ISUNYA remeh namun sikap segelintir guru subjek teras yang memandang rendah terhadap guru subjek pilihan sangat dikesali.
Meskipun kedua-duanya berperanan sama penting, sikap suka bertanding atau membeza-bezakan antara satu sama lain mampu mencetuskan konflik dan mewujudkan pertelingkahan.
Apatah lagi jika masing-masing cuba mengangkat diri sendiri seolah-olah yang terbaik hingga menjadikan pelajar mangsa keadaan dan tersepit membuat pertimbangan.
Walaupun masih belum ketara, fenomena ibarat api dalam sekam ini perlu dicantas awal supaya tidak ‘meletup’ hingga mampu menjejaskan kredibiliti warga pendidik sekali gus mencalar integriti perguruan.
Persoalannya, mengapa situasi remeh ini perlu berlaku sedangkan sekolah seharusnya menjadi institusi bersih, bebas daripada konflik dan emosi, manakala guru hanya perlu fokus terhadap pembangunan ilmu serta kejayaan pelajar.
Pengerusi Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia, cawangan Kedah, Anuar Husin, berkata sikap suka memperlihatkan kepentingan dan keutamaan menjadi faktor kewujudan pertelingkahan meskipun semua guru berperanan sama penting dalam proses penjanaan ilmu.
Menurutnya, situasi bertambah buruk apabila ibu bapa terlebih memberi perhatian dan penghargaan kepada guru subjek teras hingga guru subjek pilihan seolah-olah guru terpinggir.
“Apabila hanya segelintir guru saja mendapat pujian, sudah tentu perasaan kurang senang wujud di kalangan guru lain. Lebih runcing jika ibu bapa hanya nampak sumbangan satu pihak yang lebih mendominasi.
“Senario ini tidak normal jika ingin menjadikan sekolah sebagai medan ilmu kerana pertembungan ketidakpuasan hati akan menimbulkan protes dan rasa persaingan tidak sihat. Masing-masing ingin membuktikan dialah yang terbaik.
“Sedangkan sumbangan semua guru sama dan perlu menyokong antara satu sama lain tanpa iri hati. Ini sekolah yang mendokong falsafah pendidikan negara, bukan medan ‘pertarungan’ untuk keluar sebagai wira,” katanya.
Tanggapan hanya subjek teras penting dalam mekanisme pendidikan negara perlu diubah kerana kini subjek pilihan turut menentukan kelayakan pelajar melanjutkan pengajian ke peringkat institusi pengajian tinggi.
Ia juga alternatif membantu pelajar mengenali potensi diri dan mencungkil bakat dalam bidang tertentu yang boleh membantu pemilihan kerjaya masa depan.
Beliau berkata penentuan sama ada subjek teras atau pilihan yang membantu melonjakkan prestasi pelajar adalah subjektif kerana setiap individu berbeza.
“Ada pelajar boleh cemerlang dalam akademik, ada pula sebaliknya, justeru bagaimana mungkin jika ada menyatakan hanya guru tertentu saja boleh menjana kecemerlangan pelajar?
“Subjek teras atau pilihan diwujudkan bertujuan mengimbangi keperluan pelajar supaya tahu dan mengenali potensi masing-masing. Jika guru bertelagah atau dilanda perasaan iri hati, bagaimana nasib pelajar ini yang memerlukan bimbingan?
“Sebenarnya rasa kepentingan subjek itu tidak penting kerana pengakhirannya hanya menjurus pada satu matlamat saja iaitu kecemerlangan dan kejayaan pelajar,” katanya.
Pelajar katanya akan silih berganti namun guru masih perlu menjalankan tugas hingga akhir hayat.
“Simboliknya, sama ada guru subjek teras atau tidak, mereka hanya perlu melaksanakan tugas dengan baik. Mengapa mesti ada perbalahan atau kekecohan kerana isunya sangat remeh dan memalukan.
“Guru, ibu bapa, sekolah atau masyarakat sendiri seharusnya menilai dan meletakkan matlamat bagaimana mahu menjadikan pelajar itu berjaya dalam semua bidang, bukan menjadikan mereka tersepit di tengah kemelut perbandingan,” katanya.
Meskipun mengakui kepentingan masyarakat hari ini lebih menjurus kepada akademik, beliau berkata pilihan lain juga perlu diseimbangkan.
“Bukan semua pelajar mampu berdepan tekanan atau mampu merealisasikan kecemerlangan menerusi pencapaian akademik. Subjek pilihan boleh menjadi alternatif bagi membantu meredakan tekanan.
“Malangnya masyarakat tidak faham dan tetap mahukan kecemerlangan akademik, guru pula dihambat masalah persaingan. Dihantui situasi ini, bolehkah pelajar berjaya?
“Kepentingan bukan membuat penilaian pada guru namun menjaga kebajikan pelajar selain menjadikan sekolah bebas daripada konflik,” katanya.
Pada masa sama, masyarakat terutama ibu bapa perlu mengubah mentaliti dan bersama memberi sokongan padu kepada guru tanpa perlu membuat penilaian peribadi.
Ibu bapa, katanya, perlu akur semua guru berperanan dalam melonjakkan frekuensi pelajar dan tiada mahu melihat kegagalan.
Guru pula mengetepikan perasaan cemburu atau ego dan bersikap profesional dalam menjalankan tanggungjawab.
“Masyarakat tidak perlu memberi label tertentu kepada guru sebaliknya perlu anggap diri mereka sumber kejayaan anak. Manakala guru tidak perlu mendabik dada sebaliknya menunjukkan integriti tinggi dan profesional.
“Dengan cara ini mereka lebih dihormati. Jadikan sekolah tempat harmoni bukan meraih populariti,” katanya.
Guru muzik di SM Asma (SAS), Kedah, Khairil Fauzi Ali, berpendapat subjek pilihan juga penting bagi menceriakan pelajar sewaktu proses pembelajaran.
“Subjek pilihan boleh menjadi penawar dan boleh menjadi mekanisme meredakan tekanan. Saya berpendapat, jika pelajar seronok datang ke sekolah, masalah ponteng tidak akan berlaku.
“Di negara barat, mereka menggunakan cara ini untuk membina kemahiran diri juga sebagai persediaan menjalani kehidupan, tidak salah kalau mencontohinya,” katanya.
Sebaliknya, guru subjek teras di sebuah sekolah di Alor Star, Azahar Hashim, berkata tidak salah ibu bapa memberi sedikit kelebihan kepada guru subjek itu kerana mereka lebih tertekan.
“Kami sentiasa tertekan kerana sering dipantau pengetua mengenai pencapaian pelajar, kebanyakan ibu bapa juga lebih mementingkan akademik.
“Tidak salah, kami memperoleh lebih penghargaan daripada ibu bapa sebagai membalas usaha memastikan pelajar cemerlang dalam peperiksaan,” katanya.
INFO
Subjek teras merujuk kepada subjek wajib dipelajari dan diambil dalam peperiksaan. Terdapat enam subjek teras seperti tercatat dalam Akta Pendidikan 1996 iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Sains, Matematik dan Pendidikan Islam/Pendidikan Moral.
Subjek pilihan pula lebih dikenali sebagai subjek elektif yang merangkumi pelbagai subjek seperti kajian tempatan, bahasa, perakaunan, ekonomi, kemahiran hidup dan sebagainya. Sumber: Harian Metro