Halaman

Jumaat, 6 Ogos 2010

Cemerlang UPSR 2007




Semasa admin menggeledah fail2 lama, ternampak fail Power Point Majlis Anugerah Cemerlang 2007. Kalau masih ingat pada tahun tersebut seramai 5 orang murid SK Pulo mendapat 5A. Ni yg sempat admin ambil.

Cuepacs minta JPA semak kaedah peperiksaan PTK

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) bercadang mengemukakan memorandum kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menyemak semula peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) bagi memastikan ia relevan dengan hasrat kerajaan.

Presidennya, Omar Osman, berkata berdasarkan maklum balas yang diterimanya, matlamat PTK tidak tercapai sepenuhnya selain boleh mengekang aspirasi kerajaan di bawah Gagasan 1Malaysia "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".
"Daripada apa yang kita dapat, ramai penjawat awam tidak berpuas hati dengan PTK kerana ada yang cemerlang melaksanakan tugas hakiki tetapi tidak diiktiraf prestasi mereka kerana gagal melepasi syarat PTK.
"Dalam pada itu, ada pula yang tidak seberapa (prestasi) tapi disebabkan lulus PTK, dinaikkan pangkat. Ini menyebabkan yang lain patah semangat khususnya mereka yang tidak lulus," katanya kepada Bernama.

Diperkenalkan pada November 2002, peperiksaan PTK bertujuan menghapuskan budaya mengampu ketua jabatan dan memastikan hanya yang layak menerima pengiktirafan.

Selain itu, katanya, pelaksanaan PTK juga tidak selaras kerana bukan semua jabatan kerajaan menjalankan peperiksaan sebaliknya menghantar penjawat berkursus dan melakukan pembentangan yang disifatkan lebih sesuai dengan taraf profesionalisme yang diinginkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Kalau difikirkan, bila masa mereka mahu mengulang kaji sedangkan pada masa yang sama mereka juga perlu melaksanakan tugas hakiki selain menguruskan hal peribadi. Malah saya difahamkan ada yang mengabaikan tugas untuk mengulang kaji semasa waktu kerja semata-mata untuk lulus PTK," katanya.
Omar berkata budaya mengampu ketua jabatan boleh diatasi jika urusan anjakan gaji dan kenaikan pangkat dikendalikan oleh satu jawatankuasa yang tidak berkepentingan.

"Jabatan boleh melantik dua atau tiga orang yang tidak berkepentingan untuk menilai prestasi warganya, iaitu ketua jabatan tidak mempunyai kuasa mutlak untuk kenaikan pangkat," katanya.

Omar juga tidak menolak pandangan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan PTK turut melibatkan pembaziran masa dan kos kerana mereka yang berkenaan harus mengikuti kursus sebelum menduduki peperiksaan, selain kos untuk mengendalikan PTK itu sendiri.

Pandangan Omar dikongsi Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan yang bersetuju dengan pendapat bahawa mereka yang berkhidmat di sektor awam dibebani dengan peperiksaan.

Beliau berkata sewajarnya kerajaan mempermudahkan kenaikan gaji dan gred penjawatnya terutama yang telah berkhidmat puluhan tahun dan hampir bersara namun masih di takuk lama sekalipun terbukti mereka cemerlang ketika bertugas.

Hashim berkata walaupun PTK digubal untuk tujuan yang baik iaitu mengelakkan unsur pilih kasih dan memastikan hanya yang layak diiktiraf, pelaksanaanya menyebabkan ada yang tertindas.

"Tidak semua antara kita pintar semasa di sekolah tetapi lain pula keadaannya ketika telah bekerja. Justeru konsep peperiksaan dalam PTK ini sudah tidak sesuai digunakan bagi menentukan prestasi seseorang penjawat awam," katanya.

Seperti dalam sektor am, beliau berkata ada anggota yang gagal menginjak pangkat kerana gagal melepasi peperiksaan sekalipun prestasinya sebagai penguatkuasa undang-undang cemerlang. - BERNAMA

Berita Harian 6 Ogos 2010

Khamis, 5 Ogos 2010

Video pelajar di Sarawak tumbuk guru tersebar luas

OLEH SHARIFAH SALWA SYED AKIL
INASALWA@BHARIAN.COM.MY
2010/08/04

RAKAMAN pelajar berusia 15 tahun dari sebuah sekolah di Sarawak menerkam dan menyerang guru.
RAKAMAN pelajar berusia 15 tahun dari sebuah sekolah di Sarawak menerkam dan menyerang guru.

Kejadian cetus persoalan mengenai tahap disiplin

KUALA LUMPUR: Sarawak yang digemparkan dengan penyebaran rakaman video perlakuan seks membabitkan dua pelajar Tingkat Dua di negeri itu minggu lalu, kini dikejutkan pula dengan rakaman seorang pelajar sebuah sekolah menengah di negeri itu memaki-hamun dan menumbuk gurunya.

Rakaman video terbaru itu tersebar secara meluas kerana dimuat turun ke laman sosial, Youtube.

Kejadian itu dikatakan berlaku lima hari lalu membabitkan seorang pelajar Tingkatan Tiga dan seorang guru lelaki serta dirakam pelajar kelas sama menggunakan telefon bimbit.

Kedua-dua kejadian itu bukan saja dikatakan menimbulkan persoalan mengenai tahap disiplin pelajar sekolah, malah turut menampakkan sikap pelajar yang mudah melenting apabila berdepan guru.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan, berkata tayangan video kurang empat minit itu tidak menggambarkan tahap disiplin keseluruhan pelajar di negara ini dan menyifatkan kejadian berkenaan sebagai kes terpencil.

“Kita tidak boleh membuat andaian mengenai kejadian atau tidak boleh kata masalah disiplin begitu serius. Tidak perlulah kita sensasikan kejadian ini kerana masih banyak lagi kes yang tidak dibincangkan secara mendalam oleh mana-mana pihak.
“Kita tidak tahu kejadian itu sepenuhnya apa yang kita nampak pelajar marah dan kemudian menumbuk guru berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau meminta guru sebagai orang yang lebih dewasa dan banyak pengalaman memainkan peranan masing-masing untuk mengawal dan meredakan kemarahan pelajar terbabit.

“Saya difahamkan pelajar itu berusia 15 tahun dan berada di Tingkatan Tiga dan dalam usia sebegini kita tahu mereka cepat marah... cepat bertindak. Bagaimanapun, guru perlu menggunakan pengalaman mereka untuk mengawal keadaan,” katanya.

Selasa, 3 Ogos 2010

7 Tips Cemerlang Dan Persediaan Menghadapi Peperiksaan

Assalamulaikum wbt kepada semua, di sini terdapat beberapa tips untuk cemerlang dan sebagai persediaan menghadapi peperiksaan khususnya bagi pelajar-pelajar yang akan menghadapi peperiksaan seperti UPSR, PMR mahupun SPM tidak lama lagi. Selamat membaca

1. Semak jadual
Menyemak jadual peperiksaan penting bagi menentukan masa cukup untuk belajar, khususnya pada saat-saat akhir ini. Latihan mesti diteruskan mengikut kertas peperiksaan yang akhir diduduki terlebih dulu. Ini kerana apabila tiba hari peperiksaan, calon akan belajar subjek yang akan diuji pada hari pertama peperiksaan.

Jika melakukan demikian, bermakna anda telah membuat persiapan yang menyeluruh dan tidak ada subjek tertinggal atau tidak dipelajari.

2. Kunci peperiksaan
Apakah kunci kepada peperiksaan? Peperiksaan menuntut calon membuat banyak latihan dan ulang kaji bagi mengingati pelajaran lalu, selain mengelak diri daripada lupa fakta ketika menjawab soalan.

Oleh itu, anda jangan jemu untuk terus membuat ulang kaji, terutama menggunakan kertas peperiksaan tahun terdahulu atau soalan seiras. Langkah itu akan membiasakan anda dengan soalan standard, di samping membolehkan ingatan anda kekal dan berpanjangan.

3. Tentukan keutamaan
Belajar pada saat-saat akhir juga perlu mengutamakan mata pelajaran atau kemahiran yang masih belum atau kurang dikuasai. dalam hal ini, jangan sekali-kali belajar subjek yang anda sukai saja, sebaliknya merangkumi semua.

Ini kerana setiap peperiksaan akan membabitkan semua subjek dipelajari di sekolah, bukannya berdasarkan minat seseorang calon.

4. Banyak mengingat dan membuat kaitan
Mengingat adalah satu perkara penting yang mesti dilakukan calon dalam menghadapi peperiksaan. Pelbagai cara boleh anda digunakan untuk mengingat, antaranya belajar berulang kali mengenai sesuatu kemahiran.

Apa-apa pun cara digunakan, terpulang kepada anda, asalkan ia dapat membantu mengingat dan membuat kaitan apabila diperlukan.

5. Merancang persiapan peperiksaan
Ada tiga perkara yang mesti diamalkan calon bagi menentukan kejayaan cemerlang dalam peperiksaan.
a. Pertama, sebelum peperiksaan khususnya dalam tempoh beberapa minggu ini, kuat dan tingkatkan usaha serta semangat dengan belajar secara berterusan.

Selain di sekolah dan rumah, anda seharusnya mengambil peluang memanfaatkan masa yang ada, tidak kira di mana saja berada dengan membaca nota ringkas yang disediakan sebelum ini. Ini akan membantu anda mengingati semula apa yang telah dipelajari.

Dalam pada itu, kesihatan diri jangan diabaikan. Walaupun bersemangat untuk menduduki peperiksaan, janganlah keterlaluan hingga lupa makan dan minum. Ini kerana keadaan itu boleh menyebabkan anda jatuh sakit.

Tidur hendaklah mencukupi supaya anda sentiasa selesa dan dapat memberi tumpuan terhadap pelajaran sama ada ketika di sekolah mahupun sewaktu belajar sendiri di rumah. Kesihatan tubuh badan yang baik amat perlu, apatah lagi akan menduduki peperiksaan.

Buat seketika, lupakan dulu perkara-perkara lain yang anda minat, sebaliknya manfaat masa yang ada dengan mengulang kaji pelajaran. Ini kerana semua perkara itu boleh dilakukan kemudian berbanding peperiksaan yang kata orang sekali seumur hidup. Jangan lepaskan peluang keemasan itu.

Begitu juga dengan pengambilan makanan, seharusnya ia seimbang. Dalam masa beberapa hari ini juga, anda seharusnya makan makanan yang berzat dan boleh membantu mengembang dan mencergaskan minda anda.

Setelah segala persiapan diri sudah dilakukan, anda perlu pastikan keperluan peperiksaan yang lain tidak dilupakan, antaranya peralatan menulis khususnya pensel 2B, pemadam dan penajam pensel, jika tidak sediakan beberapa batang pensel. Pastikan peralatan ini disediakan lebih awal dan tidak lupa dibawa pada hari peperiksaan.

Sebaiknya tidurlah lebih awal pada malam hari peperiksaan. Langkah itu perlu supaya anda berasa segar dan dapat menghadapi kertas peperiksaan dengan tenang tanpa sebarang masalah.

b. Kedua, pada hari peperiksaan. Bangun dan pergi ke sekolah atau dewan peperiksaan lebih awal, bagaimanapun pastikan anda bersarapan terlebih dulu. Jika anda bangun lewat, bukan saja tidak sempat bersarapan, malah akan tergesa-gesa ke sekolah.

Ingat, perbuatan tergesa-gesa menjanjikan pelbagai masalah, antaranya membuatkan anda panik lalu tidak dapat menumpukan terhadap peperiksaan.

Sebelum itu, jangan lupa bersalaman dengan ibu bapa dan minta mereka mendoakan kita dapat menjawab soalan dengan jayanya.

Ketika berada dalam dewan peperiksaan, anda hendaklah dalam keadaan tenang dan anggaplah peperiksaan itu sebagai perkara biasa. Untuk menenangkan diri jika menggelabah, anda tariklah nafas panjang-panjang. Langkah itu membantu jantung anda mendapat bekalan oksigen yang mencukupi, sekali gus menghilangkan rasa gugup dan bimbang.

Apabila menjawab soalan, sekali lagi anda perlu tenang. Setelah diberi kebenaran oleh pengawas peperiksaan, jawablah soalan yang anda fikir mudah dulu. Jangan guna masa terlalu banyak untuk menjawab soalan sukar itu, sebaliknya terus selesaikan soalan lebih mudah. Soalan susah yang ditinggalkan sementara itu jangan diabaikan, tetapi dibuat kemudian.

Jika menjawab soalan objektif, ketelitian amat perlu. Menentukan pilihan jawapan yang tepat amat penting. Pastikan jawapan yang kita pilih dalam kertas soalan sama dengan huruf pada kertas jawapan. Seandainya tersalah tanda, padamkan betul-betul sehingga hilang tanda hitam pensel

Walaupun sudah yakin jawapan yang diberi, baik bagi soalan objektif mahupun subjektif, semakan sebelum kertas jawapan diserah kepada pengawas peperiksaan adalah perlu dalam memastikan semuanya betul dan sudah dijawab. Oleh itu, peruntukkan sedikit masa untuk tujuan semakan terakhir.

Pembahagian masa yang betul amat perlu ketika menjawab soalan. Gunakan masa yang diperuntukkan dengan berkesan. Jangan sekali-kali alpa atau khayal sewaktu menjawab kerana langkah itu akan merugikan anda.

c. Ketiga, selepas peperiksaan. Setelah menduduki sesuatu kertas peperiksaan, anda tidak digalakkan berbincang dulu dengan rakan atau sesiapa mengenainya. Ini perlu bagi mengelakkan perasaan kecewa jika didapati jawapan anda terpesong atau salah.

Jika ini berlaku, anda mungkin hilang semangat atau fikiran terganggu ketika menjawab kertas soalan berikutnya. Sebaiknya, bincang kertas soalan itu setelah peperiksaan berakhir.

Langkah terbaik, beri tumpuan penuh untuk menjawab soalan, bukannya menyemak jawapan.

6. Elakkan terbabit dengan situasi yang boleh mengganggu perasaan

Menjelang peperiksaan, pelbagai dugaan mungkin dihadapi. Oleh itu, anda seharusnya sentiasa bersedia menghadapi apa saja dugaan yang boleh mengganggu perasaan. Selepas menunaikan solat lima waktu, berdoalah supaya Allah SWT tenangkan perasaan dan dapat fokuskan tumpuan terhadap peperiksaan.

7. Berdoa dan bertawakal

Sering kali kita was-was ataupun tidak yakin dengan apa yang dilakukan. Dalam hal peperiksaan, anda tidak seharusnya kurang yakin dengan kemampuan diri jika sudah membuat persiapan rapi sejak awal lagi. Sepatutnya kita berdoa dan tawakal kepada Allah SWT kerana usaha itu adalah senjata terakhir bukan saja untuk membina keyakinan diri, malah mencapai kejayaan.

Itulah di antara tip-tip yang boleh digunakan oleh pelajar sebagai panduan persedian dan meghadapi peperiksaan tidak lama lagi. Di harap dengan panduan tip-tip di atas, pelajar-pelajar akan berkeyakinan dan membuat persiapan yang cukup untuk menghadapi ujian itu nanti.

Jadi, bagaimana persediaan anda sekarang ? Adakah anda sudah benar-benar bersedia ??

Dipetik dari:

Petua Untuk Menghadapi Peperiksaan UPSR

Berikut adalah tips-tips yang boleh dipraktikkan ketika hendak menghadiri peperiksaan, tidak kira UPSR, PMR, SPM atau apa-apa jua jenis peperiksaan yang hendak diambil. Semoga ianya memberi manfaat kepada anda

1) Datanglah dengan cukup bersedia dan lebih awal.

2) Bawalah semua alat tulis yang anda perlukan, seperti pensel, pen, jam (tangan), pemadam, pembaris, dan lain-lainnya. Kelengkapan ini akan membantu anda untuk memberi sepenuh tumpuan sepanjang masa peperiksaan.

3) Tenang dan percayakan diri anda.

4) Ingatkan diri anda bahawa anda sudah siap sedia dan akan menghadapi peperiksaan dengan baik.

5) Bersantailah tapi berhati-hati.

6) Pastikan meja dan kerusi anda dalam keadaan baik dan selesa untuk anda menulis. Duduk dalam keadaan menegak.

7) Prebiu soalan-soalan terlebih dahulu.

8) Luangkan 10% dari keseluruhan waktu peperiksaan untuk membaca soalan secara mendalam, tandai kata-kata kunci dan putuskan berapa lama masa yang diperlukan untuk menjawab setiap soalan. Rancangkan untuk menjawab soalan yang mudah dulu, baru soalan yang sukar. Ketika anda membaca soalan, catat juga idea-idea yang muncul yang akan mungkin akan digunakan sebagai jawapan

9) Jawab soalan secara strategik.

10) Mulai dengan menjawab soalan mudah yang anda tahu, kemudian dengan soalan yang mempunyai markah banyak. Soalan terakhir yang seharusnya anda jawab adalah:
soalan paling sukar, yang memerlukan masa yang lebih panjang untuk menulis jawapannya,
tetapi mempunyai markah sedikit.

11) Semasa menjawab soalan aneka pilihan, ketahuilah jawapan yang patut dipilih.
Mula-mula, abaikan jawaban yang anda tahu salah. Tekalah pilihan jawapan ketika tidak ada pilihan jawapan yang dapat anda abaikan. Jangan mengubah suatu pilihan jawapan jika anda tidak pasti kerana pilihan pertama jawapan anda biasanya betul, jangan menggantinya kecuali anda yakin dengan pembetulan yang kamu lakukan.

12) Semasa menjawab soalan esei, fikirkan dulu jawapannya sebelum menulis. Buat rangka karangan untuk esei dengan mencatat dulu beberapa idea yang ingin anda tulis. Kemudian susun isi-isi itu mengikut susunan yang mana penting atau perlu dibincangkan dulu.

13) Semasa menjawab soalan esei, jawab pada persoalannya. Tulis frasa pokok pada frasa pertama. Gunakan perenggan pertama sebagai pengenalan esei anda. Gunakan perenggan seterusnya untuk membincangkan isi-isi utama secara terperinci. Sokong isi anda dengan penerangan yang jelas, contoh, atau petikan dari buku atau media lain jika perlu.

14) Sisihkan 10% waktu anda untuk memeriksa jawapan.

15) Periksa jawapan; elakkan keinginan untuk cepat meninggalkan dewan atau bilik setelah anda menjawab semua soalan ujian. Pastikan anda telah menjawab semua soalan. Baca sekali lagi jawapan anda untuk memeriksa ejaan, struktur bahasa dan tanda baca. Untuk jawapan matematik, pastikan tidak ada kesilapan (misalnya salah meletakkan tanda titik perpuluhan). Bandingkan jawapan matematik anda yang sebenarnya dengan pengiraan ringkas.

16) Analisa jawapan anda.
Setiap peperiksaan akan membantu anda dalam mempersiapkan diri untuk peperiksaan berikutnya. Tetapkan strategi mana yang sesuai dengan anda. Tentukan strategi mana yang tidak menjadi dan ubahlah. Gunakan kertas peperiksaan sebelumnya ketika belajar untuk peperiksaan akhir.

17) Ketika anda menghadapi peperiksaan, anda sedang memperlihatkan kemampuan anda memahami apa yang telah anda pelajari.

18) Peperiksaan memberikan gambaran terhadap perkembangan pelajaran anda.
Terdapat beberapa aspek, seperti sikap dan keadaan anda sendiri akan mempengaruhi anda dalam peperiksaan.

SEMOGA KEJAYAAN AKAN MENJADI MILIK ANDA

6 Tips Hilangkan Rasa Gemuruh Ketika Peperiksaan

Setiap orang yang menghadapi peperiksaan khasnya peperiksaan yang penting seperti UPSR, PMR mahupun SPM pastinya berdepan rasa gemuruh, ketidakpastian, takut dan sedikit tertekan. Itu semua sebenarnya emosi negatif. Kita kena tukarkannya menjadi emosi positif, emosi tenang. Kita kena hilangkan rasa gemuruh. Rasa gemuruh tersebut biasanya datang walaupun kita sudah bersedia dengan dengan persediaan yang rapi. Bak kata orang, persediaan kita sangat rapi hingga setiap jawapan kita ibarat skema jawapan.

Bagaimana caranya? Berikut adalah 6 cara atau tips untuk membuat Anda tenang sebelum exam bermula. Semoga ianya dapat menjadi panduan untuk adik-adik yang bakal menduduki peperiksaan UPSR, PMR, SPM yang akan datang

1. Beri semangat pada diri sendiri melalui kata-kata “aku boleh”.
Kita tak tenang sebelum memulakan peperiksaan sebab kita tak tahu apa yang akan kita jumpa nanti dalam kertas soalan. Kita jadi takut. Untuk nak tenang sebelum peperiksaan bermula, buang ketakutan sedikit demi sedikit dengan memberi kata-kata semangat, mengatakan yang Anda boleh jawapan soalan tu satu persatu. Katakan pada diri Anda, “aku boleh buat” atau “aku boleh jawab dengan baik,aku boleh, aku boleh!”.

2. Gunakan mindset berani gagal.
Bila Anda berani gagal dan menanam sikap berani gagal, rasa gementar dan gugup itu akan hilang perlahan-lahan berganti dengan keberanian. Setelah kita buang ketakutan, gantikannya cepat-cepat dengan mentaliti berani gagal, berani mendepani apa jua yang akan terjadi. Anda akan bersemangat tiba-tiba. Ramai dari kita gementar saat menghadapi peperiksaan sebab kita mendepani sesuatu yang tak pasti dan kita takut tak ‘perform well’ ketika menjawap soalan peperiksaan.

3. Bayangkan ketenangan diri Anda semasa menjawap kertas soalan.
Fokus pada menikmati ketenangan supaya kita dapat menghilangkan kegugupan. Tarik nafas dalam-dalam, hembus perlahan-lahan dalam kiraan 7 saat saat perasaan Anda mulai gusar. Teknik pernafasan ini membuat Anda tenang, menghilangkan gemuruh serta bagus untuk menghalang ‘mental black’. Idea-idea untuk menjawap soalan peperiksaan akan lancar mengalir apabila kita tenang.

4. Jika Anda sudah belajar dan bersedia, tidak ada sebab untuk Anda ‘nervous’.
Biasanya, kita gusar sebelum memulakan menjawab peperiksaan sebab kita rasa kita tak cukup bersedia hendak menjawab soalan peperiksaan tersebut. Bila kita sudah belajar, sudah mengulangkaji dan bersedia menjawab soalan yang akan keluar nanti biasanya kita tidak akan gugup. Biasanya kita akan konpiden. Lainlah kalau persiapan last minit, memang gemuruh punya.

Bila sudah belajar dan sudah menelaah sehabis baik, kita tidak akan sabar untuk melihat apa yang ada di dalam kertas soalan tu. Kita tak sabar nak merasa ‘thrill’nya menjawab soalan.

Kita tak akan rasa gementar langsung, bahkan tak sabar nak ‘mengerjakan’ kertas soalan dengan jawapan-jawapan yang sudah sedia tersemat di minda kita. Jika sudah belajar, sepatutnya kita rasa yakin menjawap apa jua yang akan ditanya dalam kertas soalan peperiksaan.

5. Ingat wajah-wajah kesayangan Anda.
Setiap dari kita pasti ada orang yang kita sayangi. Jika bukan ibu, bapa atau adik beradik kita, mungkin wajah kekasih hati kita. Cinta dapat mewujudkan ketenangan walaupun Anda berada dalam suasana yang penuh dengan tekanan seperti waktu menghadapi peperiksaan.

Ingat dan bayangkan wajah-wajah kesayangan Anda, hadirkan rasa kecintaan yang mendalam di hati Anda untuk membuat Anda tenang, bebas dari rasa gemuruh. Niatkan perjuangan Anda belajar ni adalah untuk mereka.

Jika dipandang dari aspek positif, rasa gemuruh atau rasa tidak tenang sebelum menjawap peperiksaan sebenarnya tindakan hormon adrenalin yang dirembes oleh tubuh kita sebagai signal biologi untuk membuat kita bersedia dari segi emosi.

Apabila kita teringat seseorang yang kita cintai, serta merta tubuh badan kita merembes satu jenis bahan kimia yang akan meneutralkan hormon adrenalin, lantas membuat debaran kita menjadi perlahan, semakin perlahan lalu menghilang sedikit demi sedikit. Itulah penangan cinta.

6. Ingat masa depan Anda.
Hilangkan rasa gemuruh dengan membayangkan masa depan Anda. Kita mengambil peperiksaan supaya kita lulus dalam akademik yang akan menentukan masa depan kita.

Bayangkan cara hidup yang kita nak nikmati, bayangkan yang Anda dah ada jawatan tetap, dah ada rumah sendiri, kereta sendiri atau perniagaan sendiri. Bayangkan selalu supaya rasa gugup bertukar menjadi rasa bersemangat ingin buat yang terbaik sebab Anda nak melakar masa depan yang cemerlang pada hari ini.

Biar kita yang mengawal rasa gemuruh, bukan diri kita yang dikawal oleh rasa gemuruh. Jika masih juga gemuruh, beritahu diri Anda yang Anda mahu rasai ketenangan. Katakan “aku mahu tenang”, ulangi berkali-kali.

Lakukan latihan pernafasan – tarik nafas melalui hidung selama 7 saat, tahan 3 saat, hembus perlahan-lahan selama 7 saat, seperti yang saya katakan di atas tadi.

Sumber:

Countdown UPSR 2010

Kepada calon2 UPSR, mulai hari ini, blog SK Pulo akan mula membuat countdown UPSR 2010. Setakat entry ini ditulis, tinggal 48 hari sahaja lagi calon-calon UPSR akan bertarung untuk menghadapi UPSR. Rasanya keputusan peperiksaan percubaan telah pun diketahui. Inilah masa untuk para calon membuat bedah siasat di mana kelemahan yang perlu diperbaiki.

Para guru pula tentunya bertungkus lumus memberi tip-tip terakhir atau "buah kilas". Pecutan pada saat akhir ini tentunya memberi sedikit tekanan bukan sahaja kepada calon, tetapi kepada guru dan ibu bapa. Di harap para calon lebih tenang menghadapi UPSR. Beberapa tips akan dikongsi pada entry akan datang. Selamat berjuang. Moga mendapat keputusan yg cemerlang.

Sabtu, 31 Julai 2010

Perkhemahan Bersepadu Unit Beruniform Zon B Kuching 2010

Satu Perkhemahan Bersepadu Unit Beruniform telah diadakan di SK Siol Kanan pada 27 hingga 29 Julai baru-baru ini. Perkhemahan 3 hari 2 malam itu telah disertai oleh 90 orang murid dari 17 buah sekolah. Antara sekolah yang turut serta ialah SK Pulo, SK Senari, SK Gita, SK Gita 2, SK Matu Baru, SK Siol Kanan, SK Muhibbah, SK Encik Buyong, SK Semerah Padi, SKDAKH, SK Goebilt, SK Buntal, SK Samariang, SK Bandar Baru Samariang.

SK Pulo diwakili oleh ahli pengakap iaitu Mohd Ramli 5A, Ammar Haikal dan Rafitullah 5B, Mohd Akmal Aiman dan As Afi Azli dari 5D. Mereka diiringi oleh En. Roslan bin Ahahary. Banyak aktiviti menarik diadakan antaranya seperti LDK, kawad kaki, lari berhalangan, persembahan kebudayaan dan ceramah kebakaran.

Seramai 17 orang murid telah terpilih untuk mewakili zon ke peringkat bahagian. Wakil SK Pulo yang terpilih ialah Mohd Ramli Abdul Rahman. Mereka akan ber'camping' pada 3-5 Ogos di SK Mejar Jeneral.

























Ahad, 18 Julai 2010

Rangkuman Berita

Pertandingan Lalu Lintas Shell 2010
Ini merupakan kali pertama SK Pulo menyertai Pertandingan Lalulintas Shell. Pada mulanya agak tidak confident, yalah kan baru kali pertama... berlatih pun 2 kali sahaja...tetapi Alhamdulillah, pelajar2 SK Pulo telah dapat membuktikan kali pertama bukan penghalang... Mohd Adzhar b. Zaidi telah mendapat tempat pertama untuk Kategori Interaktif Komputer, manakala Nurul Aina Atirah bt. Hashim telah mendapat tempat ketiga dalam kategori Pidato. Walaupun, tidak mendapat hadiah untuk markah keseluruhan, tetapi anak2 didik SK Pulo telah membuat Sehabis Baik pada hari ini...TAHNIAH semua...

Dari facebook Mdm. Khairiyah bt Bujang (guru pengiring)

Choral Speaking 2010
Choral Speaking Team ~ 1st runner up - Zon B Kuching

Congrats 2 all the Teachers & pupils ( u r d BEST ! )

1. SK Gersik
2. SK Pulo
3. SK Gita. 2


Guru Baru
Selamat datang diucapkan kepada cikgu Masni yg mula bertugas di SK Pulo pada Jun lepas. Semoga dengan kedatangan beliau dapat membantu SK Pulo untuk terus mencipta kecemerlangan. Insha Allah...

Kem Sahsiah Tahun 6
Satu Kem Sahsiah telah diadakan untuk semua murid tahun 6 pada 3 Julai lepas. Kem sehari tersebut telah diadakan dengan jayanya. Kem dimulakan dengan ceramah 1 oleh Ust. Suhaila bt Alwi dan kemudian ceramah 2 oleh Cikgu Shahrul. Pada sebelah petang, LDK diadakan melibatkan guru2 agama, j-QAF, KAFA dan guru2 yang terlibat. Pada sebelah malam, selepas solat Maghrib berjamaah, murid2 dan ibu bapa disajikan dengan satu tazkirah yg disampaikan oleh us. Norhanizam b Tajuddin. Kemudian kem diakhiri dengan solat Isyak dan Solat Hajat berjamaah yg diimami oleh Imam Masjid Gita Us. Wan Hashim bin Wan Man.

Kem Bestari Solat Tahun 6
Diadakan pada 26 Jun 2010. Kem kali ini menekankan Solat jenazah dan bacaan2 lain yang masih belum dikuasai oleh murid2.

Astro Tutor TV, Saluran Ulang Kaji UPSR Pertama Malaysia

ASTRO melancarkan Astro Tutor TV, sebuah saluran baru mulai 18 Julai hingga 23 September ini yang khusus untuk membantu para pelajar UPSR mengulangkaji peperiksaan mereka.

Saluran tersebut menawarkan kandungan berasaskan sukatan pendidikan sekolah-sekolah di Malaysia dan perkhidmatan interaktif untuk keperluan para pelajar.

Selaras dengan komitmen Astro untuk menawarkan inspirasi dan peluang pembelajaran seumur hidup yang relevan melalui platformnya, saluran inovatif ini menawarkan tutorial 24 jam sehari untuk membantu pelajar UPSR mengulangkaji mengikut kemampuan dan keselesaan tersendiri untuk mereka mengulangkaji di rumah masing-masing.

Astro Tutor TV menumpukan kepada subjek teras UPSR seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains. Melalui pendekatan yang holistik untuk persiapan peperiksaan, program-program yang telah diatur membantu para pelajar menguasai tajuk yang sukar termasuk nasihat tentang strategi pembelajaran, motivasi diri, pengurusan masa dan kepentingan menjaga kesihatan menjelang peperiksaan.

Empat subjek UPSR itu boleh didapati dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Mata pelajaran Sains dan Matematik juga akan disediakan dalam bahasa Melayu dan bahasa Mandarin tidak lama lagi.

Kehadiran ‘butang merah’ di saluran interaktif itu membuatkan sesi ulang kaji menjadi lebih menarik dan menyenangkan apabila para pelajar berpeluang untuk menjawab kuiz mini dengan menggunakan alat kawalan jauh.

Dengan satu sentuhan butang, fakta-fakta dan formula-formula akan segera muncul di skrin seperti serangkai kad imbasan. Pembelajaran interaktif itu tidak terhenti di skrin tv sahaja apabila laman sesawang Astro Tutor TV turut menyediakan ulangan pembelajaran, kuiz dan ujian percubaan secara dalam talian.

Ketua Pendidikan di Astro, Putri Yasmin Megat Zaharuddin berkata: “Untuk mencapai keputusan optimal, Astro mengesyorkan ibu bapa menjadi sebahagian daripada pembelajaran itu. Ibu bapa digalakkan untuk menyertai anak-anak mereka menonton Astro Tutor TV dan mencuba kuiz interaktif.

”Sokongan dan dorongan ibu bapa dapat meningkatkan pembelajaraan anak-anak. Negara-negara maju sudah menggunakan program televisyen dan halaman sesawang e-pembelajaraan untuk membantu ulangkaji."

Pembelajaran akademik diseimbangkan dengan kandungan seperti ’Silap lagi’, ’Bijak belajar’, dan ’Lulus! Silap lagi’ ialah siri format pendek, yang menggunakan ibu jari sebagai ’watak’ yang mengajar para pelajar bagaimana untuk mengelakkan kesalahan yang biasa dilakukan di dalam peperiksaan dengan cara humor.

’Bijak belajar’ mengaplikasikan strategi guna-cuba seperti pemetaan fikiran dan kad imbasan. Di dalam ’Lulus!’, lima orang pelajar yang berketerampilan berkongsi rahsia peribadi mereka tentang pengurusan masa dan motivasi diri.

Astro Tutor TV boleh didapati secara percuma oleh semua pelanggan Astro termasuk sekolah-sekolah kerajaan di seluruh negara dari 18 Julai sehingga 23 September. Layari http://www.astro.com.my/ untuk sinopsis program dan jadual.

Untuk maklumat lanjut mengenai TUTOR TV, pelanggan boleh menghubungi 1300-82-3838 atau layari www.astro.com.my.

Dipetik drp mStar