Halaman

Sabtu, 29 Januari 2011

'Cuai saring buku teks BI'

Oleh Zanariah Abd Mutalib
zanariah@bharian.com.my
2011/01/29

MURID Tahun Satu, Mohamad Amir Danishm dan Muhd Iskandar Roslan melihat buku teks English Year 1 Sekolah Kebangsaan yang ditarik semula.
MURID Tahun Satu, Mohamad Amir Danishm dan Muhd Iskandar Roslan melihat buku teks English Year 1 Sekolah Kebangsaan yang ditarik semula.
Panel penilai perlu kena penalti

KUALA LUMPUR: Panel penilai buku teks Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) English Year 1 Sekolah Kebangsaan perlu dikenakan penalti kerana cuai sehingga menyebabkan hampir 400,000 buku teks Bahasa Inggeris (BI) itu ditarik semula.

Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) sependapat bahawa kecuaian itu tidak boleh dipandang ringan kerana membabitkan integriti Kementerian Pelajaran dan kerajaan terpaksa menanggung kerugian jutaan ringgit.
Presiden PIBGN, Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata kementerian perlu lebih berhati-hati dalam memilih panel penilai pada masa akan datang bagi memastikan kesalahan sama tidak berulang serta mengelak ibu bapa berasa was-was dengan buku teks yang dikeluarkan kementerian.

“Penalti perlu dikenakan kepada panel penilai kerana ternyata tidak bertanggungjawab dalam menyaring buku teks berkenaan, sekurang-kurangnya dikenakan surat tunjuk sebab supaya boleh dijadikan iktibar pada masa akan datang.

“Kita tidak boleh hanya menerima kecuaian ini sebagai kesalahan manusia kerana yang menanggung akibatnya nanti adalah anak-anak,” katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Akhbar semalam melaporkan, Kementerian Pelajaran akan menarik balik hampir 400,000 buku teks KSSR English Year 1 Sekolah Kebangsaan kerana mengandungi pelbagai kesalahan dan menggantikan dengan buku teks cetakan baru, Mac depan. Bagaimanapun, ia hanya disifatkan sebagai kesilapan manusia yang terlepas pandang kerana sudah disaring panel penilai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan kementerian.

Sementara itu, Presiden NUTP, Hashim Adnan berkata, pihaknya yakin guru Bahasa Inggeris Darjah Satu dapat menangani situasi pengajaran dengan baik dengan turut merujuk kepada buku teks lain sementara menunggu buku teks baru tiba.

“Bagaimanapun, panel penilai buku teks itu tidak boleh disalahkan sepenuhnya kerana mereka mungkin mempunyai beban tugas lain,” katanya.

Berita Harian 29/1/2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan