Oleh Muhamad Suhaimi Razali
Bahasa lambang jati diri masyarakat dan menjadi sejarah serta warisan zaman berzaman. Dalam Kamus Dewan edisi ketiga, bahasa bermaksud satu sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia.
Pakar bahasa Melayu dan tokoh perancangan bahasa, Profesor Dr Asmah Omar mendefinisikannya sebagai satu sistem yang menyatakan akal fikiran dan isi hati manusia juga sebagai alat berhubung antara manusia.
Bahasa harus berkembang selaras perkembangan masyarakat pemakai bahasa itu. Dengan kata lain, bahasa alat untuk kita menterjemahkan apa difikirkan manusia melalui bahasa lisan ataupun bahasa isyarat, selain untuk berkomunikasi dengan orang sekeliling serta harus difahami masyarakat.
Namun, menyedihkan apabila bahasa Melayu yang menjadi bahasa rasmi masyarakat Malaysia kini seolah-olah makin tiada nilainya dan tidak lagi dihormati. Masalah dalam penggunaan bahasa terutamanya bahasa rojak dilihat amat merunsingkan terutama di kalangan belia.
Bahasa rojak merujuk kepada bahasa bercampur-aduk yang digunakan dalam tulisan dan lisan.
Dalam majlis perasmian Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2012, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penggunaan bahasa rojak akan beransur-ansur menghakis kekuatan sesuatu bahasa.
Penggunaan bahasa rojak sudah semakin sebati dan menjadi barah hingga merosakkan kekuatan bahasa Melayu. Masalahnya boleh dibahagikan kepada dua iaitu melalui penulisan dan lisan.
Masalah melalui penulisan dapat dilihat apabila seseorang menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) ataupun mengemas kini statusnya dalam medium alam maya. Melalui lisan pula apabila bahasa itu dituturkan dengan bercampur aduk.
Jika dikaji secara mendalam, penyebaran virus bahasa rojak ini sebenarnya lahir daripada sikap masyarakat sendiri yang ingin menonjolkan kehebatan menguasai satu bahasa lain.
Hal ini kerana mereka mengalami kesukaran berkomunikasi dalam persekitaran dengan bahasa sebenar serta kurangnya penguasaan dalam bahasa berkenaan.
Ia juga berpunca daripada media bercetak dan elektronik tidak menitikberatkan penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam menyampaikan maklumat menyebabkan pendengar terpengaruh.
Penggunaan bahasa rojak boleh memberi kesan negatif terhadap penghayatan bahasa itu sendiri, selain mengakibatkan masalah komunikasi dalam masyarakat, maruah dan mutu penguasaan bahasa Melayu akan terus merosot dan terhakis serta menimbulkan pelbagai lagi kesan buruk untuk jangka panjang.
Bagi mengekang wabak ini daripada terus merebak, semua pihak harus berganding bahu untuk menanganinya.
Mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa Pustaka (DBP), Datuk A Aziz Deraman berkata, akta DBP yang dipinda perlu mengatasi kuasa akta lain bertujuan mengenakan tindakan undang-undang atas mereka yang mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa lain serta menggunakan bahasa kebangsaan dengan cara salah.
Kementerian Pelajaran pula harus memberikan penekanan terhadap guru yang mengajar mata pelajaran bahasa dan dwibahasa supaya tiada bahasa rojak digunakan sepanjang sesi pengajaran dan pembelajaran.
Dengan cara ini, pelajar bukan saja dapat menguasai mata pelajaran berkenaan, malah dapat membendung masalah bahasa rojak.
Penerapan budaya penggunaan bahasa Melayu yang betul perlu dilakukan ibu bapa sejak kecil lagi bagi mengelakkan masalah ini lebih melarat pada masa depan.
Bahasa adalah maruah kepada bangsa itu sendiri dan jika tidak dijaga, ia tidak mungkin lagi dihormati, seterusnya membawa kepada jatuhnya maruah sesebuah bangsa.
Penulis ialah mahasiswa tahun tiga Program Bahasa Arab dan Komunikasi, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan