Halaman

Sabtu, 13 November 2010

Mata Pelajaran "Dunia Sains Dan Teknologi" untuk Tahun 1 mulai 2011

Sumber : Berita Harian
Tarikh : 12 November 2010

Mata pelajaran baru, Dunia Sains dan Teknologi akan diperkenalkan bagi murid Tahun Satu mulai tahun depan untuk menggantikan subjek Sains di bawah Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Mata pelajaran baru itu akan memberi pendedahan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) secara praktikal atau `hands-on’ bermula Tahun Satu, sekali gus membolehkan mereka memanfaatkan ilmu itu merentasi kurikulum untuk pembelajaran subjek lain. Selain itu, mereka juga akan mempelajari asas sains hayat, sains fizikal dan sains bahan yang diberi penilaian berasaskan sekolah melalui kaedah pemerhatian secara berterusan serta pelbagai pendekatan meliputi secara bertulis dan projek ditentukan guru.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohamed Sabri Mohd Arsad, berkata guru yang terbabit dalam subjek baru itu sudah mula menjalani kursus peringkat daerah. Mengikut sukatan pelajaran Dunia Sains dan Teknologi, murid Tahun Satu akan didedahkan kepada penguasaan ICT bagi enam minggu pertama yang memfokus kepada kemahiran menggunakan aplikasi dan program komputer. “Pada dua minggu pertama, murid akan mempelajari Microsoft Word, diikuti Microsoft Power Point pada minggu ketiga dan keempat, manakala minggu kelima dan keenam pula didedahkan kepada Painting. “Bagaimanapun, penguasaan kemahiran ICT ini tidak akan dinilai sebagai subjek peperiksaan, sebaliknya didedahkan kepada murid Tahun Satu sebagai menyuntik nilai tambah dari segi kreativiti dan inovasi.

“Selepas pendedahan enam minggu, murid akan mengasah dan memantapkan kemahiran dikuasai itu secara berterusan dan menggunakannya merentasi kurikulum untuk membantu keberkesanan pembelajaran mata pelajaran lain,” katanya kepada Berita Harian, semalam. Dari segi pengisian kurikulum Sains pula, Mohamed Sabri berkata, sains hayat akan mendedahkan murid Tahun Satu kepada pembelajaran objek hidup seperti manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan, manakala sains fizikal berkaitan semua jenis deria, dan sains bahan pula membabitkan teknologi serta kehidupan lestari yang merangkumi cipta bahan dan reka bentuk. “Pengajaran subjek Dunia Sains dan Teknologi untuk murid Tahun Satu ini membabitkan dua waktu seminggu di mana mereka akan banyak terdedah kepada proses pembelajaran menyeronokkan menerusi kaedah inkuiri, iaitu secara dapatan dan penemuan menarik,” katanya.

Bagaimanapun bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar, Mohamed Sabri berkata, Kementerian Pelajaran perlu bertindak proaktif melengkapi semua sekolah rendah dengan kemudahan makmal komputer atau sekurang-kurang peralatan komputer di setiap kelas Tahun Satu menjelang sesi persekolahan tahun depan. “Masih ada sekolah rendah yang tidak memiliki kemudahan makmal komputer atau peralatan itu di bilik darjah. Sekiranya tidak ditangani segera, dikhuatiri akan menjejaskan matlamat pelaksanaan KSSR,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan