Halaman

Khamis, 16 September 2010

Tip UPSR: Penyelesaian, pengiraan faktor utama kejayaan calon

Matematik

GAGAL menjawab soalan penyelesaian masalah antara faktor utama calon tidak mendapat markah maksimum bagi Matematik Kertas 1, manakala untuk Kertas 2 pula kerana tidak menunjukkan jalan pengiraan.

Sehubungan itu, calon diingatkan supaya tidak terlalu gopoh, sebaliknya memberi tumpuan ketika menjawab soalan kedua-dua kertas itu.
KERTAS 1

Kertas ini mengandungi 40 soalan objektif. Soalannya boleh dikategorikan dua jenis, iaitu bentuk persamaan dan penyelesaian masalah.

Lapan hingga sepuluh soalan disoal dalam bentuk persamaan membabitkan nombor dan simbol matematik. Soalan jenis ini boleh dianggap mudah dan calon hanya perlu berhati-hati ketika membuat pengiraan seperti meletak nombor pada nilai tempat, meletak titik perpuluhan di tempat yang betul, mengikut peraturan pengiraan yang betul contohnya BODMAS, membuat penukaran unit dengan tepat dan berhati-hati ketika membuat pengumpulan semula.

Dalam lingkungan 30 lagi soalan adalah jenis penyelesaian masalah yang boleh dilihat dalam dua bentuk penyoalan, iaitu ayat sepenuhnya dan sebahagian dibantu rajah, jadual, graf dan gambar.
Sebelum menjawab, calon perlu membaca soalan sekurang-kurangnya dua kali. Kenal pasti maklumat terdapat dalam soalan. Biasanya soalan penyelesaian masalah mempunyai lebih daripada satu maklumat. Gariskan maklumat penting itu.

Calon juga perlu mengecam kata kunci dalam soalan, contohnya ‘bakinya', ‘yang tinggal', ‘diberikan sama banyak', ‘simpanan', ‘untung', ‘rugi', ‘diskaun' dan sebagainya.

Perkara penting calon perlu tahu ialah apakah kehendak soalan. Persoalan inilah yang perlu calon jawab. Kehendak soalan ada dalam ayat terakhir.

Setelah mengenal pasti maklumat, kata kunci dan kehendak soalan, rancang langkah pengiraannya.

Ayat kedua setiap soalan lazimnya merujuk kepada maklumat untuk membuat pengiraan. Perkataan sebelum atau selepas angka dikemukakan lazimnya membantu calon menentukan operasinya (tambah, tolak, darab dan bahagi).

Setelah itu tukarkan ayat pernyataan soalan ke dalam bentuk ayat matematik. Pastikan operasi betul digunakan untuk membuat pengiraan.

Perlu diingat, bagi menjawab soalan penyelesaian masalah, calon perlu lebih daripada satu operasi dan jalan kerja. Bagi soalan membabitkan sukatan, pastikan unit disamakan terlebih dulu.

Soalan jenis penyelesaian masalah juga banyak dibantu rajah, graf, jadual dan gambar yang memerlukan calon membuat penelitian kerana sebahagian maklumat ada pada rajah disertakan, manakala sebahagian maklumat lagi dalam pernyataan soalan.

Antara kelemahan yang sering dilakukan calon ialah:

a) Membaca soalan dan terus mengira mengikut kefahaman sendiri.

b) Tidak membuat penelitian terhadap ayat terakhir dan mencari kehendak soalan.

c) Terlalu cepat membaca soalan hingga tertinggal maklumat.

d) Tidak merujuk rajah, graf, jadual dan gambar diberikan.

e) Terus membuat pengiraan tanpa menyemak semula.

f) Kurang membina ayat matematik sebelum memulakan pengiraan.

g) Lemah membuat tafsiran terhadap perkataan atau ayat yang digunakan.

KERTAS 2

Kertas ini mengandungi 20 soalan. Antara cirinya ialah bentuk subjektif, perlu menulis langkah pengiraan dengan jelas bagi mendapatkan jawapan dan pemarkahannya berdasarkan tiga aras, iaitu satu markah (5 soalan), dua markah (10 soalan) dan tiga markah (5 soalan).

Sebahagian besar calon menganggap Kertas 2 mudah berbanding Kertas 1. Pada dasarnya tanggapan itu benar tetapi perlu diingat ia banyak mempengaruhi kedudukan gred keseluruhan bagi subjek Matematik.

Jika calon tidak membuat banyak latihan dan benar-benar memahami cara menjawab soalan Kertas 2, calon boleh melakukan kesilapan sewaktu memberikan jawapan.

Kesilapan yang sering dilakukan calon ialah kurang tumpuan dan tidak menunjukkan langkah pengiraan yang dikehendaki untuk memberikan jawapan tepat. Selain itu, ada calon yang hanya menulis jawapan tanpa menunjukkan atau memberikan langkah pengiraan yang jelas. Perkara ini boleh menyebabkan kehilangan markah.

Ada calon yang gagal mencari jawapan tepat kerana tidak memahami apa kehendak soalan terutama soalan-soalan jenis penyelesaian masalah dan berkaitan rajah. Sehubungan itu, pastikan ayat akhir setiap soalan difahami terlebih dahulu sebelum memulakan pengiraan.

Terdapat juga calon UPSR yang gagal menukar masalah yang dikemukakan ke dalam bentuk ayat matematik dengan tepat. Oleh itu, calon perlu memastikan beberapa perkara sebelum dan semasa menjawab soalan Kertas 2 iaitu:

i. Apa kehendak soalan - berikan jawapan berdasarkan kehendak soalan dengan tepat.

ii. Bagaimana - Tunjuk langkah pengiraan / cara memberikan jawapan.

iii. Berikan jawapan tepat - jawapan lengkap

Jawapan sama ada membabitkan sukatan / measurement (km, kg atau l), RM, sen, perimeter atau luas.

Selain itu calon seharusnya dapat melaksanakan langkah-langkah berikut semasa menjawab soalan;

i. Baca ayat demi ayat dengan cermat.
ii. Tukar ayat kepada bentuk angka (ayat matematik).
iii. Tunjukkan langkah pengiraan.
iv. Berikan jawapan yang lengkap.
v. Semak semula dan tulisan yang jelas.

Sementara itu, bagi soalan berbentuk persamaan atau terus, calon perlu menguasai konsep pengiraan yang sebahagiannya memerlukan beberapa langkah pengiraan sebelum memperoleh jawapan yang dikehendaki soalan.

Contoh soalan bentuk terus atau persamaan (soalan jenis operasi bergabung/mixed operation) gagal dijawab dengan betul oleh ramai calon bukan disebabkan tidak mahir sifir tetapi terlupa konsep “BODMAS”.

Untuk menyelesaikan soalan seumpamanya, calon perlu tentukan jenis operasinya sama ada + dengan ÷ atau - dengan x. Amat jarang soalan dikemukakan dengan memberi x atau ÷ dulu dan baru diikuti - atau +. Pengiraan boleh bermula dari kiri ke kanan jika operasinya + dan - atau x dan ÷.

Sebanyak lima atau enam soalan bentuk persamaan dikemukakan dalam Kertas 2. Oleh itu, pastikan konsep setiap kemahiran difahami sepenuhnya bagi mengelakkan calon kehilangan markah atau gagal memberikan jawapan tepat.

Soalan bentuk penyelesaian masalah pula boleh dilihat dalam dua bentuk iaitu secara gabungan ayat dan rajah, jadual atau gambar ataupun menggunakan perkataan. Biasanya calon melakukan kesilapan dengan menulis jawapan dengan tidak mengambil kira ayat akhir dan keseluruhan maksud soalan.

Langkah pengiraan perlu ditunjukkan dengan jelas dan tepat mengikut unit diperlukan dalam jawapan.

Soalan dua dan tiga markah agak mudah kerana tidak menggunakan ayat terlalu panjang. Banyak soalan dibantu rajah dan gambar. Ini memudahkan calon memahami kehendak soalan.

Bagi soalan tiga markah, hampir kesemuanya membabitkan rajah dan jadual. Untuk soalan ini, pastikan pengiraan atau maklumat awal digunakan dalam pengiraan tidak salah nilai. Kesilapan ini menyebabkan pengiraan seterusnya menjadi salah.

Secara keseluruhan, calon perlu memberi tumpuan terhadap soalan yang menggunakan ayat dan rajah.

Kesilapan kerap berlaku dikaitkan dengan kegagalan calon memahami maksud ayat terakhir atau memberikan jawapan selepas langkah pengiraan dilakukan, sedangkan jawapan sebenar setelah langkah kedua atau ketiga.

Sumber: Berita Harian 16/09/2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan