Halaman

Jumaat, 6 September 2013

Pengambilan guru hanya dari 30% graduan terbaik

KUALA LUMPUR - Profesion keguruan akan menjadi lebih berprestij dan elit apabila pengambilan dibuat hanya dalam kalangan graduan 30 peratus terbaik dalam negara dalam usaha mentransformasi profesion itu menjadi profesion pilihan.

Ini bermakna Kementerian Pendidikan akan meninggikan syarat kelayakan kemasukan ke profesion keguruan bagi memastikan semua guru yang mengikuti setiap latihan perguruan memenuhi syarat minimum kelayakan akademik.

Kementerian turut berhasrat untuk mengubah Institut Pendidikan Guru (IPG) kepada universiti latihan guru bertaraf dunia menjelang 2020 dan menilai semula kurikulum latihan praperkhidmatan semasa bagi memastikan guru bersedia untuk mengajar kemahiran berfikir aras tinggi yang diperlukan murid.

Menurut Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin, mulai tahun ini, guru akan menerima program Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) bagi membantu guru mencapai potensi penuh.

Program CPD itu termasuk latihan komponen teras dan elektif mengikut keperluan pembangunan diri yang akan diberi latihan secara individu daripada penyelia masing-masing.   

Pelan itu turut menyebut, guru boleh memilih laluan kerjaya yang menarik berdasarkan prestasi, potensi dan minat mereka, sama ada memilih untuk menjalankan tugas kepimpinan atau menjadi guru pakar.

Selain itu, guru juga akan dinilai secara tahunan oleh pengetua atau guru besar dengan menggunakan input yang mungkin diberikan oleh rakan sejawat dan menggunakan instrumen penilaian baharu yang memberi tumpuan kepada keupayaan guru menyampaikan pengajaran secara berkesan di dalam dan luar bilik darjah.

Dalam memastikan kepimpinan berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah, kementerian akan menukar kriteria pemilihan pengetua dan guru besar daripada pemilihan berasaskan tempoh perkhidmatan kepada pemilihan yang berfokuskan kecekapan kepimpinan.

Setiap pengetua atau guru besar juga dikehendaki mendapatkan sijil Kelayakan Profesional Kebangsaan bagi Kepimpinan Pendidikan (NPQEL) daripada Institut Aminuddin Baki sebelum boleh dilantik.

Pengetua dan guru besar yang bakal dilantik juga akan mengikuti program pementoran selama satu bulan di bawah bimbingan pengetua dan guru besar yang akan berpindah dan bersara.   

Dalam pada itu, kementerian akan memastikan 100 peratus sekolah memenuhi keperluan infrastruktur asas menjelang 2015, bermula dengan Sabah dan Sarawak bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat, bersih dan kondusif.

Kementerian juga akan melaksanakan prinsip asas yang telus dan saksama dalam pengagihan kewangan dan sokongan lain kepada semua sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan.

Bagi memanfaatkan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam meningkatkan kualiti pembelajaran, kementerian menyediakan akses Internet dan persekitaran pembelajaran maya melalui iBestariNet bagi kesemua 10,000 sekolah menjelang tahun ini. 

Perpustakaan video pengajaran oleh guru cemerlang akan diwujudkan supaya guru boleh menggunakan sumber ini bagi mendapatkan idea dan murid pula dapat menjadikannya sebagai alat ulang kaji. - Bernama


Sumber : Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan