Halaman

Memaparkan catatan dengan label UPSR. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label UPSR. Papar semua catatan

Ahad, 14 November 2010

Pelajar cemerlang miskin diutama masuk SBP 2011

Berita Harian

14/11/2010
MUHYIDDIN dan  Presiden Chile, Sebastian Pinera menyaksikan pertukaran dokumen antara Timbalan Menteri Luar, Datuk Richard Riot Jaem dan Menteri Luar Chile, Alfredo Moreno Charme (kanan) pada majlis memeterai Perjanjian Perdagangan Bebas di Yokohama, Jepun, semalam.
MUHYIDDIN dan Presiden Chile, Sebastian Pinera menyaksikan pertukaran dokumen antara Timbalan Menteri Luar, Datuk Richard Riot Jaem dan Menteri Luar Chile, Alfredo Moreno Charme (kanan) pada majlis memeterai Perjanjian Perdagangan Bebas di Yokohama, Jepun, semalam.
Tindakan elak matlamat asal sekolah tersasar: Muhyiddin

TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, bermula tahun depan, hanya pelajar cemerlang daripada keluarga miskin dan berpendapatan rendah akan dipilih memasuki sekolah berasrama penuh (SBP).

Timbalan Perdana Menteri berkata, pemilihan berdasarkan kriteria yang saksama dan merit pencapaian pelajar sejajar matlamat asal penubuhan sekolah itu.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menjelaskan, ketika kerajaan mewujudkan SBP dulu, ia bertujuan memberikan peluang kepada pelajar cemerlang daripada keluarga miskin dan berpendapatan rendah belajar di tempat selesa tanpa mengeluarkan belanja besar.
Bagaimanapun, katanya, sejak kebelakangan ini, ia sudah lari daripada matlamat asalnya apabila SBP ini dianggap sebagai sekolah elit untuk pelajar dengan keputusan terbaik.

Beliau menegaskan, ini menyebabkan ibu bapa berlumba-lumba mahu menghantar anak mereka ke sekolah berkenaan, walaupun hakikatnya sekolah bukan berasrama penuh turut mencapai keputusan cemerlang.

Jadi saya sudah meminta pegawai di Kementerian Pelajaran supaya meneliti semula asas kenapa kita adakan sekolah berasrama penuh ini. Ini akan dimulakan bagi pengambilan persekolahan tahun depan, katanya kepada wartawan Malaysia selepas menamatkan hari pertama Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, bahawa hanya 10 peratus daripada 48,327 murid yang memperoleh 5A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini akan berpeluang melanjutkan pelajaran di sekolah berasrama penuh.
Muhyiddin juga menjelaskan, walaupun Kementerian Pendidikan membuat pengambilan berdasarkan asas itu akan ada juga di kalangan pelajar yang layak gagal mendapatkan tempat di sekolah berkenaan kerana bilangannya mungkin jauh lebih besar daripada hanya kira-kira 7,000 tempat yang ada.

Jika 70 atau 80 peratus daripada 80,000 yang memohon adalah daripada kalangan miskin, sudah tentu kita tidak dapat penuhi semuanya. Justeru, kita akan menggunakan kriteria saksama dan berdasarkan merit pencapaian mereka, katanya.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan, langkah yang akan diambil Kementerian Pelajaran itu tidak seharusnya mengecewakan ibu bapa pelajar yang lain kerana usaha meningkatkan mutu pembelajaran di semua sekolah sudah dilakukan.

Malah, katanya, banyak sekolah yang dikategorikan sebagai sekolah berprestasi tinggi (SBT) bukan daripada kalangan SBP.

Saya akan mengumumkan 30 sekolah berprestasi tinggi yang sebahagian besarnya bukan SBP, katanya.

Sabtu, 13 November 2010

4B 1C

Amirul menjangkakan beliau mendapat 4A 1B. Wajahnya pucat lesi bila menyerahkan keputusan UPSR. Spontan saya katakan kepada beliau,

“Amirul, sedikit lagi akan dapat 4A”

Saya memegang kepalanya sambil tersenyum. Alhamdulillah.

Keputusan 4B 1C Amirul mengubah landskap keputusan berbanding sepupu-sepupunya yang lain. Kedua-dua anak lelaki saya, Azrai dan Amirul telah memecah tradisi keluarga yang kesemuanya mendapat 5A.

Saya singgah di masjid dan sujud syukur di atas apa yang dikurniakan oleh Allah SWT.


Dipetik dari blog Prof Kamil (Penulis Travelog Dakwah dan Travelog Haji)

Respon dari pembaca

Abah says:

Saya menghadapi situasi sama …. lebih2 lg bila membaca status FB kawan-kawan. Syukur anak tidak gagal…..kecewa …. mesti ada sedikit perasaan kecewa……..Selepas saya membaca entry ini, saya mesti bermuhasabah diri ini ….. Mungkin akan ada kebaikan dan kejayaan menanti anak saya di masa hadapan….Insyaallah ….


anis says:

Seorang rakan di FB menyatakan, beliau tidak kisah berapa pun A yang akan diperolehi oleh anak perempuannya, yang penting jaga solat. Rasanya itulah A yang ingin dimiliki oleh kita. Taniah buat Amirul sebab berjaya mengharunginya.


Haiza says:

Salam,

tahniah untuk Amirul….kerana itulah rezeki yang Allah berikan. Jika saya Amirul, saya berbangga mempunyai bapa seperti prof yang sentiasa memberi perangsang kepada anak-anak akan konsep kesyukuran dan rezeki ditangan Allah.

Sebagai seorang guru, saya seringkali melihat ibu bapa yang sering menyalahkan anak-anak dan guru-guru jika keputusan yang diharapkan tidak memberangsangkan. Tahniah prof.


ilah says:

salam prof.
Seringkali ibubapa mencanang anak2 yang berjaya mendapat ’straight As’, tetapi apabila sedikit A yang diperolehi, mereka seakan2 memencilkan diri. Allah sendiri tidak pernah memberikan A kepada setiap hambanya di dunia, keputusan itu tersimpan di hari pertemuan denganNya kelak.


khaizatul says:

Salam Prof,

Tulisan Prof mengingatkan saya untuk tidak terlalu menekan anak saya untuk meraih semua A dalam UPSRnya tahun hadapan. Siang tadi sempat jugak membebel, ( mengingatkan ) sebenarnya yang sebagaimana tahun ini semua sanak-saudaranya sibuk bertelefon untuk mendapatkan khabar keputusan peperiksaan UPSR abang Apiq ( bapa saudara yang dipanggil abang ), macam tu jugakla semua orang akan bertanyakan tentang dia nanti. Saya tegaskan betapa pentingnya dia meraih keputusan terbaik sebab emak ayahnya pendidik. Tapi akhirnya tersedar yang saya tak sepatutnya menakutkan dia sebegitu. Sepatutnya, saya ajarkan kepentingan berusaha dan seterusnya bertawakal dan berserah serta meredhai apa sahaja ketentuan Allah… Terima kasih atas perkongsian ilmu yang bermanfaat ini…


Admin: Tahniah kepada yang berjaya. Kepada yang kurang berjaya, moga dapat menghadapi dengan tabah. Perjalanan anda baru bermula dan masih panjang. UPSR bukan segala-galanya. Buat ibu bapa, janganlah terlaku menekan anak-anak untuk meraih semua A dalam UPSR. Yang penting, sentiasa dekatkan diri dengan Allah agar kita terpelihara dari semua kejahatan. Sentiasa meminta pertolongan dariNya selepas berusaha. Untuk membaca artikel penuh dari blog Prof Muhd Kamil Ibrahim, sila klik di sini.

Khamis, 11 November 2010

Keputusan UPSR SK Pulo 2010

Seramai 48,327 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini memperoleh keputusan cemerlang semua A, meningkat kepada 10.02 peratus daripada 9.51 peratus tahun lepas.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud berkata, keputusan itu merupakan pencapaian terbaik bagi tempoh empat tahun mengikut Gred Purata Nasional (GPN), indeks yang digunakan untuk menunjukkan pencapaian calon di seluruh negara.

"Syukur Alhamdulilah, peratusan calon yang berada di bawah tahap pencapaian minimum (semua D/E atau kombinasi kedua-duanya) telah berkurangan daripada 3.99 peratus kepada 3.39 peratus pada tahun ini,” katanya ketika mengumumkan keputusan UPSR di sini hari ini.

Bagaimanapun, kata Abdul Ghafarm, peratusan calon yang mendapat minimum gred C menurun 1.37 peratus berbanding tahun lalu.

Sekolah Kebangsaan Pulo tidak ketinggalan untuk turut serta dalam senarai lebih 48 ribu calon tersebut.

Adik Nursyafiqah bt Iskandar Zulkarnain (gambar) telah berjaya memperolehi keputusan yang cemerlang tersebut. Beliau memperolehi semua A dalam lima mata pelajaran yang diambil iaitu Bahasa Malaysia (Pemahaman), Bahasa Malaysia (Penulisan), Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Bilangan yang mendapat 4A dan 1B pula ialah seramai 5 orang. Mereka ialah;
1. Atiqah Safawati bt Idris
2. Mohd Raif b. Mahiden
3. Nur Khadijah bt Mislan
4. Nurifhan Alia bt Rosli
5. Nur Rahimin b Rahim

Mereka mendapat B dalam subjek Sains atau Bahasa Inggeris.

Walau bagaimanapun, pencapaian keseluruhan kali ini lebih baik dari pencapaian tahun lepas. Tahniah kepada semua calon yang berjaya. Kepada yang kurang berjaya, perjalanan anda masih panjang. Jangan berputus asa. Cuba lagi pada masa akan datang.

Khamis, 4 November 2010

Keputusan UPSR diumum pada 11 November ini

PUTRAJAYA: Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2010 akan diumumkan pada Khamis, 11 Novemver ini, menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pelajaran hari ini.

Kenyataan itu menyebut calon-calon boleh mendapatkan keputusan mereka daripada sekolah masing-masing selepas pukul 10 pagi, pada hari berkenaan.


Pada tahun ini, seramai 494,493 calon telah menduduki UPSR di 8,192 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Calon sekolah kebangsaan dan sekolah bantuan kerajaan adalah seramai 486,321 orang manakala bakinya sebanyak 8,172 orang adalah calon sekolah swasta.


-- BERNAMA

Isnin, 11 Oktober 2010

Perubahan format UPSR, PMR mampu lahir generasi lebih berkemahiran, berakhlak

Berita Harian
11/10/2010

SELEPAS tiga bulan berpolemik dan tiga rundingan meja bulat, Kementerian Pelajaran kelmarin mengumumkan tidak meneruskan Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan diubah format baru, manakala Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan diteruskan dengan penambahbaikan mulai 2016.

Menterinya, yang juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata peperiksaan bagi pelajar Tingkatan Tiga akan dibuat melalui penilaian berasaskan sekolah, manakala peperiksaan UPSR bagi murid Tahun Enam akan mempunyai bentuk dan format yang agak berbeza, termasuk menggunakan nama baru. Antara penambahbaikan yang mungkin dilakukan untuk UPSR ialah 60 peratus penilaian murid akan berasaskan bidang akademik terpilih, manakala 40 peratus lagi berdasarkan kokurikulum atau sivik.
Bagaimanapun, sistem penilaian baru itu hanya boleh dilaksanakan paling awal enam tahun lagi bagi mengelak pelajar dalam sistem peperiksaan sekarang dibebani dengan format baru. Ini bermakna murid yang memasuki sekolah tahun depan dijangka menduduki format baru UPSR, manakala pelaksanaan ujian baru menggantikan PMR mungkin bermula lebih lewat daripada tarikh itu. Perubahan format kedua-dua peperiksaan ini turut membabitkan perubahan kurikulum, buku dan latihan untuk guru.

“Secara kasarnya saya boleh sebutkan, umumnya ramai bersetuju bahawa UPSR itu perlu dikekalkan tetapi mesti ada penambahbaikan, manakala bagi PMR pula umum bersetuju ia diganti dengan penilaian berasaskan sekolah. Yang penting di sini ialah setiap peringkat kemajuan murid dan pelajar sekolah itu perlu dinilai,” kata Muhyiddin.

Pengumuman Muhyiddin itu melenyapkan kebimbangan sesetengah pihak sebelum ini yang mahu sistem peperiksaan untuk menguji tahap pencapaian pelajar terutama selepas enam tahun bersekolah dikekalkan. Peruntukan 40 peratus penilaian UPSR berdasarkan kurikulum atau sivik diharap boleh melahirkan pelajar bukan hanya dianggap cemerlang apabila mendapat markah tinggi dalam bidang akademik tetapi juga hebat bersukan atau aktiviti kokurikulum lain.

Begitu juga dengan PMR, yang format barunya nanti membabitkan penilaian terhadap pencapaian pelajar dilakukan pada peringkat sekolah seperti dilaksanakan secara percubaan di 550 sekolah sejak dua tahun lalu. Dalam kata lain, selepas ini hanya ada dua peperiksaan utama iaitu UPSR pada peringkat rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada peringkat menengah.

Walaupun butiran terperinci mengenai format baru kedua-dua peperiksaan itu belum umumkan, yang pasti sistem persekolahan kita selepas ini tidak lagi berasaskan peperiksaan semata-mata. Penilaian berasaskan sekolah membolehkan guru menilai sebarang kegiatan sesuai yang bukan akademik untuk dilakukan pelajar, terutama aktiviti membabitkan pembinaan sahsiah, adab, akhlak dan kemahiran sosial. Dengan itu, pelajar dan guru tidak lagi menumpukan perhatian kepada peperiksaan umum, semata-mata tetapi lebih kepada proses mendidik pelajar menjadi manusia berpengetahuan, berkemahiran dan berakhlak mulia.

Begitupun, perubahan format baru kedua-dua peperiksaan ini turut memerlukan perubahan sikap serta pemikiran guru dan ibu bapa. Di pihak guru, kementerian boleh menyediakan kursus, latihan dan motivasi supaya mereka bukan saja dapat melaksanakannya dengan berkesan tetapi mampu menjadikan sistem baru ini lebih menyeronokkan pelajar.

Yang agak sukar ialah di kalangan ibu bapa kerana sejak sekian lama, ramai yang terlalu taksub untuk memastikan anak mereka mendapat straight A sehingga sanggup berbelanja beratus ringgit menghantar anak ke kelas tuisyen mulai Tahun Satu lagi. Ada kerajaan negeri yang menyediakan puluhan ribu ringgit bagi memberi ganjaran kepada murid yang mendapat 5A dalam UPSR.

Barangkali selepas ini, duit yang dibelanjakan untuk tuisyen itu boleh digunakan untuk membeli kelengkapan sukan, karya sastera, peralatan kemahiran hidup dan pelbagai kelengkapan kokurikulum lain bagi membantu anak turut cemerlang dalam bidang itu.

Cara ini bukan saja membantu anak-anak belajar dalam suasana yang lebih menyeronokkan tanpa perlu dibebani peperiksaan tetapi melengkapkan diri mereka untuk melangkah alam pekerjaan dengan yakin serta menjadikan mereka manusia lebih berguna kepada masyarakat dan negara.

Sabtu, 9 Oktober 2010

TPM: UPSR kekal, PMR diganti penilaian sekolah

Peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan dikekalkan tetapi dengan sukatan pelajaran baru, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.

"Antara perubahan yang dicadang dalam proses penambahbaikan UPSR, termasuk mengambil kira bidang utama saja dengan 60 peratus penggredan berasaskan akademik terpilih dan baki 40 peratus berteraskan kokurikulum atau sivik.

"Bagi UPSR, walaupun kemungkinan besar UPSR dikekalkan, bentuk dan formatnya agak berbeza dengan penambahbaikan yang kita akan lakukan."

Sementara itu, ketika mengumumkan keputusan kerajaan berkenaan, beliau yang juga adalah menteri pelajaran berkata peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) akan dimansuhkan dan diganti dengan penilaian peringkat sekolah bermula 2016.

Muhyiddin berkata ia hasil persetujuan rundingan meja bulat terakhir mengenai cadangan pemansuhan UPSR dan PMR.

Katanya, satu jawatankuasa penilaian telah dibentuk bagi mengkaji persekitaran semasa PMR dan mendapati penilaian peringkat sekolah lebih sesuai dan menjadi pilihan ramai.

"Mengenai PMR, meja bulat bersetuju dengan cadangan mengubah bentuk (pelaksanaannya) kepada penilaian berasaskan sekolah. Tapi, Lembaga Peperiksaan perlu menyelaras ujian itu supaya tidak dilihat berat sebelah," kata Muhyiddin.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada hari terakhir lawatannya di Sydney.

Muhyiddin berkata, beliau akan membentangkan kepada Kabinet mengenai hasil rundingan meja bulat ketiga itu yang menerima cadangan penambahbaikan dan perubahan dalam UPSR dan PMR yang disyorkan kementeriannya.

Isnin, 23 Ogos 2010

KOLEKSI SOALAN PERCUBAAN UPSR 2010

Calon2 UPSR 2010 boleh memuat turun koleksi soalan2 percubaan UPSR 2010 di Blog Pusat Sumber SK Parit Hj. Taib. Antara soalan yang boleh diperoleh adalah seperti berikut;

Bahasa Melayu
Soalan Percubaan UPSR Bahasa Melayu Pemahaman 2010 - Sabah

Soalan Percubaan UPSR Bahasa Melayu Penulisan 2010 - Sabah

Soalan Percubaan UPSR Bahasa Melayu Pemahaman 2010 - Terengganu

Soalan Percubaan UPSR Bahasa Melayu Penulisan 2010 - Terengganu

Soalan Percubaan UPSR Bahasa Melayu Pemahaman 2010 - Selangor

Soalan Percubaan UPSR Bahasa Melayu Penulisan 2010 - Selangor

Soalan Percubaan UPSR Bahasa Melayu Pemahaman 2010 - Pulau Pinang

Soalan Percubaan UPSR Bahasa Melayu Penulisan 2010 - Pulau Pinang



Bahasa Inggeris

Soalan percubaan UPSR Bahasa Inggeris Kertas 1 2010 - Sabah

Soalan percubaan UPSR Bahasa Inggeris Kertas 2 2010- Sabah

Soalan percubaan UPSR Bahasa Inggeris Kertas 1 2010- Terengganu

Soalan percubaan UPSR Bahasa Inggeris Kertas 2 2010- Terengganu

Soalan percubaan UPSR Bahasa Inggeris Kertas 1 2010- Selangor

Soalan percubaan UPSR Bahasa Inggeris Kertas 2 2010- Selangor



Matematik

Soalan Percubaan UPSR Matematik Kertas 1 2010 - Sabah

Soalan Percubaan UPSR Matematik Kertas 2 2010 - Sabah

Soalan Percubaan UPSR Matematik Kertas 1 2010 - Terengganu

Soalan Percubaan UPSR Matematik Kertas 2 2010 - Terengganu

Soalan Percubaan UPSR Matematik Kertas 1 2010 - Selangor

Soalan Percubaan UPSR Matematik Kertas 2 2010 - Selangor



Sains

Soalan Percubaan UPSR Matematik Bahagian A 2010 - Sabah

Soalan Percubaan UPSR Matematik Bahagian B 2010 - Sabah

Soalan Percubaan UPSR Matematik Bahagian A 2010 - Pahang

Soalan Percubaan UPSR Matematik Bahagian B 2010 - Pahang

Soalan Percubaan UPSR Matematik 2010 - Selangor

Soalan Percubaan UPSR Matematik 2010 - Pulau Pinang

Sabtu, 20 Mac 2010

Jadual Waktu UPSR

Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia.
Berikut adalah link jadual waktu UPSR 2010. Mungkin ianya bermanfaat untuk guru, ibu bapa dan calon2 UPSR 2010.

http://apps2.moe.gov.my/files/upsr/2010/JADUAL%20WAKTU%20UPSR%202010.pdf

Ahad, 15 November 2009

Keputusan UPSR 19 November 2009 (Khamis)

Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2009 akan diumumkan di seluruh negara pada 19 November ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, calon-calon boleh mendapatkan keputusan di sekolah masing-masing mulai pukul 10 pagi.

Menurutnya, analisis keputusan UPSR 2009 juga akan diumumkan pada hari sama di Putrajaya pada pukul 9 pagi.

"Seramai 517,908 pelajar di seluruh negara telah mendaftar dan menduduki peperiksaan tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, seramai 510,125 orang atau 98.5 peratus calon adalah dari sekolah di bawah Kementerian Pelajaran dan sekolah bantuan kerajaan.

Katanya, baki seramai 7,783 orang iaitu 1.5 peratus merupakan pelajar swasta.

Tambah beliau, mereka menjalani UPSR di 8,289 pusat peperiksaan yang disediakan di seluruh negara.

- MINGGUAN MALAYSIA

Isnin, 14 September 2009

Pohon Restu

Foto2 ini diambil sehari sebelum murid2 tahun 6 menghadapi UPSR. Semua murid tahun 6 memohon restu dan keredhaan ilmu yg diperolehi dari semua guru. Walaupun semua guru ikhlas dalam menyebarkan ilmu terhadap murid2, mungkin sesekali hati mereka terguris dengan sikap dan tingkah laku murid2. Doa kami warga pendidik SK Pulo semoga murid2 tahun 6 mendapat keputusan yang cemerlang dalam UPSR yang telah ditempuhi. Ameen.









Ahad, 26 Julai 2009

Peperiksaan Percubaan UPSR

Bermula esok, semua murid tahun 6 akan menghadapi Peperiksaan Percubaan UPSR. Peperiksaan ini dijalankan serentak di seluruh negeri Sarawak. Diucapkan selamat menempuhi ujian buat murid-murid tahun 6. semoga beroleh kejayaan yang membanggakan.

Berikut adalah jadual penuh peperiksaan percubaan UPSR negeri Sarawak 2009.

Isnin (27/07/2009)
Bahasa Malaysia Pemahaman
Bahasa Malaysia Penulisan
Matematik Kertas 2

Selasa (28/08/2009)
Matematik Kertas 1
Sains

Rabu (29/07/2009)
Bahasa Inggeris Kertas 1
Bahasa Inggeris Kertas 2

Isnin, 20 Julai 2009

Tiada cadangan mansuh UPSR

Cara penilaian diubah suai, keputusan ujian bukan ukuran 100 peratus: TPM

SHAH ALAM: Kerajaan belum bercadang untuk memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) walaupun ia dilihat sesetengah pihak tidak lagi relevan dalam sistem pendidikan negara yang dinamik, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebaliknya, Timbalan Perdana Menteri berkata, UPSR masih boleh digunakan sebagai asas penilaian tetapi sedikit pengubahsuaian akan dilakukan terhadap peperiksaan itu dari segi kepentingan atau kayu pengukur.

"Mungkin kepentingan dikurangkan daripada 100 kepada 30 atau 40 peratus. Yang lain akan ambil kira pelajaran Sejarah. Jadi, tidaklah lari daripada apa yang sedang dilaksanakan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno bahagian Shah Alam, di sini, semalam.

Beliau mengulas cadangan Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim kelmarin supaya UPSR dimansuhkan selepas ia dilihat hanya menjurus kepada konsep pencapaian pendidikan melalui peperiksaan yang memerlukan pelajar lulus subjek tertentu untuk layak ke sekolah berasrama penuh.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, sistem pendidikan negara bersifat dinamik kerana ia sentiasa melalui proses perubahan.

Justeru, katanya, pandangan Razali akan diambil kira dan sedang dilaksanakan selaras langkah transformasi dalam sistem pendidikan negara bagi mengelak ia terlalu berorientasikan peperiksaan.

"Kita nak melihat pendekatan secara lebih seimbang. Kita mungkin membawa pendekatan baru dari segi menilai prestasi pelajar secara holistik menerusi sistem berdasarkan pendidikan di sekolah dan ini sedang disusun pada peringkat kementerian.

"Mungkin akan ada perubahan dan pengubahsuaian mengenai sistem peperiksaan sedia ada termasuk UPSR yang dinilai empat subjek saja sedangkan pelajar juga belajar subjek lain," katanya.

Di KUALA LUMPUR: Razali berkata cetusan idea untuk memansuhkan UPSR bertujuan untuk mendapat maklum balas daripada guru, ibu bapa dan juga badan bukan kerajaan (NGO).

Beliau berkata, ibu bapa, guru dan NGO adalah kumpulan yang mampu menilai sejauh mana kepentingan UPSR, sama ada ia masih relevan untuk diguna pakai dalam perkembangan negara hari ini atau perlu dimansuhkan.

"Untuk menentukan sama ada ia perlu dimansuhkan atau tidak, itu adalah tugas kerajaan. Oleh itu, guru, ibu bapa dan NGO perlu memberi pandangan terhadap perkara ini.

"Ia selaras dengan aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bahawa zaman kerajaan mengetahui segala-galanya sudah berakhir," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda Umno bahagian Serdang di sini, semalam.

Razali yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu berkata, pemansuhan UPSR juga membolehkan Kementerian Pelajaran memberi tumpuan kepada beberapa subjek yang dianggap penting seperti Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Sejarah yang dipinggirkan walaupun perlu untuk pengisian jiwa pelajar.

Ahad, 19 Julai 2009

Mansuhkan UPSR: Razali

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman

KUALA LUMPUR: Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim mencadangkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dimansuhkan kerana sudah tidak relevan lagi dalam sistem pendidikan negara.

Katanya, UPSR hanya menjurus kepada konsep pencapaian pendidikan melalui peperiksaan yang memerlukan pelajar lulus subjek tertentu untuk layak ke sekolah berasrama penuh, sekali gus tidak membantu menentukan tahap sebenar akademik pelajar.

“Mansuhkan UPSR kerana tidak relevan. Ia hanya menjadi penanda aras untuk membolehkan murid memasuki sekolah asrama penuh.

“UPSR tidak menggalakkan murid mengambil berat untuk mendalami subjek lain yang juga penting seperti Sejarah dan Pendidikan Islam kerana subjek ini tidak menjadi syarat lulus dalam ujian itu,” katanya selepas merasmikan Persidangan Pemuda Umno Bahagian Cheras, di sini, semalam.

Saranan sama pernah dibuat Majlis Guru Besar Malaysia (MGBM) pada Januari 2007 yang mahu UPSR dimansuhkan kerana sistem peperiksaan itu didakwa terlalu mementingkan keputusan akademik dan tidak membantu membentuk sahsiah diri murid.

MGBM menganggap pemansuhan itu wajar bagi membolehkan murid sekolah rendah memberi tumpuan kepada sistem pembelajaran nilai murni dan jati diri yang harus dimulakan pada peringkat awal.

UPSR diperkenalkan pada 1987 bagi menggantikan peperiksaan Penilaian Darjah Lima. Antara mata pelajaran utama dalam UPSR ialah Bahasa Melayu (Penulisan), Bahasa Melayu (Pemahaman), Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Razali yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan bagaimanapun berkata, cadangan itu pandangan peribadi beliau dan tidak mewakili suara Pemuda Umno.

Katanya, beliau mempersoalkannya kerana kaedah pembelajaran terhadap mata pelajaran tidak mencapai tahap maksimum atau hanya menumpukan subjek yang wajib lulus.

“Ini menyebabkan murid belajar sambil lewa terhadap mata pelajaran lain yang juga penting seperti Sejarah kerana tidak termasuk syarat wajib lulus.

“Pelajar mengabaikan subjek Sejarah sehingga tidak faham sejarah negara, sekali gus menyukarkan lagi proses membina negara bangsa,” katanya.


Berita Harian (19/7/2009)