Halaman

Sabtu, 19 Februari 2011

Sambutan Maulidur Rasul Peringkat SK Pulo 1432H

Hari kemuncak sambutan Maulidur Rasul peringkat SK Pulo 1432H telah diadakan pada hari Jumaat 19 Februari 2011. Majlis dimulakan dengan bacaan Yasin diikuti majlis penyampaian hadiah pertandingan mewarna, menulis khat, mencari perkataan bersembunyi dan melukis poster. Majlis diteruskan dengan mini perarakan sekitar kawasan sekolah. Kemudian slot tazkiran diisi dengan ceramah Maulidur Rasul oleh Us. Norhanizam bin Mohammad Tajuddin. Majlis diakhiri dengan sedikit jamuan.


Guru Besar, Ketua Panitia dan Penyelaras Sambutan
Ustz. Aidah bt Ali dan Ustz. Ira Nurlailie bt Ismail

Mini Perarakan

Pemenang-pemenang pertandingan

Hasil Kerja Murid

Khamis, 17 Februari 2011

Makluman : Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sekolah

Sambutan Maulidur Rasul Peringkat SK Pulo 1432H/2011M

7.20 pg - Murid berkumpul di Dewan Terbuka
7.30 pg - Bacaan Yaasin
Ucapan Tuan Guru Besar
Penyampaian hadiah untuk pertandingan mewarna, menulis khat
dan poster
Tazkirah
Bersurai

23 Buah Sekolah Diiktiraf Sekolah Berprestasi Tinggi

LIMBANG: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan nama 23 sekolah lagi yang diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) selepas ia didapati memenuhi kriteria yang diperlukan.

Beliau membuat pengumuman nama-nama sekolah itu semasa melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Lubai, kira-kira 55 kilometer dari sini, yang merupakan salah satu daripada sekolah yang tersenarai di bawah pengiktirafan itu.

Katanya sekolah-sekolah itu terdiri daripada Sekolah Menengah Imtiaz, Terengganu; Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Empat, Selangor; Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Perak; Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak, Selangor; Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kubang Pasu, Kedah; Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Pekan, Pahang; Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Kuala Lumpur; Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Kelantan; Sekolah Menengah Sains Miri, Sarawak; Sekolah Menengah Sains Seri Puteri, Kuala Lumpur; Sekolah Menengah Sains Selangor, Kuala Lumpur; Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah, Pahang dan Sekolah Menengah Sains Muar, Johor;

Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Lubai, Sarawak; SK Convent Muar, Johor; SK Seri Biram, Pahang; SK Sultan Ahmad Tajuddin, Kedah; SK Setiawangsa, Kuala Lumpur; SK (Perempuan) Methodist Kuantan, Pahang; SK Sultan Ismail, Terengganu; SK Jalan Tiga, Selangor; SJK(C) Perempuan China, Pulau Pinang dan SJK(C) Lick Hung, Selangor. Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata tahun lepas 20 sekolah diumum sebagai SBT.

Berhubung pencapaian SK Ulu Lubai, Muhyiddin berkata sekolah ini menunjukkan pencapaian akademik yang cemerlang sejak 2006 dengan memperolehi kelulusan 100 peratus dalam UPSR.

Menurutnya sekolah itu mengambil pelbagai inisiatif yang cukup luarbiasa sehingga membolehkan ia menjadi sekolah pedalaman pertama mendapat pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi.

Katanya sekolah itu juga pernah memenangi dua anugerah di peringkat antarabangsa, lima anugerah peringkat kebangsaan dan 14 peringkat negeri. -BERNAMA

Selasa, 15 Februari 2011

Peluang Datang Sekali Sahaja

Dalam hidup kita ini peluang datang sekali sahaja. Anda percaya atau tidak? Memang benar. Kalau ada peluang lain datang selepas kita mengabaikan peluang pertama - itu peluang lain, bukan peluang yang telah berlalu itu.

Dan untuk kali kedua ini apakah anda akan melepaskan peluang itu berlalu begitu sahaja buat kali keduanya? Jangan pelik ada orang yang mengabaikan setiap peluang yang datang pada dirinya!

Sesekali anda naik bas ekspres kerana letih memandu. Orang tidak ramai. Penumpang tidak penuh. Jadi anda sengaja mencari tempat duduk yang kosong, dengan harapan tidak ada orang lain yang akan duduk di sebelah anda - kerana anda mahu privacy. Mana ada privacy di dalam bas ekspres? Kalau anda mahu privacy anda tempahlah bilik dalam kereta api atau beli sahaja bot peribadi.

Kalau di Barat mereka ada caravan atau rumah bergerak. Saya pernah tidur dalam caravan orang Melayu di Broome, Western Australia. Tetapi caravannya diparking di varavan park seperti rumah sendiri! Tradisi orang Melayu Australia ini, akan menghormati tetamu dan mempersilakan tetamu bermalam di master bedroom mereka - walau berapa malam pun kita bertamu!

Jika anda naik bas ekspres kenapa anda tidak mengambil peluang untuk berkenalan dengan orang yang duduk di sebelah anda. Mungkin dia mesra dan mahu berkongsi pengalaman. Mungkin dia ada problem yang anda boleh berkongsi bersama. Mungkin juga dia memerlukan barangan yang anda bekalkan atau perkhidmatan yang anda mahir.

Alangkah ruginya jika tiga, empat atau lima jam perjalanan anda tamatkan dengan tidur sepanjang jalan. Maknanya anda tidak mahu mengambil peluang. Atau anda telah menutup peluang dengan berburuk sangka:

"Ah, mungkin dia tidak akan layan saya."
"Ah, mungkin dia akan menuduh saya mahu menguratnya."
"Nanti orang kata saya gatal!"

Dan lebih malang lagi jika anda beranggapan:

"Ah, apa orang kampung ini tahu!"
"Ah, saya tak sekufu dengan dia."
"Saya... saya punya hallah!"

Kadang-kadang saya juga naik bas ekspres. Dan saya telah mendapat beberapa peluang antaranya:
  • Saya pernah berkenalan dengan seorang makcik yang akhirnya dia minta hantarkan ibadah korbannya ke Kemboja, seperti yang saya lakukan setiap tahun.
  • Saya pernah berkenalan dengan seorang lelaki yang berpakaian kemas. Rupanya dia pensyarah di sebuah universiti di utara tanah air. Dan dia menawarkan saya memberi latihan untuk pelajar tahun akhir "Teknik Skor 4.0 Flat." Saya bersetuju dan melatih 200 orang mahasiswanya.
  • Saya pernah berkenalan dengan seorang pemuda yang menganggur. Dan hari dia dia ialah salah seorang daripada editor kanan saya.

PELUANG MENGAUT PAHALA

Peluang untuk mengaut pahala juga datang sekali sahaja. Kalau anda tidak mengambil peluang membaca al-Quran dalam bulan Ramadan yang lalu bermakna anda tidak berpeluang buat kali kedua sehingga datangnya Ramadan tahun depan. Tapi itu sudah dikira peluang baru. Apakah anda akan melepaskan peluang itu sekali lagi?

Kalau anda tidak mengambil peluang untuk memimpin tangan seorang makcik yang uzur keluar dari komuter, peluang itu akan direbut oleh orang lain. Apa perasaan anda hidup dalam suasana persekitaran orang berlumba-lumba untuk membuat kebajikan sedangkan anda?

Kalau anda tidak memberhentikan kereta anda di sebatang jalan raya untuk menolong seorang yang ditimpa kemalangan, ada banyak kemungkinan akan berlaku:
  • Orang itu akan mati kerana cedera parah atau pendarahan teruk.
  • Orang lain yang lalu pun berpendirian seperti anda yang tidak mahu menolong.
  • Anda akan menyesal apabila terbaca di akhbar keesokan harinya yang orang itu mati dalam perjalanan ke hospital 2 jam selepas anda berlalu.
  • Penumpang lain dalam kereta anda, sama ada keluarga atau kawan anda akan menyalahkan anda kerana sikap tamak dan mementingkan diri sendiri anda itu.
Peluang yang seperti ini jarang berulang kali kedua.

Kalau begitu setiap detik perjalanan kehidupan harian kita adalah peluang yang perlu kita rebut. Masa terus berlalu dan mustahil untuk berulang. Peluang baru datang dan pergi sedetik kemudian.


REBUT LIMA SEBELUM LIMA

Antara peluang lain yang harus anda rebut adalah seperti maksud hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima:
  • Masa muda anda yang sihat dan kuat sebelum anda di mamah usia.
  • Masa sihat sebelum anda sakit.
  • Masa lapang sebelum anda sibuk.
  • Masa kaya sebelum anda jatuh miskin, dan
  • Masa hidup sebelum malaikat Maut datang menjemput anda.
Ada anak yang sentiasa bertangguh untuk berbuat kebaikan kepada kedua-dua orang tuanya dengan seribu satu alasan:
  • Sibuk dengan tugas dan kerjaya yang tak kunjung surut.
  • Tidak ada cuti.
  • Tidak cukup wang kerana banyak tanggungan.
  • Jauh.
  • Letih.
Sedarkah kita bahawa ibu dan bapa kita tidak pernah memberi alasan sedemikian sewaktu mengandung, melahirkan dan membesarkan kita. Kalau kita tidak mengambil sekali peluang yang datang, jangan menyesal kalau kita tidak lagi berpeluang untuk berbakti kepada kedua-duanya apabila menerima berita kematian mereka.

Dan akhirnya jangan lepaskan peluang untuk kita bertaubat atas segala kesalahan kita kepada Allah SWT dan kepada manusia. Ringan-ringankanlah mulut untuk meminta maaf atau ringan-ringankanlah tangan untuk memohon ampun kerana sesungguhnya peluang itu datang sekali sahaja.

Sambutan Maulidur Rasul JAKASEH

Pada pagi tadi bertempat di SK Pulo, satu sambutan sempena Maulidur Rasul telah diadakan. Majlis tersebut dianjurkan oleh Jawatankuasa Keselamatan Kampung Seberang Hilir (JAKASEH). Antara aktiviti yang diadakan ialah perarakan, pertandingan sepanduk dan ceramah agama. Majlis yang dirasmikan oleh YB Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Santubong) itu berjaya menarik minat pelbagai golongan. Semoga majlis seperti ini dapat diteruskan lagi untuk memperingati Rasulullah SAW.

Pemenang Pertandingan Sepanduk

Kategori Terbuka
1. Kampung Semarang
2. Kampung Panglima Seman Lama
3. Kampung Panglima Seman Ulu

Kategori Sekolah
1. SK Gersik
2. Tadika Perpaduan
3. Tadika Kemas


Isnin, 14 Februari 2011

Salam Maulidur Rasul 1432H

Kita kini sedang menyambut ketibaan bulan Rabiul Awwal yang telah mencatatkan peristiwa penting dalam sejarah Islam. Di mana apabila tibanya bulan Rabi’ulawwal setiap tahun, umat Islam di seluruh dunia sama-sama mengingati tarikh kelahiran junjungan besar nabi Muhammad S.A.W. Kelahiran dan kebangkitan junjungan besar nabi Muhammad S.A.W sebagai rasul akhir zaman telah membawa sinar bahagia kepada manusia dan rahmat kepada seluruh alam yang selama ini tenggelam dalam kejahilan dan hidup bermusuhan antara satu sama lain.

Maulidur Rasul

Yang kuat memerintah yang tidak berdaya, yang kaya memeras yang miskin, yang gagah menindas yang lemah, undang-undang terletak pada pandangan nafsu dan bukannya berdasarkan wahyu sehingga hidup manusia bercelaru hilang pedoman dan tempat rujukan untuk berlindung.

Sejarah telah mencatatkan kisah perjalanan pahit maung kehidupan Rasulullah S.A.W. di dalam tugasnya menyebarkan dakwah Islam yang mulia ini, baginda pernah dikeji, dihina, diugut, dibaling dengan batu sehingga berdarah, dipulau kaum keluarganya namun untuk meninggalkan amanah Allah ini tidak sekali-kali terlintas di dalam jiwanya.

Justeru, Rasulullah S.A.W. yang diutuskan kepada umat manusia sebagai penghulu segala rasul, wajib kita sama-sama mentaatinya, dengan erti kata melaksanakan segala perintahnya dan meninggalkan segala tegahannya. Mudah-mudahan kita beroleh kecemerlangan dan kegemilangan hidup di dunia dan di akhirat.

Firman Allah dalam surah al-Hasyr ayat 7:

Maksudnya : “Dan apa jua suruhan yang di bawa oleh Rasulullah kepada kamu maka ambillah akan ia serta amalkan, dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat azab siksanya (bagi orang-orang yang melanggar perintahnya)”.

Melalui cacatan sejarah juga kita dapati bagaimana kehidupan Rasulullulah S.A.W. yang sentiasa dijaga dan dipelihara oleh Allah S.W.T. bagi menjamin dakwahnya diterima oleh masyarakat. Walaupun baginda hidup dalam suasana masyarakat jahiliah yang sesat bertuhankan nafsu, namun baginda tidak terlibat dengan penyembahan berhala, minum arak, berjudi, malah tidak pernah berhibur dengan hiburan yang melalaikan. Begitu juga, baginda bersifat amanah sehingga digelar "al-Amin" serta sentiasa menjaga pergaulan dan percakapannya.

Baginda Raslulllah S.A.W. turut dididik dengan ujian bagi mematangkan fikiran dan tindakannya, di mana sejak kecil lagi baginda menjadi yatim piatu dengan kewafatan ayahanda dan bonda yang tercinta. Penjagaan baginda yang yatim piatu diambil alih oleh datuk kesayangannya Abdul Mutalib, tetapi Allah S.W.T. sekali lagi menguji baginda dengan kematian datuknya ketika baginda berusia lapan tahun dan penjagaan baginda berpindah kepada bapa saudaranya Abu Talib. Cuba kita bayangkan?. Bagaimana nabi yang bakal melaksanakan tugas dakwah Islam yang begitu besar dan berat telah diuji dengan kehilangan ahli keluarga ketika usianya yang masih kecil. Tetapi Allah maha penentu segala-galanya, di mana setiap sesuatu yang berlaku mempunyai hikmatnya yang tersendiri. Ujian kewafatan ahli keluarga tercinta telah mendidik baginda sebagai seorang yang cepat matang dan tidak terlalu bergantung kepada orang lain.

Bersempena sambutan Maulidur Rasul yang diadakan saban tahun, marilah kita sama-sama menghayati dan mencontohi ketabahan serta kesungguhan baginda dan para sahabat dalam menegakkan syiar Islam sehingga terpancar kecemerlangan dan kegemilangan Islam merentasi dunia timur dan barat.

Sebagai seorang pemimpin agong baginda Rasulullah S.A.W. mempunyai pandangan jauh dan akal fikiran yang tajam serta semangat juang yang tinggi, kekuatan rohani yang mendalam, tabah dan keberanian menempuh berbagai cabaran dan dugaan yang perlu kita contohi, sama ada di waktu penghijrahannya dari kota Makkah ke kota Madinah atau selepasnya. Oleh yang demikian, umat Islam pada hari ini hendaklah bangun membina kekuatan rohani seimbang dengan kekuatan akal dan jasmani seperti yang ditunjukkan oleh baginda Rasulullah S.A.W. dalam menyebar luas syiar Islam. Ini kerana setiap umat Islam pada hari ini adalah bertanggungjawab meninggikan dan mempertahankan agama Allah.

Di antara ciri-ciri dan sikap terpuji baginda Rasulullah S.A.W. yang perlu dicontohi :

1.Sebagai Ketua Keluarga Yang Mulia Dan Bertanggungjawab

Dalam kesibukan baginda sebagai pemimpin negara, sebagai pendakwah, ketua tentera dan pelbagai urusan lainya tetapi baginda tidak pernah melupakan soal membina keluarga yang harmoni. Bagaimana baginda menunjukkan kaedah yang berkesan untuk melahirkan sebuah rumahtangga Islam sejati yang berjaya melahirkan generasi Islam yang bertakwa. Ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah al-Tahrim ayat 6 :

Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya manusia dan batu (berhala), neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya), mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”

2.Sebagai Pemimpin Yang Bijaksana

Rasulullah S.A.W. merupakan seorang pemimpin yang ikhlas dalam memperjuangkan dan menegakkan syiar Islam. Peribadi baginda yang luhur, tidak ingin dipuji, tidak mementingkan diri sendiri, tidak mementingkan kebendaan serta mengejar pangkat dalam perjuangannya. Akhirnya baginda telah berjaya membentuk peribadi, masyarakat dan negara Islam yang unggul dan terbilang.

Amat sesuai baginda menjadi contoh teladan yang paling baik. Sabda baginda :

" اِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ مَكَارِمَ الأَخْلاَقِ "

Maksudnya: "Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia ".

3.Memiliki Akhlak Yang Sempurna

Baginda diutuskan bersama akhlak yang sempurna sebagai asas panduan kepada setiap lapisan masyarakat. Hal ini dinyatakan oleh Allah S.W.T. di dalam al-Ahzab ayat 21 :

Maksudnya : “Demi sesungguhnya! Adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan memperingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”

Seterusnya baginda terkenal dengan ketegasan dalam perjuangan mempertahan agama Allah tanpa rasa takut dan menolak sebarang bentuk tawaran keduniaan. Seandainya sifat seumpama ini dapat kita laksanakan pastinya Islam bertambah maju dan setiasa disegani kawan mahupun lawan.

Dalam membina masyarakat yang harmoni pula baginda menggariskan beberapa panduan antaranya menanamkan sifat berkasih sayang, tolong menolong, menjaga hak kejiranan dan sebagainya demi menjaga dan membentuk masyarakat sejahtera.

Inilah antara sifat-sifat dan ketabahan baginda Rasulullah S.A.W. di dalam menegakkan agama yang benar dan diredhai Allah S.W.T. Maka bersempena sambutan Maulidur Rasul yang kita sambut pada tahun ini hendaklah dilakukan dengan hati yang benar-benar insaf dan ikhlas serta berbeza dengan cara sambutan Maulidur Rasul yang pernah dilakukan oleh Abu Lahab yang terlalu gembira menyambut kelahiran baginda dengan sanggup memerdekakan hamba kesayangannya serta menyembelih 100 ekor unta tetapi akhirnya apabila baginda menyatakan tentang kenabiannya serta dakwah Islam yang dibawa oleh baginda maka dialah orang paling keras menentang baginda sehingga kisahnya dirakamkan dalam surah al-Masad.

Oleh itu, kita perlu sedar dan insaf sambutan yang kita raikan mestilah selari dengan apa yang diucapkan, jangan kita bersungguh-sungguh memuji akhlak Rasulullah S.A.W. Tetapi akhlak remaja kita terbiar semakin hari semakin liar, tidak terkawal dan terlalu mementingkan hiburan sehingga mengabaikan tuntutan agama. Begitu juga, jangan kita hanya memuji baginda yang mengharamkan arak, judi dan riba sedangkan di sekeliling kita arak, penagihan dadah, pil khayal, ubat batuk dan segala macam yang memabukkan semakin manjadi-jadi seakan-akan tidak ada penghujungnya.

Firman Allah yang bermaksud: “Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (arab) yang ummyyin, seorang rasul (nabi Muhammad) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaannya), dan membersihkan mereka (daripada iktikad yang sesat), serta mengajarkan mereka kitab Allah (al-Quran) dan hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hokum-hukum syari’at). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.”
( Surah al-Jumuah ayat : 2 )

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ فِىْ القُرْءَانِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِى هذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِىْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ المُسْلِمِيْنَ وَالمُسْلِمَاتِ، وَالمُؤْمِنِيْن وَالمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَـا نَجَاةَ التَّائِبِيْن

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia