DALAM sesetengah tulisan, dapat kita temukan penggunaan ungkapan demi untuk. Dalam lirik lagu, ungkapan demi untuk ini menjadi pilihan pencipta lagu. Tujuan penggunaan demi untuk dalam binaan ayat ialah apabila ayat itu mengandung unsur penegasan. Perhatikan ayat-ayat contoh seperti yang berikut ini:
1. Demi untuk watan, kami rela berjuang bermati-matian.
2. Aku rela berbuat apa-apa sahaja demi untuk kebahagiaan kita.
3. Tindakan tegas pengetua sekolah ini wajar demi untuk kebaikan pelajar.
Betulkah ungkapan demi untuk dalam ketiga-tiga ayat tersebut itu?
Sebelum dipastikan betul atau salah penggunaan demi untuk tersebut, eloklah difahami akan maksud kata demi itu. Menurut Kamus Pelajar Terbitan Khas KBSM terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, demi mempunyai empat pengertian. Makna pertama berkaitan dengan perbuatan bersumpah, misalnya "demi Allah". Yang kedua membawa pengertian "kerana" atau "untuk", misalnya "demi kepentingan rakyat".
Dalam ayat 1, terdapat unsur "bersumpah". Dalam konteks ini, sesuatu penegasan itu menjadi lebih berat dan berkesan lantaran adanya tanggapan seakan-akan sumpah. Selain itu, semacam ada rasa lebih sedap jika dilafazkan bersama-sama kata untuk bagi memberikan penekanan yang lebih. Ayat 1 dirasakan lebih bertenaga jika kita hanya menggunakan demi atau untuk seperti ayat 1a dan 1b.
1. (a) Demi watan, kami rela berjuang bermati-matian.
1. (b) Kami rela berjuang bermati-matian untuk watan.
Demikian juga halnya dengan ayat (2) dan (3). Ayat-ayat itu akan menjadi lebih persis jika menggunakan salah satu demi atau untuk, seperti yang berikut:
2. (a) Aku rela berbuat apa-apa sahaja demi kebahagiaan kita.
atau
2. (b) Untuk kebahagiaan kita, aku rela berbuat apa-apa sahaja.
3. (a) Tindakan tegas pengetua sekolah itu wajar demi kebaikan pelajar.
atau
3. (b) Untuk kebaikan pelajar, tindakan tegas pengetua sekolah itu wajar.
Oleh itu, ungkapan demi untuk itu kurang tepat dari segi tatabahasa kerana kehadirannya secara berpasangan menghasilkan bentuk bahasa yang lewah sifatnya.
Dari segi makna pula, kata sendi demi sama maknanya dengan kata sendi untuk. Oleh itu, sekiranya digunakan kedua-dua kata sendi demi untuk ini, samalah halnya dengan penggunaan dua perkataan yang bersinonim, seperti kita mengatakan saya saya atau aku ku, atau "*Dia berjaya lantaran kerana dia berusaha dengan gigih", atau "*Dia menangis kerana oleh sebab wangnya hilang" atau "*Dia akan gagal jika sekiranya dia tidak berusaha bersungguh-sungguh".
Bentuk ungkapan demi untuk itu sebenarnya menggugat kesempurnaan bahasa. Dalam berbahasa, kita perlu menitikberatkan kepersisan bahasa. Dalam hal ini, ungkapan demi untuk lebih baik diperbetul menjadi demi sahaja atau untuk sahaja, kerana demikian itu cara pengungkapan yang betul.
Dua pengertian demi yang lain ialah, yang pertama, membawa maksud sebaik-baik sahaja atau selepas, dan yang kedua ialah lepas satu, satu. Penggunaannya dalam ayat adalah seperti yang berikut ini:
4. Dia terus menangis demi mendengar berita buruk itu.
(maksud sebaik-baik sahaja atau selepas)
5. Direnungnya orang itu seorang demi seorang untuk mengenal pasti orang yang mencerobohi rumahnya.
(maksud satu lepas satu)
Begitulah huraian tentang penggunaan demi untuk dalam berbahasa. Oleh itu, bertukarlah kepada penggunaan bentuk yang lebih persis dan betul, iaitu demi sahaja atau untuk sahaja, tetapi bukan demi untuk.
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan