Halaman

Jumaat, 21 September 2012

7,723 sekolah rendah terima guru khas


Gurun: Kementerian Pelajaran memberi jaminan semua 7,723 sekolah rendah seluruh negara bakal menerima guru khas yang akan mengajar subjek Jawi, al-Quran, Arab dan Fardu Ain (J-Qaf) tahun depan.

Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata ia susulan pengambilan 3,834 guru bagi subjek itu untuk mengatasi masalah kekurangan tenaga pengajar pengajian berkenaan di lebih 2,000 sekolah rendah kini. 

Beliau berkata, semua 3,834 guru itu akan ditempatkan di 2,054 sekolah rendah yang dikenal pasti berdepan masalah tiada tenaga pengajar sebaik bermula sesi persekolahan musim depan termasuk di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) mengikut keperluan jika bilangan pelajar Islamnya ramai. 

Sesi pengambilan


“Kekosongan itu akan diiklankan dua kali bermula 23 September ini dengan sesi pengambilan dijangka Oktober. Semua bakal guru akan dimasukkan ke Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) selama dua minggu sebelum terus mengajar melalui konsep Latihan Perguruan Berasaskan Sekolah (LPBS) selama setahun setengah,” katanya.

Puad berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Keibubapaan Bagi Menangani Isu Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender (LGBT) peringkat Kedah anjuran Majlis Permuafakatan Ibu-bapa dan Guru (MPIBG) Sekolah-sekolah Putrajaya dan Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB). 

Hadir sama, Setiausaha Politik Perdana Menteri merangkap Pengerusi MPIBG Putrajaya, Datuk Shahlan Ismail. 

Sementara itu, beliau berkata, ancaman dan kecaman bukan kaedah terbaik menangani isu LGBT, sebaliknya tindakan mendidik lebih rasional yang memerlukan masyarakat memperbetulkan tanggapan terhadap golongan terbabit terutama dalam usaha membentuk semula peribadi mereka supaya tidak jauh tersasar.

“Tujuan seminar ini lebih kepada membendung gejala LGBT supaya anak kecil tidak terpengaruh. Seminar dikendalikan kaunselor profesional bagi mendidik ibu bapa supaya lebih terbuka dan sedar gejala LGBT digerakkan secara tersembunyi,” katanya.

Katanya, kementerian komited untuk memastikan gejala LGBT tidak berleluasa di sekolah, sekali gus merosakkan moral pelajar, namun tidak bercadang mengeluarkan garis panduan bagi mengenal pasti simptom awal pembabitan pelajar dalam gejala itu.

Berita Harian Online 21 September 2012

Tiada ulasan:

Catat Ulasan