Halaman

Memaparkan catatan dengan label PENDIDIKAN. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PENDIDIKAN. Papar semua catatan

Selasa, 26 Januari 2010

20 sekolah hebat

Oleh Johari Ibrahim

PUTRAJAYA: Misi mengangkat sekolah negara ini ke taraf dunia bermula semalam dengan pemilihan kumpulan pertama 20 Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) yang menyaksikan pengetua dan guru besar diberi autonomi tambahan dalam pengurusan kurikulum, kewangan dan kakitangan.

Autonomi itu antara lain memberi kelonggaran memanjangkan waktu persekolahan, menamatkan tempoh persekolahan pelajar cemerlang setahun lebih awal, mengagihkan kewangan mengikut keperluan serta mengambil kakitangan berdasarkan pencapaian dan bukan kekananan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata SBT dibimbing dan dipantau secara khusus menjamin berlaku lonjakan prestasi secara berterusan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata penilaian SBT akan dibuat berdasarkan laporan tahunan petunjuk keberhasilan dan pemeriksaan sekolah mengikut Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) yang diubah suai.

Beliau bagaimanapun menjelaskan SBT bukan sekolah elit untuk sebilangan kecil pelajar, sebaliknya semua sekolah mempunyai peluang sama dan boleh bersaing ‘di padang sama rata’ bagi mendapat pengiktirafan itu.

“Tahun ini kita sasarkan 20 sekolah mengikut sub Bidang Keberhasilan Utama (NKRA) kementerian, manakala 30 pada tahun depan dan 50 lagi pada 2012,” katanya pada sidang media mengumumkan senarai kumpulan pertama SBT yang meliputi 14 sekolah menengah (SM) dan enam sekolah rendah.

SM yang terpilih termasuk empat sekolah harian, iaitu SM Kebangsaan (P) Sri Aman, Petaling Jaya; SMK Sultanah Asma, Alor Setar; SMK Aminuddin Baki, Kuala Lumpur dan SMK (P) St George, Pulau Pinang.

Muhyiddin berkata, 20 sekolah berkenaan dipilih daripada 10,000 sekolah di seluruh negara berdasarkan kriteria tertentu termasuk menunjukkan pencapaian cemerlang dalam akademik dan kokurikulum.

Mengenai nasib sekolah pedalaman, Muhyiddin berkata, mungkin mereka akan menghadapi cabaran kerana kemudahan yang belum setara dengan sekolah bandar, tetapi tetap boleh diiktiraf sebagai SBT jika memenuhi kriteria.

"Ini bukan usaha jangka pendek dan tak mungkin semua 10,000 sekolah naik ke tahap begitu, di mana dunia pun tidak begitu, tetapi tak kira bandar, luar bandar atau pedalaman, kalau prestasi bagus dia akan diiktiraf SBT manakala kemudahan di pedalaman kita akan terus perbaiki," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata kementerian belum ada mekanisme khusus mengenai langkah autonomi SBT yang membenarkan tempoh persekolahan ditamatkan setahun lebih awal bagi murid cemerlang.

"Panduan kasarnya ialah kerajaan berasakan pelajar cemerlang dibenarkan menamatkan persekolahan setahun lebih awal, tetapi ia akan bergantung kepada cadangan pengetua dan guru besar,” katanya.

SEKOLAH TERPILIH SBT

Sekolah Berasrama Penuh:

Sekolah Tun Fatimah (Johor Bahru)
Sekolah Dato’ Abdul Razak (Seremban)
Kolej Melayu Kuala Kangsar
Sekolah Seri Puteri (Cyberjaya)
Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim (Jitra)
Kolej Tunku Kurshiah (Seremban)
Kolej Islam Sultan Alam Shah (Klang)
Sekolah Menengah Sains (SMS) Tuanku Syed Putra (Perlis)
Sekolah Sultan Alam Shah (Putrajaya)
SMS Muzaffar Syah (Melaka)


Sekolah Menengah Harian:
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (P) Sri Aman (Petaling Jaya)
SMK Aminuddin Baki (Kuala Lumpur)
SMK Sultanah Asma (Alor Setar)
SMK (P) St George (Pulau Pinang)


Sekolah Rendah:
Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bintang Utara (KL)
SK Taman Tun Dr Ismail 1 (Kuala Lumpur)
SK Bukit Damansara (KL)
SK Zainab (2) (Kota Bharu)
SK Convent Kota (Taiping)
SK Bandar Baru Uda 2 (Johor Bahru)


Sekolah diberi autonomi:
Fleksibel dalam pengajaran dan pembelajaran serta silibus bagi subjek wajib dan elektif
Boleh menggunakan bahasa pengantar bahasa kebangsaan atau pelbagai bahasa lain.
Kelonggaran menetapkan waktu pengajaran minimum sesuatu mata pelajaran.
Memanjangkan waktu persekolahan.
Membenarkan tempoh persekolahan bagi pelajar cemerlang ditamatkan setahun lebih awal (seperti kelas lompat).
Fleksibiliti untuk mengagihkan kewangan mengikut keperluan.
Pengecualian daripada perolehan secara berpusat.
Bajet tambahan antara RM500,000 hingga RM1 juta setahun.
Mengambil staf berdasarkan prestasi pencapaian dan bukan kekananan.
Boleh menyediakan bayaran kerja lebih masa dan ganjaran berdasarkan prestasi kepada semua staf.
Boleh memindahkan staf jika prestasi kurang memuaskan.
Pengagihan fungsi berdasarkan akademik dan bukan akademik.


Kriteria pemilihan SBT :
Pencapaian akademik yang cemerlang.
Melahirkan personaliti unggul.
Merangkul anugerah kebangsaan dan antarabangsa.
Mewujudkan jalinan dengan institusi pengajian tinggi.
Mempunyai permuafakatan jitu dengan masyarakat serta jaringan kukuh dengan sekolah tempatan dan antarabangsa.
Menjadi penanda aras kepada sekolah dalam dan luar negara.

sumber: berita harian 26.01.2010

Ahad, 26 Julai 2009

Peperiksaan Percubaan UPSR

Bermula esok, semua murid tahun 6 akan menghadapi Peperiksaan Percubaan UPSR. Peperiksaan ini dijalankan serentak di seluruh negeri Sarawak. Diucapkan selamat menempuhi ujian buat murid-murid tahun 6. semoga beroleh kejayaan yang membanggakan.

Berikut adalah jadual penuh peperiksaan percubaan UPSR negeri Sarawak 2009.

Isnin (27/07/2009)
Bahasa Malaysia Pemahaman
Bahasa Malaysia Penulisan
Matematik Kertas 2

Selasa (28/08/2009)
Matematik Kertas 1
Sains

Rabu (29/07/2009)
Bahasa Inggeris Kertas 1
Bahasa Inggeris Kertas 2

Isnin, 20 Julai 2009

Tiada cadangan mansuh UPSR

Cara penilaian diubah suai, keputusan ujian bukan ukuran 100 peratus: TPM

SHAH ALAM: Kerajaan belum bercadang untuk memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) walaupun ia dilihat sesetengah pihak tidak lagi relevan dalam sistem pendidikan negara yang dinamik, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebaliknya, Timbalan Perdana Menteri berkata, UPSR masih boleh digunakan sebagai asas penilaian tetapi sedikit pengubahsuaian akan dilakukan terhadap peperiksaan itu dari segi kepentingan atau kayu pengukur.

"Mungkin kepentingan dikurangkan daripada 100 kepada 30 atau 40 peratus. Yang lain akan ambil kira pelajaran Sejarah. Jadi, tidaklah lari daripada apa yang sedang dilaksanakan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno bahagian Shah Alam, di sini, semalam.

Beliau mengulas cadangan Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim kelmarin supaya UPSR dimansuhkan selepas ia dilihat hanya menjurus kepada konsep pencapaian pendidikan melalui peperiksaan yang memerlukan pelajar lulus subjek tertentu untuk layak ke sekolah berasrama penuh.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, sistem pendidikan negara bersifat dinamik kerana ia sentiasa melalui proses perubahan.

Justeru, katanya, pandangan Razali akan diambil kira dan sedang dilaksanakan selaras langkah transformasi dalam sistem pendidikan negara bagi mengelak ia terlalu berorientasikan peperiksaan.

"Kita nak melihat pendekatan secara lebih seimbang. Kita mungkin membawa pendekatan baru dari segi menilai prestasi pelajar secara holistik menerusi sistem berdasarkan pendidikan di sekolah dan ini sedang disusun pada peringkat kementerian.

"Mungkin akan ada perubahan dan pengubahsuaian mengenai sistem peperiksaan sedia ada termasuk UPSR yang dinilai empat subjek saja sedangkan pelajar juga belajar subjek lain," katanya.

Di KUALA LUMPUR: Razali berkata cetusan idea untuk memansuhkan UPSR bertujuan untuk mendapat maklum balas daripada guru, ibu bapa dan juga badan bukan kerajaan (NGO).

Beliau berkata, ibu bapa, guru dan NGO adalah kumpulan yang mampu menilai sejauh mana kepentingan UPSR, sama ada ia masih relevan untuk diguna pakai dalam perkembangan negara hari ini atau perlu dimansuhkan.

"Untuk menentukan sama ada ia perlu dimansuhkan atau tidak, itu adalah tugas kerajaan. Oleh itu, guru, ibu bapa dan NGO perlu memberi pandangan terhadap perkara ini.

"Ia selaras dengan aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bahawa zaman kerajaan mengetahui segala-galanya sudah berakhir," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda Umno bahagian Serdang di sini, semalam.

Razali yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu berkata, pemansuhan UPSR juga membolehkan Kementerian Pelajaran memberi tumpuan kepada beberapa subjek yang dianggap penting seperti Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Sejarah yang dipinggirkan walaupun perlu untuk pengisian jiwa pelajar.

Ahad, 19 Julai 2009

Mansuhkan UPSR: Razali

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman

KUALA LUMPUR: Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim mencadangkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dimansuhkan kerana sudah tidak relevan lagi dalam sistem pendidikan negara.

Katanya, UPSR hanya menjurus kepada konsep pencapaian pendidikan melalui peperiksaan yang memerlukan pelajar lulus subjek tertentu untuk layak ke sekolah berasrama penuh, sekali gus tidak membantu menentukan tahap sebenar akademik pelajar.

“Mansuhkan UPSR kerana tidak relevan. Ia hanya menjadi penanda aras untuk membolehkan murid memasuki sekolah asrama penuh.

“UPSR tidak menggalakkan murid mengambil berat untuk mendalami subjek lain yang juga penting seperti Sejarah dan Pendidikan Islam kerana subjek ini tidak menjadi syarat lulus dalam ujian itu,” katanya selepas merasmikan Persidangan Pemuda Umno Bahagian Cheras, di sini, semalam.

Saranan sama pernah dibuat Majlis Guru Besar Malaysia (MGBM) pada Januari 2007 yang mahu UPSR dimansuhkan kerana sistem peperiksaan itu didakwa terlalu mementingkan keputusan akademik dan tidak membantu membentuk sahsiah diri murid.

MGBM menganggap pemansuhan itu wajar bagi membolehkan murid sekolah rendah memberi tumpuan kepada sistem pembelajaran nilai murni dan jati diri yang harus dimulakan pada peringkat awal.

UPSR diperkenalkan pada 1987 bagi menggantikan peperiksaan Penilaian Darjah Lima. Antara mata pelajaran utama dalam UPSR ialah Bahasa Melayu (Penulisan), Bahasa Melayu (Pemahaman), Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Razali yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan bagaimanapun berkata, cadangan itu pandangan peribadi beliau dan tidak mewakili suara Pemuda Umno.

Katanya, beliau mempersoalkannya kerana kaedah pembelajaran terhadap mata pelajaran tidak mencapai tahap maksimum atau hanya menumpukan subjek yang wajib lulus.

“Ini menyebabkan murid belajar sambil lewa terhadap mata pelajaran lain yang juga penting seperti Sejarah kerana tidak termasuk syarat wajib lulus.

“Pelajar mengabaikan subjek Sejarah sehingga tidak faham sejarah negara, sekali gus menyukarkan lagi proses membina negara bangsa,” katanya.


Berita Harian (19/7/2009)

Jumaat, 19 Jun 2009

Projek EduWebTV KPM


Sumber : Blog Cikgu Blogging In Malaysia
Projek EduWebTV KPM

Online Education TV (EduWebTV)
Kementerian Pelajaran Malaysia telah memutuskan untuk menyiarkan Rancangan TV Pendidikan melalui web mulai 1 Mac 2008. Sehubungan itu, KPM telah membuat beberapa ketetapan berikut mengenai pelaksanaan Web TV KPM.

Web TV KPM akan menyiarkan tujuh jenis rancangan iaitu:
1) Berita: Saluran ini mengandungi paparan selama 30 minit setiap hari mengenai acara dan aktiviti penting KPM serta warga pendidikan;

2) Wawancara: Saluran ini memuatkan temu bual dengan personaliti KPM atau yang berkait dengan bidang pendidikan mengenai pengupasan isu-isu semasa serta mempromosi inisiatif pendidikan;

3) Akademik: Saluran ini memaparkan perkongsian ilmu yang akan dihoskan oleh pegawai, guru serta personaliti KPM mengenai amalan-amalan terbaik dalam pengajaran dan pembelajaran serta pengurusan pendidikan;

4) Rencana: Saluran ini mempamerkan dokumentan menarik mengenai peristiwa, pengalaman serta pencapaian warga KPM;

5) Interaktif: Saluran ini memuatkan bahan-bahan untuk guru dan murid menambahkan ilmu secara interaktif;

6) Rancangan TV Pendidikan: Saluran ini mengandungi bahan-bahan pendidikan yang dihasilkan oleh Bahagian Teknologi Pendidikan Malaysia; dan

7) Siaran Langsung: Saluran ini akan menyiarkan acara-acara KPM secara langsung melalui internet.

URL bagi Web TV KPM ialah www.eduwebtv.com dan boleh dicapai pada bila-bila masa. Bahagian, Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah dan semua institusi pendidikan di bawah kawalan Kementerian Pelajaran Malaysia adalah digalakkan untuk bekerjasama dengan krew EduwebTV dalam usaha mereka menerbit rancangan Web TV KPM. Sekian terima kasih daripada admin cikgublog.