Halaman

Ahad, 17 Februari 2013

Membentuk pekerti murid bukan tugas guru sahaja


CADANGAN supaya diwujudkan sekolah budi bahasa memang baik. Namun pelaksanaannya perlu diteliti agar semua pelajar dari sekolah ini nanti benar-benar berbudi bahasa.

Budi bahasa bermaksud pertuturan dan tingkah laku. Jika seseorang itu berbudi bahasa dia bukan sahaja bercakap dengan sopan dan bertatasusila tetapi perangainya juga terpuji. Jika seorang pemandu selalu memaki hamun dan mengeluarkan kata-kata kesat, ini menggambarkan kelakuannya yang buruk dan panas baran. Oleh itu, pengucapan dan perlakuan saling mempengaruhi dalam menentukan tahap budi bahasa seseorang.

Sebenarnya usaha melahirkan insan yang seimbang dari segi rohani, emosi serta berakhlak mulia yang merupakan antara prinsip asas Falsafah Pendidikan Kebangsaan sentiasa diberikan penekanan di sekolah. Murid dididik supaya berdisiplin, menghormati guru, mentaati ibu bapa, berkelakuan baik dan berkomunikasi secara beradab dengan mengucap terima kasih dan memberi salam.

Pendekatan budi bahasa merentasi kurikulum memang diamalkan di sekolah. Oleh itu, boleh dikatakan semua sekolah adalah sekolah budi bahasa.

Persoalannya, sejauh manakah nilai-nilai budi bahasa berjaya diterap dan dihayati pelajar? Adakah peranan sekolah kurang berkesan memandangkan ada remaja yang kurang berbudi bahasa?

Sebenarnya sekolah tidak mampu berseorangan dalam membentuk budi pekerti murid. Kerjasama ibu bapa, keluarga, masyarakat dan pemimpin di luar sekolah amat diperlukan.

Di sekolah, murid dibentuk supaya mengamalkan nilai-nilai murni tetapi di luar sekolah mereka terdedah dengan pelbagai gejala negatif. Di sekolah, murid diasuh berpakaian sopan, berambut kemas, tidak merokok, menjaga kebersihan dan terkawal daripada mengakses maklumat tidak bermoral di internet. Bagaimana pula keadaannya di luar sekolah?

Ada pihak mengatakan nilai moral yang dipupuk di sekolah sepatutnya menjadi benteng untuk menghindar mereka terpengaruh dengan gejala kurang sihat di luar sekolah. Perlu difahami bahawa pelajar adalah manusia biasa yang boleh terpengaruh walaupun telah diberikan pendidikan.

Kita juga boleh berkata sepatutnya masyarakat di luar sekolah mengamalkan nilai terpuji supaya menjadi ikutan kepada remaja. Semakin kurang gejala sosial dalam masyarakat di luar sekolah, semakin meningkatlah kejayaan sekolah melahirkan murid yang berbudi bahasa.

Berkaitan sekolah budi bahasa, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dan Akademi Seni Budaya dan Warisan dilaporkan menyediakan bimbingan nilai murni dan pembentukan sahsiah. Jika sesuai eloklah program ini dikongsi ke sekolah untuk melahirkan pelajar berbudi bahasa dengan lebih berkesan.


© Utusan Melayu (M) Bhd 

1 ulasan:

  1. Macam manalah hendak membentuk peribadi murid! Guru tiada masa untuk mengenal murid-murid mereka sendiri. Masa semuanya diperuntukkan untuk buat laporan. Jika ditanya pula apa peranan ibu-bapa, cuba tanya balik berapa masa anak-anak mereka berada bersama mereka berbanding dengan di sekolah. Waktu rehat yang sepatutnya digunakan untuk bersama anak-anak, mereka di pusat tuisyen. Jadi siapa sebenarnya yang mendidik moral anak-anak sekarang ini?

    BalasPadam