Halaman

Khamis, 10 Februari 2011

924 guru besar terima insentif RM7,500

PUTRAJAYA: Seramai 924 guru besar dari seluruh negara disenarai pendek untuk menerima insentif sebanyak RM7,500 seorang sebagai ganjaran kerana berjaya meningkatkan prestasi sekolah masing-masing di bawah Tawaran Baru (Bai'ah), demikian diumumkan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, berkata seramai 12.1 peratus guru besar berjaya memimpin sekolah untuk melepasi sasaran prestasi ditetapkan iaitu pertambahan sebanyak 600 peratus daripada jangkaan asal sebanyak dua peratus.

Katanya, senarai pengetua dan guru-guru sekolah menengah yang layak menerima ganjaran di bawah Tawaran Baru akan diumumkan pada pertengahan tahun ini, dengan kemungkinan awal selepas keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan.

"Jemaah Nazir sedang membuat pengesahan mengenai prestasi 924 guru besar yang disenarai pendek. InsyaAllah saya akan umumkan senarai guru-guru besar yang layak dalam masa terdekat," katanya pada majlis Perutusan Khas 2011 Kementerian Pelajaran, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong dan Mohd Puad Zarkashi, Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr Rosli Mohamed dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud.

Muhyiddin mengumumkan Tawaran Baru itu tahun lalu sebagai satu inisiatif di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan yang menawarkan ganjaran kewangan kepada guru besar dan guru-guru yang berjaya meningkatkan prestasi sekolah melepasi sasaran ditetapkan kementerian.

Di bawah tawaran itu, setiap guru besar layak menerima RM7,500 seorang, lima peratus guru paling cemerlang akan menerima RM1,800 seorang dan selebihnya RM900 seorang.
Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata, seramai 14 orang dikenal pasti untuk menganggotai Jawatankuasa Mengkaji Kurikulum Sejarah bagi mengesyorkan kepada kerajaan cadangan-cadangan menambah baik kandungan kurikulum serta pengajaran dan pembelajaran sejarah di sekolah rendah dan menengah.

Beliau berkata, mereka terdiri daripada pakar sejarah termasuk pensyarah universiti, wakil-wakil persatuan serta individu berkelayakan dalam pengajian sejarah dan mesyuarat pertama akan diadakan dalam masa terdekat.

"Kita nak pastikan pelajar-pelajar kita memahami bukan sahaja sejarah negara tetapi juga sejarah serantau, antarabangsa dan tamadun-tamadun lain. Maka sudah sampai masa kita meneliti semula (kurikulum sejarah).

"Ini mengambil masa kerana kita nanti akan adakan pertemuan dengan pihak berkepentingan dan masyarakat yang berminat selepas jawatankuasa ini mengemukakan draf pandangan mereka tentang kurikulum pembelajaran sejarah akan datang," katanya.

Muhyiddin berkata, tidak semestinya akan berlaku perubahan besar terhadap kurikulum sejarah sedia ada, cuma mengambil kira perkembangan baru yang mungkin perlu dimasukkan dalam kurikulum mata pelajran itu.

Mengenai penarikan semula 400,000 Buku Teks Bahasa Inggeris untuk Tahun 1 kerana mengandungi pelbagai kesalahan, Muhyiddin berkata, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan mengeluarkan buku teks baru bagi menggantikannya.

Beliau berkata, sementara buku teks baru itu diedarkan, pembelajaran mata pelajaran itu akan diteruskan dengan menggunakan mana-mana bahagian buku lama itu yang boleh digunakan.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata, secara keseluruhannya beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berpuas hati dengan pencapaian kementerian sepanjang tahun lalu yang berjaya mencapai sasaran terutama dalam bidang Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT), Tawaran Baru, Program Literasi dan Numerasi (Linus) dan Prasekolah.

Beliau berkata, daripada segi SBT, 30 buah sekolah lagi akan diiktiraf tahun ini, sementara saringan ketiga program Linus, iaitu program yang mengenal pasti tahap kemahiran dan numerasi murid dan melakukan usaha intervensi untuk membantu murid yang gagal menguasainya, mendapati seramai 85 peratus murid Tahun Satu menguasai literasi dan 91 peratus menguasai numerasi.

Tahun lalu menyaksikan 20 sekolah diumumkan sebagai SBT.

Daripada segi pendidikan prasekolah, seramai 701,114 murid prasekolah didaftarkan tahun lalu, iaitu pertambahan 54,700 murid berbanding 646,575 pada tahun sebelumnya, hasil daripada pembukaan kelas-kelas baru termasuk oleh pihak swasta iaitu sebanyak 625 buah.

"Tahun ini kita tetapkan sasaran lebih tinggi untuk keempat-empat perkara terbabit," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan