Halaman

Jumaat, 6 Julai 2012

Klinik Menjulang UPSR SK Pulo 2012

Panatia Bahasa Melayu akan menganjurkan Klinik Menjulang UPSR SK Pulo 2012 pada 10, 11,12, dan 16 Julai 2012. Program ini bertujuan untuk memperlengkapkan murid-murid Tahun 6 dengan kemahiran belajar dan mampu merangsangkan diri sendiri untuk belajar secara lebih berkesan seterusnya mencapai prestasi yang cemerlang dalam bidang akademik.

Program yang bertemakan 'Murid Didahulukan, Menjulang UPSR Diutamakan' menyasarkan semua murid Tahun 6 SK Pulo, Kuching. Berikut adalah jadual program.

10 Julai 2012 (Selasa)
Slot Bahasa Inggeris
Penceramah: En. Glyn ak Tian (SK Astana)

11 Julai 2012 (Rabu)
Slot Matematik
Penceramah: En. Farisan Illahi b Abang (SK Tabuan Hilir)

12 Julai 2012 (Khamis)
Slot Sains
Penceramah: En. Abdul Aziz b Abdul Wahab (SK St. Joseph)


16 Julai 2012 (Isnin)
Slot Bahasa Melayu
Penceramah: Pn. Faridah bt. Rasit (SK Muara Tebas)

Mengapa Doa Tidak Dimakbulkan?


PENAT dah usaha, doa lagi, usaha lagi, doa lagi, usaha lagi. Dah usaha, doa, tawakkal dah. Tapi kenapa tak makbul-makbul lagi apa yang aku nak dapat dalam hidup ni? Orang lain tu macam mudah sahaja dapat apa yang mereka ingini. Aduhai memang tak bertuah kot aku ni?"
Pernah merungut sebegitu? Seakan apa sahaja yang kita nak capai macam susah laluannya, kan? Kadang-kadang sampai putus asa. Pernah rasa begitu?
Saya nak kongsi sedikit pengalaman saya. Pengalaman sangat manis bagi saya apabila Allah SWT tunaikan impian zaman kanak-kanak saya. Allah SWT limpahkan nikmat dua kali ganda pada hajat saya dan wasiat arwah ayah saya.
Impian ini baru sekarang Allah SWT tunaikan. Impian semasa usia saya 12 tahun (sehingga sekarang saya masih simpan impian ini). Selepas 27 tahun baru Allah SWT tunaikan dengan kurniaan berganda.
Dua puluh tujuh tahun dahulu arwah ayah pernah membawa saya ke muzium negara. Kami menaiki bas dari Ulu Yam ke Kuala Lumpur kerana ayah memang tidak mepunyai kereta. Memandangkan arwah seorang konstabel polis, ke mana sahaja laluan bas yang kami naiki adalah percuma dengan sekadar ayah pamerkan badgenya bernombor 26200 pada pemandu mahupun kondukter bas.
"Onn (ini panggilan manja saya) nak pergi muzium kat KL tak?"
"Muzium? KL? Best ke yah?"
"Jomlah ayah bawak. Boleh tengok kapal terbang kat luar muzium tu. Dah tu kita jalan kat lake garden, nak?"
"Bila?" tanya saya teruja.
"Sabtu!" balas ayah saya.
Pada hari Sabtu itu, awal pagi lagi arwah ayah dah bangun. Ditanaknya nasi seusai solat subuh. Kemudian, dia menggoreng ikan kembung rebus cili padi dan belacan dengan kacang panjang. Menu istimewa ikan masak lompok-lompok ini memang terkenal dalam kalangan adik-beradik kami.
Nasi putih yang masih panas ayah letakkan di atas alas daun pisang dan lauk sambal ikan tersebut diletak di atas bucu nasi. Kemudian, ayah balut ia umpama nasi lemak yang besarnya seperti induk ayam.
Ayah bancuh air sirap panas yang kemudiannya dimasukkan ke dalam termos. Inilah bekalan kami nanti kerana kami tidak punya banyak wang untuk makan di restoran. Ayah bungkus teliti dalam beg plastik yang dirapikan dengan balutan getah bulat.
"Siap dah bekalan kita, Onn. Ni nanti bila dah mesra sambal ikan lompok-lompok ni dengan nasi dan harum daun pisang, sedap ni nanti," ucap ayah selesai membungkus bekalan kami kelak.
Kami tiba di muzium. Sambil berjalan-jalan, ayah ceritakan sejarah hampir setiap ruang dan galeri yang kami lewati. Sebagaimana dijanjikan, kami menyusur jalan di belakang muzium negara ke lake garden dan sama-sama kami jamah bekalan nasi bungkus tadi.
"Onn kat sekolah pandai, kan? Nak tak masuk universiti tak nanti bila dah besar nanti?"
"Eh, mestilah," pendek sahaja jawapan saya.
"Kalau ayah bawak ke satu universiti paling best kat Malaysia ni nak tak? Ayah nak bagi semangat kat Onn. Universiti ni orang pandai-pandai aja yang dapat masuk. Macam Onnlah orang pandai." Bersemangat betul ayah mempelawa saya.
Saya mengangguk tanda setuju.
Kami menaiki bas mini di hadapan muzium. Setelah sekitar 15 minit berlalu, ayah menekan loceng dan kami turun dan terus menyeberang jalan. Ayah pimpin tangan saya melewati pintu utama yang dijaga oleh dua orang 'Pakcik Jaga' (ini panggilan kami untuk kakitangan sekuriti).
Saya baca tulisan yang terpapar di pintu gerbang masuk; "Selamat datang ke UNIVERSITI MALAYA," bisik saya dalam hati.
Saya lihat ayah tersenyum.
"Inilah universiti tempat budak-budak pandai tu. Nanti bila dah besar Onn belajar kat sini tau. Tak ramai orang dapat masuk sini. Orang yang hebat-hebat sahaja yang boleh belajar kat sini," ulas ayah pada saya.
Ayah pimpin tangan saya berjalan sekitar kampus. Kami lewati Dewan Tunku Canselor dan tasik kecil di sekitar kampus.
"Onn sukalah universiti ni. Onn mesti belajar kat sini nanti. Ayah suka kan Onn belajar kat sini?"
Ayah saya tersenyum bangga!
Semenjak dari itu hati saya sudah tetap untuk ke Universiti Malaya. Saya tidak tahu kursus apa yang akan saya ambil tapi itulah dia universiti pujaan hati saya. Apatah lagi, semasa saya bersekolah di sekolah asrama Sekolah Teknik Tuanku Jaafar, kawan-kawan semua menggelarkan universiti ini sebagai "Harvard University of Malaysia".
Namun, tak semua yang kita impikan jadi kenyataan, bukan? Kecewanya jiwa saya apabila mengetahui keputusan peperiksaan SPM saya tidak begitu baik, sekaligus tidak melayakkan saya menyambung pelajaran di matrikulasi Universiti Malaya. Walaupun saya mendapat pangkat satu, tapi keputusan untuk subjek matematik dan sains saya sangat teruk.
Saya tahu ayah kecewa. Tapi ayah simpan perasaan itu dengan memujuk saya. Kata ayah, belajar di mana-mana universiti pun sama sahaja. Tak apa, bukan rezeki saya untuk ke Universiti Malaya.
Ramai juga kawan-kawan saya ke Universiti Malaya, terutamanya yang mengambil jurusan perdagangan. Itu tambah mengecewakan saya. Dengan keputusan SPM yang tidak begitu cemerlang, saya hanya diterima melanjutkan pelajaran di peringkat diploma di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Masa ayah, mak dan angah hantar saya mendaftar kursus di UTM Skudai, saya hampiri ayah.
"Ayah, Onn mintak maaf ya, yah. Patutnya kita ke Universiti Malaya, kan? Ayah harap sangat Onn ke sana dulu. Onn ingat lagi, yah. Maaf ya, yah. Onn tak pandai macam Achik. (Achik saya belajar hingga ke UK dan dia sentiasa menjadi inspirasi saya semasa saya kecil.)"
Ayah pandang wajah saya. Tak ada apa yang keluar daripada bibirnya. Dia hanya pandang tepat ke mata saya dan mengusap kepala saya.
Setelah tamat pengajian peringkat diploma, saya meneruskan pengajian peringkat ijazah di UTM. Namun, harapan saya untuk belajar di UM tak pernah padam walau saya tak tahu bila ia akan tercapai. Sehingga ayah meninggal dunia, saya gagal memenuhi impian arwah ayah untuk menuntut di "Harvard University Malaysia".
Tapi Allah SWT maha adil. DIA temukan saya dengan Ain. Ain lulusan sarjana muda jurusan matematik daripada Universiti Malaya. Bukan setakat itu, Ain juga merupakan salah seorang pelajar pintar yang berjaya menamatkan pengajiannya di Universiti Malaya satu tahun awal daripada tempoh pengajian yang ditetapkan.
Allah SWT tidak tunaikan impian saya dan arwah ayah melalui saya. Tetapi Allah SWT penuhi hajat kami melalui Ain. Masya-Allah, hebatnya perancangan Allah SWT, kan? Saya kira tertunai sudah hajat kami. Saya fikir perkara saya dan Universiti Malaya sudah tamat setakat itu.
Akan tetapi, rupa-rupanya Allah SWT tunaikan juga hajat arwah ayah dan impian saya dengan 'double promotion'. Kurniaan limpahan dua kali ganda ini bukan melalui peluang untuk saya menimba ilmu di Harvard Malaysia. Allah SWT beri peluang untuk saya memberi ilmu kepada 29 orang mahasiswa daripada Universiti Malaya untuk menuntut ilmu daripada saya.
Lebih manis apabila Allah SWT terbangkan mereka dari kampus Universiti Malaya (UM) di Kuala Lumpur ke Liverpool John Moores University (LJMU) untuk saya ajari mereka tentang bidang kepakaran saya; pengurusan fasiliti.
Hari ini sesi pertama saya sebagai 'program leader' menerajui 'outbound reach out program' antara UM dan LJMU.
Mereka akan bersama saya selama hampir sebulan dan saya diberikan kuasa penuh untuk merangka program bagi kesemua 29 orang mahasiswa tahun kedua Sarjana Muda Ukur Bangunan daripada Universiti Malaya itu.
Semasa mereka diserahkan kepada saya tadi, hati dan perasaan saya bercampur baur; gembira, terharu, sedih dan sebak. Penuh emosi dalam jiwa ini. Sambil saya tatap 29 wajah anak Malaysia yang merupakan antara pelajar terbaik tanah air itu, saya hela nafas panjang sebelum saya mulakan kuliah pertama saya.
"First and foremost, I wish to welcome you to LJMU. Secondly, I wish to extend my gratitude to all of you for making my late father and my childhood dream a reality today. I have been holding on to this dream for 27 years. I am sure if my late dad was here with us today, he will be smiling at me with a huge sense of pride and happiness."
Kemudian saya ceritakan kepada mereka kisah impian arwah ayah dan saya. Saya tegaskan yang mereka ini antara yang bertuah kerana mereka adalah antara mahasiswa terbaik di Malaysia dan betapa bangganya saya kerana berpeluang berkongsi sedikit ilmu dan pengalaman kepada mereka.
Perkongsian ini khas buat arwah ayah saya, Hj Mohd Noor Bin Habib. Saya mohon maaf kerana agak lambat menunaikan impian ayah. Tapi Allah SWT lipat gandakan kejayaan ini pada impian kita yang tak pernah padam. Saya doakan ayah damai di sana di samping mak dan insan-insan yang beriman. Terima kasih atas segala pengorbanan dan jerih perih ayah membesarkan kami. Walau kadangkala hati ini buta menghargai kasih sayang ayah.
Kepada semua, kadangkala perjalanan kita mencapai impian tidak seperti denai yang kita harapkan. Tapi bersangka baiklah dengan Allah SWT. Ada ketikanya Allah SWT lewatkan sedikit kurniaanNYA kerana DIA mahu memberikan kita suatu yang berlipat kali ganda kejayaannya.
Bersabarlah ya, teman. Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah dan Mengasihani.
Saya akhiri perkongsian dari hati kali ini dengan sedikit nukilan yang saya temui di sebuah blog yang coretannya benar-benar menyentuh hati saya:
"Bila Allah SWT cepat makbulkan doamu, maka DIA menyayangimu,
Bila DIA lambat makbulkan doamu, maka DIA ingin mengujimu,
Bila DIA tidak makbulkan doamu, maka DIA merancang sesuatu yang lebih baik untukmu.
Oleh itu, sentiasalah bersangka baik pada ALLAH SWT,
dalam apa jua keadaan pun kerana kasih sayang Allah itu mendahului kemurkaanNya."


Sumber: iluvislam
(Penulis, Mohd Nazali Mohd Noor merupakan pensyarah di School of the Built Environment, Liverpool John Moores University (LJMU), United Kingdom. Beliau berkongsi karya dihttp://www.facebook.com/mohdnazali.)

Khamis, 5 Julai 2012

21 Teknik Pembelajaran yang Betul dan Berkesan (UPSR/PMR/SPM)


by AH Ramat
Pelajar yang mengamalkan cara belajar yang betul akan lebih mudah mencapai kejayaan berbanding dengan pelajar yang belajar tanpa mengikut tatacara yang bersistem. Berikut ini disenaraikan dua puluh kaedah belajar yang berkesan untuk membantu pelajar berhadapan dunia peperiksaan.
Pertama – Tidak mensia-siakan biar pun seminit
Seorang pelajar yang cemerlang menggunakan masa yang teruang, masa pertukaran kelas, masa menunggu kereta sewa, masa sebelum hidangan makanan. Mereka boleh membaca satu atau dua soalan objektif atau ulangkaji pelajaran yang telah mereka baca.
Kedua – Membawa buku ke mana sahaja mereka pergi
Amalkan sikap membawa buku setiap ketika. Sikap ini bukan bermaksud kita mesti membaca buku tersebut. Kemungkinan diri anda tidak membaca apa-apa , tetapi ia memupuk jiwa bersungguh-sungguh dengan kewajipan terhadap pelajaran. Sikap ini membolehkan anda menyemai budaya belajar yang positif dan sikap bertanggungjawab terhadap pelajaran.
Ketiga – Gunakan masa awal pagi
Gunakan sepenuhnya masa awal pagi untuk mengulangkaji pelajaran yang anda lemah. Pupukan semangat belajar pada awal pagi biar pun anda tidak terasa mahu membaca. Usaha ini akan menyemai semangat yang kental terhadap pelajaran dan membolehkan anda mulakan hari tersebut dengan azam untuk berjaya.
Keempat – Buat nota ringkas
Pelajar yang cemerlang sentiasa membuat nota ringkas. Nota tersebut adalah untuk membolehkan anda merujuk kembali apa yang telah anda baca. Ia tidak menjamin ingatan anda tetapi ia meningkatkan kuasa ingatan anda. Dengan adanya nota ringkas, ulangkaji sehari sebelum peperiksaan menjadi lebih mudah.
Kelima – Mengikut jadual sepenuhnya
Aturkan masa untuk setiap aktiviti yang anda hendak lakukan pada hari tersebut. Patuhi jadual belajar anda tanpa syarat. Jangan ikut perasaan. Biar pun anda tidak suka belajar pada sesuatu masa, buka sahaj buku dan membacanya. Jika anda mempunyai disiplin yang kuat terhadap hidup, anda tidak akan lalai terhadap tanggung-jawab belajar. Pastikan anda peruntukkan masa untuk setiap mata pelajaran pada setiap hari jika anda mahu mencapai kegemilangan dalam semua mata pelajaran.
Keenam – Mencuba soalan tahun lalu
Pelajar cemerlang memperuntukkan masa untuk menjawa contoh soalan setiap hari. Ini akan membiasakan dirinya dengan corak soalan yang sering keluar dalam peperiksaan dan bagaimana menjawabnya. Pelajar yang hanya begitu kepada buku teks tidak akan lulus dengan cemerlang kerana mereka tidak biasa dengan corak soalan peperiksaan.
Ketujuh – Ulang sebanyak kali yang boleh
Setiap fakta yang dibaca akan terus diulang sebanyak yang mampu. Tidak ada had ulangan yang akn dilakukan, Selagi ada masa, anda boleh mengulangi apa yang telah dibaca biar pun anda sudah faham atau sudah mengingatinya. Semakin banyak anda membaca, semakin tinggi keyakinan diri anda untuk lulus dengan cemerlang.
Kelapan – Sentiasa menanya kalau tidak faham
Dekatkan diri dengan guru dan guna setiap kesempatan yang ada untuk menjawab kemusykilan anda. Biar pun anda sudah faham , anda masih boleh menanya. Ini akan menguatkan kefahaman dan ingatan anda. Anggapkan guru anda, kakak atau abang anda, kawan-kawan anda sebagai orang yang boleh membantu anda dalam hal ini.

Kesembilan : Berikan penumpuan pada pelajaran yang lemah

Jika anda lemah dalam bahasa Inggeris atau matematik, peruntukkan masa yang lebih untuk ulangkaji. Elakkan memilih mata pelajaran yang disukai dan abaikan mata pelajaran yang anda kurang suka. Buat tanda pada bahagian yang anda rasa perlu penumpuan lebih. Gunakan simbol dan lorekkan bahagian yang anda anggap penting. Jangan jadikan tidak faham, tidak ingat atau tidak pandai sebagai alasan untuk berhenti ulangkaji.
Ke sepuluh : Mengunjungi perpustakaan
Rapatkan dengan kawan yang mahu belajar. Perhatikan bagaimana mereka belajar dan semarakkan jiwa yang kuat seperti mereka. Tukar pendapat antara satu sama lain. Berikan penemuan dan berkongsi soalan yang anda buat dengan mereka. Ini akan mengaktifan suasana tolong menolong dalam haluan memajukan pelajaran masing-masing.

Ke sebelas : Menjadi model dalam rumah

Jadikan diri anda sebagai contoh kepada adik-adik lain. Beritahu mereka “Jangan membuang masa dengan aktiviti-aktiviti yang tidak menyumbang kepada masa depan.” Semakin anda memberi galakan untuk mereka , semakin tinggi semangat anda untuk menjadi contoh kepada mereka. Apa yang anda serukan akan menjadi panduan dalam hidup anda sendiri.
Ke dua belas : Imbangkan masa kokorikulum dan akademik
Jika anda berada dalam tahun peperiksaan , jangan terlalu menumpukan perhatian pada kokorikulum kerana ini akan melalaikan diri dalam bidang akademik. Jika anda mahu berjaya dalam akademik, anda perlu mempunyai masa ulangkaji yang cukup di rumah. Masa ulangkaji untuk SPM ialah dalam lingkungan 5 jam ke 6 jam sehari. Jika masa minima tersebut tidak dipenuhi, anda mungkin perlu berjaga malam atau bangun pagi.
Ke tiga belas : Belajar mengikut rentak sendiri 
Jangan membandingkan diri dengan pelajar yang mantap dalam prestasi peperiksaan. Anda perlu mebgenal rentak sendiri dan pastikan anda mematuhi rentak tersebut. Jika anda seorang pelupa, pastikan anda mengatur masa ulangkaji kedua atau ketiga pada minggu-minggu yang akan datang. Jika anda perlukan bimbingan tambahan , dapatkan tuisyen.

Ke empat belas : Persiapan minda sebelum ulangkaji 

Lelapkan mata untuk beberapa minit dan wawasankan hidup anda kelak. Apa yang anda hendak capai. Apakah corak hidup yang anda hajatkan. Apakah yang hendak anda berikan kepada ahli keluarga serta ibu bapa anda sebagai tanda kasih sayang dan terima kasih. Adakah anda berhajat hendak mengharumkan nama keluarga dan negara anda ? Apakah kejayaan peringkat remaja yang membanggakan diri anda dan keluarga anda? Bila anda membaca buku, kaitkan dengan hidup anda. Anda bukan sekadar mahu lulus cemerlang dalam peperiksaan , anda mahukan hidup yang baik dan berkualiti.
Ke lima belas : Elakkan gangguan emosi
Semua perkara yang merunsingkan dan mengganggu konsentrasi waktu belajar perlu diketepikan. Beritahu diri anda , “saya tidak relakan masa depan saya tergadai oleh okr yang remeh-temeh ini.” Sebaik pemikiran atau perasaan negatif timbul, tuliskan pada kertas . Layankan semua gangguan ini selepas peperiksaan. Anda boleh gunakan musik latar yang lembut untuk menjadikan suasana belajar lebih menyelerakan (jika sesuai).

Ke enam belas : Kurangkan kerja rumah tangga 

Jika anda pada tahun peperiksaan , maklumkan hajat anda untuk berjaya dan minta adik-adik anda menolong anda dalam beberapa aspek kerja rumah tangga. Amalkan sikap tolong menolong dalam keluarga. Bila masanya mereka yang menduduki peperiksaan SPM, sama-sama menolong dirinya. Budaya berkongsi beban kerja rumah tangga seperti mencuci kasut, menyapu lantai dan lain-lain akan memberi lebih masa untuk anda belajar.
Ke tujuh belas : Rancangkan jadual ulangkaji setahun
Tetapkan ulangkaji anda sehingga bulan September. Sebulan sebelum peperiksaan , anda perlu siap ulangkaji. Pastikan setiap mukasurat dibaca, dan setiap soalan dijawab. Ini boleh dilakukan dengan membahagikan bilangan mukasurat buku dengan bilangan hari yang ada. Jika anda gagal mengulangkaji mukasurat berkenaan pada hari yang ditetapkanm pangkahkan dengan besar menggunakan pensil. Pastikan anda membaca mukasurat ini sebelum peperiksaan tiba. Tapi, sebelum anda membaca mukasurat yang terhutang, pastikan anda telah siap ulangkaji mukasurat yang ditetapkan untuk hari tersebut.
Ke lapan belas : Belajar menyesuikan diri dengan semua keadaan
Biar pun rumah anda bising, panas atau kurang selesa; ia tidak menjadi penghalang untuk anda mengulangkaji. Kadang-kadang , kita perlu belajar menyesuikan diri dengan kekurangan yang ada. Semakin mencabar keadaan anda , semakin besar ujian ketahanan diri anda. Beritahu diri anda , “biar apa yang berlaku, saya tetap dapat menjalankan tugas saya kerana saya seorang yang tahan lasak.”
Ke sembilan beas : Berhati-hati dengan kawan yang tidak sehaluan dengan anda 
Jika anda mahu belajar tetapi rakan-rakan anda tidak suka belajar. Mereka cuba mempengaruhi anda dengan seribu satu jenis kegiatan yang hanya membuangkan masa anda. Berani berkata “tidak” dan menolak mereka dengan lembut. Jangan sekali-kali menjadi mangsa kepada mereka kononnya anda tidak mahu melukakan hati mereka. Jika anda mengikut rentak mereka, anda akan melukakan masa depan sendiri.
Ke dua puluh : Terus belajar biar pun tidak menampakkan kemajuan
Jangan mengukur prestasi anda kerana tidak menampakkan kemajuan yang nyata dalam keputusan peperiksaan sekolah. Setelah berbulan-bulan anda bertungkus-lumus, anda mungkin mahu kemajuan dalam keputusan sekolah. Sebenarnya, penilaian sekolah tidak menggambarkan anda pasti akan lulus atau gagal dalam peperiksaan akhir tahun. Teruskan usaha dan jangan berhenti.
Ke dua puluh satu : Terokai bakat dan minat anda
Sambil anda berjuang untuk peperiksaan SPM, peruntukkan masa juga untuk bidang yang anda hendak ceburi. Mungkin anda minat dengan bidang kedoktoran, baca majalah dan bahan rujukan am yang berkaitan dengan cita-cita anda tersebut. Gunakan bakat anda untuk berbakti kepada keluarga atau sekolah anda. Jika anda minat dalam bidang kejuruteraan, peruntukkan masa untuk belajar membaiki kereta atau anda juga boleh menolong kawan anda membaiki kereta mereka. Kegiatan sedemikian menjadikan makna pembelajaran lebih nyata. Anda tahu mengapa anda belajar kerana anda mempunyai hala tujuan yang nyata.
Kesimpulan 
Belajar adalah suatu seni. Jika anda tahu menguasai seni tersebut , anda boleh berjaya biar pun diri anda mempunyai beberapa kekurangan. Semoga lembaran ini menguatkan ikhtizam anda untuk mencapai prestasi yang lebih cemerlang dalam pelajaran.

Rabu, 4 Julai 2012

UPSR Dah Dekat...



10 Sikap Buruk Manusia Yang Dicela Allah

SYEIKH Abdul Kadir Abdul Mutalib dalam buku tasauf Penawar Bagi Hati menjelaskan mengenai sepuluh celaan Allah kepada manusia akibat dari kelakuan dan tabiat manusia sendiri ketika menempuh kehidupan seharian. Sepuluh celaan itu berdasarkan sepuluh sikap yang lazim dilakukan manusia iaitu:
1. Gelojoh ketika makan

Dalam erti kata lain, seseorang yang kuat dan tidak bersopan ketika makan. Sikap ini juga meliputi maksud makan terlalu kenyang, menyediakan makanan dalam jumlah yang berlebihan, yang akhirnya membawa kepada pembaziran.

2. Banyak bercakap

Allah mencela manusia yang suka bercakap perkara yang sia-sia, fitnah memfitnah, umpat keji dan kata mengata kerana semua jenis percakapan itu menjurus kepada permusuhan dan perbalahan sesama manusia.

3. Suka marah-marah

Kemarahan boleh membuat seseorang itu bertindak di luar batas kemanusiaan. Perbuatan marah akan diikuti dengan maki hamun, mengherdik dan perkelahian yang boleh mengakibatkan kecederaan atau pembunuhan.

4. Hasad dengki

Seseorang yang bersifat dengki sanggup melakukan apa saja dalam bentuk kejahatan atau jenayah. Perbuatan menipu dan sanggup memusnah hidup orang lain adalah antara sifat keji yang lahir dari perasaan hasad dengki. Rasulullah bersabda: `Dengki itu memakan segala kebaikan’ (riwayat Muslim).

5. Kedekut & bakhil

Rezeki yang Allah kurniakan lebih suka disimpan hingga bertimbun banyaknya. Sifat kedekut menghijab (menutup) seseorang dari membelanjakan sebahagian dari hartanya ke jalan kebaikan termasuk menderma, membuat kebajikan kejalan Allah dan membantu orang yang memerlukan.

6. Bermegah-megah

Ia termasuk sikap suka status atau jawatan, gelaran dan menerima sanjungan.

7. Cintakan dunia

Terlalu menghambakan diri kepada perkara duniawi hingga melupakan tuntutan ukhrawi. Rasulullah bersabda: “Bekerjalah kamu di dunia seolah-olah kamu akan hidup seribu tahun, dan beramallah kamu untuk akhirat seolah-olah kamu akan mati esok hari.” (riwayat Bukhari dan Muslim).

8. Ego atau sombong

Sifat membuat seseorang merasakan dirinya mempunyai kelebihan dalam banyak perkara dari orang lain hingga mereka lupa bahawa hanya Allah saja yang bersifat maha besar.

9. Ujub dan suka bangga diri

Perbuatan ini ada unsur megah dan sombong dengan kelebihan dan kepandaian yang dikurniakan Allah. Rasa bersyukur tidak ada lagi dalam diri kerana telah diselaputi perasaan ego.

10. Gemarkan pujian atau riak

Manusia jenis ini suka meminta dipuji dalam setiap perkara yang dilakukan. Sikap baiknya, jasa dan baktinya mahu dikenang sampai bila-bila. Ini jelas membayangkan bahawa sikap baiknya selama ini, tidak diiringi dengan kejujuran dan keikhlasan.

* Sepuluh sikap yang dicela Allah ini, jika diamalkan, akan termasuk dalam kategori melakukan dosa besar.


Selasa, 3 Julai 2012

33 Ciri Pelajar Cemerlang


1. Sentiasa yakin pada potensi diri sendiri untuk boleh menempah kejayaan dalam pendidikan.
2. Bersedia memikul tanggungjawab sebagai seorang pelajar yang menjadi harapan agama, bangsa, negara, keluarga dan masyarakat.
3. Memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran semasa mengikuti pengajaran guru.
4. Membuat persediaan awal apabila akan menghadapi peperiksaan tidak kira sama ada ujian bulanan, peperiksaan penggal atau peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM. @}>-`-,–}—-
5. Sentiasa bersiap sedia dalam menghadapi sebarang bentuk ujian atau peperiksaan yang bakal diadakan oleh pihak sekolah (ujian bulanan, peperiksaan penggal) atau oleh pihak kementerian (peperiksaan yang sebenarnya).
6. Menyediakan keperluan peralatan belajar yang mencukupi seperti buku-buku rujukan, buku latihan, alat-alat tulis, nota-nota ringkas dan sebagainya lagi.
7. Menepati waktu belajar yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah seperti datang ke sekolah dalam waktu yang ditetapkan dan pulang hanya setelah dibenarkan. Ini akan melatih pelajar menjadi seorang yang berdisiplin. Apabila sikap disiplin telah tersemai dalam jiwa pelajar, maka mudahlah bagi pelajar untuk mendisiplinkan diri dalam pembelajaran.
8. Mendapatkan bantuan guru atau kawan-kawan sekelas yang lain apabila gagal mengikuti kelas di atas sebab-sebab tertentu. Misalnya apabila pelajar sakit dan tidak dapat hadir ke kelas, pelajar perlulah mendapatkan bantuan kawan-kawan untuk mendapatkan nota-nota pelajaran, atau mendapatkan penerangan guru bagi pelajaran yang telah tertinggal itu.
9. Sentiasa menghormati guru sama ada semasa guru sedang mengajar di dalam kelas atau sewaktu berada di luar kelas. Guru adalah sumber ilmu. Oleh itu sentiasalah menghormati guru yang memberikan kita ilmu.
10. Bersoal-jawab dengan guru untuk memahami pelajaran yang telah diajar. Malah ahli falsafah Yunani yang terkenal bernama Socrates pernah berkata ‘carilah ilmu pengetahuan dengan cara bersoal-jawab’.
11. Sering memberi pandangan dan pendapat dalam proses pembelajaran. Ini kerana dengan cara memberikan pandangan, rakan-rakan pelajar dan pelajar sendiri akan semakin memahami pelajaran tersebut. Amalan ini juga dapat melatih dan mengasah daya ketajaman pemikiran pelajar.
12. Sering berbincang dengan rakan-rakan tentang pelajaran yang telah dipelajari. Ini biasanya dilakukan dalam kelas-kelas perbincangan, kelas tambahan atau dalam kumpulan studi. Perbincangan akan memantapkan lagi kefahaman terhadap sesuatu pelajaran.
13. Menyiapkan tugasan yang telah diberi oleh guru sama ada kerja dalam kelas atau kerja rumah, dalam tempoh yang ditetapkan oleh guru berkenaan. Pelajar yang berjaya adalah pelajar yang sering menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru mereka.
14. Mengadakan kumpulan perbincangan (study group) bersama rakan-rakan yang mempunyai visi dan agenda yang sama iaitu kejayaan dalam peperiksaan.
15. Menjadikan perpustakaan sekolah dan perpustakaan yang lain sebagai gedung ilmu pengetahuan untuk dikunjungi dan mendapatkan buku-buku untuk dipinjam.
16. Membaca akhbar atau majalah-majalah akademik untuk mendapatkan ilmu pengetahuan tambahan.
17. Menonton rancangan televisyen yang sesuai untuk mendapatkan pengetahuan seperti Rancangan Pendidikan, Berita dan lain-lain lagi.
18. Mengadakan ujian dan peperiksaan kendiri (sendiri) seperti dibuat dalam peperiksaan sebenarnya, untuk dijadikan sebagai pengukuhan pembelajaran. Pelajar juga perlu menganggapkan ujian dan peperiksaan yang diambil itu adalah ujian dan peperiksaan yang sebenarnya. Jika gagal bererti anda gagal dalam peperiksaan yang sebenar.
19. Menyediakan jadual waktu untuk merancang pembelajaran pelajar di luar sekolah. Minta nasihat guru atau abang-abang yang berpengalaman untuk mendapatkan corak jadual yang sesuai dan efektif. Jadual ini mestilah dipatuhi.
20. Mengikuti ceramah-ceramah motivasi yang diadakan untuk melahirkan semangat dan keyakinan diri.
21. Mengikuti seminar-seminar peperiksaan yang diadakan bagi memahami teknik-teknik menjawab soalan peperiksaan.
22. Membeli buku-buku rujukan yang sesuai. Ini dapat memantapkan persediaan pelajar. Minta bantuan guru untuk mendapatkan senarai buku-buku rujukan pilihan untuk subjek-subjek tertentu. Ingat pepatah Inggeris, “Don’t judge the book by its cover.” Buku yang kelihatan cantik menawan tidak semestinya baik. Hanya guru yang lebih memahami kualiti sesuatu buku rujukan.
23. Mengikuti kelas-kelas tuisyen untuk menambahkan lagi pengalaman dan kecekapan pelajar dalam pelajaran.
24. Mengadakan lawatan ke pameran-pameran buku yang diadakan.
25. Menyertai pelbagai aktiviti sekolah secara aktif dalam kokurikulum. Badan yang cergas akan menghasilkan otak yang sihat. Otak yang sihat pla akan melahirkan pemikiran yang lancar.
26. Pelajar perlu sanggup menghadapi cabaran luaran yang hebat yang sering cuba mengganggu penumpuan pelajar pada pelajaran atau cuba mengurangkan minat pelajar untuk belajar. Antara cabaran luaran yang dimaksudkan itu adalah hiburan, aktiviti sukan yang berlebihan, amalan suka melepak dan membuang masa dan gangguan kawan-kawan yang suka mengajak pelajar melakukan perkara-perkara yang kurang berfaedah.
27. Menjaga keselamatan diri dengan mengelakkan sebarang bentuk bahaya yang dapat mengancam tubuh fizikal pelajar. Misalnya, jangan bermain dengan api, elektrik atau mercun. Bayangkanlah jika pelajar kehilangan jari tangan kanan dalam kemalangan.
28. Menjaga kesihatan tubuh badan dengan cara menghindari sebarang bentuk penyakit. Jaga keseimbangan makanan. Jangan makan terlalu banyak ‘junk-food’. Hindari makan di gerai-gerai yang kotor atau membeli kueh-kueh yang terdedah tanpa ditutup. Jangan berjaga sepanjang malam. Ini boleh menjejaskan kesihatan.
29. Menjaga dan mengawal pemakanan dengan memakan makanan yang seimbang. Ini akan menjamin kesihatan badan yang baik dan otak yang dapat berfikir dengan lebih lancar. Pilih jenis makanan yang sesuai untuk minda dan kesihatan tubuh badan.
30. Jangan segan untuk menimba pengalaman daripada pelajar-pelajar yang telah berjaya dalam peperiksaan. Jadikan abang-abang dan kakak-kakak yang telah berjaya itu sebagai model atau contoh pelajar cemerlang. Perhatikan ciri dedikasi dan disiplin mereka dalam menghadapi peperiksaan. Pengalaman mereka yang telah berjaya itu sungguh berharga untuk pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan.
31. Bagi pelajar Islam, tunaikan sembahyang lima waktu seperti mana yang telah disyariatkan oleh agama. Bagi pelajar bukan Islam yang lain, lakukan amalan ibadat agama masing-masing.
32. Sentiasa berdoa dan mengharapkan pertolongan daripada Tuhan. Aspek kerohanian ini juga sama penting dengan aspek jasmani dan minda pelajar.
33. Berserah diri kepada Tuhan dan tidak putus asa jika gagal. Apabila menghadapi kegagalan, berusahalah lagi dengan menjadikan kegagalan itu sebagai iktibar dan panduan untuk lebih berjaya. Jadikan semua bentuk kegagalan sebagai pengukuh diri untuk mencari kejayaan yang lebih cemerlang.

Ahad, 1 Julai 2012

Tip 5A UPSR



Ini bukan tips daripada saya sebab anak masih belum peringkat menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tetapi dapat from seorang uncle yang mana anaknya dapat 5A baru-baru ini:
  • Pemakanan sangatlah penting
    • Amalkan makan kismis or kurma di pagi hari sebelum menjamah apa jua makanan. Kan kita tahu ianya banyak khasiat termasuk meningkatkan daya ingatan
    • Susu juga perlu diambil dalam menu kita, selalu le ada minuman ini, tak kira le susu kotak ke, susu bancuh ke, susu apa-apa le
    • Elakkan makan junk food (alamak yang di selalu aja diberi) dan juga air berkabonat (air gas sesetengah orang panggil). Tapi kadang-kadang bolehlah maklumlah bila kita pergi kat fast food layan aja benda alah ni

  • Tumpuan dalam kelas sangat penting, yang ni tak tahu le agaknya macam mana uncle tahu sama ada tumpuan diberi ke tak. Apa-apa pun, bila kita fokus apa yang guru ajar, mudahlah kita ingat

  • Homework perlu disiapkan dengan secepat yang mungkin, so jangan suka tangguh-tangguh. Selain daripada itu, latih-tubi or latihan dengan menggunakan buka tambahan yang boleh kita beli kat kedai pun perlu dibuat. Banyak kali kita buat mudahlah kita fahami subjek tu. Anak uncle tu tak pun pergi tuisyen

  • Tidur mesti awal, maybe dalam pukul 10.00 malam paling lewat. Kalau tidur awal, bangun pun awal so minda kita tak le terburu-buru kan, tenang sentiasa

  • Kena awasi anak-anak dengan sebaik yang mungkin, maklum sekarang ni banyak benda yang boleh melalaikan, i.e. internet, TV dan macam-macam lagi le. At the same time, kita beri le mereka access teknologi ni tapi dengan monitoring daripada kita

  • Pergaulan pun sangat penting sebab kawan kita akan mempengaruhi cara mereka bertindak or berfikir. So pandai-pandai le cari kawan

  • Ambil tahu mengenai pelajaran anak-anak. Kalau boleh rapport @hubungan dengan guru penting, boleh kita bertanyakan khabar mengenai anak-anak di sekolah, apa masalah diaorang dan juga menunjukkan kita care mengenai pelajaran mereka
Rasanya itulah sedikit sebanyak yang saya ingin share, jangan malu-malu boleh tambah.

Sabtu, 30 Jun 2012

Senamrobik Serentak 1MURID 1SUKAN 1MALAYSIA 2012



Backdrop Rasmi Program


Banner Rasmi Program

Bunting Rasmi Program

Design Halaman Dalam Buku Program

Cover Depan Rasmi Buku Program
   
Design T-Shirt Rasmi Program


1.Tarikh : 10 Julai 2012 (Selasa)


2.Masa bermula senamrobik : 8.00 pagi

3.Masa senamrobik adalah selama 35 minit.

4.Peserta seboleh-bolehnya hendaklah melakukan senamrobik mengikut rentak seperti yang disediakan dalam cakera padat.

5.Peserta disarankan untuk melakukan senamrobik sepenuhnya mengikut kemampuan masing-masing.

6.Peserta yang kurang berkemampuan adalah disarankan untuk melakukannya mengikut kemampuan masing-masing.

7.Semua warga Sekolah / IPG / Matrikulasi / murid / pelajar (termasuk murid / pelajar berkeperluan khas dan sekolah swasta), guru, anggota khidmat sokongan; ikon sukan; dan VVIP / VIP yang dijemput oleh sekolah, IPG dan Matrikulasi, Ibu bapa murid/pelajar digalakkan untuk menyertai senamrobik tersebut.

PANDUAN PELAKSANAAN
Bahagian Sukan KPM - Panduan Senamrobik Serentak 1Murid 1Sukan 1Malaysia Peringkat Kebangsaan

Teknik Belajar Matematik Berkesan


1.  Wujudkan minat dalam matematik walaupun tak pandai
2.  Kena Buat Banyak latihanMatematik adalah latihan dan latihan adalah matematik. Maksud saya, matematik adalah satu subjek yang anda perlu buat latihan untuk menguasainya, bukan membaca. (Ada pelajar yang belajar matematik dengan hanya membacanya). Saya berjaya menguasai matematik kerana saya buat latihan. Semakin banyak latihan saya buat, saya jadi semakin cekap.
3.       Kena Displin. Matematik adalah matapelajaran yang memerlukan disiplin. Walaupun anda faham topik tertentu, anda tidak akan dapat menjawab dalam masa yang diberikan jika anda tidak mendisiplinkan diri untuk menjawab soalan matematik. Setiap kali anda berlatih menjawab soalan matematik, catat masa yang anda ambil. Selalunya anda ada masa kurang daripada 3 minit untuk menjawab satu soalan. Jadi, cuba kejar masa itu, maksud saya, cuba latih menjawab dengan secepat mungkin.
4.       Hafal Sifir. Perlu HAFAL SIFIR! Saya tahu ramai pelajar yang merungut tentang perkara ini. Ada pelajar tingkatan lima yang diuji dengan sifir 7 pun tidak lepas. Alasan mereka, mereka boleh guna mesin kira, mengapa perlu ingat sifir? Persoalannya ialah, hafal sifir bukan sahaja untuk mengetahui berapa 5 x 5 dan berapa 12 x 7. Tetapi, menghafal sifir akan membuat otak anda lebih cepat dan cekap mengira. Kalau asyik bergantung kepada mesin kira, daya pemikiran anda akan semakin lemah kerana tidak ada usaha yang dilakukan oleh otak anda. Lihat mereka yang handal matematik, pasti mereka cekap juga dalam sifir.
5.       Azam yang kuat untuk Berjaya dan menguasai matematik. Matematik ialah subjek yang seronok apabila anda minat dan mula menguasai. Anda akan puas hati dan paling gembira apabila berjaya selesai masalah.

