Halaman

Selasa, 27 Disember 2011

Surat Pembaca: Bentuk sistem persekolahan negara berteraskan nilai murni, bukan pasaran

SISTEM persekolahan di Malaysia memerlukan perubahan sepenuhnya, iaitu daripada sistem mengutamakan pasaran kepada pendidikan yang mementingkan nilai moral.

Masalah pendidikan yang sedia ada berpunca daripada pemilihan pendidikan dengan matlamat yang kurang tepat. Sistem persekolahan yang lebih memberi tumpuan kepada pasaran dan pekerjaan yang akan diceburi memenuhi permintaan pasaran tanpa menitikberatkan keperluan masyarakat atau individu.

Kurikulum dibentuk oleh keperluan pasaran yang tidak semestinya bagus atau bermanfaat dalam membentuk masyarakat yang harmoni. Pelajar diajar bersaing, bukan bekerjasama. Berada di depan walau dalam apa cara sekalipun menghasilkan nilai terburuk bagi ibu bapa, guru dan pelajar sendiri. Ingatlah terlalu memberi tumpuan kepada seorang pelajar yang cemerlang menurunkan taraf 49 pelajar lain sebagai mereka yang gagal. Ini lebih menjarakkan ketidaksamarataan dan menghalang akses yang setara kepada sumber pendidikan.
Kami amat menyokong gesaan dibuat Prof Dr Abu Bakar Nordin, dari Persatuan Pendidikan Malaysia, supaya sistem pendidikan semasa disemak secara menyeluruh.

Kita amat perlu menukar kepada sistem pendidikan yang mengutamakan nilai murni dan mementingkan alam sekitar di mana kanak-kanak akan belajar secara percuma dan dengan sukarela mengenai diri mereka sendiri, masyarakat dan alam dalam usaha untuk hidup secara harmoni dengannya.

Sehubungan itu, kami menyarankan pembentukan satu sistem pendidikan baru dengan memberi perhatian kepada prinsip yang berikut:

  • Matlamat pendidikan sepatutnya belajar untuk hidup secara berharmoni dan mewujudkan masyarakat yang hidup dalam suasana aman damai;
  • Sukatan pelajaran perlu termasuk mempelajari kemahiran hidup, antaranya kemahiran sosial dan emosional selain kemahiran mencari wang untuk menyara hidup;

  • Kaedah mendidik mesti menjurus kepada pembabitan diri, bukannya dengan memberikan hadiah dan menerima hukuman;

  • Infrastruktur dan kemudahan diperoleh dengan sama rata oleh semua;

  • Sistem penilaian perlu dijadikan suatu usaha murni dan membantu, bukannya dengan mengukur prestasi, membuat penghakiman dan membuat rungutan; dan

  • Memberi latihan kepada guru-guru ke arah membentuk keperibadian diri, bukan menghasilkan mesin.

    Sistem pendidikan yang baru:

    Berdasarkan prinsip dinyatakan tadi, kita akan menikmati Sistem Persekolahan Berkelompok baru berasaskan budaya, dengan memberi tumpuan kepada sahsiah kanak-kanak dan nilai murni di mana:

  • Setiap kejiranan akan memiliki infrastruktur yang penting dengan sama rata di mana setiap kanak-kanak mendapat kemudahan belajar yang sama rata juga;

  • Sukatan yang seragam di seluruh negara, yang mencerminkan pembelajaran mengenai keharmonian dalam hidup. Ia sepatutnya berasaskan komuniti dan mesra persekitaran;

  • Kaedah mengajar-belajar yang memberi tumpuan kepada kanak-kanak akan dipantau dari peringkat sekolah rendah hingga ke universiti. Ia akan berpusat kepada menyoal diri sendiri dan menemui diri sendiri dengan meningkatkan keyakinan diri dan imej diri yang lebih tinggi nilainya;

  • Menilai tahap pembelajaran adalah suatu keperluan. Namun ia tidak sepatutnya hingga ke tahap menyusutkan pencapaian pelajar, sebaliknya akan menyediakan kanak-kanak ke arah memahami karektor individu, kepintaran, kemahiran dan sikap di samping mengetahui proses kemasyarakatan yang berlaku; dan

  • Guru adalah umpama ibu bapa yang membimbing dengan lembut anak ke arah mengenali diri mereka sendiri demi mencapai komuniti yang hidup aman damai dan mesra alam.

    SM MOHAMED IDRIS,
    Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang.

    Sumber: Berita Harian Online 27/12/11
  • Tiada ulasan:

    Catat Ulasan