Halaman

Sabtu, 15 Januari 2011

JPN perlu rancang penempatan guru

Perpindahan mendadak beri tekanan, jejas pembelajaran

JABATAN Pelajaran Negeri (JPN) wajar melakukan perancangan teliti berkaitan penempatan guru supaya tidak menimbulkan beban tambahan kepada pendidik dengan pertukaran pada saat akhir.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berpendapat perpindahan pada Januari bukan saja memberi tekanan mental kepada guru tetapi menjejaskan sesi pengajaran dan pembelajaran.

Setiausaha NUTP, Lok Yim Pheng, berkata pertukaran secara mendadak turut menjejaskan kesan lebih serius terutama kepada pelajar.

Pertukaran dalam jumlah yang agak besar secara serentak juga kata beliau, menggambarkan sesuatu yang tidak kena dalam proses penempatan guru di peringkat negeri.

“Memang tidak wajar memindahkan guru ke sekolah lain pada bulan ini kerana sesi persekolahan sudah pun bermula. Keadaan ini memang merumitkan dan membebankan guru.

“Urusan pertukaran sepatutnya dilaksanakan lebih awal iaitu sekitar Disember bagi memudahkan proses urusan semua pihak.” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas aduan yang diterima 10 hingga 15 guru di sebuah sekolah menengah di Subang.

Masing-masing katanya, mendakwa menerima panggilan daripada pegawai di JPN Selangor supaya bersedia ditukarkan ke luar daerah pada bila-bila masa.

Yim Pheng berkata, NUTP juga tertanya-tanya mengenai tindakan JPN Selangor menukarkan guru dalam jumlah sehingga 15 orang pada satu masa.

Senario itu kata beliau, menggambarkan berlaku lebihan guru di sekolah berkenaan. Lazimnya kadar lebihan guru setiap sekolah hanya sekitar seorang atau dua saja.

“Kalau sampai 10 hingga 15 guru terima panggilan untuk ditukarkan, NUTP pun hendak tahu daripada JPN, mengapa jadi begitu?” katanya.

Beliau berkata, NUTP akan mengadakan mesyuarat khas di ibu negara bersama 12 kesatuan gabungannya untuk membincangkan isu pertukaran guru.

Katanya, pendirian NUTP sekarang ialah guru patut menerima pertukaran dalam lingkungan 40 kilometer dari kediaman.

Berita Harian Online: 11 Januari 2011

Tiada ulasan:

Catat Ulasan