Halaman

Khamis, 19 Julai 2012

Sambutan Ambang Ramadhan 1433H SK Pulo



07:00 Bacaan Yasin
07:30 Bacaan al-Quran oleh adik Mohd Khairul Amirin Faiz bin Kamri (5B)
07:40 Ceramah Ambang Ramadhan
         Taklimat Pengisian sepanjang Ramadhan
         Hal-hal sampingan utama.

Ahad, 15 Julai 2012

Fadhilat ayat al-Kursi

  • Orang yang membaca ayat al-Kursi selepas   menyempurnakan solat fardhu akan dipelihara oleh Allah sehingga solat berikutnya
  • Allah swt akan menghantar dua malaikat untuk memelihara orang  yang membaca ayat al-Kursi ketika berada di tempat pembaringan sehingga waktu subuh
  • Orang yang membaca ayat al-Kursi selepas solat fardhu akan memelihara keluarga, juga rumah-rumahnya  yang berhampiran dengannya. Boleh juga dimaksudkan terpelihara daripada binatang yang mudharat, bencana  alam, kebakaran, dan jahat angkara manusia. Maka Rasulullah s.a.w menyuruh setiap arang agar melakukan sesuatu perbuatan dengan menyebut nama Allah oleh kerana iblis dan syaitan tidak berupaya mengangkat atau  membuka sesuatu yang di tutup dengan meyebut nama Allah
  • Allah tidak menegah mereka yang membaca ayat al-Kursi selepas solat fardhu masuk dalam syurga
  • Barang siapa yang keluar dari rumahnya dengan membaca ayat al-Kursi, maka Allah utuskan tujuh puluh ribu malaikat kepadanya, mereka memohon keampunan dan mendoakan baginya
  • Barang siapa membacanya nescaya Allah mengutuskan malaikat untuk menulis kebaikannya dan menghapuskan keburukannya dari detik itu sampai esok hari

Sabtu, 14 Julai 2012

Jadual Pra UPSR 2 2012

Anjuran Majlis Guru Besar Daerah Kuching

17 Julai 2012 (Selasa)
0800 - 0915 Bahasa Malaysia Penulisan
1020 - 1135 Bahasa Inggeris Kertas 2

18 Julai 2012 (Rabu)
0800 - 0840 Matematik Kertas 2
1030 - 1145 Sains

19 Julai 2012 (Khamis)
0800 - 0850 Bahasa Malaysia Pemahaman
1010 - 1110 Matematik Kertas 1
1140 - 1230 Bahasa Inggeris Kertas 1

Ahad, 8 Julai 2012

Kaedah Pembelajaran Yang Lebih Berkesan


Teknik-teknik pembelajaran yang baik merupakan satu kaedah dalam usaha kita menghadapi pelajaran yang terbaik sebagai langkah untuk memperolehi kejayaan yang cemerlang di dalam bidang pembelajaran.
Pelajar perlu memahami bahawa tidak ada satu ‘formula’ yang mesti dan tepat bagi merumuskan satu kaedah yang paling baik untuk menghadapi pelajaran melainkan ia banyak bergantung kepada diri pelajar itu sendiri. Apa yang penting untuk dijelaskan ialah beberapa garis panduan yang besar sahaja dikenalpasti untuk dijadikan landasan bagi seseorang pelajar bergerak menghadapi peperiksaan.
FAKTOR-FAKTOR DORONGAN DALAM PEMBELAJARAN
  • Mengenal pasti wujudnya ‘motivasi dalaman’ atau faktor-faktor pendorong di dalam diri maing-masing, misalnya kemiskinan.
  • Menginsafi akan kepentingan ilmu, tujuan ilmu dipelajari, untuk apa dan hendak ke mana ilmu yang dikumpulkan itu.
  • Dorongan dari rasa tanggungjawab sebagai seorang pelajar.
  • Menginsafi peranannya terhadap masyarakat pada masa hadapan.
LANGKAH-LANGKAH PERSEDIAAN
  • Kesempurnaan kesediaan seseorang dari segi mental, fizikal dan rohani yang mampu mengahadapi peringkat pembelajaran yang baik.
  • Persediaan mental yang baik ialah persediaan tumpuan fikiran yang sepenuhnya terhadap pelajaran. Pemikiran yang masih bercampur-aduk dengan perkara-perkara lain akan mengakibatkan kebuntuan untuk memberi perhatian yang serius kepada pelajaran. Seseorang pelajar hendaklah menghilangkan ingatannya kepada perkara yang lain, sebaliknya ingatan hendaklah ditumpukan kepada pelajaran sahaja.
  • Berkhayal kepada perkara lain ialah penyakit yang paling besar bagi seseorang pelajar yang sedang menghadapi pelajarannya. Oleh itu, pelajar hendaklah mengelakkan diri daripada berkhayal semasa belajar.
TEKNIK-TEKNIK PEMBELAJARAN
  1. Suasana / Tempat Belajar – Elakkan suasana yang bising, banyak gangguan, tidak selesa dan sebagainya
  2. Memilih Masa Yang Sesuai – Tidak semua waktu di dalam sehari boleh digunakan untuk menumpukan fikiran pada pelajaran.
  3. Setiap hari persekolahan, peruntukan sekurang-kurangnya 2 jam untuk menelaah/mengulangkaji pelajaran di samping menyelesaikan kerja-kerja yang diberikan oleh guru. Pada waktu cuti, 4 hingga 5 jam adalah memadai untuk menelaah pada waktu yang sesuai, iaitu pada waktu pagi dan malam.(ingat ! waktu belajar yang sesuai tidak sama antara semua individu)
  4. Menyediakan satu jadual kerja harian walaupun begitu, mungkin jadual tersebut tidak mampu diikuti sepenuhnya oleh pelajar.
  5. Pembaziran masa dengan perkara-perkara yang tidak ada hubungan dengan memperkukuhkan mutu pembelajaran baik secara formal atau informal haruslah dielakkan.
  6. Pembelajaran Di Sekolah – Pembelajaran di sekolah merupakan sumber yang penting serta yang paling baik untuk seseorang pelajar menghadapi pelajarannya, dan segala penumpuan yang maksimun haruslah diberikan serta tidak patut berlaku kecuaian, leka, nakal ketika berada di sekolah.
  7. Membaca, Memahami dan Menghafal – Teknik pembacaan yang baik ialah pembacaan yang menyeluruh bagi pusingan yang pertama. Isi dan istilah-istilah yang penting digariskan. Kalau perlu isi yang digariskan itu dicatat sebagai nota pendek atau ringkas.
  8. Ambil perhatian kepada isi-isi yang penting dan hendaklah dibaca selalu. Kalau perlu setiap isi-isi itu hendaklah dihafal sedaya mungkin terutama apabila hampirnya waktu peperiksaan. (ingat ! hafalan tanpa pemahaman yang kukuh adalah sia-sia).
  9. Menyusun nota dengan teratur dan berkesan dan mempunyai ciri-ciri seperti :-
    • Mengandungi semua maklumat penting
    • Bersih dan mudah dibaca
    • Terkumpul & Tersusun (di dalam fail/Buku Khas)
    • Ringkas dan padat
Kesungguhan Belajar
  1. Elakkan diri dari faktor-faktor yang boleh membosankan ketika membaca. Jangan sesekali membebankan diri dengan kerja-kerja sekolah yang terlampau banyak pada masa tertentu dan berehat panjang selepasnya.
  2. Kesungguhan belajar mestilah berterusan dari segi semangat belajar dan usaha dari awal hinggalah ke masa peperiksaan.
  3. Sentiasa meningkatkan semangat belajar dari masa ke semasa. Semakin hampir dengan tarikh peperiksaan semakin bersungguh-sungguh untuk belajar dan semakin berkeyakinan dalam menghadapi peperiksaan.
  4. Kesungguhan belajar mungkin boleh dibina melalui kerja-kerja secara berkumpulan. Yang pentingnya carilah teman/rakan belajar yang boleh anda manfaatkan pengetahuan dan kefahaman anda kepadanya dan sebaliknya.
  5. Yakinlah dengan kebolehan yang ada pada diri anda dan kesungguhan anda untuk belajar dan yakinlah dengan pertolongan Allah S.W.T.
LUPAAN DAN INGATAN
Apakah sebabnya kita sering lupa ?
  • Kerana Gangguan – Membaca perkara-perkara lain selepas buku pelajaran menyebabkan soal peperiksaan luput dari ingatan.
  • Tumpuan Perhatian – Tanpa perhatain yang sepenuhnya ketika membaca menyebabkan perkara tersebut tidak dapat kekal lama.
  • Faktor Masa – Masa yang terlalu lama mungkin menyebabkan anda lupa akan apa yang telah dipelajari.
INGATAN
Manusia lebih senang mengingati sesuatu jika :-
  • Minat – Tinggikan minat terhadap perkara yang dipelajari.
  • Pilihan – Memilih isi-isi penting untuk diingati bagi peperiksaan.
  • Ulangan – Sentiasa mengulangkaji, boleh dibuat melalui perbincangan secara berkumpulan, penulisan semula atau pembacaan yang kerap.
  • Assasiasi – Membuat perkaitan dengan sesuatu perkara lain untuk ingatan.
  • Tubi Belajar
Di dalam proses pembelajaran terdapat peringkat seperti :-
1. Mendengar untuk pertama kali
2. Memahami
3. Menggunakannya
4. Mencipta yang baru
Jika anda membaca berulang kali, tentunya perkara tersebut akan dapat diingati di dalam satu jangkamasa yang lama.

Sabtu, 7 Julai 2012

35 tahun masih DG41


15,000 guru ada sijil, diploma patut naik gred: NUTP

Kuala Lumpur: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mencadangkan kira-kira 15,000 guru lepasan sijil dan diploma perguruan yang berkhidmat lebih 35 tahun dipertimbangkan untuk kenaikan ke gred DG41. Ia dianggap wajar berdasarkan pengalaman dan jumlah tahun mereka berkhidmat sebagai menghargai jasa guru berkenaan. 

Presiden NUTP, Hashim Adnan, berpendapat adalah wajar pengalaman perkhidmatan guru terbabit dijadikan sebagai asas untuk kenaikan gred dan bukannya mengutamakan kelayakan akademik.

“Walaupun sudah berkhidmat lebih 35 tahun, NUTP mendapati ada sebilangan guru yang masih kekal di gred DG34 dan DG38 kerana kenaikan (gred) adalah berdasarkan kelayakan akademik.

“Jika mahu dilihat dari segi kelayakan akademik, kita berasakan tidak wajar kerana segelintir mereka sudah berusia lebih 50 tahun dan ada juga yang hampir bersara,” katanya kepada BH, semalam.

Mac tahun lalu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meluluskan permohonan Kementerian Pelajaran meningkatkan had usia pemohon Program Pensiswazahan Guru (PPG) daripada 45 tahun kepada 47 tahun untuk mencapai sasaran 60,000 guru sekolah rendah dan menengah memiliki ijazah menjelang 2015. 

Syarat mohon ke PPG

Sebelum itu, syarat bagi permohonan ke PPG tidak melebihi 45 tahun, selain memiliki Diploma Pendidikan/Perguruan atau Sijil Perguruan dan tidak berdaftar dengan mana-mana universiti sebagai pelajar sepenuh masa atau sambilan tajaan kementerian.

Hashim berharap Kementerian Pelajaran akan mempertimbangkan cadangan itu yang sudah dipanjangkan kepada JPA, baru-baru ini.

“Tempoh perkhidmatan lebih 35 tahun adalah satu pengalaman cukup luas selain warga pendidik itu juga sudah menghadiri pelbagai kursus berkaitan perguruan. Kita melihat pengalaman itu cukup wajar untuk mereka menikmati kenaikan gred,” katanya.

Beliau berkata, NUTP juga akan mengemukakan syor itu kepada Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam yang ditubuhkan kerajaan bagi mengkaji secara komprehensif perkhidmatan awam negara.

Berita Harian Online 7 Julai 2012

Jumaat, 6 Julai 2012

Klinik Menjulang UPSR SK Pulo 2012

Panatia Bahasa Melayu akan menganjurkan Klinik Menjulang UPSR SK Pulo 2012 pada 10, 11,12, dan 16 Julai 2012. Program ini bertujuan untuk memperlengkapkan murid-murid Tahun 6 dengan kemahiran belajar dan mampu merangsangkan diri sendiri untuk belajar secara lebih berkesan seterusnya mencapai prestasi yang cemerlang dalam bidang akademik.

Program yang bertemakan 'Murid Didahulukan, Menjulang UPSR Diutamakan' menyasarkan semua murid Tahun 6 SK Pulo, Kuching. Berikut adalah jadual program.

10 Julai 2012 (Selasa)
Slot Bahasa Inggeris
Penceramah: En. Glyn ak Tian (SK Astana)

11 Julai 2012 (Rabu)
Slot Matematik
Penceramah: En. Farisan Illahi b Abang (SK Tabuan Hilir)

12 Julai 2012 (Khamis)
Slot Sains
Penceramah: En. Abdul Aziz b Abdul Wahab (SK St. Joseph)


16 Julai 2012 (Isnin)
Slot Bahasa Melayu
Penceramah: Pn. Faridah bt. Rasit (SK Muara Tebas)

Mengapa Doa Tidak Dimakbulkan?


PENAT dah usaha, doa lagi, usaha lagi, doa lagi, usaha lagi. Dah usaha, doa, tawakkal dah. Tapi kenapa tak makbul-makbul lagi apa yang aku nak dapat dalam hidup ni? Orang lain tu macam mudah sahaja dapat apa yang mereka ingini. Aduhai memang tak bertuah kot aku ni?"
Pernah merungut sebegitu? Seakan apa sahaja yang kita nak capai macam susah laluannya, kan? Kadang-kadang sampai putus asa. Pernah rasa begitu?
Saya nak kongsi sedikit pengalaman saya. Pengalaman sangat manis bagi saya apabila Allah SWT tunaikan impian zaman kanak-kanak saya. Allah SWT limpahkan nikmat dua kali ganda pada hajat saya dan wasiat arwah ayah saya.
Impian ini baru sekarang Allah SWT tunaikan. Impian semasa usia saya 12 tahun (sehingga sekarang saya masih simpan impian ini). Selepas 27 tahun baru Allah SWT tunaikan dengan kurniaan berganda.
Dua puluh tujuh tahun dahulu arwah ayah pernah membawa saya ke muzium negara. Kami menaiki bas dari Ulu Yam ke Kuala Lumpur kerana ayah memang tidak mepunyai kereta. Memandangkan arwah seorang konstabel polis, ke mana sahaja laluan bas yang kami naiki adalah percuma dengan sekadar ayah pamerkan badgenya bernombor 26200 pada pemandu mahupun kondukter bas.
"Onn (ini panggilan manja saya) nak pergi muzium kat KL tak?"
"Muzium? KL? Best ke yah?"
"Jomlah ayah bawak. Boleh tengok kapal terbang kat luar muzium tu. Dah tu kita jalan kat lake garden, nak?"
"Bila?" tanya saya teruja.
"Sabtu!" balas ayah saya.
Pada hari Sabtu itu, awal pagi lagi arwah ayah dah bangun. Ditanaknya nasi seusai solat subuh. Kemudian, dia menggoreng ikan kembung rebus cili padi dan belacan dengan kacang panjang. Menu istimewa ikan masak lompok-lompok ini memang terkenal dalam kalangan adik-beradik kami.
Nasi putih yang masih panas ayah letakkan di atas alas daun pisang dan lauk sambal ikan tersebut diletak di atas bucu nasi. Kemudian, ayah balut ia umpama nasi lemak yang besarnya seperti induk ayam.
Ayah bancuh air sirap panas yang kemudiannya dimasukkan ke dalam termos. Inilah bekalan kami nanti kerana kami tidak punya banyak wang untuk makan di restoran. Ayah bungkus teliti dalam beg plastik yang dirapikan dengan balutan getah bulat.
"Siap dah bekalan kita, Onn. Ni nanti bila dah mesra sambal ikan lompok-lompok ni dengan nasi dan harum daun pisang, sedap ni nanti," ucap ayah selesai membungkus bekalan kami kelak.
Kami tiba di muzium. Sambil berjalan-jalan, ayah ceritakan sejarah hampir setiap ruang dan galeri yang kami lewati. Sebagaimana dijanjikan, kami menyusur jalan di belakang muzium negara ke lake garden dan sama-sama kami jamah bekalan nasi bungkus tadi.
"Onn kat sekolah pandai, kan? Nak tak masuk universiti tak nanti bila dah besar nanti?"
"Eh, mestilah," pendek sahaja jawapan saya.
"Kalau ayah bawak ke satu universiti paling best kat Malaysia ni nak tak? Ayah nak bagi semangat kat Onn. Universiti ni orang pandai-pandai aja yang dapat masuk. Macam Onnlah orang pandai." Bersemangat betul ayah mempelawa saya.
Saya mengangguk tanda setuju.
Kami menaiki bas mini di hadapan muzium. Setelah sekitar 15 minit berlalu, ayah menekan loceng dan kami turun dan terus menyeberang jalan. Ayah pimpin tangan saya melewati pintu utama yang dijaga oleh dua orang 'Pakcik Jaga' (ini panggilan kami untuk kakitangan sekuriti).
Saya baca tulisan yang terpapar di pintu gerbang masuk; "Selamat datang ke UNIVERSITI MALAYA," bisik saya dalam hati.
Saya lihat ayah tersenyum.
"Inilah universiti tempat budak-budak pandai tu. Nanti bila dah besar Onn belajar kat sini tau. Tak ramai orang dapat masuk sini. Orang yang hebat-hebat sahaja yang boleh belajar kat sini," ulas ayah pada saya.
Ayah pimpin tangan saya berjalan sekitar kampus. Kami lewati Dewan Tunku Canselor dan tasik kecil di sekitar kampus.
"Onn sukalah universiti ni. Onn mesti belajar kat sini nanti. Ayah suka kan Onn belajar kat sini?"
Ayah saya tersenyum bangga!
Semenjak dari itu hati saya sudah tetap untuk ke Universiti Malaya. Saya tidak tahu kursus apa yang akan saya ambil tapi itulah dia universiti pujaan hati saya. Apatah lagi, semasa saya bersekolah di sekolah asrama Sekolah Teknik Tuanku Jaafar, kawan-kawan semua menggelarkan universiti ini sebagai "Harvard University of Malaysia".
Namun, tak semua yang kita impikan jadi kenyataan, bukan? Kecewanya jiwa saya apabila mengetahui keputusan peperiksaan SPM saya tidak begitu baik, sekaligus tidak melayakkan saya menyambung pelajaran di matrikulasi Universiti Malaya. Walaupun saya mendapat pangkat satu, tapi keputusan untuk subjek matematik dan sains saya sangat teruk.
Saya tahu ayah kecewa. Tapi ayah simpan perasaan itu dengan memujuk saya. Kata ayah, belajar di mana-mana universiti pun sama sahaja. Tak apa, bukan rezeki saya untuk ke Universiti Malaya.
Ramai juga kawan-kawan saya ke Universiti Malaya, terutamanya yang mengambil jurusan perdagangan. Itu tambah mengecewakan saya. Dengan keputusan SPM yang tidak begitu cemerlang, saya hanya diterima melanjutkan pelajaran di peringkat diploma di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Masa ayah, mak dan angah hantar saya mendaftar kursus di UTM Skudai, saya hampiri ayah.
"Ayah, Onn mintak maaf ya, yah. Patutnya kita ke Universiti Malaya, kan? Ayah harap sangat Onn ke sana dulu. Onn ingat lagi, yah. Maaf ya, yah. Onn tak pandai macam Achik. (Achik saya belajar hingga ke UK dan dia sentiasa menjadi inspirasi saya semasa saya kecil.)"
Ayah pandang wajah saya. Tak ada apa yang keluar daripada bibirnya. Dia hanya pandang tepat ke mata saya dan mengusap kepala saya.
Setelah tamat pengajian peringkat diploma, saya meneruskan pengajian peringkat ijazah di UTM. Namun, harapan saya untuk belajar di UM tak pernah padam walau saya tak tahu bila ia akan tercapai. Sehingga ayah meninggal dunia, saya gagal memenuhi impian arwah ayah untuk menuntut di "Harvard University Malaysia".
Tapi Allah SWT maha adil. DIA temukan saya dengan Ain. Ain lulusan sarjana muda jurusan matematik daripada Universiti Malaya. Bukan setakat itu, Ain juga merupakan salah seorang pelajar pintar yang berjaya menamatkan pengajiannya di Universiti Malaya satu tahun awal daripada tempoh pengajian yang ditetapkan.
Allah SWT tidak tunaikan impian saya dan arwah ayah melalui saya. Tetapi Allah SWT penuhi hajat kami melalui Ain. Masya-Allah, hebatnya perancangan Allah SWT, kan? Saya kira tertunai sudah hajat kami. Saya fikir perkara saya dan Universiti Malaya sudah tamat setakat itu.
Akan tetapi, rupa-rupanya Allah SWT tunaikan juga hajat arwah ayah dan impian saya dengan 'double promotion'. Kurniaan limpahan dua kali ganda ini bukan melalui peluang untuk saya menimba ilmu di Harvard Malaysia. Allah SWT beri peluang untuk saya memberi ilmu kepada 29 orang mahasiswa daripada Universiti Malaya untuk menuntut ilmu daripada saya.
Lebih manis apabila Allah SWT terbangkan mereka dari kampus Universiti Malaya (UM) di Kuala Lumpur ke Liverpool John Moores University (LJMU) untuk saya ajari mereka tentang bidang kepakaran saya; pengurusan fasiliti.
Hari ini sesi pertama saya sebagai 'program leader' menerajui 'outbound reach out program' antara UM dan LJMU.
Mereka akan bersama saya selama hampir sebulan dan saya diberikan kuasa penuh untuk merangka program bagi kesemua 29 orang mahasiswa tahun kedua Sarjana Muda Ukur Bangunan daripada Universiti Malaya itu.
Semasa mereka diserahkan kepada saya tadi, hati dan perasaan saya bercampur baur; gembira, terharu, sedih dan sebak. Penuh emosi dalam jiwa ini. Sambil saya tatap 29 wajah anak Malaysia yang merupakan antara pelajar terbaik tanah air itu, saya hela nafas panjang sebelum saya mulakan kuliah pertama saya.
"First and foremost, I wish to welcome you to LJMU. Secondly, I wish to extend my gratitude to all of you for making my late father and my childhood dream a reality today. I have been holding on to this dream for 27 years. I am sure if my late dad was here with us today, he will be smiling at me with a huge sense of pride and happiness."
Kemudian saya ceritakan kepada mereka kisah impian arwah ayah dan saya. Saya tegaskan yang mereka ini antara yang bertuah kerana mereka adalah antara mahasiswa terbaik di Malaysia dan betapa bangganya saya kerana berpeluang berkongsi sedikit ilmu dan pengalaman kepada mereka.
Perkongsian ini khas buat arwah ayah saya, Hj Mohd Noor Bin Habib. Saya mohon maaf kerana agak lambat menunaikan impian ayah. Tapi Allah SWT lipat gandakan kejayaan ini pada impian kita yang tak pernah padam. Saya doakan ayah damai di sana di samping mak dan insan-insan yang beriman. Terima kasih atas segala pengorbanan dan jerih perih ayah membesarkan kami. Walau kadangkala hati ini buta menghargai kasih sayang ayah.
Kepada semua, kadangkala perjalanan kita mencapai impian tidak seperti denai yang kita harapkan. Tapi bersangka baiklah dengan Allah SWT. Ada ketikanya Allah SWT lewatkan sedikit kurniaanNYA kerana DIA mahu memberikan kita suatu yang berlipat kali ganda kejayaannya.
Bersabarlah ya, teman. Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah dan Mengasihani.
Saya akhiri perkongsian dari hati kali ini dengan sedikit nukilan yang saya temui di sebuah blog yang coretannya benar-benar menyentuh hati saya:
"Bila Allah SWT cepat makbulkan doamu, maka DIA menyayangimu,
Bila DIA lambat makbulkan doamu, maka DIA ingin mengujimu,
Bila DIA tidak makbulkan doamu, maka DIA merancang sesuatu yang lebih baik untukmu.
Oleh itu, sentiasalah bersangka baik pada ALLAH SWT,
dalam apa jua keadaan pun kerana kasih sayang Allah itu mendahului kemurkaanNya."


Sumber: iluvislam
(Penulis, Mohd Nazali Mohd Noor merupakan pensyarah di School of the Built Environment, Liverpool John Moores University (LJMU), United Kingdom. Beliau berkongsi karya dihttp://www.facebook.com/mohdnazali.)

Khamis, 5 Julai 2012

21 Teknik Pembelajaran yang Betul dan Berkesan (UPSR/PMR/SPM)


by AH Ramat
Pelajar yang mengamalkan cara belajar yang betul akan lebih mudah mencapai kejayaan berbanding dengan pelajar yang belajar tanpa mengikut tatacara yang bersistem. Berikut ini disenaraikan dua puluh kaedah belajar yang berkesan untuk membantu pelajar berhadapan dunia peperiksaan.
Pertama – Tidak mensia-siakan biar pun seminit
Seorang pelajar yang cemerlang menggunakan masa yang teruang, masa pertukaran kelas, masa menunggu kereta sewa, masa sebelum hidangan makanan. Mereka boleh membaca satu atau dua soalan objektif atau ulangkaji pelajaran yang telah mereka baca.
Kedua – Membawa buku ke mana sahaja mereka pergi
Amalkan sikap membawa buku setiap ketika. Sikap ini bukan bermaksud kita mesti membaca buku tersebut. Kemungkinan diri anda tidak membaca apa-apa , tetapi ia memupuk jiwa bersungguh-sungguh dengan kewajipan terhadap pelajaran. Sikap ini membolehkan anda menyemai budaya belajar yang positif dan sikap bertanggungjawab terhadap pelajaran.
Ketiga – Gunakan masa awal pagi
Gunakan sepenuhnya masa awal pagi untuk mengulangkaji pelajaran yang anda lemah. Pupukan semangat belajar pada awal pagi biar pun anda tidak terasa mahu membaca. Usaha ini akan menyemai semangat yang kental terhadap pelajaran dan membolehkan anda mulakan hari tersebut dengan azam untuk berjaya.
Keempat – Buat nota ringkas
Pelajar yang cemerlang sentiasa membuat nota ringkas. Nota tersebut adalah untuk membolehkan anda merujuk kembali apa yang telah anda baca. Ia tidak menjamin ingatan anda tetapi ia meningkatkan kuasa ingatan anda. Dengan adanya nota ringkas, ulangkaji sehari sebelum peperiksaan menjadi lebih mudah.
Kelima – Mengikut jadual sepenuhnya
Aturkan masa untuk setiap aktiviti yang anda hendak lakukan pada hari tersebut. Patuhi jadual belajar anda tanpa syarat. Jangan ikut perasaan. Biar pun anda tidak suka belajar pada sesuatu masa, buka sahaj buku dan membacanya. Jika anda mempunyai disiplin yang kuat terhadap hidup, anda tidak akan lalai terhadap tanggung-jawab belajar. Pastikan anda peruntukkan masa untuk setiap mata pelajaran pada setiap hari jika anda mahu mencapai kegemilangan dalam semua mata pelajaran.
Keenam – Mencuba soalan tahun lalu
Pelajar cemerlang memperuntukkan masa untuk menjawa contoh soalan setiap hari. Ini akan membiasakan dirinya dengan corak soalan yang sering keluar dalam peperiksaan dan bagaimana menjawabnya. Pelajar yang hanya begitu kepada buku teks tidak akan lulus dengan cemerlang kerana mereka tidak biasa dengan corak soalan peperiksaan.
Ketujuh – Ulang sebanyak kali yang boleh
Setiap fakta yang dibaca akan terus diulang sebanyak yang mampu. Tidak ada had ulangan yang akn dilakukan, Selagi ada masa, anda boleh mengulangi apa yang telah dibaca biar pun anda sudah faham atau sudah mengingatinya. Semakin banyak anda membaca, semakin tinggi keyakinan diri anda untuk lulus dengan cemerlang.
Kelapan – Sentiasa menanya kalau tidak faham
Dekatkan diri dengan guru dan guna setiap kesempatan yang ada untuk menjawab kemusykilan anda. Biar pun anda sudah faham , anda masih boleh menanya. Ini akan menguatkan kefahaman dan ingatan anda. Anggapkan guru anda, kakak atau abang anda, kawan-kawan anda sebagai orang yang boleh membantu anda dalam hal ini.

Kesembilan : Berikan penumpuan pada pelajaran yang lemah

Jika anda lemah dalam bahasa Inggeris atau matematik, peruntukkan masa yang lebih untuk ulangkaji. Elakkan memilih mata pelajaran yang disukai dan abaikan mata pelajaran yang anda kurang suka. Buat tanda pada bahagian yang anda rasa perlu penumpuan lebih. Gunakan simbol dan lorekkan bahagian yang anda anggap penting. Jangan jadikan tidak faham, tidak ingat atau tidak pandai sebagai alasan untuk berhenti ulangkaji.
Ke sepuluh : Mengunjungi perpustakaan
Rapatkan dengan kawan yang mahu belajar. Perhatikan bagaimana mereka belajar dan semarakkan jiwa yang kuat seperti mereka. Tukar pendapat antara satu sama lain. Berikan penemuan dan berkongsi soalan yang anda buat dengan mereka. Ini akan mengaktifan suasana tolong menolong dalam haluan memajukan pelajaran masing-masing.

Ke sebelas : Menjadi model dalam rumah

Jadikan diri anda sebagai contoh kepada adik-adik lain. Beritahu mereka “Jangan membuang masa dengan aktiviti-aktiviti yang tidak menyumbang kepada masa depan.” Semakin anda memberi galakan untuk mereka , semakin tinggi semangat anda untuk menjadi contoh kepada mereka. Apa yang anda serukan akan menjadi panduan dalam hidup anda sendiri.
Ke dua belas : Imbangkan masa kokorikulum dan akademik
Jika anda berada dalam tahun peperiksaan , jangan terlalu menumpukan perhatian pada kokorikulum kerana ini akan melalaikan diri dalam bidang akademik. Jika anda mahu berjaya dalam akademik, anda perlu mempunyai masa ulangkaji yang cukup di rumah. Masa ulangkaji untuk SPM ialah dalam lingkungan 5 jam ke 6 jam sehari. Jika masa minima tersebut tidak dipenuhi, anda mungkin perlu berjaga malam atau bangun pagi.
Ke tiga belas : Belajar mengikut rentak sendiri 
Jangan membandingkan diri dengan pelajar yang mantap dalam prestasi peperiksaan. Anda perlu mebgenal rentak sendiri dan pastikan anda mematuhi rentak tersebut. Jika anda seorang pelupa, pastikan anda mengatur masa ulangkaji kedua atau ketiga pada minggu-minggu yang akan datang. Jika anda perlukan bimbingan tambahan , dapatkan tuisyen.

Ke empat belas : Persiapan minda sebelum ulangkaji 

Lelapkan mata untuk beberapa minit dan wawasankan hidup anda kelak. Apa yang anda hendak capai. Apakah corak hidup yang anda hajatkan. Apakah yang hendak anda berikan kepada ahli keluarga serta ibu bapa anda sebagai tanda kasih sayang dan terima kasih. Adakah anda berhajat hendak mengharumkan nama keluarga dan negara anda ? Apakah kejayaan peringkat remaja yang membanggakan diri anda dan keluarga anda? Bila anda membaca buku, kaitkan dengan hidup anda. Anda bukan sekadar mahu lulus cemerlang dalam peperiksaan , anda mahukan hidup yang baik dan berkualiti.
Ke lima belas : Elakkan gangguan emosi
Semua perkara yang merunsingkan dan mengganggu konsentrasi waktu belajar perlu diketepikan. Beritahu diri anda , “saya tidak relakan masa depan saya tergadai oleh okr yang remeh-temeh ini.” Sebaik pemikiran atau perasaan negatif timbul, tuliskan pada kertas . Layankan semua gangguan ini selepas peperiksaan. Anda boleh gunakan musik latar yang lembut untuk menjadikan suasana belajar lebih menyelerakan (jika sesuai).

Ke enam belas : Kurangkan kerja rumah tangga 

Jika anda pada tahun peperiksaan , maklumkan hajat anda untuk berjaya dan minta adik-adik anda menolong anda dalam beberapa aspek kerja rumah tangga. Amalkan sikap tolong menolong dalam keluarga. Bila masanya mereka yang menduduki peperiksaan SPM, sama-sama menolong dirinya. Budaya berkongsi beban kerja rumah tangga seperti mencuci kasut, menyapu lantai dan lain-lain akan memberi lebih masa untuk anda belajar.
Ke tujuh belas : Rancangkan jadual ulangkaji setahun
Tetapkan ulangkaji anda sehingga bulan September. Sebulan sebelum peperiksaan , anda perlu siap ulangkaji. Pastikan setiap mukasurat dibaca, dan setiap soalan dijawab. Ini boleh dilakukan dengan membahagikan bilangan mukasurat buku dengan bilangan hari yang ada. Jika anda gagal mengulangkaji mukasurat berkenaan pada hari yang ditetapkanm pangkahkan dengan besar menggunakan pensil. Pastikan anda membaca mukasurat ini sebelum peperiksaan tiba. Tapi, sebelum anda membaca mukasurat yang terhutang, pastikan anda telah siap ulangkaji mukasurat yang ditetapkan untuk hari tersebut.
Ke lapan belas : Belajar menyesuikan diri dengan semua keadaan
Biar pun rumah anda bising, panas atau kurang selesa; ia tidak menjadi penghalang untuk anda mengulangkaji. Kadang-kadang , kita perlu belajar menyesuikan diri dengan kekurangan yang ada. Semakin mencabar keadaan anda , semakin besar ujian ketahanan diri anda. Beritahu diri anda , “biar apa yang berlaku, saya tetap dapat menjalankan tugas saya kerana saya seorang yang tahan lasak.”
Ke sembilan beas : Berhati-hati dengan kawan yang tidak sehaluan dengan anda 
Jika anda mahu belajar tetapi rakan-rakan anda tidak suka belajar. Mereka cuba mempengaruhi anda dengan seribu satu jenis kegiatan yang hanya membuangkan masa anda. Berani berkata “tidak” dan menolak mereka dengan lembut. Jangan sekali-kali menjadi mangsa kepada mereka kononnya anda tidak mahu melukakan hati mereka. Jika anda mengikut rentak mereka, anda akan melukakan masa depan sendiri.
Ke dua puluh : Terus belajar biar pun tidak menampakkan kemajuan
Jangan mengukur prestasi anda kerana tidak menampakkan kemajuan yang nyata dalam keputusan peperiksaan sekolah. Setelah berbulan-bulan anda bertungkus-lumus, anda mungkin mahu kemajuan dalam keputusan sekolah. Sebenarnya, penilaian sekolah tidak menggambarkan anda pasti akan lulus atau gagal dalam peperiksaan akhir tahun. Teruskan usaha dan jangan berhenti.
Ke dua puluh satu : Terokai bakat dan minat anda
Sambil anda berjuang untuk peperiksaan SPM, peruntukkan masa juga untuk bidang yang anda hendak ceburi. Mungkin anda minat dengan bidang kedoktoran, baca majalah dan bahan rujukan am yang berkaitan dengan cita-cita anda tersebut. Gunakan bakat anda untuk berbakti kepada keluarga atau sekolah anda. Jika anda minat dalam bidang kejuruteraan, peruntukkan masa untuk belajar membaiki kereta atau anda juga boleh menolong kawan anda membaiki kereta mereka. Kegiatan sedemikian menjadikan makna pembelajaran lebih nyata. Anda tahu mengapa anda belajar kerana anda mempunyai hala tujuan yang nyata.
Kesimpulan 
Belajar adalah suatu seni. Jika anda tahu menguasai seni tersebut , anda boleh berjaya biar pun diri anda mempunyai beberapa kekurangan. Semoga lembaran ini menguatkan ikhtizam anda untuk mencapai prestasi yang lebih cemerlang dalam pelajaran.