Halaman

Isnin, 26 Ogos 2013

Cadangan pelepasan cukai pendidikan diteliti - TPM

KUALA LUMPUR 20 Ogos - Kerajaan akan meneliti cadangan untuk memberikan pelepasan cukai kepada ibu bapa yang memperuntukkan perbelanjaan dalam bidang pendidikan termasuk penghantaran anak-anak ke sekolah swasta dan tuisyen.

Perkara itu dinyatakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika memberi maklum balas dalam sesi dialog terhadap persoalan yang dibangkitkan peserta Sidang Kemuncak Wanita 2013 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Sime Darby, dekat sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan memberitahu, cadangan tersebut akan dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedang mengumpul pelbagai saranan dan idea untuk polisi-polisi baharu dalam Bajet 2014 yang bakal dibentangkan Oktober ini.

"Menghantar anak-anak ke sekolah swasta atau pusat-pusat tuisyen memerlukan perbelanjaan yang besar. Untuk memberikan pelepasan cukai kepada ibu bapa yang memperuntukkan perbelanjaan dalam pendidikan termasuk menghantar anak-anak ke sekolah swasta dan tuisyen, kita akan pertimbangkan.

"Cadangan ini akan saya serahkan kepada Perdana Menteri untuk Bajet 2014 ini," katanya.
Muhyiddin berkata, jika cadangan pelepasan cukai itu merupakan satu keperluan, kerajaan pastinya akan memberikan perhatian kepada perkara tersebut. - UTUSAN ONLINE



© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan