Halaman

Selasa, 22 Februari 2011

4 NKRA Pendidikan lepasi sasaran

PUTRAJAYA 20 Feb. – Inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) program Transformasi Kerajaan (GTP) berjaya meningkatkan taraf pendidikan dan prestasi pencapaian pelajar-pelajar sekolah kebangsaan tahun lalu dan dijangka bertambah baik tahun ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd. Ghafar Mahmud berkata, ia dibuktikan melalui pencapaian cemerlang empat NKRA yang melepasi sasaran asal iaitu prestasi prasekolah, literasi dan numerasi serta Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) termasuk Program Pembangunan Prestasi Sekolah (SIP).

Katanya, aspirasi NKRA Pendidikan memberi penekanan kepada meningkatkan pencapaian pelajar secara holistik dari segi intelektual, emosi, rohani dan jasmani.

‘‘Peningkatan pencapaian pelajar pada semua peringkat pendidikan amat penting untuk membangunkan modal insan yang cemerlang bagi menghasilkan tenaga kerja mahir supaya Malaysia menjadi negarar berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020,’’ katanya.

Selain itu, aspirasi NKRA Pendidikan juga adalah untuk memastikan pendidikan berkualiti dan berkemampuan dapat dikecapi oleh semua pihak bagi menambahbaik dan meningkatkan taraf penduduk Malaysia secara menyeluruh.

‘‘Dalam NKRA Pendidikan, dua fokus utama telah dijadikan asas kepada transformasi yang dilaksanakan iaitu memastikan semua kanak-kanak mendapat permulaan pendidikan berkualiti serta membangunkan budaya pencapaian untuk memacu transformasi dalam sistem pendidikan.

“Aspirasi NKRA memberi penekanan kepada pencapaian pelajar secara holistik dari segi intelektual, emosi, rohani dan jasmani sekali gus membangunkan modal insan cemerlang bagi mencapai hasrat menuju negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 dapat dicapai,’’ katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, di samping empat sub-bidang NKRA (lihat carta), bidang-bidang utama lain juga akan ditambah baik untuk memastikan kelangsungan transformasi serta menghasilkan outcome seperti dihasratkan.

Antara perkara yang diberi penekanan dan keutamaan termasuk profesioan keguruan lebih menarik serta membangunkan guru-guru yang cemerlang.

‘‘Hasil satu kajian syarikat perunding antararbangsa ke atas sistem pencicikan dinegara-negara maju membuktikan bahawa kualiti guru merupakan pemangkin utama dalam memastikan kecemerlangan sistem pendidikan sesebuah negara.

Pada masa yang sama, Kementerian Pelajaran juga sedang melaksanakan transformasi kurikulum bagi memastikan modal insan yang dihasilkan memenuhi permintaan dan keperluan bagi mencapai taraf negara maju.

Transformasi kurikulum juga memberi penekanan kepada aspek penguasaaan bahasa khususnya Bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris tanpa meminggirkan bahasa ibunda murid.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Dr. Zahri Aziz berkata, pencapaian prasekolah telah melepasi sasaran yang ditetapkan iaitu 72.42 peratus berbanding 72 peratus dengan bilangan prasekolah sebanyak 1,500.

‘‘Sebanyak 315 buah prasekolah di bawah Kementerian Pelajaran telah beroperasi mulai Januari tahun lalu dan tambahan sembilan kelas dibina di Sarawak dan pusat komuniti di Sabah yang mula beroperasi mulai pertengahan Jun 2010.

‘‘Selain itu, 50 prasekolah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dan 500 prasekolah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) telah mula beroperasi.

‘‘Ini termasuk prasekolah swasta yang telah berjaya dibuka melebihi unjuran daripada 488 kepada 625 sekali gus menyaksikan 701,144 kanak-kanak berusia empat dan lima tahun ke atas di seluruh negara telah menyertai prasekolah,” katanya.

Pada masa sama, Zahri berkata, seramai 24,179 murid prasekolah swasta daripada keluarga berpendapatan RM2,300 ke bawah layak menerima bantuan yuran sebanyak RM150 sebulan membabitkan peruntukan sebanyak RM10.8 juta.

‘‘Pemberian bantuan yuran adalah untuk menggalakkan semua kanak-kanak yang tinggal di kawasan tiada prasekolah awam, mengikuti pendidikan prasekolah swasta.

‘‘Bantuan makan untuk kanak-kanak prasekolah awam pula telah diselaraskan dan dinaikkan kepada RM1.80 di Semenanjung dan RM2.05 di Sabah dan Sarawak melibatkan peruntukan sebanyak RM4.9 juta,’’ katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 3,439 guru prasekolah awam dan swasta telah mendapat latihan daripada 11 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) manakala 3,561 lagi dilatih oleh Institut Pendidikan Guru (IPG).

‘‘Pada tahun ini sebanyak 715 prasekolah kementerian, 1,000 (Kemas), 50 (JPNIN) dan 1,000 (swasta) dijangka beroperasi,’’ katanya.

Bagi pencapaian Literasi dan Numerasi (Linus), Zahri memberitahu, peratus murid yang menguasai literasi meningkat kepada 85 peratus berbanding 64 peratus manakala kadar numerasi meningkat kepada 91 peratus berbanding 73 peratus pada saringan kedua dan ketiga.

‘‘Walaupun tidak mencapai sasaran 90 peratus, pencapaian setakat ini merupakan satu indikator kepada sasaran untuk 2012 nanti,’’ katanya.

Sementara itu, sejak 20 sekolah SBT dipilih berdasarkan kecemerlangan akademik, kokurikulum dan pembentukan sahsiah pelajar, banyak kejayaan dirangkul sekolah terbabit di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Antaranya tiga orang pelajar Kolej Tunku Kurshiah muncul sebagai Naib Johan Intel ISEF dalam kategori Special Award di San Jose, Amerika Syarikat dengan projek bertajuk Natural Oil Boom.

Seorang pelajar SMK Aminuddin Baki pula memenangi pelbagai pertandingan renang peringkat antarabangsa iaitu dua pingat perak dalam 2nd ASEAN School Games, satu emas dan satu perak dalam SEA Age Group , satu emas, dua perak dan satu gangsa dalam Malaysian Open serta mewakili negara dalam 51st Japan Open Swimming Championship, Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

SK Bandar Baru Uda 2 pula memenangi dua pingat emas, satu pingat perak dan dua pingat gangsa dalam Mathematics Olympiad.

‘‘Pada masa sama, SBT sedia ada akan dipantau bagi memastikan petunjuk prestasi utama (KPI) dan sasaran yang ditetapkan tercapai,’’ katanya.

Sementara itu, katanya, guru besar atau pengetua yang layak menerima ganjaran menerusi tawaran baru berdasarkan Bai‘ah, mereka perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan seperti Laporan Nilaian Prestasi Tahunan yang cemerlang, bebas daripada sebarang tindakan tata tertib serta tiada audit bersyarat.

‘‘Kriteria bagi sekolah rendah pula mempunyai syarat tambahan iaitu mencapai sasaran Linus yang ditetapkan.

‘‘Menerusi program SIP yang diperkenalkan bagi membantu sekolah-sekolah berprestasi rendah, ia ternyata berkesan apabila dinilai menerusi pencapaian Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR),’’ katanya.

Berdasarkan perbandingan pencapaian UPSR tahun 2009 dan 2010, didapati sekolah-sekolah berprestasi rendah telah berjaya menunjukkan pencapaian yang baik.

Sebanyak 140 daripada 209 sekolah rendah telah menunjukkan penambahbaikkan dalam pencapaian Gred Purata Sekolah (GPS),

Utusan Malaysia Online: 21 Februari 2011

Tiada ulasan:

Catat Ulasan