Halaman

Selasa, 10 September 2013

Kerajaan akui kelemahan, bukan niat bebankan guru

SHAH ALAM – Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh mengakui wujudnya kelemahan dalam pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang diperkenalkan di sekolah-sekolah pada 2011 telah membebankan golongan pendidik selain daripada tugas mengajar di bilih darjah.
 
Bagaimanapun, beliau memberi jaminan pelaksanaan PBS itu akan ditambah baik dari semasa ke semasa supaya guru tidak tertekan dengan tambahan tugas terbabit menyebabkan mereka hilang minat untuk meneruskan kerjaya terbabit. 
 
"Pelaksanaannya ada sedikit masalah, lebih beri arahan terperinci dan ia menyusahkan guru.
 
"Sistem baru itu baik, cuma pelaksanaan perlu diperbaiki, saya akui kelemahannya," katanya pada program Bicara Minda yang bertajuk 'Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia-Satu Perspektif', di sini, hari ini.
 
Tambah beliau, pengenalan PBS itu bagi memastikan sekolah tempatan tidak lagi berorientasikan kepada peperiksaan dan mata pelajaran, sebaliknya ia berasaskan kepada penilaian pelajar itu sendiri.
 
Katanya, ia bagi menggantikan sistem peperiksaan sedia ada yang juga sebahagian daripada Program Transformasi Pendidikan negara.
 
“Guru akan menilai cara pelajar belajar, berinteraksi dan sebagainya, kemudian direkod penilaian itu secara menyeluruh, bukan peperiksanan semata-mata sahaja.
 
“Keadaan bertambah baik, kita akan pastikan guru tidak terbeban dengan PBS supaya kita boleh mencapai matlamat ke arah sekolah satu pertiga terbaik di dunia,” katanya sambil menyifatkan kerjaya sebagai guru itu merupakan profesional mulia dan murni kerana berupaya mendidik masyarakat ke arah lebih baik.

Sumber : Sinar Harian 10 September 2013

Jumaat, 6 September 2013

Pengambilan guru hanya dari 30% graduan terbaik

KUALA LUMPUR - Profesion keguruan akan menjadi lebih berprestij dan elit apabila pengambilan dibuat hanya dalam kalangan graduan 30 peratus terbaik dalam negara dalam usaha mentransformasi profesion itu menjadi profesion pilihan.

Ini bermakna Kementerian Pendidikan akan meninggikan syarat kelayakan kemasukan ke profesion keguruan bagi memastikan semua guru yang mengikuti setiap latihan perguruan memenuhi syarat minimum kelayakan akademik.

Kementerian turut berhasrat untuk mengubah Institut Pendidikan Guru (IPG) kepada universiti latihan guru bertaraf dunia menjelang 2020 dan menilai semula kurikulum latihan praperkhidmatan semasa bagi memastikan guru bersedia untuk mengajar kemahiran berfikir aras tinggi yang diperlukan murid.

Menurut Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin, mulai tahun ini, guru akan menerima program Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) bagi membantu guru mencapai potensi penuh.

Program CPD itu termasuk latihan komponen teras dan elektif mengikut keperluan pembangunan diri yang akan diberi latihan secara individu daripada penyelia masing-masing.   

Pelan itu turut menyebut, guru boleh memilih laluan kerjaya yang menarik berdasarkan prestasi, potensi dan minat mereka, sama ada memilih untuk menjalankan tugas kepimpinan atau menjadi guru pakar.

Selain itu, guru juga akan dinilai secara tahunan oleh pengetua atau guru besar dengan menggunakan input yang mungkin diberikan oleh rakan sejawat dan menggunakan instrumen penilaian baharu yang memberi tumpuan kepada keupayaan guru menyampaikan pengajaran secara berkesan di dalam dan luar bilik darjah.

Dalam memastikan kepimpinan berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah, kementerian akan menukar kriteria pemilihan pengetua dan guru besar daripada pemilihan berasaskan tempoh perkhidmatan kepada pemilihan yang berfokuskan kecekapan kepimpinan.

Setiap pengetua atau guru besar juga dikehendaki mendapatkan sijil Kelayakan Profesional Kebangsaan bagi Kepimpinan Pendidikan (NPQEL) daripada Institut Aminuddin Baki sebelum boleh dilantik.

Pengetua dan guru besar yang bakal dilantik juga akan mengikuti program pementoran selama satu bulan di bawah bimbingan pengetua dan guru besar yang akan berpindah dan bersara.   

Dalam pada itu, kementerian akan memastikan 100 peratus sekolah memenuhi keperluan infrastruktur asas menjelang 2015, bermula dengan Sabah dan Sarawak bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat, bersih dan kondusif.

Kementerian juga akan melaksanakan prinsip asas yang telus dan saksama dalam pengagihan kewangan dan sokongan lain kepada semua sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan.

Bagi memanfaatkan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam meningkatkan kualiti pembelajaran, kementerian menyediakan akses Internet dan persekitaran pembelajaran maya melalui iBestariNet bagi kesemua 10,000 sekolah menjelang tahun ini. 

Perpustakaan video pengajaran oleh guru cemerlang akan diwujudkan supaya guru boleh menggunakan sumber ini bagi mendapatkan idea dan murid pula dapat menjadikannya sebagai alat ulang kaji. - Bernama


Sumber : Sinar Harian

Khamis, 5 September 2013

10,000 Petugas Akan Ambil Alih Urusan Pentadbiran di Sekolah

KUALA LUMPUR: Urusan pentadbiran sekolah akan diambil alih oleh pembantu pentadbiran secara berperingkat bagi mengurangkan bebanan tugas guru, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata sekurang-kurangnya seorang pembantu pentadbiran akan ditempatkan di setiap daripada 10,000 buah sekolah di negara ini secara berperingkat.
"Kita sudah putuskan 10,000 petugas dihantar secara berperingkat supaya beban guru dapat diserahkan kepada petugas baharu ini bagi menguruskan hal berkaitan pentadbiran.
"Soal pengajaran dan pembelajaran itu masih tanggungjawab guru," katanya dalam rancangan 'Soal Jawab' terbitan TV3 yang dikendalikan oleh Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima Bhd, Datuk Ahmad Talib di sini malam Rabu.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan, berkata langkah bagi mengurangkan bebanan guru itu terkandung di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang akan dilancarkan Jumaat ini.
Beliau berkata pelan itu adalah hasil gabungan pandangan dari semua kelompok termasuk pelajar, pihak berkepentingan dan kumpulan ekstrim bagi memastikan ia dapat meningkatkan pencapaian pelajar dan sistem pendidikan negara setanding dengan negara maju.
"Ini semua terhasil dari kehendak masyarakat dan pakar-pakar pendidikan baik di dalam mahupun di luar negara iaitu dari Korea Selatan, Singapura dan Kanada yang kita jemput untuk berikan pandangan," katanya.
Muhyiddin berkata ada sesetengah pihak yang kurang bersetuju dengan beberapa perkara yang terkandung di dalam pelan itu, tetapi setelah diberikan penjelasan mereka akur dan menyokong pelaksanaan PPPM.
"Dua hari lepas saya ada berjumpa dengan Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong), mereka bertanyakan apakah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) ada lagi lepas pelaksanaan pelan ini, saya jawab ya ada. "Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) pula kata kami nak hapuskan Bahasa Cina, saya kata mana ada di dalam laporan itu yang menyatakan sedemikian," katanya.
Mengenai tuntutan Dong Zong yang tidak mahu menambah waktu pembelajaran Bahasa Melayu di SJKC kerana khuatir pembelajaran bahasa Cina akan terhapus, Muhyiddin berkata bahasa ibunda mereka itu tidak akan terhapus kerana hasrat kerajaan adalah untuk merapatkan jurang penguasaan Bahasa Melayu di antara pelajar Cina di SJKC dengan pelajar Cina yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan.
"Kita hendak rapatkan jurang sebab itu ditambah waktu, kita cadangkan supaya buat jadual waktu yang sesuai untuk menampung kekurangan dan kelemahan mereka, mereka boleh gunakan kelas peralihan untuk perbaiki penguasaan Bahasa Melayu. "Kelompok ini bukannya menentang dan tidak bersetuju dengan PPPM, ada beberapa perkara yang tidak jelas dan mereka fikir kita abaikan tetapi sebenarnya tidak," katanya.
Beliau berkata walaupun 'ribut dan taufan' pelan itu akan dilaksanakan kerana ia adalah hak rakyat dan untuk kebaikan mereka.
"Kita hendak pastikan apa yang telah dirancang jangan ada penghalang ataupun gangguan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pun sudah menyatakan sokongan 100 peratus dengan PPPM dan sudah dimulakan dengan peruntukan-peruntukan khas tambahan," katanya. Muhyiddin berkata beliau akan menyediakan laporan tahunan untuk mengetahui sejauh mana pencapaian pelan itu dalam pelaksanaannya bagi tempoh setahun.
"Kita mahu ketelusan, supaya rakyat tahu apa kemajuan dan kekurangan kita, apa yang saya harapkan dari pelan ini ialah supaya pelajar terdidik dengan ilmu menerusi sistem yang berkualiti serta pembentukan sahsiah bagi melahirkan modal insan yang dapat memberikan bantuan kepada proses pembangunan negara," katanya.
Muhyiddin berkata menerusi pelan itu juga, peranan ibu bapa melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) akan diperkukuhkan kerana mereka juga memainkan peranan penting dalam memastikan kecemerlangan pendidikan anak mereka. "Peranan ibu bapa dalam pelan ini diiktiraf, baru-baru ini kita lancarkan Sarana iaitu toolkit panduan bagaimana ibu bapa boleh memberikan sumbangan dalam membantu sekolah dan anak mereka dalam pembelajaran," katanya.
Beliau berkata kementerian juga akan mengadakan latihan dan kursus kepada PIBG supaya ibu bapa tidak melepaskan sepenuhnya proses mendidik anak mereka kepada guru di sekolah.
Beliau berkata menerusi sistem Bestari Net iaitu sistem internet yang sudahpun diaplikasikan di sekolah-sekolah, ibu bapa juga boleh mengakses internet untuk mengetahui pencapaian anak mereka dalam semua mata pelajaran. -BERNAMA