Halaman

Rabu, 22 Mei 2013

Lebih 20,000 guru terlibat pelaksanaan j-QAF termasuk di SJK Cina dan Tamil


KOTA BAHRU 19 Mei - Lebih 20,000 guru terlibat dalam pelaksanaan Program Jawi, Quran dan Fardu Ain (JQaf) di semua sekolah rendah kerajaan termasuk di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil.

Pengarah Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pelajaran, Abdullah Md. Din berkata, setiap sekolah kini sudah mempunyai sekurang-kurangnya seorang guru JQaf yang bertanggungjawab mengajar pelajaran jawi, al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain kepada murid-murid beragama Islam dari tahun satu hingga tahun enam.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan untuk menempatkan sekurang-kurangnya tiga guru JQaf menjelang 2016 di setiap sekolah rendah dengan kira-kira 2,470 lagi guru baru dari program itu bakal tamat latihan di beberapa Institut Pendidikan Guru (IPG) terpilih pada Jun ini.

Jelasnya lagi, biarpun menumpukan kepada pendidikan agama di sekolah rendah, guru JQaf menikmati taraf dan gred gaji yang sama seperti diperoleh warga pendidik lain yang berkelulusan ijazah sarjana muda.

"Mulai tahun ini kita sudah dapat memastikan setiap sekolah mempunyai seorang guru JQaf termasuk bagi sekolah kurang murid serta SJKC dan SJKT yang biasanya mempunyai jumlah murid Islam yang sedikit.

"Bagaimanapun bilangan guru yang ada sekarang masih belum mencukupi kerana jika mengikut modul yang digunakan, kita memerlukan tiga orang guru bagi mengendalikan pengajian tafsir al-Quran untuk membolehkan latih tubi yang berkesan kepada murid-murid dalam sesebuah kelas.

"Mengikut unjuran yang kita buat, menjelang tahun 2016 nanti kita berharap mampu mencapai sasaran sekurang-kurangnya tiga guru bagi setiap sekolah apabila lebih ramai kumpulan guru pelatih tamat pengajian program JQaf sejak ia diperkenal pada 2006, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Hari Kesenian Warisan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) peringkat Sekolah Kebangsaan (SK) Islah mewakili Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri, Zahari Daud; Ketua Wilayah Timur Bank Rakyat, Mohamad Azman Mustaffa; Guru Besar SK Islah, Md. Tahir Hassan dan Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah, Azam Khan Ayob Mohamad.

Mengulas mengenai pencapaian program JQaf, Abdullah berkata, berdasarkan laporan ujian penilaian dua kali setahun yang dijalankan, pihaknya mendapati lebih 90 peratus murid yang terlibat berjaya menguasai keempat-empat komponen yang diajar.

"Matlamat kita adalah melahirkan murid-murid yang menguasai empat komponen JQaf sebelum keluar sekolah rendah iaitu mereka lancar membaca al-Quran, faham asas Fardu Ain seperti puasa, zakat dan haji; tahu asas Bahasa Arab serta penulisan jawi," katanya.

Pada majlis itu juga, Abdullah menerima cek zakat bernilai RM14,200 sumbangan Bank Rakyat untuk disampaikan kepada 142 murid SK Islah yang kurang bernasib baik.


© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan