KUALA LUMPUR - Lembaga Peperiksaan telah mengambil tindakan segera dalam mengatasi kesilapan pada kertas peperiksaan ujian Aptitud Tahun Enam yang diduduki pelajar pada petang ini.
Menurut kenyataan Kementerian Pelajaran, semua sektor penilaian dan peperiksaan Jabatan Pelajaran negeri diarah untuk memaklumkan kepada Ketua Pengawas peperiksaan sekiranya terdapat jawapan E bagi soalan 41 hingga 61, calon peperiksaan diarah untuk menulis huruf E di kertas jawapan objektif.
Masalah ini timbul apabila ruang jawapan objektif bagi soalan 41 hingga 61 yang disediakan untuk calon hanya mempunyai abjad A,B,C dan D sahaja, sedangkan pilihan jawapan pada kertas soalan itu adalah A,B,C,D dan E.
Kenyataan itu turut menyebut Lembaga Peperiksaan akan memeriksa jawapan calon secara 'hand score' dan keputusan ujian ini tidak akan menjejaskan keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan tidak dicetak pada slip keputusan calon.
Ujian Aptitud ini bertujuan melihat potensi diri, minat dan kecenderungan murid dan potensi yang dilaporkan berdasarkan dua kemahiran iaitu kemahiran berfikir dan kemahiran menyelesaikan masalah serta membuat keputusan.
Minat dan kecenderungan murid dilihat dalam bidang akademik, teknik, vokasional, seni budaya dan sosial atau sukan, menurut kenyataan itu. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan