (M) Bhd 

Isnin, 11 Februari 2013

Penjodoh bilangan untuk kata nama benda hidup


DALAM kegiatan berbahasa, lumrah didapati pengguna bahasa Melayu cenderung meninggalkan penjodoh bilangan.

Ada dalam kalangan mereka berpendapat bahawa tidak menggunakan penjodoh bilangan sebelum sesuatu kata nama tidak akan menjejaskan maksud sesuatu ayat. Tanpanya, pembaca tetap dapat memahami maksud ayat.

Dalam media massa, sama ada media cetak atau media elekronik dapat kita temukan ayat-ayat contoh seperti yang berikut:
1. Lima pendatang tanpa izin ditangkap oleh polis.
2. Beberapa jalan di kawasan itu ditenggelami air.

Kedua-dua ayat 1 dan 2 akan menjadi persis apabila penjodoh bilangan orang dan batang dibubuh di hadapan kata nama pendatang (ayat 1) dan jalan (ayat 2).

Ketiadaan penjodoh bilangan juga menerbitkan maksud yang pelbagai. Kepelbagaian maksud itu menyebabkan maksud ayat tidak khusus.

Dalam ayat contoh 1 misalnya, bilangan 'enam' itu boleh jadi membawa maksud jumlah individu atau jumlah kumpulan, atau jumlah gerombolan.

Hal ini menunjukkan betapa pentingnya penjodoh bilangan untuk menyampaikan maklumat yang tepat.

Di samping itu, penjodoh bilangan berfungsi untuk mengindahkan gaya bahasa selain melembutkan serta menimbulkan lenggang-lenggok bahasa yang menarik. Tanpa penjodoh bilangan, kelembutan dan keindahan bahasa tidak berapa ketara.

Apakah penjodoh bilangan? Penjodoh bilangan ialah perkataan yang terletak di antara kata bilangan dan kata nama sesuatu frasa nama.

Pendeta Za'ba menamakan penjodoh bilangan sebagai "pemadan bilangan".

Dalam tulisan kali ini, saya akan berbicara tentang penjodoh bilangan untuk kata nama hidup.

Dalam bahasa Melayu, kata nama hidup dapat dibahagikan kepada dua, iaitu manusia dan bukan manusia. Penjodoh bilangan untuk manusia berbeza daripada penjodoh bilangan bukan manusia.

Penjodoh bilangan untuk manusia bergantung pada jumlah bilangan nombor atau bilangan kuantiti. Penjodoh bilangan untuk manusia yang menunjukkan jumlah bilangan ialah orang.
Bagi bilangan yang menunjukkan kuantiti pula, penjodoh bilangannya ialah kumpulan, pasukan dan gerombolan.

Beberapa ayat contoh yang menggunakan penjodoh bilangan tersebut ialah:
3. Seorang pelancong asing sedang makan di restoran itu.
4. Enam orang kanak-kanak tadika bermain di padang permainan.
5. Beberapa kumpulan sukarelawan telah berangkat sebentar tadi.
6. Dua pasukan kriket di daerah kami bertemu dalam perlawanan akhir.
7. Segerombolan pengganas telah ditawan oleh askar kerajaan di tepi rawa.

Penjodoh bilangan gerombolan digunakan untuk kumpulan orang jahat, seperti samseng, pengganas, penjenayah, penjarah, penyamun dan seumpamanya.

Organ di dalam tubuh manusia seperti usus, jantung, paru-paru, pankerias, hempedu, limpa dan lain-lain tidak menggunakan penjodoh bilangan, kecuali organ hati yang diberi penjodoh bilangan keping, seperti sekeping hati.

Penjodoh bilangan untuk benda bernyawa bukan manusia dapat dibahagikan kepada dua, iaitu binatang dan makhluk lain.

Seperti halnya dengan penjodoh bilangan untuk manusia, penjodoh bilangan untuk binatang juga bergantung pada jumlah bilangan atau jumlah kuantiti.

Bagi menunjukkan jumlah bilangan (nombor), penjodoh bilangannya ialah ekor. Penjodoh bilangan yang menunjukkan kuantiti pula ialah kawan. Contoh dalam ayat:

8. Saya membeli dua ekor itik bemban.
9. Beberapa ekor kerbau balar berkubang di sawah.
10. Pemburu itu terserempak dengan sekawan gajah.

Penjodoh bilangan ekor digunakan untuk semua binatang, sama ada bersaiz besar atau kecil, tidak kira binatang itu mempunyai ekor atau tidak. Semut, ketam dan siput binatang yang tidak mempunyai ekor, tetapi tetap menggunakan penjodoh bilangan ekor.

Binatang yang menerima penjodoh bilangan ialah binatang yang dapat dikira dan dilihat. Binatang yang bersaiz mikro, yakni yang bersaiz halus seperti bakteria, ameba, virus, kuman, dan protozoa tidak menggunakan penjodoh bilangan.

Kita tidak menyebut seekor bakteria, lima ekor virus atau beberapa ekor kuman.

Jenis benda bernyawa bukan manusia yang kedua, iaitu makhluk asing, ialah seperti malaikat, syaitan, iblis, bidadari dan bunian.

Masyarakat Melayu menggolongkan makhluk jenis ini kepada dua, iaitu golongan yang baik dan golongan yang jahat.

Makhluk yang baik dikatakan berperangai seperti manusia. Makhluk tersebut ialah bidadari dan bunian, dan penjodoh bilangannya ialah orang.

11. Tujuh orang bidadari telah turun dari kayangan ke taman tuan puteri.

12. Orang kampung mengatakan Tok Ketua telah berkahwin dengan seorang bunian.

Demikian huraian berkenaan dengan penjodoh bilangan untuk kata nama benda hidup. Dalam siaran akan datang, dibincangkan pula penjodoh bilangan bagi benda tidak bernyawa.


© Utusan Melayu (M) Bhd 

Jumaat, 8 Februari 2013

Kisah 50 Sen


Kringggg.. Terima kasih cikgu, semua pelajar beredar ke kantin. Tapi seorang pelajar ni tak keluar utk rehat.

Awak tak rehat ke Alif? Ujar sy kpd pelajar ni. Tak cikgu. Jawab alif ringkas.

Kenapa alif tak rehat? Jawab alif "Mak sy beri 50 sen sehari cikgu. Kat kantin 50 sen ni dpt beli nugget je sekeping. Malu la cikgu beratur panjang2 dpt beli nugget je. Jadi sy kumpul duit hari ini utk makan hari esok. Jadi sy dpt la makan nugget 50 sen dan air sirap 50 sen. Sy kat kantin hari Selasa dan Khamis je cikgu " alif tertunduk malu

Perasaan sy mula bercampur baur, sedih sebak. Di zaman 2013 ini masih ada pelajar yg membawa 50 sen ke sekolah. Ramai di antara kita memandang 50 sen jumlah yg kecil sedangkan bg pelajar ini 50 sen sgt besar ertinya. 

Saya tanya lg, kalau hari jumaat awak tak pergi kantin la ye? 
Owh hari jumaat duit 50 sen ni sy sedekah masa bacaan yasiin cikgu. Jawab alif dgn bersahaja. Mak sy kata kalau kita sedekah rezeki kita akan bertambah..
Mata saya dah berkaca...Sy terkejut dan bertambah sebak. Dah la duit ada 50 sen. Siap boleh sedekah pulak. Ya Allah, limpahkanlah rezeki bg keluarga pelajarku ini..luaskan rezeki mereka semoga mereka tidak lagi berada dalam kemiskinan.

Huh macam terpukul sungguh sy, bayangkan duit 50 sen yg diberi utk makan, dia infakkan 50 sen utk tabung sekolah setiap jumaat semasa bacaan yasiin.
Mungkin kisah ini nampak simple tp bagi saya ia memberi seribu pengajaran. Mungkin Allah nak temukan sy dgh pelajar ini supaya lebihkan sedekah dan berinfak.

Bagaimana pula dgn kita? Mampukah kita istiqomah bersedekah setiap hari jumaat? 

Ayuh kita berazam utk lebihkan sedekah pd hari jumaat yg mulia ini. Semoga Allah s.w.t memberikan ganjaran kpd anda semua.
renung2kan lah...

Sumber : Facebook Aii (Official)

Isnin, 4 Februari 2013

Penuhi Hak Ibu Bapa dan Taatilah Ibu Bapa


Ingatlah betapa besarnya kasih sayang ibu bapa kepada kita. Mereka memberi perhatian amat serius mengenai tempat tinggal, makan minum, pendidikan serta penjagaan kita pada setiap masa. Mereka sering bimbang ketika kita sakit hingga pekerjaan lain ditinggalkan demi merawat kita.

Wang yang mereka cari dengan susah payah rela dikeluarkan tanpa berfikir panjang. Mereka bekerja keras siang malam demi memberi nafkah kepada kita. Dengan teringat jasa mereka, kita akan mengetahui kadar penderitaan pada waktu mereka membimbing diri kita hingga beranjak dewasa.

Allah s.w.t memerintahkan agar manusia berbakti kepada kedua ibu bapa. Firman Allah bermaksud: “Dan Tuhanmu memerintahkan agar kamu jangan menyembah melainkan hanya kepada-Nya dan hendaklah berbuat baik kepada orang tua. Dan jika salah satu daripada keduanya atau kedua-duanya berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu menyatakan kepada keduanya perkataan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak keduanya. Dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan mulia dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah: “ Wahai Tuhanku, sayangilah mereka keduanya, sebagaimana keduanya menyayangi aku waktu kecil” (Surah Al Israa’: ayat 23 dan 24).

Allah juga berfirman bermaksud: ”Dan sembahlah Allah dan janganlah menyekutukan- Nya dengan sesuatu dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, tetangga jauh, teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahaya, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang sombong dan membanggakan dirinya”.(Surah An Nisaa’ : Ayat 36)

Ayat di atas menunjukkan bahawa berbakti kepada ibu bapa menduduki peringkat kedua selepas mentauhidkan (mengesakan) Allah dalam beribadah. Sebab itu tidak mungkin terjadi bagi seorang yang mengaku bertauhid kepada Allah, tetapi ia derhaka kepada kedua-dua orang tuanya. Allah yang Mencipta dan Memberikan rezeki.

Maka Allah sahajalah berhak diibadahi. Ibu bapa adalah sebab adanya anak. Maka kedua-duanya berhak diperlakukan dengan baik. Oleh itu menjadi kewajipan bagi seorang anak untuk beribadah kepada Allah kemudian diiringi dengan berbakti kepada kedua-dua orang tuanya.

Andai kelak kita menjadi ibu bapa, tidaklah kita akan kecewa dan bersedih hati apabila anak kita berkata kasar kepada kita – ibu bapa yang membesarkannya. Lalu, apakah kita sampai hati melakukannya terhadap ibu bapa kita saat ini? Merekalah yang selalu berusaha meredakan tangis kita ketika kecil.

Ingatlah bahawa doa orang tua terutama ibu adalah doa mustajab. Maka janganlah sekali-kali menyakiti hati mereka meskipun kita dalam pihak yang benar. Sesungguhnya hak ibu bapa kita atas diri kita lebih besar dan berlipat ganda banyaknya sehingga apapun kita lakukan dan sebesar manapun penderitaan kita rasakan ketika kita membantu mereka, hal itu tidak akan dapat membalas jasanya.

Ketika Abdullah bin Umar melihat seseorang mengendong ibunya untuk tawaf di Kaabah dan kemana saja si ibu inginkan, orang itu bertanya: “Wahai Abdullah bin Umar, dengan perbuatanku ini apakah aku sudah membalas jasa ibuku?” Jawab Abdullah bin Umar: ”Belum, setitis pun engkau belum dapat membalas kebaikan kedua-dua orang tuamu.”

Tidakkah kita ingin diluaskan rezeki dan dipanjangkan umur oleh Allah? Sabda Rasulullah s.a.w: “Barang siapa yang suka diluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya maka hendaklah ia menyambung tali siratulrahim.” (Hadis Riwayat: Bukhari, Muslim, Abu Dawud) sesungguhnya ibu bapa keluarga terdekat kita. Mereka mempunyai hak yang lebih untuk kita dahulukan dalam masalah silaturahim.

Mereka selalu berada di sisi kita baik ketika bahagia mahupun duka, berkorban dan selalu menolong kita lebih daripada teman kita. Lalu masih enggankah kita membalas segala pengorbanan mereka? Berbuat baik kepada ibu bapa adalah keharusan, bahkan harus didahulukan daripada fardu kifayah serta amalan sunnah lainnya-didahulukan daripada jihad dan hijrah di jalan Allah. Pun harus didahulukan daripada berbuat baik kepada isteri dan anak.

Taatilah mereka dan janganlah kita menentang kedua-duanya sedikit pun kecuali apabila mereka memerintah kita supaya berbuat maksiat. Rasulullah bersabda bermaksud : “Tidak ada ketaatan bagi makhluk apabila pada saat yang sama bermaksiat kepada Sang Pencipta.”

Firman Alah bermaksud: “Dan kami perintahkan kepada manusia (nerbuat baik) kepada orang tuanya; ibunya mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah dan menyusunya kepada-Ku dan kepada kedua orang tuamu. Hanya kepada-Ku tempat kembalimu. Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan dengan Aku sesuatu yang tidak ada pengetahuannya mengenai itu, maka janganlah kamu mentaati keduanya dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku, kemudian hanya kepada-Kulah kembalimu, maka Ku beritahukan kepadamu apa yang kamu kerjakan.”(Surah Luqman:14-15)

Ingatlah bahawa seburuk manapun ibu bapa kita, kita tetap tidak akan membalas semua jasa mereka. Yang perlu kita lakukan hanyalah tidak mentaati ibu bapa ketika mereka menyuruh kita untuk bermaksiat. Tidakkah kita ingin menikmati kebenaran dan keindahan Islam bersama mereka? Tidakkah kita inginkan kebaikan dan keselamatan bagi mereka sebagaimana mereka selalu ingin kebaikan dan keselamatan bagi kita? Tidakkah kita ingin agar Allah mempertemukan kita di jannah-Nya.

Justeru, bersabarlah dalam membimbing dan berdakwah pada mereka sebagaimana mereka selalu sabar dalam membimbing dan mengajar kita dahulu. Ingatlah bahawa satu doa mustajab adalah doa daripada seorang anak yang soleh untuk orang tuanya.

Sabda Rasullulah bermaksud: “Apabila manusia mati, putuslah amalnya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakan orang tuanya.” Dalam hadis lain, Rasulullah bersabda bermaksud: “Sesungguhnya Allah pasti mengangkat darjat bagi hamba-Nya yang boleh ke syurga.” Maka ia bertanya: “Ya Allah, bagaimana itu boleh terjadi? Allah menjawab: “Berkat istighfar anakmu untukmu.”

Diriwayatkan daripada Umar bin Khattab berkata: “Aku mendengar Rasulullah bersabda:”Kelak akan datang kepada kamu sekalian seorang bernama Uwais bin Amir, anak muda yang belum tumbuh janggutnya, keturunan Yaman dari kabilah Qarn. Pada tubuhnya terkena penyakit kusta, namun penyakit itu sembuh daripadanya kecuali tersisa seukuran wang dirham. Dia mempunyai ibu yang dia sangat berbakti kepadanya. Apabila dia berdoa kepada Allah nescaya dikabulkan, maka jika engkau bertemu dengannya dan memungkinkan minta padanya memohonkan ampun untukmu maka lakukanlah.”

Menyedari hakikat ini, janganlah kita enggan untuk berdoa demi kebaikan orang tua kita. Sekeras apapun usaha kita lakukan, apabila Allah tidak berkehendak, nescaya tidak akan terjadi. Hanya Allah lah yang mampu memberi petunjuk dan membukakan pintu hati kedua orang tua kita. Mintalah pada-Nya kerana tidak ada yang tidak mungkin bagi-Nya. Bermohonlah terus pada-Nya dan janganlah bosan meskipun kita tidak tahu bila doa kita akan dikabulkan.

Seandainya Allah tidak berkehendak untuk memberi mereka petunjuk hingga ajal menjemput mereka, ingatlah bahawa Allah tidak pernah menzalimi hamba-Nya. Janganlah berhenti berdoa kerana sesungguhnya doa anak soleh untuk ibu bapanya tidaklah terputus amalannya meskipun mereka sudah meninggal. Semoga Allah menyelamatkan kita dan keluarga kita daripada api neraka serta mengumpulkan kita dalam jannah-Nya.

Kredit: http://www.rileks.info/coollist/penuhi-hak-ibu-bapa-dan-taatilah-ibu-bapa/