KUALA LUMPUR: Urusan pentadbiran sekolah akan diambil alih oleh pembantu pentadbiran secara berperingkat bagi mengurangkan bebanan tugas guru, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata sekurang-kurangnya seorang pembantu pentadbiran akan ditempatkan di setiap daripada 10,000 buah sekolah di negara ini secara berperingkat.
"Kita sudah putuskan 10,000 petugas dihantar secara berperingkat supaya beban guru dapat diserahkan kepada petugas baharu ini bagi menguruskan hal berkaitan pentadbiran.
"Soal pengajaran dan pembelajaran itu masih tanggungjawab guru," katanya dalam rancangan 'Soal Jawab' terbitan TV3 yang dikendalikan oleh Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima Bhd, Datuk Ahmad Talib di sini malam Rabu.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan, berkata langkah bagi mengurangkan bebanan guru itu terkandung di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang akan dilancarkan Jumaat ini.
Beliau berkata pelan itu adalah hasil gabungan pandangan dari semua kelompok termasuk pelajar, pihak berkepentingan dan kumpulan ekstrim bagi memastikan ia dapat meningkatkan pencapaian pelajar dan sistem pendidikan negara setanding dengan negara maju.
"Ini semua terhasil dari kehendak masyarakat dan pakar-pakar pendidikan baik di dalam mahupun di luar negara iaitu dari Korea Selatan, Singapura dan Kanada yang kita jemput untuk berikan pandangan," katanya.
Muhyiddin berkata ada sesetengah pihak yang kurang bersetuju dengan beberapa perkara yang terkandung di dalam pelan itu, tetapi setelah diberikan penjelasan mereka akur dan menyokong pelaksanaan PPPM.
"Dua hari lepas saya ada berjumpa dengan Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong), mereka bertanyakan apakah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) ada lagi lepas pelaksanaan pelan ini, saya jawab ya ada. "Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) pula kata kami nak hapuskan Bahasa Cina, saya kata mana ada di dalam laporan itu yang menyatakan sedemikian," katanya.
Mengenai tuntutan Dong Zong yang tidak mahu menambah waktu pembelajaran Bahasa Melayu di SJKC kerana khuatir pembelajaran bahasa Cina akan terhapus, Muhyiddin berkata bahasa ibunda mereka itu tidak akan terhapus kerana hasrat kerajaan adalah untuk merapatkan jurang penguasaan Bahasa Melayu di antara pelajar Cina di SJKC dengan pelajar Cina yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan.
"Kita hendak rapatkan jurang sebab itu ditambah waktu, kita cadangkan supaya buat jadual waktu yang sesuai untuk menampung kekurangan dan kelemahan mereka, mereka boleh gunakan kelas peralihan untuk perbaiki penguasaan Bahasa Melayu. "Kelompok ini bukannya menentang dan tidak bersetuju dengan PPPM, ada beberapa perkara yang tidak jelas dan mereka fikir kita abaikan tetapi sebenarnya tidak," katanya.
Beliau berkata walaupun 'ribut dan taufan' pelan itu akan dilaksanakan kerana ia adalah hak rakyat dan untuk kebaikan mereka.
"Kita hendak pastikan apa yang telah dirancang jangan ada penghalang ataupun gangguan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pun sudah menyatakan sokongan 100 peratus dengan PPPM dan sudah dimulakan dengan peruntukan-peruntukan khas tambahan," katanya. Muhyiddin berkata beliau akan menyediakan laporan tahunan untuk mengetahui sejauh mana pencapaian pelan itu dalam pelaksanaannya bagi tempoh setahun.
"Kita mahu ketelusan, supaya rakyat tahu apa kemajuan dan kekurangan kita, apa yang saya harapkan dari pelan ini ialah supaya pelajar terdidik dengan ilmu menerusi sistem yang berkualiti serta pembentukan sahsiah bagi melahirkan modal insan yang dapat memberikan bantuan kepada proses pembangunan negara," katanya.
Muhyiddin berkata menerusi pelan itu juga, peranan ibu bapa melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) akan diperkukuhkan kerana mereka juga memainkan peranan penting dalam memastikan kecemerlangan pendidikan anak mereka. "Peranan ibu bapa dalam pelan ini diiktiraf, baru-baru ini kita lancarkan Sarana iaitu toolkit panduan bagaimana ibu bapa boleh memberikan sumbangan dalam membantu sekolah dan anak mereka dalam pembelajaran," katanya.
Beliau berkata kementerian juga akan mengadakan latihan dan kursus kepada PIBG supaya ibu bapa tidak melepaskan sepenuhnya proses mendidik anak mereka kepada guru di sekolah.
Beliau berkata menerusi sistem Bestari Net iaitu sistem internet yang sudahpun diaplikasikan di sekolah-sekolah, ibu bapa juga boleh mengakses internet untuk mengetahui pencapaian anak mereka dalam semua mata pelajaran. -BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan