Halaman

Jumaat, 4 Mac 2011

Teknik Belajar Matematik

1. Ada beberapa perkara yang kita boleh belajar tentang Matematik. Satu, kalau nak pandai Matematik, kita kena suka matapelajaran tu. Habis, kalau kita dah memang tak suka macam mana? Caranya, mula-mula buat-buat macam kita sukakan matapelajaran tu. Kita macam berlakon sikit yang kita suka subjek tu. Kemudian, mula buat latihan sedikit demi sedikit. Tak perlu terus mula dengan 100 soalan. Bukan apa, takut terkejut nanti lepas tu terus makin benci.

2. Matematik adalah latihan dan latihan adalah Matematik. Maksud saya, Matematik adalah satu subjek yang anda perlu buat latihan untuk menguasainya, bukan membaca. (Ada pelajar yang belajar Matematik dengan hanya membacanya). Saya berjaya menguasai Matematik kerana saya buat latihan. Semakin banyak latihan saya buat, saya jadi semakin cekap.

3. Matematik adalah matapelajaran yang memerlukan disiplin. Walaupun anda faham topik tertentu, anda tidak akan dapat menjawab dalam masa yang diberikan jika anda tidak mendisiplinkan diri untuk menjawab soalan Matematik. Setiap kali anda berlatih menjawab soalan Matematik, catat masa yang anda ambil. Selalunya anda ada masa kurang daripada 3 minit untuk menjawab satu soalan. Jadi, cuba kejar masa itu, maksud saya, cuba latih menjawab dengan secepat mungkin.

4. Anda perlu HAFAL SIFIR! Saya tahu ramai pelajar yang merungut tentang perkara ini. Ada pelajar tingkatan 5 yang saya uji dengan sifir 7 pun tidak lepas. Alasan mereka, mereka boleh guna mesin kira, mengapa perlu ingat sifir? Persoalannya ialah, hafal sifir bukan sahaja untuk mengetahui berapa 5 x 5 dan berapa 12 x 7. Tetapi, menghafal sifir akan membuat otak anda lebih cepat dan cekap mengira. Kalau asyik bergantung kepada mesin kira, daya pemikiran anda akan semakin lemah kerana tidak ada usaha yang dilakukan oleh otak anda. Lihat mereka yang handal Matematik, pasti mereka cekap juga dalam sifir.

5. Akhir sekali, anda perlu ada azam dan kemahuan untuk jadi hebat dalam subjek Matematik. Jika anda kisah tidak kisah, sukar untuk anda kuasai subjek ini. Insyaallah saya akan kongsikan lagi di masa akan datang petua-petua untuk menguasai matapelajaran matematik ini.

PKSR 1 2011

Jadual PKSR Tahap 2

Jadual PKSR Tahap 1

Isnin, 28 Februari 2011

586 Guru Besar Terima Ganjaran 'Tawaran Baru'

JASIN: Kerajaan mengotakan janjinya pada Isnin, dengan memberi ganjaran kepada guru besar dan guru yang berjaya meningkatkan pencapaian sekolah pada kedudukan lebih baik melalui Tawaran Baru melibatkan peruntukan RM18.4 juta.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata di bawah Tawaran Baru kepada Guru Besar yang dijanjikan kerajaan pada tahun lepas, hari ini seramai 586 guru besar yang berjaya dari seluruh negara menerima ganjaran tersebut.

"Staf sokongan seperti kerani di 586 sekolah yang berjaya itu juga akan diberi imbuhan yang setimpal kerana mereka juga memberi sumbangan kepada sekolah tersebut.

"Kadar ganjaran belum ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Tawaran Baru Kepada Guru Besar di Sekolah Menengah Tun Syed Zahiruddin, Ayer Tawar di Merlimau dekat sini.

Di bawah Tawaran Baru itu, guru besar menerima ganjaran sebanyak RM7,500 diikuti sebanyak lima peratus daripada jumlah keseluruhan guru di sekolah terbabit akan menerima RM1,800 manakala baki guru lain mendapat RM900.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata pembayaran ganjaran tersebut akan dibuat serta merta kerana peruntukan telah disediakan.

Beliau berkata tawaran sama kepada pengetua dan guru sekolah menengah akan diberikan selepas keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan pada bulan depan.

Katanya sasaran awal pemimpin sekolah yang layak menerima ganjaran pada tahun penilaian 2010 ialah sebanyak dua peratus namun pencapaian sebenar bagi tahun penilaian itu adalah di luar jangkaan antaranya disebabkan oleh peningkatan kualiti kepimpinan sekolah dan tahap pengajaran dan pembelajaran guru. "Sebanyak 924 (12.10 peratus) sekolah daripada 7,635 yang berada dalam senarai kedudukan layak untuk diverifikasi oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK).

Berdasarkan verifikasi JNJK, bilangan guru besar atau sekolah yang memenuhi semua kriteria yang ditetapkan untuk menerima ganjaran ialah sebanyak 586 (7.70 peratus) sekolah," kata Muhyiddin.

Timbalan Perdana Menteri berkata daripada keseluruhan bilangan sekolah rendah yang berada dalam senarai kedudukan, 193 (2.53 peratus) adalah sekolah yang mencapai skor komposit sekurang-kurangnya 84 peratus, 138 (1.81 peratus)sekolah yang melonjak kedudukan sekurang-kurangnya sebanyak 2,050 tempat dan 257 (3.37 peratus) adalah sekolah yang berjaya meningkatkan skor komposit sekurang-kurangnya 6.3 peratus.

"Kita juga berasa amat sukacita dan bangga kerana daripada 586 sekolah yang menerima ganjaran, 437 (74.32 peratus) daripadanya merupakan penerima dari sekolah dari luar bandar," katanya yang menambah sekolah di bandar juga ada menerima anugerah tersebut.-BERNAMA.

Perhimpunan Khas - Majlis Perpisahan

Satu perhimpunan khas telah diadakan pada pagi tadi sempena perpisahan 3 orang guru yang akan berpindah ke sekolah baru. Guru-guru yang terbabit ialah;

Us. Syed Zariman - Berpindah ke SK Rampangi

En. Paisar Ajulah – Berpindah ke SK Siol Kanan

Cik Rohaidah bt Ismawi – Berpindah ke SK Gita 2

Cuaca yang agak mendung menambahkan lagi kesuraman majlis pada pagi tadi. Kesemua guru yang terlibat diberi peluang untuk memberi kata-kata akhir. Majlis diakhiri dengan majlis bersalam-salaman. Selamat bertugas di tempat baru diucapkan.

Tuai padi antara masak,
Esok jangan layu-layuan;
Intai kami antara nampak,
Esok jangan rindu-rinduan.

Mengait rambutan menggunakan galah,

Disimpan bersama buah berangan;
Walau sezarah silap dan salah,
Harap dimaafkan disimpan jangan.

Subuh hari memetik kangkung,
Kangkung dipetik bersama serai;
Setelah semusim kita berkampung,
Tiba masanya kita bersurai.

Pohon mempelam lebat berbuah,
Gugur sebiji di tepi tangga;
Kita bertemu akhirnya berpisah,
Diizin Allah berjumpa juga.


Selasa, 22 Februari 2011

Contohi kejayaan SK Ulu Lubai

Ketika pengumuman 20 Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) kohort pertama dahulu, ada sesetengah pihak yang skeptikal bahawa hanya sekolah yang mempunyai infrastruktur canggih, terletak di bandar dan mempunyai reputasi besar sahaja layak untuk status tersebut.

Persepsi negatif itu kini terbukti tidak tepat apabila Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Lubai yang terletak di pedalaman Limbang, Sarawak diiktiraf sebagai salah satu daripada 23 SBT kohort kedua yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 17 Februari lalu.

Pemilihan SK Ulu Lubai membuktikan bahawa kemudahan infrastruktur dan lokasi memang memberi satu kelebihan tetapi bukan jaminan untuk mencapai kecemerlangan apatah lagi menerima status SBT.

Faktor utama ialah kecekapan pihak pentadbiran sesebuah sekolah dalam mengurus sumber manusia dan aset lain yang ada dengan berkesan. Bukan menjadikan sebarang kekurangan sebagai alasan untuk menutup kelemahan diri dalam melonjakkan prestasi sekolah.

Buktinya, tidak semua sekolah berasrama penuh (SBP) berstatus SBT. Banyak lagi SBP yang belum layak dinobat SBT walaupun infrastrukturnya serba lengkap dan pelajarnya adalah yang terbaik. Kepada pentadbir SBP yang belum tersenarai dalam 43 SBT sedia ada, peluang masih terbuka luas. Buat kajian dan belajar dengan yang terbilang.

Jadikan pencapaian SK Ulu Lubai sebagai pembakar semangat dan penanda aras. Contohi amalan terbaik sekolah tersebut untuk dilaksanakan di sekolah masing-masing.

Tambahan pula, amalan terbaik SK Ulu Lubai diiktiraf dunia melalui dua anugerah peringkat antarabangsa iaitu johan Commonwealth Education Good Practice Award 2009 dan finalis anugerah yang sama daripada Sekretariat Komanwel serta Kerajaan Malaysia.

Hasil amalan terbaik ini, pencapaian Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) SK Ulu Lubai amat cemerlang iaitu lulus 100 peratus sejak 2006 hingga kini, menjadikannya sekolah terbaik di Sarawak. Pada tahun lalu, sekolah ini menduduki tempat pertama dalam penarafan sekolah kebangsaan, melonjak dari tempat ke-54 pada tahun 2009.

Hakikatnya, jika kepimpinan sekolah cemerlang dan guru-gurunya komited maka kejayaan pasti berada dalam genggaman seperti yang dibuktikan oleh SK Ulu Lubai. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan.

Oleh itu, pentadbir sekolah kategori luar bandar dan pedalaman, mulakan gerak kerja untuk bersaing dan mencipta sejarah gemilang. Sesungguhnya keupayaan menjadi pemenang dalam keadaaan yang terbatas dengan banyak kekangan adalah lebih manis berbanding kejayaan yang dicapai oleh sekolah yang lengkap serba-serbi.

Apa pun bersaing biarlah secara sihat. Kekosongan untuk SBT juga masih banyak. Ada 57 slot untuk diisi bagi mencapai sasaran 100 SBT pada 2012 selaras dengan salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang digariskan oleh Kementerian Pelajaran.

Utusan Malaysia Online: 21 Februari 2011

4 NKRA Pendidikan lepasi sasaran

PUTRAJAYA 20 Feb. – Inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) program Transformasi Kerajaan (GTP) berjaya meningkatkan taraf pendidikan dan prestasi pencapaian pelajar-pelajar sekolah kebangsaan tahun lalu dan dijangka bertambah baik tahun ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd. Ghafar Mahmud berkata, ia dibuktikan melalui pencapaian cemerlang empat NKRA yang melepasi sasaran asal iaitu prestasi prasekolah, literasi dan numerasi serta Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) termasuk Program Pembangunan Prestasi Sekolah (SIP).

Katanya, aspirasi NKRA Pendidikan memberi penekanan kepada meningkatkan pencapaian pelajar secara holistik dari segi intelektual, emosi, rohani dan jasmani.

‘‘Peningkatan pencapaian pelajar pada semua peringkat pendidikan amat penting untuk membangunkan modal insan yang cemerlang bagi menghasilkan tenaga kerja mahir supaya Malaysia menjadi negarar berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020,’’ katanya.

Selain itu, aspirasi NKRA Pendidikan juga adalah untuk memastikan pendidikan berkualiti dan berkemampuan dapat dikecapi oleh semua pihak bagi menambahbaik dan meningkatkan taraf penduduk Malaysia secara menyeluruh.

‘‘Dalam NKRA Pendidikan, dua fokus utama telah dijadikan asas kepada transformasi yang dilaksanakan iaitu memastikan semua kanak-kanak mendapat permulaan pendidikan berkualiti serta membangunkan budaya pencapaian untuk memacu transformasi dalam sistem pendidikan.

“Aspirasi NKRA memberi penekanan kepada pencapaian pelajar secara holistik dari segi intelektual, emosi, rohani dan jasmani sekali gus membangunkan modal insan cemerlang bagi mencapai hasrat menuju negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 dapat dicapai,’’ katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, di samping empat sub-bidang NKRA (lihat carta), bidang-bidang utama lain juga akan ditambah baik untuk memastikan kelangsungan transformasi serta menghasilkan outcome seperti dihasratkan.

Antara perkara yang diberi penekanan dan keutamaan termasuk profesioan keguruan lebih menarik serta membangunkan guru-guru yang cemerlang.

‘‘Hasil satu kajian syarikat perunding antararbangsa ke atas sistem pencicikan dinegara-negara maju membuktikan bahawa kualiti guru merupakan pemangkin utama dalam memastikan kecemerlangan sistem pendidikan sesebuah negara.

Pada masa yang sama, Kementerian Pelajaran juga sedang melaksanakan transformasi kurikulum bagi memastikan modal insan yang dihasilkan memenuhi permintaan dan keperluan bagi mencapai taraf negara maju.

Transformasi kurikulum juga memberi penekanan kepada aspek penguasaaan bahasa khususnya Bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris tanpa meminggirkan bahasa ibunda murid.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Dr. Zahri Aziz berkata, pencapaian prasekolah telah melepasi sasaran yang ditetapkan iaitu 72.42 peratus berbanding 72 peratus dengan bilangan prasekolah sebanyak 1,500.

‘‘Sebanyak 315 buah prasekolah di bawah Kementerian Pelajaran telah beroperasi mulai Januari tahun lalu dan tambahan sembilan kelas dibina di Sarawak dan pusat komuniti di Sabah yang mula beroperasi mulai pertengahan Jun 2010.

‘‘Selain itu, 50 prasekolah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dan 500 prasekolah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) telah mula beroperasi.

‘‘Ini termasuk prasekolah swasta yang telah berjaya dibuka melebihi unjuran daripada 488 kepada 625 sekali gus menyaksikan 701,144 kanak-kanak berusia empat dan lima tahun ke atas di seluruh negara telah menyertai prasekolah,” katanya.

Pada masa sama, Zahri berkata, seramai 24,179 murid prasekolah swasta daripada keluarga berpendapatan RM2,300 ke bawah layak menerima bantuan yuran sebanyak RM150 sebulan membabitkan peruntukan sebanyak RM10.8 juta.

‘‘Pemberian bantuan yuran adalah untuk menggalakkan semua kanak-kanak yang tinggal di kawasan tiada prasekolah awam, mengikuti pendidikan prasekolah swasta.

‘‘Bantuan makan untuk kanak-kanak prasekolah awam pula telah diselaraskan dan dinaikkan kepada RM1.80 di Semenanjung dan RM2.05 di Sabah dan Sarawak melibatkan peruntukan sebanyak RM4.9 juta,’’ katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 3,439 guru prasekolah awam dan swasta telah mendapat latihan daripada 11 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) manakala 3,561 lagi dilatih oleh Institut Pendidikan Guru (IPG).

‘‘Pada tahun ini sebanyak 715 prasekolah kementerian, 1,000 (Kemas), 50 (JPNIN) dan 1,000 (swasta) dijangka beroperasi,’’ katanya.

Bagi pencapaian Literasi dan Numerasi (Linus), Zahri memberitahu, peratus murid yang menguasai literasi meningkat kepada 85 peratus berbanding 64 peratus manakala kadar numerasi meningkat kepada 91 peratus berbanding 73 peratus pada saringan kedua dan ketiga.

‘‘Walaupun tidak mencapai sasaran 90 peratus, pencapaian setakat ini merupakan satu indikator kepada sasaran untuk 2012 nanti,’’ katanya.

Sementara itu, sejak 20 sekolah SBT dipilih berdasarkan kecemerlangan akademik, kokurikulum dan pembentukan sahsiah pelajar, banyak kejayaan dirangkul sekolah terbabit di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Antaranya tiga orang pelajar Kolej Tunku Kurshiah muncul sebagai Naib Johan Intel ISEF dalam kategori Special Award di San Jose, Amerika Syarikat dengan projek bertajuk Natural Oil Boom.

Seorang pelajar SMK Aminuddin Baki pula memenangi pelbagai pertandingan renang peringkat antarabangsa iaitu dua pingat perak dalam 2nd ASEAN School Games, satu emas dan satu perak dalam SEA Age Group , satu emas, dua perak dan satu gangsa dalam Malaysian Open serta mewakili negara dalam 51st Japan Open Swimming Championship, Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

SK Bandar Baru Uda 2 pula memenangi dua pingat emas, satu pingat perak dan dua pingat gangsa dalam Mathematics Olympiad.

‘‘Pada masa sama, SBT sedia ada akan dipantau bagi memastikan petunjuk prestasi utama (KPI) dan sasaran yang ditetapkan tercapai,’’ katanya.

Sementara itu, katanya, guru besar atau pengetua yang layak menerima ganjaran menerusi tawaran baru berdasarkan Bai‘ah, mereka perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan seperti Laporan Nilaian Prestasi Tahunan yang cemerlang, bebas daripada sebarang tindakan tata tertib serta tiada audit bersyarat.

‘‘Kriteria bagi sekolah rendah pula mempunyai syarat tambahan iaitu mencapai sasaran Linus yang ditetapkan.

‘‘Menerusi program SIP yang diperkenalkan bagi membantu sekolah-sekolah berprestasi rendah, ia ternyata berkesan apabila dinilai menerusi pencapaian Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR),’’ katanya.

Berdasarkan perbandingan pencapaian UPSR tahun 2009 dan 2010, didapati sekolah-sekolah berprestasi rendah telah berjaya menunjukkan pencapaian yang baik.

Sebanyak 140 daripada 209 sekolah rendah telah menunjukkan penambahbaikkan dalam pencapaian Gred Purata Sekolah (GPS),

Utusan Malaysia Online: 21 Februari 2011

Sabtu, 19 Februari 2011

SK Ulu Lubai 'permata dalam belantara'

LIMBANG 17 Feb. - Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Lubai hanyalah sebuah sekolah yang serba sederhana dari segi infrastruktur dengan bangunan kayu lama manakala satu-satunya binaan konkrit hanyalah tandas kegunaan murid dan guru.

Lokasinya terletak di tengah-tengah hutan belantara. Ia dihubungkan melalui jalan balak ataupun menggunakan bot panjang menyusuri Sungai Lubai yang membabitkan tempoh perjalanan kira-kira sejam daripada Medamit.

Sekolah yang dibuka pada 1964 dan pernah ditutup pada 1976 sebelum dibuka semula setahun selepas itu hanya mempunyai 30 orang murid yang dibimbing oleh 11 orang guru dengan bantuan seorang staf sokongan.

Namun hari ini, SK Ulu Lubai mencatatkan sejarah gemilang apabila muncul sebagai sekolah pedalaman pertama yang diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) sekali gus memberi tamparan kepada sekolah lain yang berada di kawasan bandar mahupun luar bandar.

Menyifatkannya sebagai amat luar biasa, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kejayaan SK Ulu Lubai itu membuktikan bahawa semua sekolah mampu cemerlang tanpa mengira lokasinya.

"Kalau kita lihat persekitaran dan infrastruktur, ia amat sederhana, bangunannya sudah lama dan diperbuat daripada kayu, tidaklah seelok bangunan-bangunan konkrit di sesetengah sekolah.

"Tetapi kerana kepimpinan sekolah itu adalah cemerlang dan guru-guru serta ibu bapa bersama murid-murid amat komited untuk bantu membangunkan sekolah ini, berlaku lonjakan yang amat besar," katanya pada sidang akhbar selepas mengumumkan senarai 23 SBT Kohort Dua di SK Ulu Lubai di sini hari ini.

Muhyiddin juga melontarkan cabaran kepada sekolah-sekolah lain dengan berkata:

"Jika SK Ulu Lubai yang begini keadaannya boleh muncul yang terbaik, saya tidak fikir sekolah lain tidak mampu."

Terdahulu ketika berucap pada majlis berkenaan, Muhyiddin berkata, SK Ulu Lubai telah menunjukkan pencapaian akademik yang amat cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dengan keputusan 100 peratus lulus sejak 2006 sehingga sekarang, menjadikannya sebagai sekolah terbaik di negeri ini.

Katanya, dalam penarafan sekolah kebangsaan, SK Ulu Lubai menduduki tempat ke-54 pada 2009 dan ia melonjak ke tempat pertama pada 2010.

Beliau memberitahu, lebih membanggakan, sekolah itu memenangi dua anugerah peringkat antarabangsa iaitu johan Commonwealth Education Good Practice Award 2009 dan finalis anugerah yang sama daripada Sekretariat Komanwel dan Kerajaan Malaysia.

Menurutnya, pencapaian terkini ialah pencalonan UNESCO Educational International Best Practices 2010.

"Di samping itu, ia juga berjaya merangkul lima anugerah peringkat kebangsaan, 14 di peringkat negeri dan 46 di peringkat bahagian dan daerah," katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin begitu teruja dengan inisiatif SK Ulu Lubai yang bergerak aktif dalam mewujudkan program jalinan dan jaringan dengan institusi pendidikan luar negara.

Katanya, jaringan itu bukan calang-calang kerana pada 2009 dan 2010, mereka mewujudkan jaringan dengan University Bristol, United Kingdom (UK), Jin Shan Primary School, Singapura dan Kingsford Community School serta Deptford Green School, masing-masing di UK.

Sementara itu, Guru Besar SK Ulu Lubai sejak 1998, Jaul Bunyau berkata, kunci kepada kejayaan sekolah itu ialah kerjasama daripada ibu-bapa kerana merekalah yang paling dekat dengan sekolah berkenaan,

Katanya, mengharapkan orang luar untuk membantu sekolah di pedalaman seperti SK Ulu Lubai amat sukar kerana keadaannya terpencil manakala prasarananya amat terhad.

"Jadi kita kena libatkan komuniti setempat dan guru-guru pula tidak boleh terpisah dengan masyarakat," katanya.

Utusan Malaysia Online: 18 Februari 2011