Halaman

Selasa, 2 April 2013

Pencapaian akademik penentu masa depan


GENERASI muda digalakkan belajar ke tahap paling tinggi kerana pencapaian akademik boleh menjamin kehidupan masa depan yang lebih baik sekali gus dapat bersaing dalam kerjaya masing-masing di peringkat global.

Menteri Pertahanan yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, generasi muda khususnya murid sekolah menengah hendaklah belajar bersungguh-sungguh sehingga ke tahap paling tinggi supaya dapat mencorakkan kehidupan masa depan keluarga dan masyarakat sekeliling.

"Semakin tinggi kelulusan seseorang itu semakin tinggi kedudukannya dalam sesebuah organisasi atau masyarakat berkenaan," katanya ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Baucar Bantuan Buku kepada pelajar pra-universiti sekitar Parlimen Bagan Datoh di Sekolah Menengah Khir Johari, Sungai Sumun, Perak, baru-baru ini.

Beliau berharap bantuan baucar bernilai RM250 itu dapat dimanfaatkan untuk membeli buku dalam usaha meningkatkan tahap ilmu setiap murid.

Selain itu, kata Ahmad Zahid, hasil kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah Hilir Perak, beberapa sekolah rendah dan menengah sekitar kawasan berkenaan berjaya meningkatkan pencapaian tinggi dalam peperiksaan awam di negara ini.

"Murid yang berpotensi lulus cemerlang dalam peperiksaan awam diberikan bimbingan kaunseling, motivasi, lawatan ke sekolah berasrama penuh dan institusi pengajian tinggi supaya mereka terangsang mahu belajar bersungguh-sungguh mencapai kejayaan dalam pelajaran," ujarnya.

© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan