Halaman

Khamis, 17 November 2011

UPSR 2011

Peperiksaan UPSR 2011 telah diumumkan pagi tadi. Seramai 2 orang murid SK Pulo telah mendapat 5A dalam peperiksaan tersebut sementara 3 orang mendapat 4A dan 1B. Berikut adalah mereka yang mendapat keputusan cemerlang tersebut.

5A
1. Nurul Aina Atirah bt Hassim
2. Puteri Nurliyana

4A 1B
1. Mohd Zunnur Ain bin Lias.
2. Nur Izzrien bt Che Arminuddin
3. Akmal Hakim bin Norhanizam

Tahniah diucapkan kepada yang berjaya.


Isnin, 14 November 2011

Cuti Umum & Cuti Sekolah 2012


Boleh klik di sini juga.

19 Sekolah Di Sarawak Laksana Projek Perintis Guru Kerja 9 Jam

KUCHING: Kementerian Pelajaran memilih 19 buah sekolah rendah dan menengah di Sarawak, kesemua terletak di bandar raya ini, untuk melaksanakan projek perintis guru bekerja sembilan jam sehari mulai Januari depan.

Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU) William Ghani Bina berkata daripada jumlah itu, 11 buah melibatkan sekolah rendah dan bakinya sekolah menengah.

"Sekolah rendah yang dipilih ialah SK Chung Hua No 2, SK Chung Hua Sungai Buda, SK Bako, SK Bandar Semariang, SK Combine, SK Kenyalang, SK Madrasah Datuk Haji Abdul Kadir Hassan, SK Satria Jaya, SK St Mary dan SK St Theresa," katanya kepada Bernama di sini, Ahad.

Ghani berkata sekolah menengah yang terpilih ialah SMK Bandar Kuching No.2, Sekolah Seni Kuching, SMK Tabuan Jaya, Kolej Datu Patinggi Abang Haji Abdillah, SMK St Joseph, Kolej Vokasional Batu Lintang, SMK Datuk Patinggi Haji Abdul Gapor Stampin dan SMK Agama Tun Ahmad Zaidi.

"Diharapkan selepas pelaksanaan projek perintis, gambaran sebenar beban tugas guru dapat diketahui kerana kini ada persepsi yang menganggap tugas guru hanya terhad pada hari Isnin hingga Jumaat sahaja," katanya.

Beliau berkata ramai tidak mengetahui ada sebilangan guru bekerja sehingga hari Ahad untuk mengendalikan aktiviti kokurikulum, menghadiri kursus dan aktiviti sekolah selain daripada tugas hakiki sebagai guru.

"STU mahu kesemua sekolah terlibat menyampaikan laporan yang sebenar dan jujur supaya persepsi ini dapat ditepis sama sekali," katanya.

Selain Sarawak, Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong hari ini dipetik berkata projek perintis itu akan dilaksanakan di Melaka, Pahang dan Johor.

Seramai lebih 5,000 guru dan 104 sekolah di seluruh negara terbabit dalam projek perintis tersebut dengan guru sebelah pagi bertugas di sekolah mulai pukul 7.30 pagi hingga 4.30 petang dan guru sebelah petang bertugas pukul 9.30 pagi hingga 6.30 petang.

Dr Wee juga memberi jaminan ia tidak akan diperluaskan ke seluruh sekolah di negara ini sehingga keputusan penuh projek perintis tersebut diketahui. BERNAMA

Ahad, 13 November 2011

Guru kerja 9 jam mulai 2012?

ALOR SETAR 11 Nov. - Kira-kira 5,000 guru dari hampir 104 buah sekolah di seluruh negara akan menjadi perintis kepada sistem waktu bekerja sembilan jam mulai Januari tahun depan, kata Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP).

Presidennya, Hashim Adnan berkata, pihaknya difahamkan sistem waktu bekerja baharu itu akan dilaksanakan di empat buah negeri iaitu Pahang, Melaka, Johor dan Sarawak dengan tempoh percubaan selama enam bulan sebelum diperhalusi oleh Kementerian Pelajaran.

Katanya, pihak NUTP bagaimanapun berpendapat waktu bekerja tersebut tidak sesuai diamalkan di sekolah.

Jelas beliau, pihaknya menerima maklum balas daripada guru terlibat yang bimbang dan tertekan ekoran perubahan waktu kerja baharu itu.

"NUTP berpendapat sistem bekerja sembilan jam seperti penjawat awam lain di pejabat tidak boleh diguna pakai dalam pendidikan sekolah.

"Selain bertugas sebagai pendidik, guru juga dibebani dengan tugas perkeranian termasuk mengisi data dan sebagainya. Malah, ada masanya guru terpaksa bertugas Sabtu dan Ahad untuk aktiviti badan beruniform, sukan dan kelas tambahan," katanya pada sidang akhbar di sini malam tadi. Hadir sama, Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng.

Menjelaskan lebih lanjut, kata Hashim, tempoh percubaan waktu berkerja sembilan jam sehari di sekolah terpilih itu akan dilaksanakan dua sesi iaitu 7.30 pagi hingga 4.30 petang dan 1.30 petang hingga 6.30 petang selama enam bulan.

"Kesatuan dimaklumkan bahawa para guru di sekolah terlibat sudah diberikan taklimat berhubung perkara ini.

"Walaupun ia tempoh percubaan sebelum diperhalusi pelaksanaannya oleh Kementerian Pelajaran, ramai guru sudah merasa tertekan dan kita bimbang perkara ini akan menganggu tugas mereka di sekolah," katanya.

Sehubungan itu, kata Hashim, NUTP menggesa kerajaan supaya mengkaji semula perkara tersebut.

Utusan Malaysia Online: 12 November 2011

Isnin, 7 November 2011

Pemansuhan PPSMI kekal

PUTRAJAYA 4 Nov. - Pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah rendah akan dilaksanakan sepenuhnya dalam bahasa Melayu pada tahun 2016 dan untuk Sekolah Menengah pada 2021.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan murid-murid tahun dua tahun ini akan meneruskan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sehingga tamat tingkatan lima.

''Murid-murid tahun tiga hingga tahun enam tahun bagi sesi 2012 dibenarkan meneruskan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, bahasa Melayu atau kedua-dua bahasa di sekolah kebangsaan (SK).

''Bagi Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina, mereka dibenarkan menggunakan bahasa Inggeris, bahasa Cina atau kedua-dua bahasa manakala SJK Tamil pula boleh menggunakan bahasa Inggeris, bahasa Tamil atau kedua-dua bahasa.

''Bagi murid yang telah mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Melayu atau dalam kedua-dua bahasa, mereka dibenar mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Melayu sepenuhnya," katanya pada sidang akhbar mengenai pelaksanaan peralihan secara mudah (soft-landing) PPSMI di sini hari ini.

Serentak itu, beliau yang juga Menteri Pelajaran menegaskan, keputusan pemansuhan PPSMI adalah kekal kerana kerajaan tidak bercadang melaksanakannya semula seperti yang dituntut oleh sesetengah pihak.

''Pelajar yang baru masuk dalam sistem pelajaran kita mulai tahun ini, mereka akan ambil Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) atau Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam bahasa Melayu.

''Tetapi kita yakin dengan keputusan itu pencapaian murid di bawah kohort PPSMI dalam peperiksaan UPSR, Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan SPM tidak akan terjejas," katanya.

Muhyiddin berkata, kajian kementerian mendapati hanya 6 hingga 7 peratus sekolah yang melaksanakan PPSMI.

Ini kata beliau menunjukkan kebanyakan sekolah mengajar kedua-dua subjek itu dalam bahasa Melayu dan ia membuktikan PPSMI tidak dapat dilaksanakan seperti yang dihasratkan.

Jelas beliau, kajian mendapati pemerhatian di dalam kelas, pengalaman guru dan amalan di bilik darjah serta temu bual murid-murid menunjukkan mereka sukar memahami mata pelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

Katanya, murid mengambil masa lama untuk memahami konsep Matematik dan Sains kerana tidak faham bahasa Inggeris sehingga memaksa guru mengajar dalam bahasa Melayu supaya murid dapat memahaminya dan masalah itu turut dialami di bandar.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, pemansuhan PPSMI tidak bermakna kerajaan mengabaikan kepentingan penguasaan bahasa Inggeris melalui pengenalan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Di bawah MBMMBI itu, beliau menambah, kementerian sedang melaksanakan pelbagai inisiatif baru yang lebih efektif untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid.

''Antara inisiatif itu adalah penambahan masa Pembelajaran dan Pengajaran (P&P) bahasa Inggeris, penambahbaikan kurikulum bahasa Inggeris di bawah pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), penyediaan guru mahir dan penyediaan bahan sokongan yang berkualiti.

''Sehubungan itu, kerajaan berharap pemansuhan PPSMI dan pelaksanaan dasar MBMMBI dapat meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, ilmu sains dan matematik dalam kalangan pelajar serta mendaulatkan bahasa kebangsaan," katanya.

Muhyiddin menambah, kementerian itu juga sedang mengkaji beberapa inisiatif baru untuk dilaksanakan seperti program Oracy Skills (OPS-ENG) yang bertujuan meningkatkan penguasaan lisan kalangan murid, kelas berdasarkan Sistem Set, peningkatan kualiti dan kepelbagaian bahan pengajaran, pembangunan profesionalisme guru dan kecekapan pengurusan panitia bahasa Inggeris di sekolah.

Utusan Malaysia Online: 5 November 2011

Sabtu, 5 November 2011

Program Aidil Adha 1432H

1. Ceramah Pengorbanan oleh Ust. Norhanizam bin Mohd Tajuddin. (murid thn 3-6)
2. Pertandingan Mewarna (murid thn 1 & 2)

Jumaat, 4 November 2011

Perkhemahan Unit Beruniform SK Pulo 2011

Pada 21 - 23 November 2011, satu perkhemahan unit beruniform peringkat SK Pulo telah diadakan. Ianya melibatkan 96 orang peserta dari empat unit iaitu Pengakap, Puteri Islam, Bulan Sabit Merah dan Kadet Remaja Sekolah. Alhamdulillah kem berjaya dilangsungkan dengan jayanya. Terima kasih kepada semua guru merangkap fasilitator yang menunjukkan komitmen yang tinggi. Untuk melihat gambar-gambar sepanjang kem, sila klik di sini.


Facebook SK Pulo

Memandangkan admin mempunyai masa yang terhad untuk mengemaskini blog SK Pulo, anda diminta untuk ke Page SK Pulo di Facebook. Semua aktiviti akan dikemaskini di page tersebut. Terima kasih.

Jumaat, 9 September 2011

SIARAN AKHBAR : MAKLUMAN PEPERIKSAAN UPSR 2011

PEPERIKSAAN UJIAN PENCAPAIAN SEKOLAH RENDAH TAHUN 2011

Peperiksaan bertulis UPSR 2011 akan berlangsung pada 13, 14 dan 15 September 2011.

Pada tahun ini seramai 497,691 orang calon telah mendaftar untuk menduduki UPSR di 8,235 pusat peperiksaan di seluruh negara. UPSR kali ini melibatkan 48,560 petugas peperiksaan.

Lembaga Peperiksaan ingin mengingatkan semua calon agar merujuk kepada Jadual Waktu Peperiksaan untuk maklumat mengenai masa peperiksaan serta arahan dan amaran yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan tersebut berlangsung.

Lembaga Peperiksaan
Kementerian Pelajaran Malaysia
6 SEPTEMBER 2011