KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Penekanan kepada sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dalam usaha melengkapkan graduan pendidikan adalah antara 10 resolusi yang dicapai pada konvensyen antarabangsa pembelajaran dan pembangunan guru di sini.
Pengarah Penyelidikan Pembangunan dan Inovasi Institut Pendidikan Guru (IPG) Dr Mohamad Nor Mohamad Taib berkata penjelasan menyeluruh dan tepat perlu diberi kepada bakal guru agar mereka lebih bersedia melaksanakan PBS.
"Apa yang akan kita tekankan dalam masa terdekat ini adalah untuk kita berikan penjelasan sebaik-baiknya, sejelas-jelasnya dari segi teknikaliti tentang apa itu PBS kepada bakal guru," katanya kepada pemberita selepas majlis penutup konvensyen itu hari ini.
Selain itu, beliau berkata penekanan dan latihan PBS akan turut diberi kepada guru sedia ada kerana sebilangan besar mereka belum jelas berhubung konsep serta kaedah pelaksanaan PBS.
Resolusi lain yang diterima pada konvensyen disertai lebih 400 peserta dan penyelidik dalam dan luar negara itu ialah penekanan kepada pendidikan berkualiti untuk murid pendidikan khas, pemantapan amalan terbaik dalam pengajaran dan penstrukturan semula IPG.
Mengulas lanjut, Mohamad Nor berkata resolusi itu akan dicadang kepada Kementerian Pelajaran untuk dimasuk ke dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.
BERNAMA: 21 November 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan