Halaman

Isnin, 25 Jun 2012

Demokrasi pendidikan lonjak transformasi


SEBAK di dada apabila Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin memperkenalkan Profesor Usuluddin, Fakulti Pengajian Islam UKM, Prof Zakaria Stapa dalam syarahan pengenalannya.
Ketika menyampaikan Syarahan Perdana Keprofesorannya, Sharifah Hapsah menegaskan Zakaria datang daripada keluarga ‘kaya’, tetapi kaya dengan kekurangan dan kesusahan dalam kehidupan.
Kedua-dua ibu bapa Zakaria bekerja sebagai buruh dengan pendapatan yang sedikit itulah Zakaria dan lima adik beradiknya yang lain dibesar dan diberi pendidikan. Kini, tiga daripadanya bekerja di universiti sebagai pensyarah, satu pencapaian membanggakan yang amat jarang berlaku dalam masyarakat kita. 

Ibu Zakaria juga pernah ditempelak seorang penjawat awam di kampungnya yang merendahkan kebijaksanaannya kerana menghantar Zakaria ke sekolah agama rakyat yang dianggap menyebabkan anak itu tiada masa depan. 

Dalam erti kata lain, ‘gelaplah masa depan.’ Namun, tiada siapa yang mampu meneka, selepas 40 tahun kata nista itu dihamburkan, Zakaria muncul sebagai seorang profesor yang buah pemikirannya turut digarap sebagai batu asas yang dijadikan landasan menggubal dasar negara dalam persoalan Islam dan permasalahan sosial yang melanda masyarakat.

Syarahan Perdana Profesor adalah tradisi ilmu di UKM yang berlangsung sejak awal 1970-an dengan penyampai pertamanya, Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas. Syarahan itu adalah syarahan pengukuhan seorang profesor terhadap bidang keilmuan yang menjadi kepakarannya. Naib Canselor pula sebelum mempersilakan seseorang profesor menyampaikan syarahannya, memberikan pidato pengenalan mengenai latar diri profesor berkenaan. 

Prof Dr Mohd Pauzi Abdullah dari Fakulti Sains dan Teknologi pula dimaklumkan oleh Naib Canselor sebagai anak seorang tukang jahit dan penjual ikan di Pasir Mas, Kelantan. Walaupun hidup dalam serba kekurangan, beliau berupaya menjadi kebanggaan ibu bapa malah masyarakat Pasir Mas, sebagai seorang pakar dalam bidang kimia dan pengurusan alam sekitar. Penyelidikan mutakhirnya ialah mengenai kualiti air, termasuk keselamatan air untuk diminum.

Tidak kurang deritanya kehidupan Dr Idris Zakaria, profesor bidang falsafah dan pemikiran Islam di Fakulti Pengajian Islam. Anak penoreh getah dan pesawah padi itu, ketika era kanak-kanaknya menjual daun dan isi pinang bagi membantu mengurangkan kesusahan hidup keluarganya.

Demikian juga, Dr Abdul Ghafar Ismail, Profesor Ekonomi dan Kewangan Islam di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan berasal daripada keluarga susah di Johor. Kesusahan itu dapat digambarkan dengan ketikanya apabila beras habis, beliau sekeluarga makan ubi dengan kelapa parut atau ikan masin. 

Siapa pula yang menyangka bagi buruh kilang papan mempunyai 10 anak di Kampung Pulau Rusa Terengganu, seorang daripada anaknya kini muncul sebagai profesor dalam bidang sains marin. Dr Che Abdul Rahim Mohamed daripada Fakulti Sains dan Teknologi yang merentas sebahagian lautan di dunia kerana menjalankan penyelidikan yang amat diminati itu adalah penyelidik yang amat tekun dan dikenali oleh pakar keserakanan seluruh dunia.

Cerita ini adalah sekadar mengambil beberapa contoh kejayaan ilmuwan yang didorong oleh kesukaran dan kemiskinan keluarga. Ini menunjukkan bahawa kemiskinan ekonomi tidak semestinya turut membentuk kemiskinan jiwa, semangat dan perjuangan merentas cabaran kehidupan yang menghambat kejayaan masa hadapan yang dapat pula mengangkat kedudukan keluarga kepada strata sosial lebih tinggi.

Sudah pastilah tanpa peluang pendidikan yang luas disediakan negara, khususnya selepas kemerdekaan tidak mungkin membuka pintu yang mampu merombak dan mencorak kehidupan rakyat jelata. Berbanding pada zaman penjajahan, jika disediakan sistem pendidikan di tanah jajahan, motif mereka hanyalah untuk menjadikan sebahagian kecil rakyat tempatan pandai sedikit daripada ibu bapa mereka, dapat membaca, menulis dan mengira supaya boleh bekerja dalam sektor ekonomi yang dijalankan syarikat penjajah untuk kepentingan mereka.

Selepas kemerdekaan, tanggungjawab negara yang paling mendasar ialah memberikan pendidikan daripada peringkat paling asas sehinggalah kepada tahap yang tertinggi dengan kesedaran bahawa pendidikan jugalah yang menjadi infrastruktur utama kepada sebarang rencana pembangunannya.

Dalam konteks sejarah pendidikan termasuk pendidikan tinggi di negara ini, sebenarnya kesedaran itu sudah muncul dalam pemikiran rakyat sejak awal abad ke-20 lagi. Dalam gejolak kesedaran itulah, perjuangan menubuhkan sebuah universiti yang berakarkan identiti sendiri khususnya menggunakan bahasa ibunda tanah air ini menjadi agenda massa sehingga melahirkan UKM pada 1970.

Memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di UKM bukan sekadar kerana bahasa itu dituturkan oleh rakyat negara ini, tetapi bahasa itulah yang menjadi jiwa kepada bangsa Malaysia, pancaran jati diri bangsa, wahana pemikiran saintifik, percambahan idea dan penyebaran ilmu. 

Apa pun corak transformasi pembangunan dan kemajuan yang ingin dicapai, pendidikan rakyatlah menjadi keutamaan paling fundamental. Justeru, pendemokrasian pendidikan yang total perlu terus disuburkan. Walaupun persoalan pendidikan sentiasa menjadi polemik dan perbahasan tiada kesudahan yang terpenting ialah memberi peluang kepada setiap warga untuk akses kepadanya dalam menghasilkan modal insan berkualiti dan berketerampilan. 

Penulis ialah Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Korporat UKM


Berita Harian Online 25/6/2012

Tiada ulasan:

Catat Ulasan