Bahasa Melayu Pemahaman
BAGI membantu calon mendapat markah maksimum, beberapa petua diberikan bagi menjawab soalan kertas ini dengan baik. Seperti yang diketahui, kertas 1 mempunyai dua bahagian iaitu tatabahasa dan pemahaman. Kedua-dua bahagian ini mempunyai teknik menjawab yang berbeza.
1.1 Tatabahasa
Pastikan anda sudah menguasai kesemua bahagian tatabahasa. Ini penting kerana kesemua pilihan jawapan yang diberikan perlu difahami terlebih dahulu sebelum anda menjawab soalan. Di bawah ini merupakan beberapa langkah yang perlu dilakukan oleh calon sewaktu hendak menjawab soalan bahagian tatabahasa.
1.1.1 Faham
Calon perlulah memahami kesemua pilihan jawapan yang disediakan. Kesalahan memilih jawapan berlaku kerana calon tidak memahami pilihan jawapan yang diberikan. Calon hanya cuba mengagak maksud jawapan berkenaan. Kebiasaannya akan wujud satu atau dua pengganggu jawapan yang paling dekat dengan jawapan yang tepat. Oleh itu, calon perlu benar-benar memahami pilihan jawapan yang disediakan. Catatlah secara ringkas maksud pilihan jawapan berkenaan. Contoh:
A memberi menyampaikan sesuatu
B mengirim menghantar menerusi sesuatu
C membalas menjawab surat
D menerima mendapat sesuatu
1.1.2 Baca
Bacalah ayat yang disediakan. Fahami betul-betul ayat tersebut dan kesesuaiannya dengan pilihan jawapan. Kadang-kadang ada pilihan jawapan yang seolah-olah boleh dipilih sebagai jawapan. Pilihan jawapan yang sebeginilah yang biasanya menjadi perangkap utama.
Contoh:
Ayah ._____ sepucuk telegram dari kampung.
1.1.3 Kesan
Anda perlu mengesan klu yang terdapat dalam ayat atau gambar. Bulat atau gariskan klu berkenaan. Ini penting kerana klu inilah yang akan membantu dan memudahkan anda memilih jawapan yang tepat.
(Bulatkan perkataan ‘dari’ sebagai klu jawapan yang menunjukkan ayah menerima)
Ayah _____ sepucuk telegram dari kampung.
1.1.4 Pilih
Peringkat ini adalah peringkat paling penting. Pilihlah jawapan yang paling tepat dan mengikut kehendak soalan. Pengganggu yang diberikan sudah pasti akan mengelirukan adik-adik. Oleh itu, fahamilah betul-betul kesesuaian ayat dengan pilihan jawapan.
Ayah _____ sepucuk telegram dari kampung.
A memberi menyampaikan sesuatu
B mengirim menghantar menerusi sesuatu <-- Pengganggu yang hampir tepat
C membalas menjawab surat
D menerima mendapat sesuatu <-- Jawapan yang paling tepat
Calon-calon, pastikan:
* 1 soalan hanya ada 1 - 1 1/2 minit sahaja.
* Jangan membuang masa dengan cuba menjawab soalan yang susah.
* Jawab soalan Bahagian Tatabahasa (Soalan 1 hingga Soalan 30) terlebih dahulu.
* Peruntukan masa antara 15 hingga 20 minit untuk Bahagian Tatabahasa.
* Jawab soalan yang lebih mudah dahulu.
* Segera jawab soalan Bahagian Petikan.
* Peruntukan masa 10 minit untuk setiap petikan.
* Baki masa untuk tujuan menyemak semula jawapan.
1.2 Pemahaman
Calon-calon hanya perlu menjawab 10 soalan sahaja dalam bahagian pemahaman. Namun begitu setiap soalan amat berkait rapat dengan petikan yang disediakan. Untuk menjawab soalan pemahaman, calon perlulah memperbanyakkan latihan menjawab kerana bahagian ini memerlukan kemahiran yang tinggi dalam hal memahami petikan. Antara langkah-langkah yang perlu dilakukan sewaktu hendak menjawab soalan petikan ialah:
1.2.1 Baca dan faham
Calon-calon perlu membaca petikan dan memahaminya terlebih dahulu. Selepas itu, barulah membaca soalan dan memahami pilihan jawapan yang disediakan. Jangan sesekali menjawab soalan tanpa membaca petikan terlebih dahulu.
1.2.2 Cari pembayang jawapan
Kebiasaannya klu atau pembayang jawapan berada dalam petikan. Calon perlu menggariskan klu tersebut. Pastikan klu berkenaan berkait rapat dengan soalan.
…Lawatan tersebut diadakan adalah bertujuan untuk mendedahkan kepada murid-murid proses membuat kerepek di kilang.
1.2.3 Penyesuaian
Sesuaikan pembayang yang anda garis dengan pilihan jawapan yang diberikan. Teliti dan fahami betul-betul sebelum memilih jawapan.
Apakah tujuan utama program lawatan diadakan? (soalan)
… bertujuan untuk mendedahkan kepada murid-murid proses membuat kerepek... (pembayang jawapan)
1.2.4 Memilih
Jika calon sudah jumpa pilihan jawapan yang sesuai dengan pembayang yang digaris, pilihlah jawapan tersebut mengikut kehendak soalan. Jangan sesekali memilih pilihan jawapan yang tidak ada pembayangnya dalam petikan.
Berdasarkan catatan di atas, apakah tujuan utama program lawatan diadakan?
A Menyedarkan murid-murid betapa susahnya mencari rezeki.
B Meraikan sambutan dan hari terbuka yang diadakan oleh pihak kilang.
C Menggalakkan murid-murid agar menyertai industri membuat kerepek.
D Menambahkan pengetahuan murid berkenaan proses membuat kerepek.
Langkah-langkah diatas perlu dilakukan dengan penuh teliti. Namun begitu, beberapa kelemahan perlulah diatasi agar calon-calon tidak melakukan kesilapan. Antara kelemahan-kelemahan tersebut ialah:
* Tidak membaca arahan untuk setiap soalan.
* Menjawab soalan dengan tergesa-gesa.
* Kurang memberi tumpuan kepada kata kunci pada setiap soalan.
* Membuang masa dengan soalan yang susah.
* Keliru dengan pengganggu yang hampir sama ejaannya atau maknanya.
* Tersalah menanda jawapan yang sepatutnya pada kertas jawapan.
* Menghabiskan masa terlalu lama membaca petikan.
* Tidak memadam jawapan yang salah dengan bersih pada kertas OMR.
Ingat!
Kira jumlah tanda hitam adalah cukup 40. Jika kurang, ini bermakna ada soalan yang belum berjawab, tetapi jika lebih, mungkin ada soalan yang ditanda dengan dua jawapan. Selamat menghadapi UPSR 2010. Semoga berjaya!
Sumber:
Berita Harian 14/9/2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan