Dalam hidup kita ini peluang datang sekali sahaja. Anda percaya atau tidak? Memang benar. Kalau ada peluang lain datang selepas kita mengabaikan peluang pertama - itu peluang lain, bukan peluang yang telah berlalu itu.
Dan untuk kali kedua ini apakah anda akan melepaskan peluang itu berlalu begitu sahaja buat kali keduanya? Jangan pelik ada orang yang mengabaikan setiap peluang yang datang pada dirinya!
Sesekali anda naik bas ekspres kerana letih memandu. Orang tidak ramai. Penumpang tidak penuh. Jadi anda sengaja mencari tempat duduk yang kosong, dengan harapan tidak ada orang lain yang akan duduk di sebelah anda - kerana anda mahu privacy. Mana ada privacy di dalam bas ekspres? Kalau anda mahu privacy anda tempahlah bilik dalam kereta api atau beli sahaja bot peribadi.
Kalau di Barat mereka ada caravan atau rumah bergerak. Saya pernah tidur dalam caravan orang Melayu di Broome, Western Australia. Tetapi caravannya diparking di varavan park seperti rumah sendiri! Tradisi orang Melayu Australia ini, akan menghormati tetamu dan mempersilakan tetamu bermalam di master bedroom mereka - walau berapa malam pun kita bertamu!
Jika anda naik bas ekspres kenapa anda tidak mengambil peluang untuk berkenalan dengan orang yang duduk di sebelah anda. Mungkin dia mesra dan mahu berkongsi pengalaman. Mungkin dia ada problem yang anda boleh berkongsi bersama. Mungkin juga dia memerlukan barangan yang anda bekalkan atau perkhidmatan yang anda mahir.
Alangkah ruginya jika tiga, empat atau lima jam perjalanan anda tamatkan dengan tidur sepanjang jalan. Maknanya anda tidak mahu mengambil peluang. Atau anda telah menutup peluang dengan berburuk sangka:
"Ah, mungkin dia tidak akan layan saya."
"Ah, mungkin dia akan menuduh saya mahu menguratnya."
"Nanti orang kata saya gatal!"
Dan lebih malang lagi jika anda beranggapan:
"Ah, apa orang kampung ini tahu!"
"Ah, saya tak sekufu dengan dia."
"Saya... saya punya hallah!"
Kadang-kadang saya juga naik bas ekspres. Dan saya telah mendapat beberapa peluang antaranya:
- Saya pernah berkenalan dengan seorang makcik yang akhirnya dia minta hantarkan ibadah korbannya ke Kemboja, seperti yang saya lakukan setiap tahun.
- Saya pernah berkenalan dengan seorang lelaki yang berpakaian kemas. Rupanya dia pensyarah di sebuah universiti di utara tanah air. Dan dia menawarkan saya memberi latihan untuk pelajar tahun akhir "Teknik Skor 4.0 Flat." Saya bersetuju dan melatih 200 orang mahasiswanya.
- Saya pernah berkenalan dengan seorang pemuda yang menganggur. Dan hari dia dia ialah salah seorang daripada editor kanan saya.
PELUANG MENGAUT PAHALA
Peluang untuk mengaut pahala juga datang sekali sahaja. Kalau anda tidak mengambil peluang membaca al-Quran dalam bulan Ramadan yang lalu bermakna anda tidak berpeluang buat kali kedua sehingga datangnya Ramadan tahun depan. Tapi itu sudah dikira peluang baru. Apakah anda akan melepaskan peluang itu sekali lagi?
Kalau anda tidak mengambil peluang untuk memimpin tangan seorang makcik yang uzur keluar dari komuter, peluang itu akan direbut oleh orang lain. Apa perasaan anda hidup dalam suasana persekitaran orang berlumba-lumba untuk membuat kebajikan sedangkan anda?
Kalau anda tidak memberhentikan kereta anda di sebatang jalan raya untuk menolong seorang yang ditimpa kemalangan, ada banyak kemungkinan akan berlaku:
- Orang itu akan mati kerana cedera parah atau pendarahan teruk.
- Orang lain yang lalu pun berpendirian seperti anda yang tidak mahu menolong.
- Anda akan menyesal apabila terbaca di akhbar keesokan harinya yang orang itu mati dalam perjalanan ke hospital 2 jam selepas anda berlalu.
- Penumpang lain dalam kereta anda, sama ada keluarga atau kawan anda akan menyalahkan anda kerana sikap tamak dan mementingkan diri sendiri anda itu.
Peluang yang seperti ini jarang berulang kali kedua.
Kalau begitu setiap detik perjalanan kehidupan harian kita adalah peluang yang perlu kita rebut. Masa terus berlalu dan mustahil untuk berulang. Peluang baru datang dan pergi sedetik kemudian.
REBUT LIMA SEBELUM LIMA
Antara peluang lain yang harus anda rebut adalah seperti maksud hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima:
- Masa muda anda yang sihat dan kuat sebelum anda di mamah usia.
- Masa sihat sebelum anda sakit.
- Masa lapang sebelum anda sibuk.
- Masa kaya sebelum anda jatuh miskin, dan
- Masa hidup sebelum malaikat Maut datang menjemput anda.
Ada anak yang sentiasa bertangguh untuk berbuat kebaikan kepada kedua-dua orang tuanya dengan seribu satu alasan:
- Sibuk dengan tugas dan kerjaya yang tak kunjung surut.
- Tidak ada cuti.
- Tidak cukup wang kerana banyak tanggungan.
- Jauh.
- Letih.
Sedarkah kita bahawa ibu dan bapa kita tidak pernah memberi alasan sedemikian sewaktu mengandung, melahirkan dan membesarkan kita. Kalau kita tidak mengambil sekali peluang yang datang, jangan menyesal kalau kita tidak lagi berpeluang untuk berbakti kepada kedua-duanya apabila menerima berita kematian mereka.
Dan akhirnya jangan lepaskan peluang untuk kita bertaubat atas segala kesalahan kita kepada Allah SWT dan kepada manusia. Ringan-ringankanlah mulut untuk meminta maaf atau ringan-ringankanlah tangan untuk memohon ampun kerana sesungguhnya peluang itu datang sekali sahaja.
Dipetik dari : Motivasi Haji Muhammad Zakaria
Tiada ulasan:
Catat Ulasan