Halaman

Khamis, 13 Januari 2011

Data E- Kasih Tentukan Murid Layak Terima Rancangan Makanan Tambahan 2011

KUALA LUMPUR, 21 Dis (Bernama) — Mulai tahun depan (2011) , Kementerian Pelajaran akan menggunakan sepenuhnya data e-Kasih dalam mengenalpasti murid yang layak menerima skim Rancangan Makanan Tambahan (RMT) bagi memastikan penerima hanya terdiri daripada murid miskin dan miskin tegar.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata ibu bapa atau penjaga kepada murid yang layak menerima skim hendaklah mendaftar dengan program e-Kasih.

Kementerian Pelajaran dengan kerjasama Kementerian Kesihatan telah memasukkan sebanyak 20 menu melalui skim RMT sebagai syarat perjanjian wajib dipatuhi oleh pihak pembekal, katanya ketika menjawab soalan Senator Ahmad Rusli Iberahim pada persidangan Dewan Negara di sini Selasa.

Katanya perjanjian dibuat antara pihak pembekal dengan pihak sekolah bagi pelaksanaan skim RMT dan satu jawatankuasa di sekolah akan diwujudkan untuk memantau pelaksanaannya.

Tindakan tegas akan diambil terhadap guru besar atau pegawai yang gagal memastikan pelaksanaanya berkesan, kata beliau.

– BERNAMA

Takwim Peperiksaan Tahun 2011

UPSR
Ujian Bertulis13, 14 & 15 September 2011 (3 hari)

PMR
Ujian Bertulis4-6 Oktober 2011,
10 - 11 Oktober 2011 (5 hari)
SPM
Amali

Ujian Bertulis


14 November - 14 Disember 2011 (16 hari)

STPM
Ujian Lisan
Ujian Bertulis


20 - 22 Sept & 27 - 29 Sept 2011
21 November 2011 - 15 Disember 2011

STAM
Ujian Lisan11 - 14 Julai 2011 & 18 - 21 Julai 2011
Ujian Bertulis12 - 13 Okt 2011 & 17 - 19 Okt 2011 (5 hari)

SPM (ULANGAN)
Ujian Lisan Khusus Calon Persendirian(ULKCP)

Ujian Bertulis
15 - 17 Jun 2011 (2 hari)



13 - 14 Jun 2011 (2 hari)


* Tarikh-tarikh yang dinyatakan adalah tertakluk kepada pindaan.
Sebarang pertanyaan berkaitan takwim peperiksaan bolehlah menghubungi talian berikut:

UPSR : 03 - 8884 3382
PMR : 03 - 8884 3394
SPM : 03 - 8884 3330
STAM : 03 - 8884 3340
Peperiksaan Luar Negeri : 03 - 8884 3346

Sumber: KPM


Kesalahan dalam buku teks KSSR ENGLISH YEAR 1 2011

Jumaat, 31 Disember 2010

Selamat Datang Tn. Guru Besar

Seluruh warga SK Pulo mengucapkan selamat datang kepada Guru Besar En. Mohd Zain bin Bujang. Beliau akan menggantikan En. Awang Kassim b Awang Hosain yang telah bertukar ke SK Rakyat Tupong. En. Mohd Zain sebelum ini bertugas di SK Pasir Pandak. Pada pagi tadi beliau telah bersama2 ibu bapa untuk sesi pendaftaran persekolahan 2011.

Kami juga mengucapkan selamat bertugas di tempat baru kepada Ustazah Norhayati bt Mohamad yang telah berpindah ke Selangor. Semoga beliau terus cemerlang di tempat baru.

Rabu, 22 Disember 2010

Muhyiddin minta sekolah tidak kenakan bayaran tambahan tinggi

KUALA LUMPUR 16 Dis. - Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan pihak sekolah supaya tidak mengenakan bayaran tambahan yang tinggi kepada pelajar yang akan memulakan sesi persekolahan baru pada 2 dan 3 Januari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, selaras dengan pekeliling yang telah dikeluarkan Kementerian Pelajaran, bayaran itu hanya boleh dikenakan setelah mendapat persetujuan daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta diluluskan oleh Jabatan Pelajaran negeri.

"Kita jangan bebankan ibu bapa dengan pembayaran yang tinggi kerana ia boleh menyebabkan masalah kepada keluarga.

"Kalau pihak sekolah perlu mendapatkan sedikit sumbangan daripada ibu bapa untuk menambah baik lagi proses pembelajaran, maka ia hanya boleh dibuat menerusi mesyuarat PIBG dan mendapat kelulusan Jabatan Pelajaran kita di peringkat negeri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penggal Persekolahan 2011 di pejabatnya di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pihaknya telah membuat persiapan secukupnya bagi menghadapi sesi persekolahan 2011 yang akan bermula pada 2 Januari bagi Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala negeri lain pada keesokan harinya.

Beliau berkata, takwim persekolahan 2011 juga memperuntukkan jumlah hari persekolahan sebanyak 210 hari dan cuti penggal selama 78 hari.

"Dijangka seramai 457,760 murid tahun satu dan 474,803 pelajar tingkatan satu akan memulakan sesi persekolahan mereka pada 2011," katanya.

Muhyiddin berkata, pihaknya sudah membekalkan 185,125 set kerusi meja di seluruh negara, termasuk sebanyak 6,012 set di Sabah yang sebelum ini dilaporkan mengalami masalah kekurangan bekalan.

"Begitu juga bekalan buku teks. Sebanyak 15.6 juta naskhah buku bagi semua jenis sekolah turut dihantar," ujarnya.

Katanya, dianggarkan seramai 229,705 guru akan mengajar di sekolah rendah manakala sekolah menengah seramai 164,824 guru.

"Kekosongan 4,653 jawatan guru sekolah rendah dan 3,720 jawatan guru sekolah menengah akan diisi oleh guru sandaran dengan kadar segera," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin berkata, dua dasar baru akan dilaksanakan berkuat kuasa Januari ini iaitu Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) bagi murid tahap satu dan 'satu murid satu sukan.'

Utusan Malaysia Online: 17 Disember 2010

Semakan Tawaran Ke Tingkatan 1 Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Tahun 2011

Ini berita baik bagi calon UPSR 2010, ibu bapa dan penjaga yang telah membuat permohonan masuk ke Tingkatan 1 Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Tahun 2011, semakan tawaran sudah boleh diakses melalui aplikasi online KPM.


Sila click link di bawah dan anda akan terus ke aplikasi online semakan tawaran ke SBP. Hanya angka giliran UPSR sahaja diperlukan bagi menyemak tawaran tersebut.

Rayuan : Bagi yang tidak berjaya, anda boleh mengemukakan rayuan melalui e-Rayuanyang terdapat di laman tersebut. Keputusan rayuan tertakluk kepada kekosongan tempat yang ada setelah proses pendaftaran murid yang menerima tawaran ke SBP masing-masing.

Surat Tawaran : Surat tawaran rasmi yang mengandungi maklumat lebih lanjut mengenai tawaran dan pendaftaran telah pun mula dihantar ke mereka yang berjaya.

Pendaftaran : Pelajar yang berjaya mendapat tawaran ke SBP Tingkatan 1 sesi 2011 perlu mendaftar ke SBP yang berkenaan pada 5 Januari 2011.

Sebarang pertanyaan sila hubungi Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan, Kementerian Pelajaran Malaysia di talian 03 8321 7400.

Isnin, 13 Disember 2010

Dua guru 1 kelas

Berita Harian
13/12/2010

Syor dikemukakan jawatankuasa khas tangani peningkatan beban tugas pendidik

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran merancang menempatkan guru pembantu dalam kelas melebihi 35 murid di sekolah rendah dan 40 murid di sekolah menengah serta melantik jurulatih kokurikulum atau sukan bertauliah secara kontrak bagi mengurangkan beban tugas guru.

Cadangan itu adalah antara 28 perakuan yang dikemukakan Jawatankuasa Khas Menangani Isu Beban Tugas Guru 2010 yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Dalam laporannya, jawatankuasa itu mengenal pasti 14 faktor yang menyumbang kepada peningkatan beban tugas guru, termasuk penyertaan dalam terlalu banyak kegiatan kokurikulum dan sukan hingga menjejaskan prestasi pengajaran murid serta amalan profesional keguruan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata satu pelan operasi latihan juga sedang dibangunkan untuk dilaksanakan tahun depan bagi mengurangkan kekerapan guru meninggalkan kelas untuk berkursus.

Malah, katanya, antara perakuan yang sudah diambil tindakan ialah memohon agensi Pusat menempatkan 100 jawatan pembantu tadbir N17 melalui urusan pindah butiran perjawatan di 50 sekolah gred A yang mempunyai enrolmen melebihi 1,500 murid untuk mengurangkan tugas perkeranian yang terpaksa dilakukan guru.

Beliau berkata, semua perakuan itu dikemukakan selepas isu beban tugas guru dibangkitkan oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dalam pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran.

Katanya, jawatankuasa itu dalam laporannya turut mendedahkan ada guru memegang dan melaksanakan sehingga 30 tugasan di sekolah serta peringkat daerah dan negeri.

Sehubungan itu, katanya, satu jawatankuasa pelaksanaan ditubuhkan dan akan bermesyuarat sekurang-kurangnya sebulan sekali untuk menyemak status pelaksanaan semua perakuan yang kemukakan jawatankuasa berkenaan.

Mengenai aduan aktiviti sekolah pada Sabtu, Mohd Puad berkata, pekeliling sudah dikeluarkan dengan membenarkan hanya dua Sabtu dalam sebulan dibenarkan aktiviti sekolah dan kegagalan mematuhinya perlu dilaporkan kepada kementerian.

Sementara itu, Presiden NUTP, Hashim Adnan, berkata jawatankuasa berkenaan turut memaklumkan kepada pihaknya berhubung kajian yang dilakukan di beberapa sekolah di Johor dan Melaka, termasuk cadangan mengurangkan peperiksaan dan ujian yang diganti dengan penilaian.

“NUTP difahamkan mulai Januari depan, penilaian itu akan diamalkan setiap bulan yang menjurus kepada ujian pendek dengan soalan disediakan guru.

“Ini bermakna beban guru semakin bertambah lagi dan tiada pengurangan, kita berharap kerajaan akan mengkaji semula perkara ini,” katanya.

INFO: Antara beban tugas guru
  • Kekerapan guru keluar berkursus
  • Kokurikulum/sukan
  • Tugas hujung minggu
  • Tugas rencam
  • Tugas tidak jelas
  • Penempatan guru
  • Rantaian arahan (chain of command)
  • Ujian/peperiksaan
  • Silap padanan (mismatch)
  • Saiz kelas
  • Sebaran kurikulum.

    INFO: Antara perakuan tangani isu beban tugas guru
  • Menambah staf sokongan untuk tugas perkeranian
  • Pengwujudan jawatan pembantu bengkel di semua sekolah menengah
  • Menambah jawatan Pembantu Perpustakaan N17
  • Gabungan jawatankuasa pada peringkat sekolah tidak melebihi 10 jawatankuasa
  • Pelan Operasi Latihan Tahunan
  • Aktiviti Sabtu berjadual tidak melebihi 2 kali sebulan
  • Jurulatih kokurikulum atau sukan bertauliah secara kontrak
  • Mewujudkan jawatan Jurulatih Utama Kurikulum
  • Pengenalan kurikulum secara atas talian
  • Penganjuran kursus yang berasaskan sekolah diperluas
  • Guru pembantu bagi kelas melebihi 35 murid untuk sekolah rendah dan 40 pelajar di sekolah menengah
  • Kajian semula bilangan enrolmen pelajar di sesebuah kelas supaya lebih kondusif
  • Pembinaan lebih banyak sekolah di kawasan padat untuk tujuan sekolah satu sesi
  • Pengurangan ‘mismatch’ melalui pelabelan guru serta iktiraf guru melalui latihan.
  • Lebih ramai guru lelaki di kawasan pedalaman dan bandar raya
  • Tempoh perkhidmatan di pedalaman ditetapkan lima tahun
  • Pasangan suami isteri bertugas di pedalaman ditempatkan di sekolah sama atau berhampiran
  • Kemudahan dan persekitaran kerja kondusif
  • Perlindungan insurans takaful semasa menjalankan tugas rasmi di luar sekolah
  • Penyediaan khidmat guaman kepada guru bagi kes berkaitan tugas rasmi.
  • Sabtu, 11 Disember 2010

    10 terpilih Sekolah Amanah


     MUHYIDDIN   berbual dengan   Syed Ibrahim Syed Ishak, 12,  dari Sekolah Kebangsaan Bandar Bharu Uda 2, Johor selaku pembaca doa pembukaan majlis pelancaran Rangkaian Sekolah Amanah Yayasan AMIR di Putrajaya, semalam.
    MUHYIDDIN berbual dengan Syed Ibrahim Syed Ishak, 12, dari Sekolah Kebangsaan Bandar Bharu Uda 2, Johor selaku pembaca doa pembukaan majlis pelancaran Rangkaian Sekolah Amanah Yayasan AMIR di Putrajaya, semalam.
    Projek perintis pertingkat akademik hasil perkongsian awam-swasta

    PUTRAJAYA: Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Kementerian Pelajaran semalam melancarkan inisiatif bersama dikenali Sekolah Amanah bertujuan meningkatkan prestasi akademik dan bukan akademik sekolah menerusi konsep perkongsian awam-swasta (PPP).
    Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata sebanyak 10 sekolah, masing-masing lima di Johor dan Sarawak dipilih menyertai projek perintis itu di bawah program Rangkaian Sekolah Amanah Yayasan AMIR.

    Sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Uda 2, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Kangkar Pulai, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semenchu, SMK Gelang Patah, SK Kampong Layau, SM Sains Kuching, SMK Bandar Kuching 2, SK Tabuan, SK Empila dan SK Combine.

    Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, semua sekolah terbabit terdiri daripada sekolah berprestasi lemah, sederhana dan baik serta merentasi pelbagai latar belakang sosio ekonomi.

    "Sekolah Amanah bukanlah sekolah elit kerana natijah akhir program ini untuk memastikan setiap sekolah dapat meningkatkan prestasi masing-masing dengan bantuan khususnya kewangan daripada Khazanah.

    "Oleh itu, satu unit Sekolah Amanah sudah diwujudkan di kementerian bagi mengawal, menyelia dan memastikan objektif program dicapai selain penubuhan Yayasan AMIR di bawah Khazanah bagi mengendalikan projek perintis ini dalam tempoh lima tahun," katanya.
    Timbalan Perdana Menteri berkata demikian kepada media selepas melancarkan program Rangkaian Sekolah Amanah Yayasan AMIR, di sini semalam. Hadir sama Pengerusi Yayasan AMIR, Raja Tan Sri Arshad Tun Uda; Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud.

    Muhyiddin berkata, menerusi program berkenaan, Khazanah akan memberi bantuan nasihat, kepakaran dan kewangan dalam usaha menaikkan lagi prestasi sekolah terbabit dan setakat ini beberapa syarikat korporat serta swasta lain menyatakan minat menyertai program terbabit.

    Sementara itu, Azman berkata, Khazanah memperuntukkan RM20 juta setahun bagi melaksanakan program Sekolah Amanah itu selaras komitmennya menyokong usaha kerajaan mentransformasi sistem pendidikan.

    Beliau berkata, Johor dan Sarawak menjadi pilihan projek perintis kerana Khazanah banyak menjalankan projek pembangunan di selatan Semenanjung, manakala Sarawak pula kerana pihaknya mahu pembangunan seimbang antara Semenanjung dan Malaysia Timur kerana program itu akan turut dikembangkan ke Sabah.

    INFO: Sekolah Amanah

  • Mengamalkan konsep perkongsian antara awam dan swasta seperti yang diamalkan di beberapa negara antaranya Amerika Syarikat, England dan Sweden.

  • Sekolah awam akan diurus bersama oleh rakan kongsi swasta yang berkelayakan dan pengetua daripada perkhidmatan awam di bawah naungan Kementerian Pelajaran.

  • Menggabungkan ciri-ciri terbaik daripada sektor awam dan swasta bagi menyediakan pengalaman pendidikan yang lebih baik untuk pelajar supaya dapat mencapai potensi mereka sepenuhnya.

  • Berbeza dengan Sekolah Kluster, Sekolah Berprestasi Tinggi, Sekolah SMART dan Sekolah Wawasan kerana ia menggunakan model pengurusan serta operasi yang berbeza iaitu berteraskan perkongsian awam-swasta.

  • Terus mengekalkan status awam tetapi lebih bebas untuk bekerjasama dengan rakan kongsi swasta berkelayakan (menerusi yayasan bukan berasaskan keuntungan) yang mempunyai kepakaran, sumber, dana dan kualiti kepimpinan bagi menawarkan perkhidmatan nilai tambah yang bersesuaian.

  • Rakan kongsi swasta boleh tergolong daripada institusi pendidikan tinggi, kumpulan alumni dan juga syarikat swasta.

  • Diberi kelonggaran bagi membuat keputusan mengenai penyampaian kurikulum, pembangunan profesional berterusan, kewangan dan pemerolehan serta pengurusan sumber manusia bagi mempertingkatkan inovasi dan memenuhi keperluan komuniti setiap sekolah.

  • Menetapkan beberapa sasaran indeks prestasi utama (KPI) yang berkaitan dengan peningkatan hasil pelajar dalam rangka masa lima tahun merangkumi aspek akademik dan bukan akademik seperti keputusan peperiksaan, kemajuan pelajar dan sekolah, perkembangan watak (kepimpinan dan kreativiti) dan kepuasan pihak yang berkepentingan iaitu pengetua, guru, ibu bapa dan pelajar.

  • Berita Harian 11/12/2010
  • Khamis, 9 Disember 2010

    Pastikan guru terlatih ajar Pendidikan Kesihatan - PIBGN

    KUALA LUMPUR 7 Dis. - Kementerian Pelajaran perlu memastikan guru yang mengajar subjek Pendidikan Kesihatan di setiap sekolah mempunyai kelayakan yang sepatutnya sebelum ia dilaksanakan tahun hadapan.

    Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan berkata, langkah tersebut perlu diberi tumpuan agar pelaksanaan Pendidikan Kesihatan kelak tidak terpesong daripada objektif sebenar pelaksanaannya.

    Katanya, setiap perancangan daripada kementerian perlu ada tindakan susulan bagi memastikan setiap apa yang dirancang tercapai.

    "Para guru perlu dilatih semula kerana mereka seolah-olah tidak yakin dan kurang pengetahuan tentang kaedah yang sesuai dengan peringkat umur pelajar.

    "Jika modul dan panduan sahaja yang hebat tetapi guru tidak bersedia, memang sukar untuk melaksanakan pengajaran subjek tersebut," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi mengenai Pendidikan Kesihatan yang akan diajar secara berasingan dan tidak bergabung dengan mana-mana mata pelajaran lain mulai tahun hadapan.

    Mohd. Puad berkata, bermula tahun depan, Pendidikan Seks terkandung dalam mata pelajaran Pendidikan Kesihatan dan akan menggunakan istilah Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (Peers).

    Menurut Mohamad Ali, Pendidikan Kesihatan bukan suatu kaedah pengajaran yang mudah sebaliknya memerlukan seorang pendidik yang betul-betul terlatih serta mempunyai pengetahuan luas dalam bidang itu.

    Bagaimanapun katanya, PIBGN tetap menyokong hasrat kementerian untuk melaksanakan subjek tersebut kerana ia mampu membimbing pelajar ke arah kebaikan.

    "Ibu bapa juga perlu memainkan peranan dalam menjayakan hasrat kerajaan ini, jangan pula selepas ini ada bantahan kerana ia diperkenalkan di peringkat sekolah rendah," katanya.

    Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan bersetuju Pendidikan Kesihatan diajar secara berasingan dan tidak bergabung dengan mana-mana mata pelajaran lain.

    Katanya, Pendidikan Kesihatan tidak perlu digabung dengan mana-mana subjek kerana ia memerlukan tumpuan yang mendalam terhadap isi kandungan yang akan diajar.

    "Sebelum ini Pendidikan Seks hanya diajar dengan diselitkan dalam subjek tertentu dan ia terbukti gagal untuk membendung pelajar daripada terlibat dalam masalah sosial," katanya.

    Bagaimanapun katanya, apa yang perlu dilakukan kini adalah memantapkan bahan sedia ada di dalam kokurikulum sekolah terutama membabitkan buku-buku panduan mengajar Pendidikan Kesihatan.

    Utusan Malaysia Online: 8 Disember 2010

    Isnin, 6 Disember 2010

    PTK tak lagi syarat kenaikan pangkat

    PUTRAJAYA: Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) tidak lagi menjadi syarat kenaikan pangkat kakitangan kerajaan mulai 1 Januari ini, apabila pelaksanaannya dihentikan berkuat kuasa tarikh sama selaras pengumuman kerajaan dalam Bajet 2011, Oktober lalu.

    Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah, berkata ketetapan itu dibuat selepas mengambil kira pegawai yang menduduki PTK pada 2010 dan sebelumnya untuk dipertimbangkan anjakan gaji pada 2011 selepas memenuhi semua syarat yang ditetapkan.

    “Justeru, sehingga penilaian baru diperkenalkan, PTK tidak lagi menjadi syarat kenaikan pangkat mulai 1 Januari 2011, " katanya dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 13/2010 yang disiarkan di laman web Jabatan Perkhidmatan Awam, semalam.
    PTK diperkenalkan dalam Sistem Saraan Malaysia (SSM) bermula 1 November 2002 bertujuan menggalakkan pembangunan diri pegawai perkhidmatan awam melalui pembelajaran berterusan, meningkatkan budaya organisasi pembelajaran dan melaksanakan pengurusan sumber manusia berasaskan kompetensi.

    Bagaimanapun, peperiksaan itu menimbulkan pelbagai kontroversi kerana dikatakan ramai kakitangan terutama yang berpengalaman sukar menikmati kenaikan pangkat.

    Ketika membentangkan Bajet 2011, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan memutuskan PTK dimansuh dan digantikan dengan sistem penilaian yang lebih sesuai dan diterima baik pegawai awam menjelang Jun 2011.

    Abu Bakar berkata, jika masih ada keputusan PTK yang belum selesai selepas 1 Januari ini, Lembaga Penilaian Kompetensi diberi kuasa untuk mempertimbang dan mengesahkan keputusan PTK berkaitan.
    “Urusan itu hendaklah diselesaikan sebelum 1 Jun 2011," katanya.

    Berita Harian
    6/12/2010