Halaman

Khamis, 21 Jun 2012

Selamat Bertugas di Tempat Baru

Selamat bertugas di tempat baru buat Pn. Patimah bt Sani yang telah berpindah ke SK Sampun, Samarahan. Terima kasih atas bakti yang dicurahkan sepanjang menjadi warga SK Pulo. Sempena dengan perpisahan ini, pihak sekolah akan mengatur satu majlis perpisahan "Dia tak pergi, hatinya gah di sini" pada hari Sabtu 23 Jun 2012 bertempat di Hotel Grand Continental, Kuching. Semua staf dijemput hadir.















Pantun Perpisahan


Tuai padi antara masak
Esok jangan layu-layuan
Intai kami antara nampak
Esok jangan rindu-rinduan


Kalau ada sumur di ladang
Boleh saya menumpang mandi
Kalau ada umur yang panjang
Boleh kita berjumpa lagi


Hari ini menanam jagung
Hari esok menanam serai
Hari ini kita berkampung
Hari esok kita bersurai


Malam ini menanam jagung
Malam esok menanam serai
Malam ini kita berkampung
Malam esok kita bercerai


Hari ini menugal jagung
Hari esok menugal jelai
Hari ini kita berkampung
Hari esok kita bercerai


Batang selasih permainan budak
Berdaun sehelai dimakan kuda
Bercerai kasih bertalak tidak
Seribu tahun kembali juga


Orang Aceh sedang sembahyang
Hari Jumaat tengah hari
Pergilah kasih pergilah sayang
Pandai-pandailah menjaga diri


Mana Manggung, mana Periaman
Mana batu kiliran taji
Tinggal kampung tinggal halaman
Tinggal tepian tempat mandi

Bintang Barat terbit petang
Bintang Timur terbit pagi
Jika tidak melarat panjang
Ada umur ketemu lagi


Dari mana hendak ke mana
Tinggi rumput dari padi
Tahun mana bulan mana
Dapat kita berjumpa lagi?


Dian tiga lilin pun tiga
Tanglung tergantung rumah laksamana
Diam juga sabar pun juga
Ada umur tidak ke mana


Tuan puteri pergi ke Rasah
Pulang semula sebelah pagi
Kita bertemu akhirnya berpisah
Diizin Tuhan bersua lagi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan