Halaman

Isnin, 28 Februari 2011

586 Guru Besar Terima Ganjaran 'Tawaran Baru'

JASIN: Kerajaan mengotakan janjinya pada Isnin, dengan memberi ganjaran kepada guru besar dan guru yang berjaya meningkatkan pencapaian sekolah pada kedudukan lebih baik melalui Tawaran Baru melibatkan peruntukan RM18.4 juta.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata di bawah Tawaran Baru kepada Guru Besar yang dijanjikan kerajaan pada tahun lepas, hari ini seramai 586 guru besar yang berjaya dari seluruh negara menerima ganjaran tersebut.

"Staf sokongan seperti kerani di 586 sekolah yang berjaya itu juga akan diberi imbuhan yang setimpal kerana mereka juga memberi sumbangan kepada sekolah tersebut.

"Kadar ganjaran belum ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Tawaran Baru Kepada Guru Besar di Sekolah Menengah Tun Syed Zahiruddin, Ayer Tawar di Merlimau dekat sini.

Di bawah Tawaran Baru itu, guru besar menerima ganjaran sebanyak RM7,500 diikuti sebanyak lima peratus daripada jumlah keseluruhan guru di sekolah terbabit akan menerima RM1,800 manakala baki guru lain mendapat RM900.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata pembayaran ganjaran tersebut akan dibuat serta merta kerana peruntukan telah disediakan.

Beliau berkata tawaran sama kepada pengetua dan guru sekolah menengah akan diberikan selepas keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan pada bulan depan.

Katanya sasaran awal pemimpin sekolah yang layak menerima ganjaran pada tahun penilaian 2010 ialah sebanyak dua peratus namun pencapaian sebenar bagi tahun penilaian itu adalah di luar jangkaan antaranya disebabkan oleh peningkatan kualiti kepimpinan sekolah dan tahap pengajaran dan pembelajaran guru. "Sebanyak 924 (12.10 peratus) sekolah daripada 7,635 yang berada dalam senarai kedudukan layak untuk diverifikasi oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK).

Berdasarkan verifikasi JNJK, bilangan guru besar atau sekolah yang memenuhi semua kriteria yang ditetapkan untuk menerima ganjaran ialah sebanyak 586 (7.70 peratus) sekolah," kata Muhyiddin.

Timbalan Perdana Menteri berkata daripada keseluruhan bilangan sekolah rendah yang berada dalam senarai kedudukan, 193 (2.53 peratus) adalah sekolah yang mencapai skor komposit sekurang-kurangnya 84 peratus, 138 (1.81 peratus)sekolah yang melonjak kedudukan sekurang-kurangnya sebanyak 2,050 tempat dan 257 (3.37 peratus) adalah sekolah yang berjaya meningkatkan skor komposit sekurang-kurangnya 6.3 peratus.

"Kita juga berasa amat sukacita dan bangga kerana daripada 586 sekolah yang menerima ganjaran, 437 (74.32 peratus) daripadanya merupakan penerima dari sekolah dari luar bandar," katanya yang menambah sekolah di bandar juga ada menerima anugerah tersebut.-BERNAMA.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan