Halaman

Khamis, 13 Disember 2012

UPKK 2013 : 13 negeri catat keputusan lulus seratus peratus


PUTRAJAYA - Tiga belas buah negeri mencatatkan keputusan lulus seratus peratus dalam peperiksaan Ujian Penulisan Kelas Kafa (UPKK) 2012 berbanding 12 buah negeri pada tahun lepas.
   
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata hanya Wilayah Persekutuan mencapai keputusan 99 peratus lulus.
   
"Secara keseluruhan, 24,962 calon mendapat 8A berbanding 17,684 pada 2011. Jumlah tertinggi mendapat 8A ialah di Terengganu iaitu sebanyak 21.69 peratus, diikuti Melaka 21.50 peratus dan Sabah sebanyak 18.34 peratus," katanya kepada pemberita pada majlis pengumuman keputusan peperiksaan itu di sini hari ini.
   
Katanya bagi kelulusan mengikut mata pelajaran pula, subjek Amali Solat mencatat kadar kelulusan tertinggi iaitu 99.93 peratus diikuti Penghayatan Cara Hidup Islam 99.91 peratus manakala bidang al-Quran 98.47 peratus.
   
Jamil Khir berkata berdasarkan Gred Purata Sekolah (GPS), Selangor muncul negeri terbaik dengan 1.55 mata, diikuti Melaka (1.59 mata) dan Terengganu (1.64 mata).

Seramai 186,966 calon menduduki peperiksaan UPKK 2012 yang diadakan dari 1 hingga 4 Okt lepas.
   
Di KOTA KINABALU, Sabah mencatatkan 100 peratus pelajar lulus UPKK berbanding 99.9 peratus pada tahun lepas, kata Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Nasir Tun Sakaran.
   
Katanya daripada 4,422 calon peperiksaan itu, jumlah calon yang mendapat gred A ialah 1,567 orang iaitu 35.4 peratus berbanding 371 orang pada tahun lepas.
   
"Jumlah calon yang mendapat 8A seramai 811 orang (18.34 peratus) berbanding tahun lepas hanya 13 orang (0.3 peratus) dan sembilan orang (0.2 peratus) pada 2010," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
   
Nasir berkata tiada calon yang mendapat 8D atau status lulus tidak mencapai tahap pada tahun ini berbanding lima orang atau 0.1 peratus pada tahun lepas.
   
"Ini menunjukkan lonjakan peningkatan yang sangat besar telah dicapai dan membuktikan pelaksanaan program Kafa menunjukkan kesan yang baik kepada peningkatan ilmu agama di kalangan anak-anak kita," katanya. - Bernama

3 ulasan:

  1. alhamdulillah....

    BalasPadam
  2. moga generasi akan datang lebih memperjuangkan islam

    BalasPadam
  3. Alhamdulillah.......

    BalasPadam