Halaman

Jumaat, 4 Mac 2011

Teknik Belajar Matematik

1. Ada beberapa perkara yang kita boleh belajar tentang Matematik. Satu, kalau nak pandai Matematik, kita kena suka matapelajaran tu. Habis, kalau kita dah memang tak suka macam mana? Caranya, mula-mula buat-buat macam kita sukakan matapelajaran tu. Kita macam berlakon sikit yang kita suka subjek tu. Kemudian, mula buat latihan sedikit demi sedikit. Tak perlu terus mula dengan 100 soalan. Bukan apa, takut terkejut nanti lepas tu terus makin benci.

2. Matematik adalah latihan dan latihan adalah Matematik. Maksud saya, Matematik adalah satu subjek yang anda perlu buat latihan untuk menguasainya, bukan membaca. (Ada pelajar yang belajar Matematik dengan hanya membacanya). Saya berjaya menguasai Matematik kerana saya buat latihan. Semakin banyak latihan saya buat, saya jadi semakin cekap.

3. Matematik adalah matapelajaran yang memerlukan disiplin. Walaupun anda faham topik tertentu, anda tidak akan dapat menjawab dalam masa yang diberikan jika anda tidak mendisiplinkan diri untuk menjawab soalan Matematik. Setiap kali anda berlatih menjawab soalan Matematik, catat masa yang anda ambil. Selalunya anda ada masa kurang daripada 3 minit untuk menjawab satu soalan. Jadi, cuba kejar masa itu, maksud saya, cuba latih menjawab dengan secepat mungkin.

4. Anda perlu HAFAL SIFIR! Saya tahu ramai pelajar yang merungut tentang perkara ini. Ada pelajar tingkatan 5 yang saya uji dengan sifir 7 pun tidak lepas. Alasan mereka, mereka boleh guna mesin kira, mengapa perlu ingat sifir? Persoalannya ialah, hafal sifir bukan sahaja untuk mengetahui berapa 5 x 5 dan berapa 12 x 7. Tetapi, menghafal sifir akan membuat otak anda lebih cepat dan cekap mengira. Kalau asyik bergantung kepada mesin kira, daya pemikiran anda akan semakin lemah kerana tidak ada usaha yang dilakukan oleh otak anda. Lihat mereka yang handal Matematik, pasti mereka cekap juga dalam sifir.

5. Akhir sekali, anda perlu ada azam dan kemahuan untuk jadi hebat dalam subjek Matematik. Jika anda kisah tidak kisah, sukar untuk anda kuasai subjek ini. Insyaallah saya akan kongsikan lagi di masa akan datang petua-petua untuk menguasai matapelajaran matematik ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan