Halaman

Ahad, 19 Julai 2009

Mansuhkan UPSR: Razali

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman

KUALA LUMPUR: Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim mencadangkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dimansuhkan kerana sudah tidak relevan lagi dalam sistem pendidikan negara.

Katanya, UPSR hanya menjurus kepada konsep pencapaian pendidikan melalui peperiksaan yang memerlukan pelajar lulus subjek tertentu untuk layak ke sekolah berasrama penuh, sekali gus tidak membantu menentukan tahap sebenar akademik pelajar.

“Mansuhkan UPSR kerana tidak relevan. Ia hanya menjadi penanda aras untuk membolehkan murid memasuki sekolah asrama penuh.

“UPSR tidak menggalakkan murid mengambil berat untuk mendalami subjek lain yang juga penting seperti Sejarah dan Pendidikan Islam kerana subjek ini tidak menjadi syarat lulus dalam ujian itu,” katanya selepas merasmikan Persidangan Pemuda Umno Bahagian Cheras, di sini, semalam.

Saranan sama pernah dibuat Majlis Guru Besar Malaysia (MGBM) pada Januari 2007 yang mahu UPSR dimansuhkan kerana sistem peperiksaan itu didakwa terlalu mementingkan keputusan akademik dan tidak membantu membentuk sahsiah diri murid.

MGBM menganggap pemansuhan itu wajar bagi membolehkan murid sekolah rendah memberi tumpuan kepada sistem pembelajaran nilai murni dan jati diri yang harus dimulakan pada peringkat awal.

UPSR diperkenalkan pada 1987 bagi menggantikan peperiksaan Penilaian Darjah Lima. Antara mata pelajaran utama dalam UPSR ialah Bahasa Melayu (Penulisan), Bahasa Melayu (Pemahaman), Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Razali yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan bagaimanapun berkata, cadangan itu pandangan peribadi beliau dan tidak mewakili suara Pemuda Umno.

Katanya, beliau mempersoalkannya kerana kaedah pembelajaran terhadap mata pelajaran tidak mencapai tahap maksimum atau hanya menumpukan subjek yang wajib lulus.

“Ini menyebabkan murid belajar sambil lewa terhadap mata pelajaran lain yang juga penting seperti Sejarah kerana tidak termasuk syarat wajib lulus.

“Pelajar mengabaikan subjek Sejarah sehingga tidak faham sejarah negara, sekali gus menyukarkan lagi proses membina negara bangsa,” katanya.


Berita Harian (19/7/2009)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan