Halaman

Selasa, 30 November 2010

Secebis Kasih Sayang.. Bacalah..

Aku cuma ada seorang adik. Usianya tiga tahun lebih muda daripada aku.Suatu hari, untuk mendapatkan sehelai sapu tangan yang menjadi keperluan anak gadis keti ka itu, aku ambil 50 sen dari poket seluar ayah.

Petang itu, pulang saja dari sekolah – ayah memanggil kami berdua.Dia meminta aku dan adik berdiri di tepi dinding. Aku menggeletar melihat rotan panjang sedepa di tangan ayah.

“Siapa ambil duit ayah?” tanya ayah bagai singa lapar.

Aku langsung tidak berdaya menentang renungan tajam mata ayah. Kedua-dua kami membisu,cuma tunduk memandang lantai.

“Baik,kalau tak mengaku,dua-dua ayah rotan!” sambung ayah sambil mengangkat tangan untuk melepaskan pukulan sulungnya ke belakang aku.

Tiba-tiba, adik menangkap tangan ayah dengan kedua-dua belah tangannya sambil berkata, “Saya yang ambil!”

Belum sempat adik menarik nafas selepas mengungkapkan kata-kata itu,hayunan dan balunan silih berganti menghentam tubuh adik. Aku gamam,lidah kelu untuk bersuara. Walau perit menahan sakit, setitis pun airmata adik tak tumpah.

Setelah puas melihat adik terjelepok di lantai, ayah merungut.

“Kamu sudah mula belajar mencuri di rumah sendiri. Apakah lagi perbuatan kamu yang akan memalukan ayah di luar kelak?”

Malam itu, emak dan aku tak lepas-lepas mendakap adik. Belakangnya yang berbirat dipenuhi calar-balar cuba kami ubati.Namun adik cukup tabah. Setitis pun air matanya tidak mengiringi kesakitan yang mencucuk-cucuk.

Melihat keadaan itu, aku meraung sekuat hati, kesal dengan sikap aku yang takut berkata benar.

Adik segera menutup mulutku dengan kedua-dua belah tangannya lalu berkata,”Jangan menangis kak,semuanya dah berlalu!”

Aku mengutuk diri sendiri kerana tidak mampu membela adik. Tahun bersilih ganti, peristiwa adik dibelasah kerana mempertahankan aku bagaikan baru semalam berlaku. Adik mendapat tawaran belajar ke sekolah berasrama penuh dan aku pula ditawarkan menyambung pelajaran ke peringkat pra-universiti.

Malam itu ayah duduk di bawah cahaya lampu minyak tanah bersama ibu di ruang tamu. Aku terdengar ayah berkata,

“Zah, kedua-dua anak kita cemerlang dalam pelajaran. Abang bangga sekali!”

“Tapi apalah maknanya bang…!” aku terdengar ibu teresak-esak.

“Dimana kita nak cari duit membiayai mereka?”

Ketika itulah adik keluar dari biliknya. Dia berdiri di depan ayah dan ibu.

“Ayah,saya tak mahu ke sekolah lagi!”

Perlahan-lahan ayah bangun, membetulkan ikatan kain pelekatnya dan merenung wajah emak,kemudian wajah adik dalam-dalam.

Panggggg….sebuah penampar singgah di pipi adik. Seperti biasa yang mampu aku lakukan ialah menutup muka dan menangis.

“Kenapa kamu ni? Tahu tak,kalau ayah terpaksa mengemis kerana persekolahan kamu, ayah akan lakukan!”

“Orang lelaki kena bersekolah. Kalau tak, dia takkan dapat membawa keluarganya keluar daripada kemiskinan,” aku memujuk adik tatkala menyapu minyak pada pipinya yang bengkak.

“Kakak perempuan…biarlah kakak yang berhenti.”

Tiada siapa yang menyangka, dinihari itu adik tiada dibiliknya.Dia membawa bersamanya beberapa helai baju lusuh yang dia ada. Di atas pangkin tempat dia lelapkan mata, terdapat sehelai kertas yang tercatat…..

“Kak…untuk dapat peluang ke universiti bukannya mudah. Saya cari kerja dan akan kirim wang buat akak.”

Apa lagi yang saya tahu selain meraung. Ayah termenung, jelas dia cukup kecewa. Begitu juga emak yang menggunakan air matanya memujuk ayah.

Suatu petang ketika berehat di asrama, teman sebilik menerpa:

“Ada pemuda kampung tunggu kau kat luar!”

“Pemuda kampung?” bisikku. “Siapa?”

Tergesa-gesa aku keluar bilik. Dari jauh aku nampak adik berdiri dengan pakaian comotnya yang dipenuhi lumpur dan simen.

“Kenapa sebut orang kampung, sebutlah adik yang datang!”

Sambil tersenyum dia menjawab, “Akak lihatlah pakaian adik ni. Apa yang akan kawan-kawan akak kata kalau mereka tahu saya adik kakak?”

Jantungku terasa berhenti berdenyut mendengarkan jawapannya. Aku cukup tersentuh. Tanpa sedar, air jernih mengalir di pipi. Aku kibas-kibas bebutir pasir dan tompokan simen pada pakaian adik.

Dalam suara antara dengar dan tidak, aku bersuara, “Akak tak peduli apa orang lain kata.”

Dari kocek seluarnya, adik keluarkan sepit rambut berbentuk
kupu-kupu.Dia mengenakan pada rambutku sambil berkata, “Kak, saya tengok ramai gadis pakai sepit macam ni, saya beli satu untuk akak.”

Aku kaku. Sepatah kata pun tak terucap. Aku rangkul adik dan dadanya dibasahi air mataku yang tak dapat ditahan-tahan.

Tamat semester, aku pulang ke kampung sementara menunggu konvokesyen.Aku lihat tingkap dan dinding rumah bersih, tak seperti selalu.

“Emak,tak payahlah kerja teruk-teruk bersihkan rumah sambut saya balik.”

“Adik kamu yang bersihkan. Dia pulang kelmarin. Habis tangannya luka-luka.”

Aku menerpa ke biliknya. Cantik senyum adik. Kami berdakapan.

“Sakit ke?” aku bertanya tatkala memeriksa luka pada tangannya.

“Tak….Kak tahu, semasa bekerja sebagai buruh kontrak, kerikil dan serpihan simen jatuh seperti hujan menimpa tubuh saya sepanjang masa.

Kesakitan yang dirasa tidak dapat menghentikan usaha saya untuk bekerja keras.”

Apalagi…aku menangis seperti selalu.

Aku berkahwin pada usia menginjak 27 tahun. Suamiku seorang usahawan menawarkan jawatan pengurus kepada adik.

“Kalau adik terima jawatan tu, apa kata orang lain?” kata adik.

“Adik takde pelajaran. Biarlah adik bekerja dengan kelulusan yang adik ada.”

“Adik tak ke sekolah pun kerana akak.” kata ku memujuk.

“Kenapa sebut kisah lama, kak?” katanya ringkas, cuba menyembunyikan kesedihannya.

Adik terus tinggal di kampung dan bekerja sebagai petani setelah ayah tiada. Pada majlis perkahwinannya dengan seorang gadis sekampung, juruacara majlis bertanya, “Siapakah orang yang paling anda sayangi?”

Spontan adik menjawab, “Selain emak, kakak saya….”katanya lantas menceritakan suatu kisah yang langsung tidak ku ingati.

“Semasa sama-sama bersekolah rendah, setiap hari kami berjalan kaki ke sekolah.Suatu hari tapak kasut saya tertanggal. Melihat saya hanya memakai kasut sebelah, kakak membuka kasutnya dan memberikannya pada saya. Dia berjalan dengan sebelah kasut. Sampai di rumah saya lihat
kakinya berdarah sebab tertikam tunggul dan calar-balar.”

“Sejak itulah saya berjanji pada diri sendiri. Saya akan lakukan apa saja demi kebahagiaan kakak saya itu. Saya berjanji akan menjaganya sampai bila-bila.”

Sebaik adik tamat bercerita, aku meluru ke pelamin, mendakap adik sungguh-sungguh sambil meraung bagaikan diserang histeria.

“Jika tak dapat apa yang kita suka,,belajarlah menyukai apa yg kita dapat…dan bersyukurlah dengan apa yang kita ada..”

Kredit to www.rileks.info

500,000 murid Tahun Satu sesi 2011 diajar pendidikan seks

Oleh Khairina Yasin
kayrina@bharian.com.my
2010/11/30

Datu Dr Julaihi Bujang
Datu Dr Julaihi Bujang
PUTRAJAYA: Kira-kira 500,000 murid Tahun Satu sesi persekolahan 2011 bakal menjadi kumpulan pertama diajar pendidikan seks yang diperkenalkan menerusi Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), mulai Januari depan.

Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran, Datu Dr Julaihi Bujang, berkata pendedahan pendidikan seks itu akan diajar menerusi subjek Pendidikan Kesihatan, di bawah Modul Teras Asas bagi Tahap Satu membabitkan murid Tahun Satu hingga Tiga.

“Pengetahuan mengenai pendidikan seks itu mewakili 75 peratus daripada keseluruhan pengisian kurikulum baru subjek berkenaan,” katanya.
Julaihi berkata, enam tunjang menjadi teras pengisian pendidikan seks yang akan dilaksanakan secara berperingkat bermula Tahun Satu hingga Enam mencakupi perkembangan manusia, perhubungan, perkahwinan dan kekeluargaan, kemahiran kendiri, kesihatan dan tingkah laku seksual serta masyarakat dan budaya.

“Perkembangan manusia mendedahkan murid mengenai pengetahuan sistem reproduktif manusia, manakala perhubungan pula menjurus mengenai kasih sayang dan persahabatan. Murid turut didedahkan mengenai perkahwinan dan kekeluargaan yang merangkumi tanggungjawab sepanjang hayat sebagai ibu bapa, manakala kebolehan dalam membuat keputusan menjadi pengisian kepada tunjang kemahiran kendiri.

“Turut diberi penekanan adalah kesihatan dan tingkah laku seksual yang membicarakan amalan seks sepanjang kehidupan, kaedah mengelakkan hubungan seksual, fantasi, kehamilan, penyakit seksual berjangkit, HIV dan Aids, manakala masyarakat dan budaya pula menyentuh mengenai isu seks dan masyarakat dan perundangan,” katanya kepada Berita Harian di pejabatnya di sini.

Julaihi berkata, keputusan menjadikan pendidikan seks sebagai pengisian utama subjek Pendidikan Kesihatan diambil selepas mengambil kira maklum balas dan pandangan pelbagai pihak termasuk Persatuan Aids Malaysia menerusi perbincangan meja bulat yang diadakan bagi memastikan kurikulum yang dibentuk memenuhi keperluan semasa pendidikan negara.

Beliau berkata, guru yang terbabit dengan pengajaran subjek berkenaan sudah diberi kursus, manakala bahan pengajaran turut disediakan bagi memudahkan murid mengikutinya, tahun depan.

“Kita amat berharap ibu bapa tidak bimbang dengan perkembangan terbaru ini, malah kita sendiri akui apa saja perkara baru membabitkan dasar atau kurikulum pasti ada yang sukar menerima dan memahaminya.

“Apapun, kita yakin jika pelaksanaannya (pendidikan seks) dapat dijalankan dengan baik dan lancar, masyarakat khususnya ibu bapa pasti memberi sokongan dan kerjasama terhadap pembaharuan ini,” katanya.

Julaihi menjelaskan, selain Pendidikan Kesihatan, subjek lain di bawah Modul Teras Asas murid Tahap Satu termasuk subjek Pendidikan Jasmani, Bahasa Malaysia (BM), Bahasa Inggeris (BI), Bahasa Cina (BC), Bahasa Tamil (BT), Matematik serta Pendidikan Islam/Moral.

Di bawah Modul Teras Tema pula, katanya, dua subjek baru turut diperkenalkan kepada murid Tahun Satu iaitu Dunia Kesenian serta Dunia Sains dan Teknologi, masing-masing mendedahkan kemahiran berkaitan seni visual dan muzik serta Teknologi Komunikasi dan Maklumat.

Katanya, murid Sekolah Kebangsaan juga diberi peluang memilih subjek tambahan di bawah Modul Elektif yang menyediakan subjek Bahasa Arab, BC Sekolah Kebangsaan, BT Sekolah Kebangsaan, Bahasa Iban dan Bahasa Kadazandusun.

“Bagi kurikulum Tahap Dua pula membabitkan murid Tahun Empat, Lima dan Enam, kurikulum diorganisasikan dalam bentuk subjek teras dan elektif dan dilaksanakan mulai 2014.

“Antara subjek baru yang bakal diperkenalkan adalah Reka Bentuk dan Teknologi Maklumat/ICT dan Sejarah, manakala subjek sedia ada seperti BM, BI, BC, BT, Pendidikan Kesihatan, Pendidikan Jasmani, Matematik, Sains dan Pendidikan Islam/Moral,” katanya.

“Pelaksanaan KSSR adalah usaha kita untuk mentransformasikan pendidikan sekolah dengan menyatupadukan pelbagai disiplin ilmu bagi menjadikan pengajaran dan pembelajaran (P&P) lebih menarik, menyeronokkan dan bermakna.

“Enam tunjang menjadi teras pelaksanaan KSSR mencakupi komunikasi, perkembangan fizikal dan estetika, kemanusiaan, keterampilan diri, sains dan teknologi serta kerohanian, sikap dan nilai,” katanya.

Mengenai penyediaan guru, beliau menjelaskan, Kementerian Pelajaran sudah melatih lebih 2,000 Jurulatih Utama (JU) setiap mata pelajaran di peringkat kebangsaan yang bertanggungjawab melatih guru di negeri masing-masing.

“JU bertanggungjawab mendedahkan pendekatan P&P yang terbaik dan sesuai diterjemahkan guru di dalam kelas seperti dihasratkan dalam KSSR,” katanya.

Isnin, 29 November 2010

Pisang dan Hati

Maryam, guru kelas Tadika menganjurkan satu permainan yang sungguh menarik untuk murid-muridnya. Setiap murid diminta membawa beg plastik yang berisi pisang yang tertulis nama orang yang paling mereka benci ke kelas pada esok hari. Jadi, jumlah pisang yang perlu dibawa bergantung kepada jumlah orang yang dibenci.

Keesokan harinya, setiap murid membawa beg plastic berisi pisang masing-masing. Ada yang membawa tiga biji, ada juga lima biji dan paling banyak lapan biji. Semuanya sudah ditulis nama orang yang paling mereka benci.

"Sekarang simpan pisang tu. Jangan lupa bawa ke mana sahaja kamu pergi selama seminggu. Inilah permainannya. Selepas seminggu, kita akan tahu keputusannya" beritahu Cikgu Maryam. Kanak-kanak tersebut menyimpan pisang masing-masing di dalam beg.

Hari demi hari berlalu, pisang tersebut mula berbintik-bintik dan akhirnya menjadi busuk . Kanak-kanak itu mula merungut dan marah. Mereka tidak menyukai permainan itu lagi kerana selain beg berat, badan berbau busuk. Ada yang menangis, enggan meneruskan permainan.

Seminggu berlalu, pagi-pagi lagi murid-murid Maryam sudah bersorak. Permainan sudah tamat. Tidak ada lagi beban dan bau busuk yang perlu dibawa.

"Okey semua, apa rasanya bawa pisang dalam beg ke sana ke mari selama seminggu?" tanya Cikgu Maryam. Semuanya serentak mengatakan mereka benci permainan itu. Mereka hilang kawan, sering diejek dan terpinggir. Lebih teruk lagi, terpaksa tidur, makan, mandi, bermain dan menonton TV dengan bau busuk.

"Itulah sebenarnya yang berlaku kalau kita simpan perasaan benci pada orang lain dalam hati. Bau busuk kebencian itu akan mencemari hati dan kita akan membawanya ke mana saja kita pergi. Jika kamu sendiri tidak boleh tahan dengan bau pisang busuk hanya untuk seminggu, cuba bayangkan apa akan jadi kalau kamu simpan kebencian sepanjang hidup kamu" beritahu Cikgu Maryam.

Maryam mengingatkan anak muridnya supaya membuang jauh-jauh perasaan benci daripada membebani hidup.

Kemaafan adalah yang terbaik.

Menyayangi lebih baik darpada membenci.

Sabtu, 27 November 2010

Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang 2010

Muka Depan Buku Program designed by Ustz. Suryati Sani

Senarai Para A dan Pra B

Senarai Pengawas SK Pulo 2010

Cemerlang setiap subjek Tahap 2

Cemerlang setiap subjek Tahap 1 dan Terbaik KAFA

Cemerlang Keseluruhan Tahap 1 dan Tahap 2

Terbaik Akademik : Adik Nursyafiqah bt Iskandar Zulkarnain
Terbaik Ko-Kurikulum : Adik Khairuddin Fathi b Kamri
Terbaik j-QAF : Adik Nursyafiqah bt Iskandar Zulkarnain

Tahniah kepada yang berjaya. Kekalkan usaha anda. Kepada yang kurang berjaya, tahun depan berusaha lebih keras lagi.

Khamis, 25 November 2010

Keputusan PTK Sesi Oktober 2010

Salam semua. Kepada semua guru yang menduduki PTK pada Oktober lepas, Keputusan PTK Sesi Oktober 2010 akan diumumkan pada 30 November 2010. Anda boleh klik link ini untuk semak keputusan.-->http://www.mpm.edu.my/...

ATAU

Semak melalui SMS dengan menaip PTK RESULT NO. KP dan hantar ke 15888 atau PTK NO.KP dan hantar ke 36363. Semoga berjaya.

Cuti Umum & Cuti Sekolah 2011


Kepada semua murid dan ibu bapa yang ingin merancang aktiviti untuk tahun 2011, boleh rujuk taqwim penuh di sini. Takwim ni boleh dijadikan rujukan untuk melihat tarikh cuti sekolah (bagi mereka yang ingin bertunang, berkahwin, melancong dan sebagainya).

Rabu, 24 November 2010

Dilema penempatan guru

Masalah penempatan guru memang rumit untuk diselesaikan. Ia menjadi bertambah sulit apabila terdapat segelintir daripada 400,000 guru yang masih dalam perkhidmatan memohon bertukar sekolah dengan alasan yang kurang wajar.

Rata-rata mahu mengajar di sekolah yang dekat dengan rumah. Lalu mereka cenderung menjadikan alasan rumah sedia ada atau rumah yang baru dibeli berhampiran sekolah sebagai sebab untuk bertukar tempat mengajar.

Sememangnya semua orang dalam apa jua profesion pun menginginkan jarak tempat tinggal yang berhampiran dengan tempat kerja. Jimat masa dan jimat kos.

Namun, kita juga perlu profesional kerana penempatan guru adalah berdasarkan keperluan perkhidmatan. Bukannya mengikut kesesuaian tempat tinggal.

Faktor ini penting demi meminimakan masalah kekurangan guru di kawasan luar bandar dan pedalaman tetapi terlebih guru di sekolah tertentu di kawasan bandar.

Misalnya, satu sekolah hanya memerlukan tiga guru Matematik tetapi terdapat lima guru di situ. Jika opsyen kedua semua guru ini berbeza, maka mereka boleh mengajar subjek yang lain. Tiada masalah.

Sebaliknya, masalah akan timbul jika ada pertindihan opsyen. Ia membabitkan guru terbabit, pengurusan sekolah dan Kementerian Pelajaran. Akhirnya pelajar menjadi mangsa keadaan, diajar oleh guru yang tidak terlatih dalam subjek berkenaan.

Justeru, bertukarlah dengan alasan yang konkrit seperti disebabkan isu keselamatan atau faktor kesihatan.

Contoh isu keselamatan ialah hal yang berbangkit akibat keganasan rumah tangga. Misalnya seorang guru wanita menerima ugutan dan ancaman daripada bekas suami. Bila ini berlaku memang wajar dan ada keperluan untuk beliau berpindah ke sekolah lain.

Manakala dalam masalah kesihatan pula mestilah yang melibatkan sakit kronik dan memerlukan rawatan rapi. Kemudahan perubatan mungkin hanya terdapat di hospital di kawasan bandar sahaja.

Bagaimanapun, ia terhad kepada guru itu sendiri dan ahli keluarga terdekatnya iaitu anak, suami atau isterinya sahaja.

Ibu bapa tidak termasuk dalam kategori ini. Rasionalnya, tanggungjawab menjaga ibu bapa yang uzur perlu dipikul bersama dan bukannya diletakkan kepada guru berkenaan sahaja.

Selain itu, alasan mengikut suami perlu diberi keutamaan agar tumpuan guru terbabit tidak terjejas. Ia juga bagi memastikan guru itu dapat memberikan prestasi yang tinggi dan terbaik untuk para pelajarnya.

Jelas di sini, Kementerian Pelajaran menitikberatkan tahap kemanusiaan yang tinggi dalam penempatan para guru supaya kebajikan mereka terbela.

Hal ini secara tidak langsung akan memotivasikan guru untuk komited dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab masing-masing.

Dalam pada itu, pertukaran guru juga dilakukan secara pentadbiran. Sebagai contoh, jika Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) mendapati ada lebihan seorang guru Bahasa Inggeris di sekolah A dan sekolah B memerlukannya. Maka guru tersebut akan dipindahkan ke sekolah B walaupun beliau tidak membuat sebarang permohonan pertukaran tempat mengajar.

Bagi guru yang memohon pertukaran secara atas talian, keputusan telah pun diumumkan. Kepada yang berjaya, selamat mencurah bakti di sekolah yang baru. Kepada yang kurang bernasib baik, bersabar dan jika perlu, buatlah rayuan.

Bila membuat rayuan pastikan mengikut etika dan tatacara urusan rasmi. Jangan dibawa bayi atau anak kecil ke pejabat. Apatah lagi ibu atau bapa yang uzur. Ia boleh mengganggu ketenteraman dan menjejaskan urusan pihak lain. Malah ia mungkin menjejaskan tugasan lain pegawai terbabit.

Memadai dengan menyediakan dokumen sokongan untuk rujukan pihak yang berkenaan. Bukti itu sudah mencukupi tanpa perlu ditambah dengan elemen emosi dan simpati.

Utusan Malaysia Online: 22 November 2010

Isnin, 22 November 2010

Tips Kuatkan Daya Ingatan

Antaranya ialah:

Amalkan Tidur Yang Cukup

- 1/3 hidup kita dihabiskan dengan tidur. Namun ada orang yg suka tidur lewat atau mengabaikan tidur yg cukup. Badan perlu rehat. Keletihan hanya akan mengganggu maklumat/data yang telah disimpan oleh otak dan juga menjejaskan kemampuan untuk mempelajari sesuatu yg baru. Oleh itu, amalkan tidur yg cukup di malam hari kerana ia dapat membantu daya ingatan kita berfungsi.

Mengawal Tekanan

- Tekanan hanya akan membuat jiwa anda tidak tenteram dan menyebabkan kesihatan anda terganggu. Anda juga lebih cenderung untuk menjadi seseorang yang tidak peka dengan keadaan persekitaran. Anda tidak dapat berfikir dengan jelas dan daya ingatan anda juga terjejas. Oleh itu, kawal tekanan anda dengan baik seperti bermeditasi, membaca Al-Quran, yoga, sauna, aromaterapi dan sebagainya.

Berhati-hati Dengan Pengambilan Vitamin atau Makanan Tambahan

- Sesetengah produk yg dijual di kaunter atau farmasi tidak sesuai dengan kita. Ada yg kononnya dapat meningkatkan daya ingatan. Tetapi sebaliknya ada yg memberi kesan sampingan. Oleh itu, lebih baik jika kita mendapatkan vitamin yg diperlukan oleh tubuh badan kita dengan pemakanan yg seimbang atau rujuk dahulu doktor yg bertauliah sebelum?membeli makanan tambahan.

Bersenam

- Bersenam dapat menggerakkan otot-otot dan melancarkan peredaran darah ke otak. Oleh itu, daya ingatan kita juga akan menjadi lebih baik. Amalkan senaman walaupun sekadar berjalan kaki.

Elakkan Kemurungan

- Kemurungan dalam hidup akan menyebabkan hidup anda tidak ceria. Anda sentiasa berada dalam keadaan tidak segar dan rasa kecewa. Lama-kelamaan ia turut menjejaskan daya ingatan anda dan membuat anda tidak hirau dengan persekitaran anda. Ubatilah kemurungan sebelum menjadi serius dengan berjumpa psikiatri atau beramal-ibadah mendekatkan diri kepada Tuhan.

Awasi Pengambilan Ubat

- Daya ingat mungkin menjadi lemah dengan pengambilan ubat-ubatan tertentu seperti pil hormon, ubat darah tinggi, anti-kemurungan dan sebagainya. Jika anda menghadapi masalah daya ingatan disebabkan pengambilan ubat, konsultasi dengan doktor. Jangan mengambil ubat tanpa arahan doktor.

Belajar Sesuatu yang Baru

- Cubalah aktifkan pemikiran anda dengan mempelajari sesuatu yang baru misalnya Bahasa Jepun, kursus kemahiran jangka pendek, menjahit, atau menghadiri ceramah dan motivasi.

Permainan

- Bermain sesuatu permainan seperti board games dapat merangsang minda. Contohnya, catur, scrabble (Sahibba) dan Monopoli. Selain itu, teknologi sekarang lebih baik seperti permainan komputer dan Playstation. Pilihlah jenis permainan yang mencabar minda.

Banyak Membaca

- Jadikan amalan membaca sebagai kegiatan harian. Membaca dapat meluaskan pengetahuan, mengembangkan minda dan menajam daya ingatan. Cuba ingat sedikit-sebanyak fakta yang terkandung di dalam bahan bacaan.

Katakan Berulang Kali

- Untuk meningkat ingatan anda tentang sesuatu maklumat atau tarikh, katakan dengan kuat dan berulang kali sehingga anda benar-benar ingat akan maklumat tersebut.

Fokus

- Daya ingatan dapat dilancarkan sekiranya anda sering fokus dalam sesuatu, contohnya matlamat hidup. Anda juga dapat belajar fokus dengan menumpukan fikiran anda pada sesuatu perkara dan mencatatkan apa yang anda fikirkan.

Bermain Dengan Angka

- Asahkan minda anda dengan cuba bermain dengan angka seperti mengingati nombor telefon rakan-rakan. Selain itu, anda boleh menghubungkaitkan angka-angka tersebut dengan sesuatu bagi meningkatkan daya ingatan.

Membaca Al-Quran

- Sekiranya anda seorang Muslim, amalkan membaca Al-Quran walau sehelai muka surat setiap hari. Membaca Al-Quran dapat menerang jiwa, menenangkan perasaan dan menajamkan daya ingatan dengan lebih baik.

Sekolah harian biasa ada kelebihan

SAYA tertarik dengan pandangan Dr Illias Zaidi yang tersiar dalam akhbar ini pada 19 November 2010. Saya ingin juga berkongsi pandangan berkaitan dengan sekolah berasrama penuh (SBP) dan sekolah harian biasa (SHB).

Pada 2010, seramai 48,327 calon mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Sekitar 10 peratus dijangka berpeluang memasuki Sekolah Berasrama Penuh (SBP). Oleh yang demikian, ke manakah haluannya 90 peratus murid 5A. Kalau yang bernasib baik mungkin akan dapat masuk sekolah yang mempunyai kelas rancangan khas yang mungkin ada dibuat di sesetengah negeri. Sekolah rancangan khas ini adalah projek di bawah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) yang menempatkan pelajar cemerlang UPSR 5A hinggalah kepada yang paling minimum 3A 2B (tertakluk pada perubahan).

Kegagalan anak memasuki SBP ini mungkin agak mengecewakan ibu bapa murid cemerlang 5A. Setelah anak bertungkus-lumus belajar untuk mencapai keputusan yang cemerlang, tetapi gagal ke SBP. Apakah ibu bapa perlu rasa kecewa jika anak gagal ke SBP? Sebenarnya, ibu bapa/penjaga tidak perlu kecewa. Malah merekalah orang yang perlu tabah dan sabar demi untuk mententeramkan dan menaikkan semangat anak mereka yang mungkin kecewa kerana tidak dapat ke SBP.
Jangan memandang rendah pada SHB. Oleh kerana kita selalu diceritakan dengan keistimewaan SBP hingga kita terlepas pandangan mengenai keistimewaan yang mungkin anak kita peroleh jika mereka berada di SHB.

Untuk makluman ibu bapa yang berasakan anak mereka pintar, selalunya murid-murid yang cemerlang UPSR, tidak kiralah 5A, 4A, 3A, di SHB ini murid cemerlang UPSR akan mendapat perhatian yang lebih kerana kecemerlangan mereka itu.

Murid pintar di sekolah harian biasa boleh dikatakan akan ditatang dengan sebaiknya oleh guru SHB. Mereka diberi seperti menjawat jawatan tertentu, jika berbakat dalam sukan, mereka akan lebih ditonjolkan, jika ada aktiviti kokurikulum atau ko-akademik selalunya mereka lebih berpeluang untuk mewakili sekolah. Pendek kata banyak kelebihan bagi murid cemerlang di SHB.

Kalau disebut kelebihan murid cemerlang akademik di SHB ini, memang banyak. Kalau ditulis mungkin menimbulkan prasangka pula bagi ibu bapa yang anak mereka kurang cemerlang akademik. Dari segi perhatian gurunya, mungkin dari segi peluang mendapat biasiswa. Tambahan pula jika murid ini mempunyai tahap disiplin dan sikap yang baik, maka mungkin lebih keistimewaan yang mereka peroleh.

Cuma satu kekurangan di SHB. Ini sebenarnya tugas ibu bapa. Mereka perlu sentiasa memantau pergerakan anak mereka. Pergi ke mana, berkawan dengan siapa, masa mengajinya, waktu solatnya, semua ibu bapa/penjaga kena ambil tahu.

Kesimpulannya, sama ada anak kita ke SBP atau sekolah harian, masing-masing ada kelebihan yang tersendiri. Guru pakar dan guru cemerlang pun ramai di SHB.

SRIBUAT,
Rompin, Pahang.

Berita Harian 22/11/2010

Ahad, 14 November 2010

Majlis Khatam Al-Quran 1431H/2010M


Pada 30 Oktober yang lepas, Panitia Pendidikan Islam dan j-QAF SK Pulo telah mengadakan Majlis Khatam al-Quran peringkat sekolah. Seramai 74 orang murid yang terdiri dari tahun 1 hingga 6 terlibat dalam majlis ini. Semua murid tahun 6 yang telah khatam diberi keutamaan untuk majlis ini sementara untuk murid tahun 1-5, mereka yang hanya khatam pada tahun 2010 sahaja yang terpilih. Ini bermakna mereka yang telah khatam sebelum 2010, tidak lagi dipilih.

Antara murid yang terlibat ialah;
1 DURRATON NAFISAH BT SU'UDI 1D
2 NADZATULSHIMA BT RAHIM 2C
3 RIYAN HIDAYAT 3A
4 NURFATIN ATHIRAH 3B
5 NORAIN 3C
6 NURFARISHA ILYANA 3D
7 M. SYAFIQUE ISKANDAR 4A
8 NUR SYAHEERA 4A
9 HAZWANI SINDI 4B
10 MOHD JABRULLAH 4B
11 NURFITRI AISYHA 4B
12 ISMAH HHADIJAH 4B
13 NURAMIRAH USNA 4B
14 NUR RAZAN HAYATI 4C
15 SAIDATULNISYA 4C
16 FAZRULMIZA 4C
17 AMNIZUHAIRAH AZYAN 4D
18 NUR SAFRALIZA 5A
19 NUR SHAFIRRA 5B
20 NURUL AINA ATHIRAH 5B
21 NUR IZZRIEN 5B
22 HADIMAN BIN HIDIR 5C
23 ALZIRA BT KARIM 5C
24 ANNUAR IBRAHIM 6A
25 AWANG MOHD SHAHMIRUL 6A
26 MAS NORAISYA 6A
27 AIREEN ARISYA 6B
28 ISMASAZWIN 6B
29 KHAIRUNNISA BT POSA 6B
30 M. FAZLAN NIZAN 6B
31 MOHD HAFIZIE 6B
32 MOHD SULAIMAN 6B
33 NORAININA BT ADAM 6B
34 NUR ASYIKIN MARZUKI 6B
35 NUR MAISYA 6B
36 NUR SYAFINAZ 6B
37 NUR ZAIMAH 6B
38 NURUL ASMIRA 6B
39 ROZALINA MAJID 6B
40 SITI NORAZLINA BT JAMALUDDIN 6B
41 SITI NUR CAHAYA 6B
42 SITI ZULAIKHA EROL 6B
43 NURUL HIKMAH 6B
44 MOHD SHAMSUREEN 6C
45 NUR ADILA 6C
46 SABINA IZZAWANI 6C
47 MASTIKAYU 6C
48 ATIQAH SAFAWATI 6D
49 DYG SHAHIRAH 6D
50 IZZAH AMIRAH 6D
51 KHAIRIL AZZAHARI 6D
52 MOHD AIMAN FITRI 6D
53 MOHD IZZAT ISKANDAR 6D
54 MOHD KHAIRUDDIN 6D
55 MOHD KHAIZUL HARZIZI 6D
56 MOHD RAIF MAHIDEN 6D
57 NORMAH SYARKAWI 6D
58 NUR AFARISHZA 6D
59 NUR ASYIQIN BINTI ABDUL GANI 6D
60 NUR AZIELA 6D
61 NUR ELISHA BT HASMADI 6D
62 NUR HAFIZAH HAZIMIN 6D
63 NUR KHADIJAH 6D
64 NUR RAHIMIN 6D
65 NUR SYAFIKA HAMDAN 6D
66 NUR SYAFIQAH ISKANDAR 6D
67 NURIFHAN 'ALIA 6D
68 NURSYAHADAH BT BUJANG 6D
69 NURUL SYUHADA BINTI ROSLAN 6D
70 SITI HAZRATUL NADIA 6D
71 YASMIN FATIN 6D
72 ARISSZA REZZAL 6D
73 FAZUAN IZAIRY 6D

Untuk melihat gambar keseluruhan, sila ke Facebook SK Pulo.

Semakan Keputusan Permohonan Pertukaran Guru | e-GTukar Januari 2011


Esok (14/11/2010) saat yang ditunggu-tunggu akan tiba. Keputusan pertukaran guru diumumkan. Yang berjaya pindah TAHNIAH diucapkan. Bolehlah kongsikan kegembiraan anda bersama. Bagi yang gagal, jangan sedih. Jangan putus asa. Terima ketententuan ALLAH dengan lapang dada ...segalanya ada hikmah..

Untuk menyemak keputusan pertukaran anda, sila klik di sini.

Pelajar cemerlang miskin diutama masuk SBP 2011

Berita Harian

14/11/2010
MUHYIDDIN dan  Presiden Chile, Sebastian Pinera menyaksikan pertukaran dokumen antara Timbalan Menteri Luar, Datuk Richard Riot Jaem dan Menteri Luar Chile, Alfredo Moreno Charme (kanan) pada majlis memeterai Perjanjian Perdagangan Bebas di Yokohama, Jepun, semalam.
MUHYIDDIN dan Presiden Chile, Sebastian Pinera menyaksikan pertukaran dokumen antara Timbalan Menteri Luar, Datuk Richard Riot Jaem dan Menteri Luar Chile, Alfredo Moreno Charme (kanan) pada majlis memeterai Perjanjian Perdagangan Bebas di Yokohama, Jepun, semalam.
Tindakan elak matlamat asal sekolah tersasar: Muhyiddin

TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, bermula tahun depan, hanya pelajar cemerlang daripada keluarga miskin dan berpendapatan rendah akan dipilih memasuki sekolah berasrama penuh (SBP).

Timbalan Perdana Menteri berkata, pemilihan berdasarkan kriteria yang saksama dan merit pencapaian pelajar sejajar matlamat asal penubuhan sekolah itu.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menjelaskan, ketika kerajaan mewujudkan SBP dulu, ia bertujuan memberikan peluang kepada pelajar cemerlang daripada keluarga miskin dan berpendapatan rendah belajar di tempat selesa tanpa mengeluarkan belanja besar.
Bagaimanapun, katanya, sejak kebelakangan ini, ia sudah lari daripada matlamat asalnya apabila SBP ini dianggap sebagai sekolah elit untuk pelajar dengan keputusan terbaik.

Beliau menegaskan, ini menyebabkan ibu bapa berlumba-lumba mahu menghantar anak mereka ke sekolah berkenaan, walaupun hakikatnya sekolah bukan berasrama penuh turut mencapai keputusan cemerlang.

Jadi saya sudah meminta pegawai di Kementerian Pelajaran supaya meneliti semula asas kenapa kita adakan sekolah berasrama penuh ini. Ini akan dimulakan bagi pengambilan persekolahan tahun depan, katanya kepada wartawan Malaysia selepas menamatkan hari pertama Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, bahawa hanya 10 peratus daripada 48,327 murid yang memperoleh 5A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini akan berpeluang melanjutkan pelajaran di sekolah berasrama penuh.
Muhyiddin juga menjelaskan, walaupun Kementerian Pendidikan membuat pengambilan berdasarkan asas itu akan ada juga di kalangan pelajar yang layak gagal mendapatkan tempat di sekolah berkenaan kerana bilangannya mungkin jauh lebih besar daripada hanya kira-kira 7,000 tempat yang ada.

Jika 70 atau 80 peratus daripada 80,000 yang memohon adalah daripada kalangan miskin, sudah tentu kita tidak dapat penuhi semuanya. Justeru, kita akan menggunakan kriteria saksama dan berdasarkan merit pencapaian mereka, katanya.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan, langkah yang akan diambil Kementerian Pelajaran itu tidak seharusnya mengecewakan ibu bapa pelajar yang lain kerana usaha meningkatkan mutu pembelajaran di semua sekolah sudah dilakukan.

Malah, katanya, banyak sekolah yang dikategorikan sebagai sekolah berprestasi tinggi (SBT) bukan daripada kalangan SBP.

Saya akan mengumumkan 30 sekolah berprestasi tinggi yang sebahagian besarnya bukan SBP, katanya.