Halaman

Selasa, 22 Mei 2012

Sambutan Hari Guru SK Pulo 2012

Pada pagi telah telah berlangsungnya sambutan Hari Guru Peringkat SK Pulo 2012. Majlis yang disambut sederhana tetapi meriah itu telah dirasmikan oleh Yang Dipertua PIBG SK Pulo, Us. Buang bin Hj. Sapiee. Pelbagai acara menarik telah dilangsungkan antaranya bacaan perutusan oleh Pn. Miut Ak Rabong dan Pn. Saniah bt Hj. Osman, persembahan nyanyian Terima Kasih Cikgu oleh murid-murid tahun 4A dan 4C, nasyid oleh murid-murid tahun 5, tarian 1 Malaysia oleh Kelab Tarian SK Pulo, persembahan kompang dan pertunjukan fesyen oleh murid-murid Prasekolah. 

Disamping itu, 2 orang guru telah ditabal menjadi guru penyayang  hasil undian murid-murid SK Pulo. Bagi kategori lelaki, En. Awang Iswandy telah ditabal menjadi guru penyayang sementara bagi kategori perempuan, Pn. Nuriyati bt Dolhakim telah ditabal sebagai guru penyayang. 

Majlis diakhiri dengan sukaneka oleh para guru. Semoga sambutan seperti ini dapat mengeratkan lagi hubungan antara murid dan guru serta antara guru dengan guru. Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan sambutan ini.



Lagi gambar-gambar menarik, sila ke Facebook SK Pulo

Sabtu, 19 Mei 2012

Mesyuarat Agung PIBG ke 13 SK Pulo

Khamis 19 Mei 2012  - Mesyuarat Agung PIBG kali ke 13 telah diadakan dengan jayanya pada pagi ni. Perasmian mesyuarat telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dr. Haji Abdul Rahman bin Haji Junaidi , ADUN N4 Pantai Damai. 

Mesyuarat membincangkan segala permasalahan anak-anak selama bersekolah di SK Pulo. Banyak idea dilontarkan untuk memastikan kecemerlangan dan menjulang SK Pulo.

Tahniah diucapkan kepada pimpinan baru yang diketuai oleh Us. Buang bin Hj. Sapie yang dilantik sebagai YDP untuk sesi 2012-2014. Terima kasih diucapkan kepada AJK 2010-2012 yang berjaya menjalankan tugas dengan jayanya.

















Khamis, 17 Mei 2012

Ujian Saringan Khas Linus Tahun 2 2012

Khamis 17 Mei 2012 - Ujian saringan Khas Linus Tahun 2 2012 bermula mulai jam 8.30. Sasaran ujian hanyalah kepada murid-murid tahun 2 bagi mengenalpasti tahap pencapaian murid bagi kedua-dua aspek iaitu aspek literasi dan numerasi.





























Rabu, 16 Mei 2012

Guru berinovasi adalah guru berkualiti: Muhyiddin


KUALA KANGSAR: Guru berinovasi adalah guru yang berkualiti dalam menempuh era globalisasi yang semakin diwarnai oleh ekonomi berteraskan ilmu dan inovasi, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Timbalan Perdana Menteri berkata, guru berinovasi mempunyai kebolehan untuk melengkapkan murid dengan kemahiran alaf baru seperti keupayaan berfikir secara bijaksana, menyelesaikan masalah dan daya kreativiti yang tinggi.
"Dalam konteks ini, sebelum melangkah masuk ke bilik darjah, seorang guru berinovasi akan menekuni kurikulum dan menilai apakah keberhasilan yang ingin dicapai," katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Guru 2012 peringat kebangsaan bertemakan 'Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara' di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, guru berinovasi tidak akan terikat dengan sesuatu cara dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah, sebaliknya sentiasa berfikir di luar kotak pemikiran biasa untuk mencari kaedah serta pendekatan baru yang lebih berkesan. 

"Keutamaan guru berinovasi adalah memastikan murid berupaya menggunakan ilmu yang diajarkan di dalam bilik darjah bukan semata-mata untuk berjaya dalam peperiksaan malah membolehkan mereka menyelesaikan masalah yang dihadapi di dunia nyata," katanya. 

"Guru berinovasi ialah guru yang mampu menyediakan persekitaran pembelajaran paling kondusif dan memberi ruang seluas-luasnya kepada murid untuk mengasah kebijaksanaan berfikir," katanya. 

Muhyiddin berkata, guru yang berupaya menilai pencapaian dan potensi murid secara holistik serta sentiasa mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan kecemerlangan murid supaya dapat bersaing di dunia yang semakin mencabar juga adalah guru berinovasi. 

"Guru berinovasi ialah guru yang sentiasa memikirkan apakah cabaran yang bakal dihadapi oleh murid setelah mereka melangkah keluar dari lingkungan sekolah, dan apakah ilmu yang dipelajari di sekolah mampu memberi kelebihan kepada mereka untuk bersaing di dunia nyata," katanya. 

Sekiranya semua guru di negara ini adalah guru inovasi, Muhyiddin yakin matlamat untuk melahirkan modal insan yang berpengetahuan tinggi, kreatif, inovatif dan berketrampilan akan tercapai. 

Katanya, bagi memantapkan budaya inovasi di sekolah, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi sedang merangka Pelan Tindakan Pembangunan Modal Insan Inovatif untuk menyemai budaya inovatif dan kreatif di kalangan murid. 

Muhyiddin berkata, menerusi pelan ini, sekolah akan bertindak sebagai agensi pelaksana yang menjalankan pengajaran dan pembelajaran secara kreatif. 

"Pelan Tindakan Pembangunan Modal Insan Inovatif diharap akan digunakan sepenuhnya oleh guru sebagai garis panduan untuk mencapai hasrat negara meningkatkan keupayaan daya saing negara yang diukur berdasarkan kemampuan rakyat untuk berinovasi," katanya. 

Beliau berkata, kerjasama kementerian dengan Agensi Inovasi Malaysia untuk membudayakan kemahiran berfikir melalui Program i-Think juga adalah pendekatan baru yang sesuai digunakan oleh guru untuk meningkatkan pena'akulan di kalangan murid. 

"Program ini sudah dirintis di 10 sekolah dan diharapkan dapat diperluaskan ke seluruh negara untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran," katanya. 

Pada sambutan itu, Timbalan Perdana Menteri turut menyampaikan Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan kepada Datuk Omar Mohd Hashim serta Anugerah Tokoh Guru Sekolah Swasta Kebangsaan kepada Datuk Hassan Harun. 

Sementara itu, empat bekas pendidik pula menerima Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2012 iaitu Datuk Ahmad Azmey Abu Talib, Datuk Mary Yap Kain Ching, Mohd Azman Abdul Rashid dan Lim Ia Lee @ Lim Irene. - BERNAMA

24,053 guru naik pangkat mulai bulan depan: Muhyiddin


2012/05/16

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan Sambutan Perayaan Hari Guru 2012 Peringkat Kebangsaan Ke-41 di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.
TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan Sambutan Perayaan Hari Guru 2012 Peringkat Kebangsaan Ke-41 di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.
KUALA KANGSAR: Seramai 24,053 guru lepasan ijazah dan diploma yang memenuhi syarat tempoh perkhidmatan akan dinaikan pangkat mulai Jun hingga hujung tahun ini. 

Perkara itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sempena sambutan Hari Guru ke-41 di sini, hari ini.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kenaikan pangkat itu membabitkan 8,222 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah dan 15,831 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma.
Beliau turut mengumumkan 3,085 pengetua gred DG48 ke DG52 dan penolong pengetua gred DG44 ke DG48 akan diperakukan untuk kenaikan pangkat secara berperingkat mulai bulan depan. 

Guru terbabit boleh menyemak status kenaikan pangkat di laman web Kementerian Pelajaran.

Sumber: Berita Harian Online 16 Mei 2012