Halaman

Rabu, 16 Mei 2012

Guru berinovasi adalah guru berkualiti: Muhyiddin


KUALA KANGSAR: Guru berinovasi adalah guru yang berkualiti dalam menempuh era globalisasi yang semakin diwarnai oleh ekonomi berteraskan ilmu dan inovasi, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Timbalan Perdana Menteri berkata, guru berinovasi mempunyai kebolehan untuk melengkapkan murid dengan kemahiran alaf baru seperti keupayaan berfikir secara bijaksana, menyelesaikan masalah dan daya kreativiti yang tinggi.
"Dalam konteks ini, sebelum melangkah masuk ke bilik darjah, seorang guru berinovasi akan menekuni kurikulum dan menilai apakah keberhasilan yang ingin dicapai," katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Guru 2012 peringat kebangsaan bertemakan 'Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara' di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, guru berinovasi tidak akan terikat dengan sesuatu cara dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah, sebaliknya sentiasa berfikir di luar kotak pemikiran biasa untuk mencari kaedah serta pendekatan baru yang lebih berkesan. 

"Keutamaan guru berinovasi adalah memastikan murid berupaya menggunakan ilmu yang diajarkan di dalam bilik darjah bukan semata-mata untuk berjaya dalam peperiksaan malah membolehkan mereka menyelesaikan masalah yang dihadapi di dunia nyata," katanya. 

"Guru berinovasi ialah guru yang mampu menyediakan persekitaran pembelajaran paling kondusif dan memberi ruang seluas-luasnya kepada murid untuk mengasah kebijaksanaan berfikir," katanya. 

Muhyiddin berkata, guru yang berupaya menilai pencapaian dan potensi murid secara holistik serta sentiasa mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan kecemerlangan murid supaya dapat bersaing di dunia yang semakin mencabar juga adalah guru berinovasi. 

"Guru berinovasi ialah guru yang sentiasa memikirkan apakah cabaran yang bakal dihadapi oleh murid setelah mereka melangkah keluar dari lingkungan sekolah, dan apakah ilmu yang dipelajari di sekolah mampu memberi kelebihan kepada mereka untuk bersaing di dunia nyata," katanya. 

Sekiranya semua guru di negara ini adalah guru inovasi, Muhyiddin yakin matlamat untuk melahirkan modal insan yang berpengetahuan tinggi, kreatif, inovatif dan berketrampilan akan tercapai. 

Katanya, bagi memantapkan budaya inovasi di sekolah, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi sedang merangka Pelan Tindakan Pembangunan Modal Insan Inovatif untuk menyemai budaya inovatif dan kreatif di kalangan murid. 

Muhyiddin berkata, menerusi pelan ini, sekolah akan bertindak sebagai agensi pelaksana yang menjalankan pengajaran dan pembelajaran secara kreatif. 

"Pelan Tindakan Pembangunan Modal Insan Inovatif diharap akan digunakan sepenuhnya oleh guru sebagai garis panduan untuk mencapai hasrat negara meningkatkan keupayaan daya saing negara yang diukur berdasarkan kemampuan rakyat untuk berinovasi," katanya. 

Beliau berkata, kerjasama kementerian dengan Agensi Inovasi Malaysia untuk membudayakan kemahiran berfikir melalui Program i-Think juga adalah pendekatan baru yang sesuai digunakan oleh guru untuk meningkatkan pena'akulan di kalangan murid. 

"Program ini sudah dirintis di 10 sekolah dan diharapkan dapat diperluaskan ke seluruh negara untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran," katanya. 

Pada sambutan itu, Timbalan Perdana Menteri turut menyampaikan Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan kepada Datuk Omar Mohd Hashim serta Anugerah Tokoh Guru Sekolah Swasta Kebangsaan kepada Datuk Hassan Harun. 

Sementara itu, empat bekas pendidik pula menerima Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2012 iaitu Datuk Ahmad Azmey Abu Talib, Datuk Mary Yap Kain Ching, Mohd Azman Abdul Rashid dan Lim Ia Lee @ Lim Irene. - BERNAMA

24,053 guru naik pangkat mulai bulan depan: Muhyiddin


2012/05/16

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan Sambutan Perayaan Hari Guru 2012 Peringkat Kebangsaan Ke-41 di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.
TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan Sambutan Perayaan Hari Guru 2012 Peringkat Kebangsaan Ke-41 di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.
KUALA KANGSAR: Seramai 24,053 guru lepasan ijazah dan diploma yang memenuhi syarat tempoh perkhidmatan akan dinaikan pangkat mulai Jun hingga hujung tahun ini. 

Perkara itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sempena sambutan Hari Guru ke-41 di sini, hari ini.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kenaikan pangkat itu membabitkan 8,222 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah dan 15,831 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma.
Beliau turut mengumumkan 3,085 pengetua gred DG48 ke DG52 dan penolong pengetua gred DG44 ke DG48 akan diperakukan untuk kenaikan pangkat secara berperingkat mulai bulan depan. 

Guru terbabit boleh menyemak status kenaikan pangkat di laman web Kementerian Pelajaran.

Sumber: Berita Harian Online 16 Mei 2012

Selasa, 15 Mei 2012

Selamat Hari Guru 2012




Setiap peristiwa, pahit atau manis, setiap individu, baik atau buruk – hakikatnya adalah ‘guru’ yang mengajar kita. Dan setiap guru itu mengajar sesuatu yang baik, walaupun kadangkala kelihatan pahit, pedih dan sakit kita menerimanya. Perjuanganmu mendidik terpamir ketulusan jiwa, kemurnian hati, kecerdasan fikiran & ketangkasan tindakan…Sentuhanmu kau ukir semurni tadbir mencari redha sesuci takdir... Antara aku dan guruku, ada talian yang menyambung hayat iman kepadaNya. Semoga terus gah mendidik anak bangsa yang berhemah, berilmu dan berkompetensi dalam menyusuri liku hidup ini kerana Allah.


Ahad, 13 Mei 2012

Lagu Tema Hari Guru 2012

Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara
Lagu: En. Rosman bin Adam
Lirik: En. Zainal Ariffin bin Yusof
(IPGM Kampus Ilmu Khas)



Kita berbicara tentang inovasi
Ciptaan baharu gaya hidup kini
Meningkatkan Produktiviti Terkini
Bangun, beranikan terima seruan
Mendidik, memimpin penuh berwawasan
Menciptakan kreativiti
Melahirkan Guru Inovatif
c/o
Sahutlah cabaran, perubahan
Daulatkan Bidang Pendidikan,
Guru Inovatif Melonjakkan
Transformasi Pendidikan Negara
Malaysia Ku tercinta
Kita berbicara tentang inovasi
Ciptaan baharu gaya hidup kini
Meningkatkan Produktiviti Terkini
Tiada pernah jemu tiada putus asa
Sedia menimba ilmu di mana saja
Binakanlah keyakinan
Merentasi segala halangan
ulang c/o x2


Jumaat, 11 Mei 2012

Jadual Pra UPSR Setara 1 2012


11 Mei 2012 (Jumaat)
0800-0915  Bahasa Malaysia Penulisan
1020-1135  Bahasa Inggeris Kertas 2

14 Mei 2012 (Isnin)
0800-0840  Matematik Kertas 2
1030-1145  Sains

15 Mei 2012 (Selasa)
0800-0850  Bahasa Malaysia Pemahaman
1010-1110  Matematik Kertas 1
1140-1230  Bahasa Inggeris Kertas 1

Semoga berjaya buat semua calon. Bersama menjulang SK Pulo.

Ahad, 6 Mei 2012

Pengajaran j-QAF di sekolah menengah ditangguh kerana kurang guru


BATU PAHAT: Pelaksanaan pengajaran  j-QAF (Jawi, Al-Quran, Arab dan Fardu Ain) di sekolah menengah di seluruh negara yang dijadual bermula pertengahan tahun ini, akan ditangguhkan kerana masalah kekurangan guru, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi. 

Beliau berkata, penangguhan dibuat memandangkan terdapat kekurangan kira-kira 11,000 guru  j-QAF di sekolah kebangsaan yang sekaligus menghalang pengajarannya diteruskan ke peringkat sekolah menengah.



"Kita perlu menyelesaikan dahulu kekurangan guru  j-QAF di sekolah kebangsaan yang menjadi keperluan mendesak ketika ini. Terdapat beberapa cadangan untuk meningkatkan jumlah guru itu dan ia akan dibincangkan pada mesyuarat pasca Kabinet Kementerian Pelajaran minggu depan bagi mendapatkan penyelesaian," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung dan penyampaian anugerah pelajar cemerlang Sekolah Agama Kampung Sungai Suloh, Senggarang, di sini, hari ini. 

Mohd Puad yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat berkata, antara cadangan kementerian bagi meningkatkan jumlah guru  j-QAF adalah dengan melatih lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mempunyai latar belakang pendidikan agama di Institut Pendidikan Guru (IPG) sebelum diserapkan menjadi guru. 

Beliau berkata, kerajaan ada mengambil guru lepasan ijazah dari Timur Tengah untuk berkhidmat sebagai guru  j-QAF di negara ini, namun, jumlah itu belum memadai bagi menampung keperluan ketika ini. 

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Disember lalu mengumumkan program perintis  j-QAF di sekolah menengah akan dilaksanakan mulai pertengahan tahun ini dan pelaksanaan sepenuhnya pada 2013 di sekolah menengah seluruh negara. - BERNAMA 

Berita Harian Online 6 Mei 2012

Rabu, 25 April 2012

Bengkel UPSR 2012

Jadual Bengkel Menjawab Soalan UPSR Tahun 6 2012
Tema : Menjulang UPSR SK Pulo 2012


Selasa (24 April 2012)
1.30 - 3.30 ptg
Subjek : Bahasa Inggeris
Penceramah :  Pn. Azfariah


Rabu (25 April 2012)
1.30 - 3.30 ptg
Subjek : Matematik
Penceramah : Pn. Maimon bt Ali


Isnin (30 April 2012)
1.30 - 3.30 ptg
Subjek : Sains
Penceramah : Pn. Hajah Fatimah bt Ibrahim


Rabu (2 Mei 2012)
1.30 - 3.30 ptg
Subjek : Bahasa Malaysia
Penceramah : En. Mohamad bin Jol

Guru Lebih Stres


Oleh NOOR HAMIZAH ABU BAKAR

RAMAI yang pasti terkejut apabila mengetahui hasil kajian mendapati bahawa guru berada di kedudukan keempat dalam kerjaya yang paling mencetuskan tekanan atau stres terutama dari segi fizikal selepas polis, pegawai penjara dan jururawat.

Malah kedudukan itu berada di atas daripada profesion tentera yang menduduki tempat ke lima.

"Kedudukan guru sebelum askar agak mengejutkan. Ini menunjukkan seorang guru berdiri lama ketika mengajar di dalam kelas atau melakukan aktiviti sukan dan sebagai. Jadi tidak mustahil mereka mengalami tekanan seperti kesakitan anggota badan," kata Pengarah Urusan Great Life Physio and Rehabilation, Mohd. Rozaimi Che Kamaruddinata. 

Didorong perkembangan itu beliau berkata, sebagai syarikat yang mengendalikan pusat rawatan fisioterapi, pihaknya telah memperkenalkan program latihan fisioterapi khas untuk golongan guru di sekolah-sekolah seluruh negara. 

Katanya, program itu disediakan khas oleh pakar-pakar fisioterapi untuk para guru dalam memberi panduan bagaimana menguruskan stres dan kesakitan anggota badan semasa bertugas.

"Matlamat program ini adalah untuk memperkenalkan kepada masyarakat bahawa rawatan terbaik dalam penyelesaian kesihatan terutamanya berkaitan stres dalam pekerjaan ialah melalui fisioterapi," katanya.

Beliau mengakui, kekangan masa bagi mereka yang bekerja untuk bersenam atau melakukan aktiviti sukan boleh menyebabkan seseorang itu kelihatan lesu dan tidak bermaya. 

Ini ditambah pula dengan tekanan yang dihadapi sama ada ketika di tempat kerja mahupun di rumah. 

"Fisioterapi adalah salah satu rawatan atau kaedah yang boleh dilakukan oleh semua orang dalam menghadapi tekanan dalam kerja.

"Secara umumnya fisioterapi merupakan kaedah rawatan penyakit atau kecederaan melalui penyembuhan semula jadi badan. Kaedah ini tidak menyakitkan dan tiada ubat digunakan, ia lebih kepada proses pemulihan dan pencegahan," katanya.

Dalam pada itu program pertama latihan fisioterapi di sekolah berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Gading, Sungai Buloh, Selangor, baru-baru ini membabitkan 135 guru dan kakitangan sekolah.

Pengetuanya, Siti Endon Mohamad Dahlan berpendapat program itu baik dalam membantu guru-guru dan sedikit sebanyak memberi kesedaran kepada mereka.

"Rawatan ini adalah mudah dan boleh dilakukan oleh semua lapisan masyarakat terutama yang bekerja. Sedikit sebanyak ia membantu melahirkan kualiti kerja yang bermutu," katanya.

Melalui program tersebut, guru-guru telah didedahkan secara teori dan praktikal daripada aspek fisioterapi oleh kakitangan Great Life Physio and Rehabilation dengan kerjasama pelajar Masterskill.

Sesi ceramah telah diberikan oleh Pakar Fisioterapi Great Life Physio and Rehabilation, Siti Fazilah Jamaluddin, yang menerangkan beberapa aspek mengenai stres yang boleh mengakibatkan seperti pening, sakit belakang, lemah sistem pertahanan badan, mengganggu mutu kerja dan juga boleh berlaku serangan jantung serta obesiti.

Selain itu, tanda-tanda stres boleh dikenal pasti menerusi degupan jantung yang laju, ketegangan otot, proses pernafasan menjadi cepat, berpeluh dan terasa perut kurang selesa, loya dan cirit.

Fazilah menjelaskan antara faktornya adalah disebabkan penat, kurang tidur, postur badan ketika bekerja, bebanan kerja, suasana tempat kerja, skop kerja dan sebagainya.

Malah beliau berharap supaya masyarakat menerima rawatan fisioterapi ini sebagai satu alternatif perubatan dalam kehidupan.

Utusan Malaysia Online: 24 April 2012