KUALA LUMPUR: Pemberian bonus satu setengah bulan kepada 1.3 juta penjawat awam adalah pemberian bonus terbaik yang pernah diberikan oleh kerajaan setakat ini, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPCAS), Datuk Omar Osman.
Beliau berkata, pemberian bonus itu juga membuktikan bahawa kemampuan kerajaan dari segi kewangan. "Kerajaan pastinya mengkaji semua perkara sebelum membuat keputusan memberi bonus itu. Ia menunjukkan kerajaan perihatin dengan kehendak penjawat awam dan sentiasa berusaha memenuhi permintaan mereka setiap tahun.
"CUEPACS juga melihatnya sebagai bukti bahawa negara mempunyai pertumbuhan ekonomi yang baik," katanya.
Beliau mengulas pengumuman pemberian bonus oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semasa membentangkan Belanjawan 2012 bertemakan 'Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati' di Dewan Rakyat hari ini.
Omar berkata, kesediaan kerajaan membelanjakan peruntukan yang besar untuk pemberian bonus juga dilihat dapat membawa kesejahteraan kepada penjawat awam yang berpendapatan rendah dan sederhana.
"CUEPACS amat berterima kasih dengan pemberian bonus ini dan berharap penjawat awam dapat meningkatkan produktiviti dan prestasi kerja mereka. Jadikanlah bonus ini sebagai pembakar semangat untuk gigih bekerja," katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga menyambut baik mengenai pembinaan 123,000 unit rumah mampu milik di kawasan-kawasan strategik termasuk di Kuala Lumpur, Shah Alam (Selangor), Johor Baharu (Johor), Seremban (Negeri Sembilan) dan Kuantan (Pahang) tahun depan kerana ia adalah antara yang dimahukan penjawat awam.
Bagaimanapun, beliau masih berharap kerajaan dapat menurunkan kadar faedah pinjaman perumahan dari 4 peratus kepada 1 peratus untuk mengurangkan beban pinjaman perumahan kakitangan awam. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan