Halaman

Sabtu, 27 Februari 2010

Sejarah Kelahiran Rasulullah SAW

Awan gelap Jahiliyah telah menutupi sepenuhnya Jazirah Arab. Perbuatan buruk dan haram, perang berdarah, perompakan, dan pembunuhan bagi memusnahkan seluruh kebajikan telah menyebabkan masyarakat Arab berada dalam situasi yang hina dan penuh kederhakaan. Pada waktu itulah muncul bintang pagi kemakmuran; suasana gelap itu kini disinari kelahiran Nabi Suci yang dinanti-nantikan. Mulalah langkah awal menuju pembangunan peradaban, kemajuan, dan kemakmuran bagi bangsa terbelakang ini. Segera cahaya ini menyinari seluruh dunia; asas-asas pengetahuan, kearifan, dan peradaban pun diletakkan.

Tahun, Bulan, dan Tanggal Kelahiran Nabi Muhammad

Para penulis sirah (sejarah/biografi) Nabi umumnya sepakat bahawa Nabi Muhammad lahir di Tahun Gajah 570 M. Adalah pasti bahawa baginda kembali ke sisi Allah tahun 632 M. Bila saat itu usianya 62-63 tahun, bererti baginda lahir tahun 570 M.

Hampir semua ahli hadis dan sejarawan sepakat bahawa Nabi lahir di bulan Rabiulawal, walaupun mereka berbeza pendapat tentang tanggalnya. Ulama-ulama Ahlus Sunnah Wal Jemaah sepakat bahawa baginda lahir pada hari Isnin, tanggal 12 bulan yang sama.

Memberi Nama kepada Nabi

Hari ketujuh telah tiba. Seekor domba disembelih Abd al-Muttalib sebagai ungkapan rasa syukurnya kepada Allah. Sejumlah orang dijemput untuk menghadirinya. Di hari perayaan yang besar itu, dihadiri oleh kebanyakan orang Quraisy, ia menamakan cucunya “Muhammad”. Ketika ditanya mengapa ia menamakannya Muhammad padahal nama itu jarang dipakai orang Arab, ia menjawab, “Saya berharap ia terpuji di syurga mahupun di bumi.”

Dalam kaitan ini, Hasan bin Tsabit berkata, “Sang Khaliq mengambil nama Rasul-Nya dari nama-Nya sendiri. Dengan demikian, sementara Allah adalah Mahmud (terpuji), Nabi-Nya adalah Muhammad (patut dipuji). Kedua-dua kata ini diambil dari akar kata yang sama dan mengandungi makna yang sama pula”.

Pastilah bahawa ilham suci memainkan peranan dalam pemilihan nama ini, kerana walaupun nama “Muhammad” dikenali di kalangan orang Arab, hanya segelintir orang hingga waktu itu yang diberi nama yang sama. Menurut bancian yang pasti, yang dikumpulkan para sejarawan, hanya enam belas orang yang diberi nama ini sebelum Nabi.”

Hampir tak perlu dikatakan, semakin sedikit suatu kata digunakan, semakin kecil pula peluang salah faham tentang kata itu. Kerana Kitab-kitab Suci telah meramalkan kedatangan Islam berikut nama serta tanda-tanda rohaniah dan jasmaniah yang khusus dari Nabi, maka tanda-tandanya haruslah demikian jelas sehingga tidak muncul suatu kekeliruan. Salah satu tanda itu adalah nama Nabi. Penting bahawa nama itu harus dipakai oleh demikian sedikit orang sehingga tidak ada keraguan atas identitinya, khususnya bilamana sifat dan tanda-tandanya dicantumkan. Dengan begitu, orang yang kemunculannya telah diramalkan oleh Taurat dan Injil ini dapat dikenali dengan mudah.

Al-Quranul Karim menyebut dua nama Nabi. Dalam surah Ali Imran ayat (138), Muhammad ayat (2), al-Fath ayat (29), dan al-Ahzab ayat (4), baginda disebut Muhammad, sedang dalam surah ash-Shaf ayat (6), baginda disebut Ahmad. (Perbezaan ini, sebagaimana dicatat sejarah, adalah kerana ibunda Nabi sudah menamainya Ahmad sebelum datuknya menamai Muhammmad).

Masa Menyusui Nabi

Nabi disusui ibunya hanya selama tiga hari. Selepas itu, dua wanita lain mendapat kehormatan menjadi ibu susunya.

a. Suwaibah: wanita hamba sahaya Abu Lahab.

Ia menyusui Nabi selama empat bulan, dan kerap mendapat pujian Nabi dan isterinya yang soleh, Khadijah, sepanjang hidupnya. Setelah dilantik sebagai Nabi, Nabi berniat membelinya. Baginda mengirim seseorang menghadap Abu Lahab untuk mengadakan tawar-menawar, namun Abu Lahab menolak menjualnya. Bagaimanapun, Suwaibah menerima bantuan dari Nabi sepanjang hidupnya. Sekembalinya Nabi dari Perang Khaibar, berita kematian Suwaibah sampai kepada baginda. Tanda kesedihan terlihat di wajahnya. Baginda mencari putera Suwaibah, dengan maksud memberi bantuan, tapi baginda dilaporkan bahawa anak Suwaibah juga sudah meninggal lebih dahulu.

b. Halimah: puteri Abi Zuwaib dari suku Sa’ad bin Hawazan. Ia mempunyai tiga anak: Abdullah, Anisah, dan Syima’. Syima’ juga turut mengasuh Nabi.

Sudah menjadi kebiasaan, keluarga bangsawan Arab mempercayakan anak-anaknya kepada wanita penyusu. Biasanya para ibu susu itu tinggal di luar kota, sehingga anak-anak dapat dibesarkan di udara gurun yang segar serta tumbuh kuat dan sihat. Selain itu, di persekitaran gurun, anak-anak juga tak mudah ketularan penyakit seperti di kota Makkah. Mereka juga dapat belajar bahasa Arab di kawasan yang masih asli ini. Para penyusu suku Bani Sa’ad sangat terkenal di kawasan ini. Mereka mengunjungi Makkah pada waktu-waktu tertentu, lalu masing-masing membawa pulang seorang bayi.

Empat bulan selepas kelahiran Nabi, ibu-ibu penyusu Bani Sa’ad mengunjungi Makkah. Tahun itu mereka sedang mengalami kemarau yang teruk, sehingga sangat memerlukan pertolongan keluarga-keluarga bangsawan.

Bayi Quraisy yang baru lahir itu tidak mahu mengisap buah dada wanita penyusu mana pun. Kebetulan Halimah datang dan anak itu pun menyusu padanya. Keluarga Abd al-Muttalib sangat gembira. Abd al-Muttalib berkata kepada Halimah, “Engkau dari suku mana?” Jawabnya, “Dari suku Bani Sa’ad”. Lalu Abd al-Muttalib menanyakan namanya. Abd al-Muttalib sangat gembira mengetahui nama dan sukunya seraya berkata. “Bagus! Bagus! Dua kebiasaan yang baik dan dua sifat yang mulia. Yang satu kebahagiaan dan kemakmuran, dan yang lainnya kelembutan dan kesabaran.”

Masa Kanak-Kanak Nabi

Sejarah meriwayatkan bahawa kehidupan Nabi penuh peristiwa menakjubkan sejak masa awal masa kanak-kanak hingga kerasulannya. Semuanya mengandungi aspek kebesarannya. Keseluruhannya menunjukkan bahawa kehidupan Nabi tidaklah biasa.

Kini kita tampilkan dua kejadian dari sejarah hidup Nabi yang misteri dan ajaib. Bila kisah ini dihayati, maka ianya adalah meyakinkan kita tentang kebesaran dan kemuliaan Nabi SAW.

a. Halimah berkata: “Ketika memikul tanggungjawab membesarkan bayi Aminah, saya memutuskan menyusui sang bayi di situ juga di hadapan ibunya. Saya masukkan puting buah dada kiri yang berisi susu ke mulutnya, tetapi si bayi lebih suka susu sebelah kanan. Padahal buah dada kanan itu tak ada susunya sejak kelahiran anak saya yang pertama. Kerana desakan si bayi, saya menyusuinya dengan sebelah kanan yang kosong itu dan, sebaik saja ia menghisap, sumber yang kering itu pun berisi penuh susu. Kejadian itu membuat semua yang hadir kehairanan.”

b. Halimah juga mengatakan: “Sejak membawa Muhammad ke rumah, saya menjadi lebih makmur. Harta dan ternak saya meningkat.”

Kita dapati peristiwa serupa dalam Al-Quranul Karim berkaitan dengan Maryam (ibunda Nabi Isa). “Maka rasa sakit akan melahirkan anak memaksa ia bersandar pada pangkal pohon kurma. Dia berkata, ‘Aduhai, alangkah baiknya aku mati sebelum ini, dan aku menjadi sesuatu yang tidak berguna serta terlupakan.’ Maka Jibril menyerunya dari tempat yang rendah, ‘Janganlah kamu bersedih hati, sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan anak sungai di bawahmu dan goyanglah pangkal pohon kurma ke arahmu, nescaya pohon itu akan menggugurkan buah kurma yang masak kepadamu.”(Surah Maryam : 23-25)

Memang terdapat perbezaan besar antara Maryam dan Halimah dari sisi kedudukannya, dan perbezaan serupa juga ada di antara dua bayi itu. Namun, jika martabat dan keunggulan peribadi Maryam menjadikannya memperolehi rahmat Ilahi, maka tidak mustahil kedudukan dan darjat si bayi Muhammad di kemudian hari menjadikan ibu susunya layak mendapat kurnia Allah.

Lebih jauh kita ketahui tentang Maryam dari Al-Quran. Kesucian dan kesolehannya telah mengangkatnya sedemikian rupa sehingga, “Setiap kali Zakaria masuk untuk menemui Maryam di mihrab, ia dapati makanan di sisinya. Zakaria berkata, ‘Dari mana kamu memperolehi (makanan) ini?’ Maryam menjawab, ‘makanan itu dari sisi Allah.”(Surah Ali Imran : 37)

Berdasarkan ini, tidak seharusnya kita ragu akan kebenaran mukjizat Nabi, apalagi menganggapnya mustahil.

Lima Tahun di Gurun

Nabi tinggal selama lima tahun bersama suku Bani Sa’ad dan tumbuh sihat. Selama itu, ada dua atau tiga kali Halimah membawanya menemui ibunya.

Kali pertama Halimah membawanya kepada ibunya adalah ketika masa menyusuinya selesai. Namun, Halimah mendesak Aminah untuk mengembalikan anaknya kepadanya. Alasannya, anak itu telah menjadi sumber kurnia dan rahmat baginya. Alasan ibunya mengabulkan permintaan Halimah adalah lantaran wabak penyakit sedang melanda Makkah waktu itu.

Kali kedua Halimah membawa Muhammad ke Makkah bertepatan dengan datangnya sekumpulan pendita dari Etiopia di Hijaz. Mereka melihat anak itu di kalangan suku Bani Sa’ad. Mereka mendapatkan bahawa semua tanda Nabi yang akan datang sesudah Nabi Isa, sebagaimana disebutkan dalam Kitab-kitab Suci, ada pada anak itu. Kerana itu, mereka memutuskan untuk menguasai anak itu bagaimanapun caranya, dan akan membawanya ke Ethiopia, supaya negeri itu memperolehi kehormatan mempunyai Nabi.

Sebagaimana disebutkan dalam Al-Quran, tanda-tanda Nabi Muhammad telah diceritakan dalam Injil. Oleh itu, sangatlah wajar bila para pendita waktu itu dapat mengenali orang yang tanda-tandanya lengkap. Al-Quran mengatakan dalam kaitan ini. “Dan ingatlah ketika Isa Putera Maryam berkata, ‘Hai Bani Israil, sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu, membenarkan kitab (yang turun) sebelumku, iaitu Taurat, dan memberi khabar gembira dengan (akan datangnya) seorang rasul sesudahku, yang namanya Ahmad (Muhammad).’ Tapi tatkala rasul itu datang kepada mereka dengan bukti-bukti yang nyata, mereka berkata, ‘Ini adalah sihir yang nyata.”Suarh Ash-Shaf : 6.

Ada lagi ayat lain yang menunjukkan dengan jelas tanda-tanda Nabi Muhammad di dalam Kitab-Kitab Suci, dan orang-orang terdahulu mengetahui hal itu dalam Surah Al-A’raf : 157.

AL-ISLAM
http://smzblog.wordpress.com

Khamis, 25 Februari 2010

Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sekolah

Alhamdulillah pada pagi tadi telah berlangsung sambutan Maulidur Rasul peringkat sekolah. Antara aktiviti yang diadakan ialah pertandingan mewarna khat pada murid-murid tahap 1 dan pertandingan bercerita kisah-kisah dari al-Qur'an bagi tahap 2. Selain itu, sesi renungan juga telah diadakan serta selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Semoga majlis seperti ini dapat meningkatkan kecintaan terhadap Rasulullah SAW.

Antara peserta dan para pemenang

Pemenang tempat pertama hingga ketiga bercerita kategori lelaki dan perempuan

Beselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW









Ahad, 14 Februari 2010

Perkasa BI Tahun Satu

Kurikulum 'fun learning' diperkenal 2011 mantap penguasaan murid


JERTIH: Kerajaan akan memperkenalkan kurikulum baru bahasa Inggeris kepada murid Tahun Satu mulai tahun depan dalam usaha memperkasakan penguasaan bahasa itu di kalangan murid di negara ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Timbalan Perdana Menteri berkata, melalui kurikulum baru itu, murid sekolah akan mengikuti pembelajaran bahasa Inggeris yang lebih menarik dengan pendekatan sesuai yang memberi penekanan terhadap aspek penguasaan bertutur dan menulis dalam bahasa itu.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kurikulum baru itu sudah siap diteliti dan satu projek perintis yang dijalankan menggunakan pendekatannya menunjukkan hasil yang sangat baik.

"Kita mahu melihat anak-anak kita dapat menguasai bahasa Inggeris dengan lebih baik lagi melalui pendekatan yang lebih sesuai ini.

"Perubahan pada bentuk atau formula yang ringkas seperti 'language art' atau komponen tatabahasa, tetapi dibuat secara 'fun learning' dan bertutur menggunakan nahu betul supaya kita kuasai bahasa Inggeris British yang standard," katanya.

Untuk itu, katanya, kerajaan akan mengambil 365 tenaga pengajar pakar bahasa Inggeris dari luar negara, termasuk United Kingdom dan Australia secara kontrak yang akan dibahagikan mengikut zon untuk membimbing guru bahasa Inggeris tempatan teknik pengajaran yang dapat membantu murid menguasai bahasa itu dengan lebih baik.

"Kita percaya dengan cara ini, walaupun kita tidak meneruskan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), pembelajaran bahasa Inggeris akan lebih baik lagi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Program Juara Rakyat dan majlis anugerah kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) daerah Besut di sini, semalam.

Seramai 122 pelajar, guru, guru besar dan pengetua daripada 75 sekolah rendah dan menengah di daerah ini menerima sijil anugerah cemerlang yang disampaikan Muhyiddin.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Ahmad Said; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed; Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dan Pengerusi Mara yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jerteh, Datuk Seri Idris Jusoh.

Muhyiddin juga mengumumkan pemberian peruntukan khas masing-masing berjumlah RM200,000 kepada Sekolah Menengah Imtiaz Besut dan Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Mahmud sebagai penghargaan muncul sekolah terbaik seluruh negara bagi PMR dan UPSR tahun lalu.

Beliau juga berkata, kerajaan merancang memanggil guru bersara yang mempunyai kemahiran dan kebolehan dalam bahasa Inggeris untuk membantu mengajar subjek berkenaan.

Mengenai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) yang disalah anggap sesetengah pihak mendapat layanan istimewa dan dijadikan sekolah elit, Muhyiddin berkata, kementerian tidak pernah memberi layanan berbeza atau membezakan sekolah yang ada di negara ini.

"SBT bukan diwujudkan untuk kita menjadikan sekolah itu elitis kerana sekolah ini kalau kita tidak jadikan SBT pun sudah cemerlang. Ia adalah pengiktirafan di atas kejayaan sekolah itu dan ia boleh menjadi penanda aras kepada sekolah lain untuk maju. Kita juga mahu melihat sekolah yang tidak capai tahap cemerlang boleh berjaya lagi.

"Kita wujudkan SBT untuk menggalakkan lebih banyak sekolah mencapai tahap yang lebih baik. Dengan memberi pengiktirafan SBT, pelajar tidak lagi perlu berebut untuk masuk sekolah berasrama penuh kerana sekolah yang diberikan pengiktirafan itu adalah sekolah terbaik dan cemerlang," katanya.

Beliau juga berkata, kementerian akan mengenal pasti murid yang masih lemah dan tidak menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) untuk diberikan latihan khas bagi membolehkan mereka menguasai sepenuhnya 3M dalam tempoh tiga tahun daripada sekarang.

- Berita Harian 14/2/2010 -

Sabtu, 13 Februari 2010

Guru besar, pengetua dapat imbuhan jika lonjak sekolah

KUALA TERENGGANU: Bermula tahun depan, guru besar dan pengetua yang berjaya melonjakkan kecemerlangan sekolah berasaskan akademik, kokurikulum dan sukan akan diberikan ganjaran dan insentif oleh Kementerian Pelajaran.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata penilaian prestasi akan mula dilakukan tahun ini dengan setiap pencapaian sekolah akan menjadi kayu pengukur terhadap prestasi guru besar atau pun pengetua.

"Malah bukan saja kepada pengetua atau pun guru besar, imbuhan itu juga akan turut dirasai oleh guru di sekolah yang terbabit dan ini akan memberikan galakan kepada golongan tersebut untuk berusaha lebih keras bagi meningkatkan prestasi sekolah masing-masing," katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri pelajaran berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah kecemerlangan pelajar Yayasan Terengganu ke-31 dan program Juara Rakyat peringkat Parlimen Kuala Terengganu di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak memperjelaskan bentuk ganjaran atau insentif yang akan diberikan nanti.

Sementara itu, Muhyiddin turut memuji kerajaan negeri Terengganu kerana memberikan komitmen yang besar terhadap bidang pendidikan dengan mengiktiraf negeri itu sebagai peneraju bidang pelajaran di negara ini.

"Ini dapat dilihat melalui peruntukan besar kepada bidang pendidikan selain memberi bantuan kepada pelajar memperoleh buku elektronik dan imbuhan kecemerlangan," katanya.

Katanya, komitmen itu menjadikan Terengganu berjaya muncul sebagai negeri yang mencatatkan keputusan terbaik dalam peperiksaan UPSR selama sembilan tahun berturut-turut.

Di samping itu, katanya, negeri itu berjaya melahirkan ramai pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan PMR, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Palajaran Malaysia (STPM).

Muhyiddin berkata, walaupun tidak ada sekolah di Terengganu yang disenaraikan antara 20 Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) baru-baru ini, ia tidak bermakna kerajaan meminggirkan sekolah di negeri itu.

"Banyak sekolah di negeri ini yang mencapai tahap cemerlang, namun tidak disenaraikan dalam sekolah SBT kerana masih mempunyai kekurangan dalam satu dua perkara.

"Namun dengan adanya usaha gigih semua pihak termasuk ibu bapa, guru dan pelajar itu sendiri, saya pasti lebih banyak sekolah di negeri ini akan tersenarai pada masa akan datang," katanya.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada 106 sekolah cemerlang di kawasan Kuala Terengganu dan sumbangan cek sebanyak RM100,000 daripada Jabatan Perdana Menteri kepada Persatuan Pengusaha Keropok Losong.

Sumbangan itu diterima oleh Pemangku Pengerusinya, Abu Bakar Yusof. - Bernama

Sabtu, 6 Februari 2010

Kem Bestari Solat 1 Tahun 2 2010

Alhamdulillah, pada pagi td telah selesai Kem Bestari Solat untuk tahun 2 2010. Pada kali ini, peserta didedahkan dengan amali wudhuk, bacaan dalam solat, bacaan 3 Qul, perlakuan dan amali solat. Kem yang bermula pada jam 7.30 pagi itu berakhir selepas Solat Zohor berjamaah. Semoga para peserta dapat manfaat dengan menghadiri kem ini, Insha Allah.