Isnin, 25 Jun 2012

Permohonan Online Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) Dan Cuti Belajar Bergaji Penuh Tanpa Biasiswa (CBBP TB) Tahun 2013

TATACARA DAN PANDUAN PERMOHONAN HLP DAN CBBP TB
ARAHAN :
Semua pemohon diminta membaca dengan teliti dan memahami serta mematuhi tatacara/panduan permohonan yang telah ditetapkan.


Tatacara Permohonan

1. Calon-calon yang memenuhi syarat-syarat boleh membuat permohonan secara online. Permohonan ini dibuka kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) yang berkhidmat dengan Kementerian Pelajaran Malaysia dan ianya boleh dibuat melalui laman web Kementerian Pelajaran Malaysia di alamat URL seperti berikut:http://www.moe.gov.my

2. Calon hanya dibenarkan menghantar satu (1) permohonan sahaja.
3. Calon-calon adalah diingatkan agar memahami tatacara dengan teliti serta memasukkan kod-kod yang betul. Kesilapan mengisi borang akan mengakibatkan permohonan ditolak.
4. Permohonan yang tidak lengkap atau maklumat yang mengelirukan, boleh mengakibatkan permohonan anda ditolak.
5. Calon dinasihatkan supaya mencuba capaian permohonan online ini pada waktu yang yang lain jika percubaan pertama gagal atau tidak berjaya pada ketika itu. Ini adalah kerana ada kemungkinan berlaku kesesakan laluan capaian kepada laman web tersebut.
6. Setelah mengisi permohonan secara online, calon-calon dikehendaki mencetak permohonan tersebut iaitu Borang KPM(LDP)1/2013/1A (bagi permohonan HLP) dan KPM(LDP)1/2013/3A (bagi permohonan CBBP TB) serta memuat turun Borang KPM(BT)LD 2/2010 dan SENARAI SEMAK .
7. Borang yang telah dicetak hendaklah dihantar kepada Bahagian Tajaan melalui Ketua Jabatan bersama dengan dokumen berikut :-
a) Borang KPM(BT)LD 2/2010;
b) Satu (1) salinan kad pengenalan pegawai yang disahkan;
c) Satu (1) salinan Kenyataan Perkhidmatan yang lengkap dan dikemaskini yang telah disahkan. Sila pastikan kenyataan perkhidmatan mengandungi maklumat-maklumat berikut:
- tarikh lantikan ke jawatan DG41/DG3
- tarikh pengesahan jawatan DG41/DG3
- maklumat cuti belajar (jika pernah diluluskan cuti belajar)
- tarikh kelulusan perisytiharan harta yang terkini;
d) Satu (1) salinan Borang Umur Opsyen Persaraan Paksa
(di bawah Pekeliling Perkhidmatan Bil. 13 Tahun 2011);
e) Satu (1) salinan sijil SPM/MCE (atau yang setaraf dengannya) yang disahkan;
f) Satu (1) salinan Ijazah Pertama yang disahkan;
g) Satu (1) salinan Ijazah Lanjutan (bagi permohonan peringkat Kedoktoran) yang disahkan;
h) Satu (1) salinan transkrip Ijazah Pertama yang disahkan;
i) Satu (1) salinan transkrip Ijazah Lanjutan (bagi permohonan peringkat Kedoktoran) yang disahkan;
j) Satu (1) salinan surat lantikan ke jawatan DG41/DG3 yang disahkan;
k) Satu (1) salinan surat pengesahan jawatan DG41/DG3 yang disahkan;
l) Satu (1) salinan surat kelulusan perisytiharan harta yang terkini yang disahkan; dan
m) Senarai semak.
semua sijil atau dokumen yang telah dihantar tidak akan dikembalikan semula)

8.Permohonan yang tidak mematuhi syarat / borang dan dokumen yang tidak lengkap / tidak mengisi permohonan secara online akan ditolak.
9. Semua dokumen-dokumen permohonan seperti yang disebut di atas yang telah lengkap hendaklah dihantar kepada :-

Setiausaha Bahagian
Bahagian Tajaan Pendidikan
Kementerian Pelajaran Malaysia
Aras 1, Blok 2251, Jalan Usahawan 1
63000 Cyberjaya
Selangor Darul Ehsan
(up : Cawangan Latihan Dalam Perkhidmatan)

Tel: 03-83217100/7144/7145/7135/7140/7138/7137/7136
Faks: 03-83217103

Perhatian :-
a) Permohonan online dibuka mulai 04 Jun 2012 (Isnin) sehingga 04 Julai 2012 (Rabu).
b) Borang permohonan ini hendaklah dihantar kepada Bahagian Tajaan Pendidikan selewat-lewatnya pada 13 Julai 2012 (Jumaat).
c) Sila tandakan Sarjana atau Kedoktoran (mengikut peringkat pengajian permohonan) di SEBELAH ATAS KANAN sampul surat.

PERMOHONAN ONLINE
Sila pastikan anda telah membaca Pengenalan, Tatacara Permohonan dan Syarat-syarat Permohonan Program sebelum mengisi Borang Permohonan Online.